CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Isnin, 13 Ogos 2012

Adakah selawat selepas setiap 2 rakaat solat sunat terawih adalah bid'ah ?


Soalan :

Adakah harus dibaca surah al-Ikhlas setiap empat rakaat solat Tarawih dan adakah harus berselawat ke atas Nabi SAW selepas setiap dua rakaat solat Tarawih?
 


Jawapan :

Sudah menjadi kebiasaan umat Islam di Malaysia membaca surah al-Ikhlas dan berselawat ke atas Nabi SAW dalam melaksanakan solat Tarawih. Jesteru itu, marilah kita renung perbahasan hukum berhubung perkara tersebut:


Tuntutan syarak menyuruh kita membaca al-Quran secara mutlaq tanpa ditentukan waktu dan keadaan kecuali beberapa keadaan terkecuali seperti dalam keadaan janabah. Sementara itu, Rasulullah SAW ada menjelaskan kelebihan membaca surah al-Ikhlas dan digalakkan membacanya pada waktu malam sebagaimana sabda Baginda kepada para sahabatnya,

أَيَعْجِزُ أَحَدُكُمْ أَنْ يَقْرَأ فِى لَيْلَةٍ ثُلُثَ القُرْآنِ، قَالُوا: وَكَيْفَ يَقْرَأُ ثُلُثَ القُرْآنِ، قَالَ: قُلْ هُوَ اللهُ أُحَدٌ تَعْدِلُ ثُلُثَ القُرْآنِ.

Yang bermaksud, Adakah sukar bagi kamu untuk membaca pada waktu malam 1/3 al-Quran. Sahabat bertanya: Bagaimana hendak membaca 1/3 al-Quran. Baginda menjawab: (Bacalah) قل هو الله أحد (surah al-Ikhlas) kerana ianya menyamai 1/3 al-Quran.


Diriwayatkan oleh Muslim, daripada Abi al-Darda’ dan al-Bukhari, Daripada Abi Said al-Khudri ra, daripada Aishah ra

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَآلهِ وَسَلَّمَ بَعَثَ رَجُلاً عَلَى سَرِيَّةِ، وَكَانَ يَقْرَأُ لأَصْحَابِهِ فِى صَلاَتِهِ فَيَخْتِمُ بـ (قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ) فَلَمَّا رَجَعُوا ذَكَرُوا ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَآلهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: سَلُوهُ لأَيِّ شَيْء يَصْنَعُ ذَلِكَ، فَسَأَلُوهُ، فَقَالَ: لأَنَّهَا صِفَةُ الرَّحْمَنِ، وَأَنَا أُحِبُّ أَنْ أَقْرَأَ بِهَا، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَآلهِ وَسَلَّمَ: أَخْبِرهُ أَنَّ اللهَ يُحِبُّهُ.

Yang bermaksud, Nabi SAW telah mengutus seorang lelaki ke Syria. Dia selalu membaca قل هو الله أحد (surah al-Ikhlas) pada akhir solat ketika bersama sahabatnya. Apabila mereka pulang para sahabat mengadu perkara tersebut kepada Nabi SAW dan Baginda bersabda: Tanya dia kenapa dia berbuat demikian. Lalu sahabat bertanya kepadanya dan dia menjawab: Kerana surah itu terkandung sifat al-Rahman (Allah) dan aku suka dan kasih untuk membacanya. Nabi SAW bersabda: Beritahu dia bahawa turut  kasih kepadanya.


Begitu juga berselawat ke atas Nabi SAW adalah sebahagian amalan yang afdhal dilakukan dan diterima oleh Allah.

إِنَّ اللهَ وَمَلآئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَتَسْلِمُوا تَسْلِيمًا
Yang bermaksud, Sesungguhnya Allah dan malaikatNya bersalawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad, s.a.w.); wahai orang-orang yang beriman, bersalawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.
(al-Ahzab, 56)

Perintah ini adalah mutlaq, yang bermaksud ianya umum pada tempat, masa, diri seseorang dan keadaan. Sesiapa mendakwa, tanpa dalil, ianya haram dilakukan pada waktu tertentu maka dia telah menyempitkan apa yang Allah telah luaskan. Ini kerana mengikat sesuatu yang mutlaq dan mengkhususkan yang umum tanpa dalil merupakan bid’ah yang buruk.

Kesimpulannya, membaca surah al-Ikhlas dan berselawat ke atas Nabi SAW ketika melaksanaan solat Tarawih adalah harus dan disyariatkan.

والله سبحانه وتعالى أعلم

Rujukan
Darul Ifta’ al-Misriyah


Sumber : http://www.muftins.gov.my/index.php/arkib2/tarekat-tassawuf/738-hukum-membaca-surah-al-ikhlas-dan-berselawat-ke-atas-nabi-saw-ketika-melaksanakan-solat-tarawih

Khamis, 2 Ogos 2012

Gandakan Sedekah Di Bulan Ramadhan






Oleh : Mufti Brunei

GANDAKAN SEDEKAH DI BULAN RAMADHAN 

ﺑﺴﻢ ﺍﷲ ، ﻭﺍﳊﻤﺪ ﷲ ، ﻭﺍﻟﺼﻼﺓ ﻭﺍﻟﺴﻼﻡ ﻋﻠﻰ ﺭﺳﻮﻝ ﺍﷲ ، ﻭﻋﻠﻰ ﺁﻟﻪ ﻭﺻﺤﺒﻪ ﻭﻣﻦ ﻭﺍﻻﻩ

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Bulan Ramadhan merupakan medan pahala yang terkumpul dalamnya khazanah kelebihan yang tidak terhitung dan tidak dapat dinilai dengan harta benda. Segala macam kelebihan dan kebajikan terkumpul dan dilipatgandakan ganjarannya di bulan yang suci lagi
mulia ini. Dalam bulan Ramadhan ini, nikmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala ke atas hambaNya lebih luas lagi berbanding bulan-bulan yang lain.

Alangkah ruginya seorang muslim itu jika dia tidak merebut peluang segala kelebihan dan kebajikan yang sangat istimewa yang terdapat dalam bulan Ramadhan, yang hanya hadir setahun sekali, iaitu dengan berusaha meningkatkan amal ibadat termasuk
memperbaiki akhlak dan budi pekerti.

Walaupun umat Islam sentiasa dituntut supaya meningkatkan amal ibadat pada setiap masa, namun bulan Ramadhan merupakan waktu terbaik untuk melipatgandakan amalan yang biasa dikerjakan atau memulakan langkah mengerjakan suatu amalan yang sebelum itu jarang ataupun belum pernah dikerjakan. Antara amalan yang perlu diperbanyakkan dalam bulan Ramadhan ialah amalan bersedekah.

Bulan Ramadhan Waktu Paling Afdhal Untuk Bersedekah 

Tiada ikutan terbaik yang paling layak dan paling utama dicontohi atau diteladani oleh manusia  selain daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Allah  Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah”. (Surah al-Ahzab: 21)

Oleh kerana itu, cara terbaik bagi menjalani bulan Ramadhan ini ialah dengan menghayati dan meneladani bagaimana sikap dan sifat Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam  ketika berada di bulan tersebut.

Menurut riwayat hadits-hadits shahih yang dikhabarkan kepada kita melalui para sahabat Baginda, selain meningkatkan amal ibadat Baginda di bulan rahmat ini, sifat serta akhlak Baginda yang sangat mulia lagi luhur dan tiada bandingnya itu pun turut sama meningkat lebih tinggi daripada  dalam bulan-bulan yang lain.

Antaranya yang diberitakan oleh  para sahabat ialah sifat murah hati serta dermawan Baginda yang sememangnya merupakan makhluk yang paling pemurah itu bertambah-tambah lagi pemurahnya ketika berada di bulan Ramadhan.  Ini jelas termaktub dalam riwayat hadits-hadits shahih yang menceritakan bagaimana ringan  serta cepatnya tangan Baginda yang mulia itu menghulurkan bantuan atau pemberian seperti sedekah dan sebagainya di bulan Ramadhan. Umpamanya hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas  Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata:

Maksudnya:

“Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan manusia yang paling pemurah, dan Baginda itu lebih pemurah lagi dalam  bulan Ramadhan ketika Baginda didatangi oleh Jibril ‘alaihissalam (kerana Baginda sangat berbesar hati dengan pengutusan  Jibril ‘alaihissalam untuk bertemu dengan Baginda dan kerana kesan bertadarus al-Qur‘an dengan Jibril ‘alaihissalam).  Adapun Jibril ‘alaihissalam mendatangi Baginda pada setiap malam di bulan Ramadhan lalu Baginda (Jibril ‘alaihissalam) mengajarkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam al-Qur‘an (mentasme‘ dan meneliti bacaan Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam). Maka sememangnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu sangat  pemurah dengan kebaikan lebih daripada angin yang bertiup”.

(Hadits riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani  Rahimahullah ketika mensyarahkan hadits ini, maksud  “sangat pemurah dengan kebaikan lebih daripada  angin yang bertiup”  itu ialah betapa pantas dan ringannya  tangan Baginda menghulurkan pemberian serta tidak putusnya limpahan  kebajikan yang disalurkan oleh Baginda kepada siapa sahaja tanpa pilih kasih.

Menurut Imam an-Nawawi  Rahimahullah, hadits ini merupakan seruan serta anjuran kepada umat Islam supaya menanamkan sifat pemurah dan sentiasa mengamalkan sifat pemurah itu pada setiap detik dan ketika, dan sunat meningkatkan sifat pemurah tersebut dalam bulan suci Ramadhan  sebagai mencontohi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Maka berdasarkan hadits ini, para ulama telah mengambil kesimpulan bahawa waktu yang paling afdhal untuk bersedekah ialah dalam bulan Ramadhan, terutama sekali pada sepuluh hari terakhir bulan tersebut.

Menurut ulama, keutamaan dan keistimewaan bersedekah di bulan Ramadhan itu adalah kerana  kemuliaan bulan Ramadhan itu sendiri, ditambah lagi dengan  keadaan orang-orang fakir yang kekurangan tenaga untuk mencari pendapatan akibat keletihan dan kelaparan kerana berpuasa.

Ini dikuatkan lagi dengan  keperibadian Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam bulan Ramadhan yang mana sifat pemurah Baginda pada waktu tersebut diumpamakan oleh sahabat Baginda sebagai lebih pemurah daripada  limpahan angin yang membawa rahmat dan manfaat kepada  siapa sahaja yang terkena hembusannya. Diikuti pula selepas itu, afdhal bersedekah pada hari-hari kebesaran dan kemuliaan Islam yang lain, seperti Hari Jumaat, sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah, dan kedua Hari Raya ‘Idil Fitri dan ‘Idil ‘Adha.

Bagaimanapun, harus diambil perhatian di sini bahawa pemilihan waktu yang paling afdhal untuk  bersedekah ini bukanlah satu anjuran supaya kita melewatkan sedekah itu sehingga masuk bulan Ramadhan atau sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah atau lain-lain yang disebutkan tadi.

Bahkan amalan bersedekah itu adalah dituntut untuk disegerakan pada bila-bila masa dan di mana-mana saja. Akan tetapi, ia lebih merupakan dorongan untuk memperbanyakkan sedekah pada waktu-waktu tersebut kerana sedekah pada waktu-waktu berkenaan lebih besar ganjaran serta faedahnya.

Sebagai hamba Allah  Subhanahu wa Ta‘ala yang sentiasa mengharapkan rahmat serta keredhaanNya, kita sewajarnya mencari apa sahaja jalan yang akan mengangkat darjat kita di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Jalan terbaik untuk mencapai hasrat tersebut ialah dengan meneladani kekasihNya iaitu Nabi Muhammad  Shallallahu ‘alaihi wasallam. Jika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menduduki darjat tertinggi di
sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala itu pun sentiasa merebut peluang untuk mencari keredhaanNya sebagai luahan rasa syukur Baginda atas segala kurniaanNya, jadi bagaimana pula kita yang merupakan hambaNya yang kerdil dan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan dosa ini?

Jadi rebutlah peluang  untuk mengangkat darjat kita di sisi Allah  Subhanahu wa Ta‘ala dengan memanfaatkan kehadiran bulan  Ramadhan ini  dengan sebaiknya dan jangan biarkan ia berlalu begitu sahaja.

Sumber : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2012/bil18.pdf

Sabtu, 28 Julai 2012

Apakah Hukum Mengucapkan Selamat Tahun Baru ?


Oleh : Thoriq

Begitu banyak tulisan mengenai hukum mengucapkan “salamat tahun baru” di bulan Muharram ini, namun semuanya hanya merujuk kepada pendapat pihak kontemporer, yang menyatakan bahwa perbuatan itu bid’ah dan dilarang. Sebab itulah penulis tertarik untuk menelisik hukumnya yang sebenarnya menurut para hufadz dan fuqaha mu’tabar. Dan hasilnya, demikianlah pendapat mereka:

Al Hafidz Abu Hasan Al Maqdisi
Al Imam Al Hafidz As Suyuthi dalam Al Hawi li Al Fatawi (hal. 101) menyatakan,”Al Qamuli menyatakan dalam Al Jauhar (yakni Jauhar Bahr Al Muhith-pent):”Kami belum melihat ashab kami (yakni para ulama As Syafi’iyah-pent) pernyataan dalam tahni’ah (ucapan selamat) dua hari raya, tahun-tahun serta bulan-bulan sebagaimana apa yang dilakukan oleh manusia. Dan aku melihat dari beberapa faidah dari Syeikh Zakiyuddin Abdul Adzim Al Mundziri bahwa Al Hafidz Abu Al Hasan Al Maqdisi telah ditanya tentang tahni’ah di awal tahun-tahun dan bulan-bulan. Maka beliau menjawab bahw sesungguhnya manusia masih berselisih mengenai hal itu, dan beliau berkata,”Dan yang aku lihat bahwa sesungguhnya hal itu mubah, bukan sunnah juga bukan bid’ah.”
As Suyuthi menambahkan bahwa Ibnu Qasim Al Ghazzi telah menukil pernyataan di atas dan tidak menambahnya. Sedangkan Ibnu Alan dalam Al Futuhat (6/311) menyatakan bahwa Ibnu Qasim tidak membantahnya. Ini menunjukkan bahwa Ibnu Qasim menyetujuinya. Demikian pula sikap yang diambil oleh Al Hafidz As Suyuthi.
Syihab Ibnu Hajar
Namun ada pula yang menanggapi pernyataan Al Hafidz Abu Al Hasan Al Maqdisi di atas, yakni Syihab Ibnu Hajar. Al Khatib As Syarbini dalam Mughni Al Muhtaj (1/429) menyatakan,” Dan Syihab Ibnu Hajar menjawab setelah menela’ah akan hal itu (pendapat Al Hafidz Al Maqdisi- pent) bahwa hal itu (tahni’ah-pent) disyariatkan. Dan beliau berhujjah untuknya bahwa Imam Al Baihaqi telah membuat bab khusus tentang hal itu, kemudian beliau (Ibnu Hajar-pent) menyatakan bab tentang apa-apa yang diriwayatkan dalam perkataan manusia satu sama lain dalam ied  تقبل الله منا و منك dengan menyebutkan sejumlah akhbar dan atsar dhaif, akan tetapi perkumpulannya dijadikan hujjah dalam permasalahan seperti ini.
Dan beliu kemudian mengatakan,”Dan menjadi hujjah juga keumuman tahni’ah ketika memperoleh kenikmatan atau terhindar dari bala dengan disyariatkannya sujud syukur dan takziyah, juga dengan periwayatan Ka’ab bin Malik di Shahihain dalam kisah taubatnya ketika mundur dari perang Tabuk,’Bahwa sesungguhnya ia ketika memperoleh kabar gembira mengenai diterimanya taubatnya pergi kepada Rasulullah صلي الله عليه وسلم berdirilah kepadanya Talhah bin Ubaidllah kemudian memberi ucapan selamat kepadanya.”
Yang juga menukil komentar Syihab Ibnu Hajar atas pendapat Al Hafidz Abu Al Hasan Al Maqdisi selain As Syarbini adalah As Syarwani dalam Hasyiyah At Tuhfah (3/56).
Al Qalyubi dalam Hasyiyah Syarhi Al Mahalli (1/359) juga menyatakan,”Tahni’ah untuk hari-hari raya, tahun-tahun dan bulan-bulan, Ibnu Hajar mengatakan, mandub (sunnah-pent) dan mengambil teladan untuknya dengan diperintahkannya sujud syukur ketika memperoleh nikmat dan terhindar dari adzab.
As Syarqawi
Syeikh Sayyid Ba Alawi, Mufti Diyar Al Hadrami menyatakan dalam Bughyah Al Mustarsyidin (hal.89),”Dan menambah As Syarqawi, demikian juga (disunnahkan tahni’ah-pent) untuk tahun dan bulan menurut pendapat mu’tamad…”
Syaikh Al Islam Al Baijuri
As Syarwani menyatakan dalam Hasyiyah At Tuhfah (56/3),”Dan ungkapan syaikh kami, disunnahkan tahni’ah untuk ied dan sejenisnya seperti tahun dan bulan menurut pendapat mu’tamad…”
Ungkapan “syeikh kami” oleh As Syarwani dalam Al Hasyiyah biasanya menunjukkan pernyataan guru beliau Syeikh Al Islam Al Baijuri.
Walhasil, dalam masalah ini para fuqaha’ dan huffadz, khususnya dalam As Syafi’iyah memandang bahwa tahni’ah untuk awal tahun sebagai perkara mubah yang bukan bid’ah dan ada pula yang memandang bahwa hal itu termasuk sunnah. Bahkan pendapat terakhir merupakan pendapat mu’tamad menurut As Syarqawi dan Syeikh Al Islam Al Baijuri. Wallahu Ta’ala A’la wa A’lam.
Di kesempatan yang mulia ini juga, Al Manar beserta “crew” mengucapkan tahni’ah kepada para pembaca,”Selamat tahun baru hijriah 1433 H. Semoga amalan kita hari esok lebih baik dari sekarang.”
Rujukan:
1. Al Hawi li Al Fatawi karya Imam As Suyuthi, Dar Al Kitab Al Arabi (1425 H), t. Syeikh Khalid Thurthusi.
2. Mughni Al Muhtaj karya Khatib As Syarbini, Dar Al Fikr (1426 H), t. Syeikh Jaubali As Syafi’i.
3. Hasyiyatan, karya Qalyubi dan Umairah, Dar Al Fikr (1419 H).
4. Nihayah Al Muhtaj ma’a Hasyiyah As Syubramallisi, Dar Al Kutub Al Ilmiyah (1424 H).
5. Hawasyi Tuhfah Al Muhtaj karya As Syarwani dan Ibnu Qasim, Al Maktabah At Tijariyah Al Kubra.
6. Al Futuhat Ar Rabaniyah karya Ibnu Alan, Dar Ihya At Turats Al Arabi.
7. Bughyah Al Mustarsyidin  karya As Sayyid Ba Alawi, Nur Al Huda Surabaya,
Latar Belakang Pendidikan: Pesantren Mamba\’ul Hisan Blitar(1991), Al Muayyad Solo (1994), Al Mukmin Solo (1995), Universitas Al Azhar Cairo (2002), Ma\’had \’Ali Li Ad Dirasat Al Islamiyah Cairo (2006).


Khamis, 26 Julai 2012

Pesanan Para Ulamak Mengenai Adab Berbanding Hadith




Oleh : Ustaz Umar Muhammad Noor 

Pesanan Para Ulama :

Betapa pentingnya aspek adab dan akhlak dalam kehidupan Muslim yang mana para ulama selalu menekankan perkara ini di dalam nasihat dan pesanan mereka. 

Ibrahim bin Habib bin Asy Syahid (w. 203H) bercerita : 


"Ayahku berpesan : Wahai anakku ! Datanglah kepada para fuqaha dan ulama. Belajarlah daripada mereka. Ambillah adab-adab, akhlak-akhlak dan tingkah laku mereka. Sesungguhnya itu semua lebih aku sukai daripada banyak menulis hadis !" 


(Al Hafiz Abu Bakar al Khatib al Baghdadi, al Jami' li Akhlaq al Rawi wa Adab al Sami', hal. 9)

Makhlad bin Husein (w.191H) berkata : 



"Kita lebih memerlukan banyak adab daripada banyak hadis !" 


(Ibid)

Imam Abu Hanifah (w.150H) berkata : 



"Kisah-kisah yang menceritakan tentang kisah ulama dan keindahan akhlak mereka lebih aku sukai daripada memperbanyak fiqah. Ini adalah kerana kisah-kisah ini mengandungi (pengajaran) adab-adab mereka." 


(Al Hafiz al Sakhawi, Al I'lan bi at Taubikh liman Zam at Tarikh, hal 61)

Al Hasan bin Ismail berkata : 



"Aku mendengar ayahku bercerita, Majlis Imam Ahmad bin Hanbal dihadiri lebih daripada 5,000 orang. Kurang daripada 500 orang, datang untuk mencatat hadis-hadisnya, manakala yang lain pula datang untuk mempelajari adab-adab dan akhlak-akhlaknya." 


(Al Hafiz ibnu al Jawzi, Manaqib Imam Ahmad bin Hanbal, hal.210)

Sumber : Umar Muhammad Noor, Koleksi Kisah Ulama Silam Yang Kaya Dengan Pendidikan Akhlak, Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia, Telaga Biru, Cetakan Pertama 2011, Kuala LUmpur.

Isnin, 23 Julai 2012

Hukum Bertemu RasuluLlah Dalam Keadaan Jaga ?


Oleh : Ustaz Mohd Khafidz Bin Soroni

نحمد الله العظيم، ونصلّي ونسلّم على رسوله الكريم؛
Perkara khilaf seumpama ini, jika tidak disertai dengan nada ‘keras’, tidak perlu untuk diperpanjang-panjangkan lagi. Namun, jika sudah menggunakan nada ‘keras’ seperti; “membuka pintu kefasadan yang besar”, “membawa kecelaruan dalam amalan agama”, “memusnahkan rujukan penting umat Islam”, “perlu dibendung kerana membawa kemusnahan kepada masyarakat Islam” dan “menjauhkan mereka dari ajaran Nabi s.a.w.”, maka menurut hemat saya kekeliruan-kekeliruan seumpama ini wajar diperjelaskan. [*Saya tidak mahu menyebut siapa dan dari mana sumber kekeliruan ini kerana pada saya ia tidak perlu]

1. Kekeliruan:
Seseorang tidak boleh bertemu secara sedar (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. kerana seseorang yang mati tidak lagi boleh bertemu dengan orang yang hidup secara sedar. 

Jawapan:
Benar, dalam hal keadaan biasa seseorang tidak boleh bertemu secara sedar atau jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. Tetapi, sebagai suatu karamah seseorang yang soleh boleh bertemu secara sedar atau jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. Hukumnya adalah harus dan mungkin, tidak mustahil. Malah secara praktis ia memang berlaku kepada sebahagian wali-wali Allah Taala dan orang-orang yang soleh. Maka tidak harus bagi kita menuduh mereka berbohong atau berdusta dalam dakwaan berkenaan. Melainkan jika kita mempunyai bukti kukuh tentang pembohongan atau pendustaan tersebut.

Antara mereka ialah; Syeikh ‘Abdul Qadir al-Jailani, Syeikh Abu al-Hasan al-Syazili, Imam Abu al-‘Abbas al-Qurtubi, Syeikhul-Akbar Muhyiddin Ibn al-‘Arabi, Syeikh Khalifah bin Musa, Syeikh Abu al-‘Abbas al Mursi (w. 686H), Syeikh Abu ‘Abdillah al-Qurasyi, Syeikh Kamaluddin al-Adfawi, Syeikh ‘Ali al-Wafa’i, Syeikh ‘Abd al-Rahim al-Qinawi, Syeikh Abu Madyan al-Maghribi, al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti, Syeikh ‘Ali al-Khawwas, Syeikh Ibrahim al-Matbuli, Imam Abu al-‘Abbas al-Qastallani, Syeikh Abu al-Su‘ud ibn Abi al-‘Asya’ir, Syeikh Ibrahim al-Dusuqi, Sayyid Nuruddin al-Iji, Syeikh Ahmad al-Zawawi, Syeikh Mahmud al-Kurdi, Syeikh Ahmad bin Thabit al-Maghribi, Imam al-Sya‘rani, Syeikh Abu al-Mawahib al-Syazili, Syeikh Nuruddin al-Syuni, al-Habib ‘Umar bin ‘Abdul Rahman al-‘Attas (penyusunRatibul ‘Attas), Sayyidi ‘Abd al-‘Aziz al-Dabbagh, Syeikh Muhammad bin Abi al-Hasan al-Bakri, Sayyidi Ahmad bin Idris, Syeikh Ahmad al-Tijani dan lain-lain.

Antara dalilnya adalah zahir hadis berikut yang menunjukkan seseorang yang soleh boleh bertemu secara sedar atau jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w., tetapi dengan syarat mestilah pernah bertemu dahulu secara mimpi (ru’ya) dengan baginda s.a.w. Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 
« من رآني في المنام فسيراني في اليقظة، ولا يتمثل الشيطان بي»
“Sesiapa yang melihatku di dalam mimpi, maka dia akan melihatku secara yaqazah (di dalam keadaan jaga), kerana syaitan tidak boleh menyerupaiku”. [Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Ahmad. Lafaznya dari al-Bukhari]

Antara ulama yang mengatakan atau mengiktiraf kemungkinan boleh bertemu secara sedar atau jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. ialah:
1.      Imam Ibn Abi Jamrah al-Maliki dalam Bahjah al-Nufus.
2.      Al-‘Allamah Ahmad al-Nafrawi al-Maliki dalam Syarh Risalah Ibn Abi Zayd.
3.      al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fathul Bari Syarh Sahih al-Bukhari.
4.      al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti dalam Tanwir al-Halak fi Imkan Ru’yah an-Nabi wa al-Malak.
5.      Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim.
6.      Imam al-Ghazali dalam al-Munqiz min al-Dhalal.
7.      Imam Syihabuddin al-Qarafi,
8.      Imam ‘Afif al-Din al-Yafi‘i al-Syafi‘i dalam (روض الرياحين).
9.      Al-‘Allamah Ibn al-Haj al-Maliki dalam al-Madkhal.
10.  Al-Qadhi Ibnu al-‘Arabi al-Maliki dalam kitabnya (قانون التأويل).
11.  Imam Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari (w. 709H) dalam kitab Lata’if al-Minan.
12.  Al-Qadhi Syaraf al-Din al-Barizi dalam (توثيق عرى الإيمان).
13.  Imam Tajuddin al-Subki.
14.  Imam al-Qurtubi dalam (التذكرة في أحوال الموتى وأمور الآخرة).
15.  Al-‘Allamah Ibn Battal al-Maliki
16.  Al-‘Allamah Ibn al-Tin
17.  Imam ‘Izz al-Din ibn ‘Abd al-Salam dalam al-Qawa'id al-Kubra.
18.  Al-‘Allamah Mulla ‘Ali al-Qari dalam Syarh al-Syama'il.
19.  Al-Qadhi Ibn al-Munayyir.
20.  Imam Ibn Daqiq al-‘Id.
21.  Imam ‘Abd al-Wahhab al-Sya‘rani dalam beberapa kitabnya.
22.  Imam Ibn Hajar al-Haytami al-Makki dalam al-Fatawa al-Hadithiyyah.
23.  Al-‘Allamah ‘Abd al-Ra’uf al-Munawi dalam Faydh al-Qadir.
24.  Syeikh ‘Abdul Qadir bin ‘Abdullah al-‘Idrus (w. 1038H) dalam kitabnya al-Nurus Safir ‘an Akhbaril Qarnil ‘Asyir.
25.  Imam Abu al-‘Abbas al-Qurtubi dalam al-Mufhim.
26.  Imam al-Qastallani dalam al-Mawahib al-Laduniyyah.
27.  Imam al-Baqillani.
28.  Al-‘Allamah Sadruddin al-Qunawi dalam Syarh al-Arba‘in.
29.  Al-‘Allamah Burhanuddin al-Biqa’i dalam al-Hawi.
30.  Al-Qadhi ‘Iyadh al-Maliki.
31.  Al-‘Allamah al-Maziri.
32.  Al-‘Allamah Nuruddin al-Iji.
33.  Al-‘Allamah ‘Abd al-Ghani al-Nabulsi dalam Syarh Salawat al-Jaylani.
34.  Syeikh Ahmad ibn ‘Ajibah al-Hasani (w. 1224H) dalam al-Futuhat al-Ilahiyyah.
35.  Al-‘Allamah Syeikh Ibn ‘Allan al-Siddiqi.
36.  Al-‘Allamah Najmuddin al-Ghazi dalam kitabnya al-Kawakib al-Sa’irah.
37.  Imam Syah Waliy Allah al-Dihlawi dalam al-Durr al-Thamin.
38.  Al-‘Allamah al-Alusi dalam tafsir Ruh al-Ma'ani.
39.  Sayyid ‘Abdul Rahman al-‘Idrus dalam kitab Syarh Salawat al-Badawi.
40.  Syeikh ‘Ali al-Ajhuri al-Maliki dalam al-Nur al-Wahhaj.
41.  Syeikh Muhammad al-Khalili dalam al-Fatawa.
42.  Syeikh ‘Abdullah Sirajuddin al-Halabi dalam al-Solat 'ala al-Nabiy.
43.  Al-‘Allamah Syeikh Yusuf al-Nabhani dalam Sa‘adah al-Darayn, Syawahidul Haq dan Jami‘ Karamatil Auliya’.
44.  Syeikh Badi‘ al-Zaman Sa‘id al-Nursi.
45.  Syeikh Ibrahim al-Bajuri dalam Syarh al-Syama’il.
46.  Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf.
47.  Syeikh Abu al-Qasim Muhammad al-Hafnawi dalam Ta'rif al-Khalaf.
48.  Al-‘Allamah Dr. ‘Abdul Halim Mahmud, Syeikhul Azhar.
49.  Al-‘Allamah Sayyid ‘Abdullah al-Siddiq al-Ghumari dalam kitabnya Fadha’ilun Nabi SAW.
50.  Al-‘Allamah Dr.  Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki dalamal-Zakha’ir al-Muhammadiyyah. 
51.  Al-‘Allamah Dr. Muhammad Sa‘id Ramadan al-Buti.
52.  Al-Allamah Dr. ‘Ali Jum‘ah, Mufti Mesir dalam al-Bayan.
53.  Dr. ‘Umar ‘Abdullah Kamil,
54.  Dr. Mahmud al-Zayn.
55.  Datuk Seri Maharaja Awang Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz, Mufti Brunei.

Dan ramai lagi jika diperincikan secara detil.

2. Kekeliruan:
Iktikad seperti ini membuka pintu kefasadan yang besar dan seterusnya membawa kecelaruan dalam amalan agama. Ini kerana, seseorang yang telah berjumpa Nabi s.a.w. seterusnya akan mendakwa ajaran-ajaran tambahan yang diberikan oleh baginda s.a.w. kepadanya.

Jawapan:
Belum ada orang mukmin soleh yang telah berjumpa Nabi s.a.w. mendakwa membawa ajaran-ajaran tambahan yang diberikan oleh baginda s.a.w. kepadanya, dalam erti kata, ajaran-ajaran tambahan yang tidak ada asalnya dalam al-Quran mahupun hadis. Kesemua yang dinyatakan sekiranya betul, hanyalah berbentuk petunjuk dan nasihatyang tidak lari dari ruang lingkup syarak, atau mempunyai asalnya daripada al-Quran dan hadis.

Kata al-‘Allamah al-Muhaddith Syeikh Muhammad al-Hafiz al-Tijani (w. 1398H):

“Kami tidak beriktikad bahawa di sana - selepas Rasulullah SAW - terdapat suatu syariat baru dalam apa jua bentuk sekalipun. Dan apa yang dibawa oleh baginda SAW mustahil untuk dimansuh sebahagian daripadanya, atau ditambah sesuatu terhadapnya. Sesiapa yang mendakwa sedemikian, maka dia adalah kafir terkeluar daripada agama Islam.

Sesungguhnya kami, meskipun kami berpendapat harus seorang wali itu melihat Rasulullah SAW dalam keadaan jaga, tetapi kami menganggap hukumnya adalah sama seperti hukum mimpi tidur yang benar. Tidak dapat dipegang kecuali atas apa yang menepati syariatnya SAW. Penyaksian-penyaksian para wali itu bukanlah suatu hujah, tetapi yang menjadi hujah adalah syariat Muhammad SAW. Adapun  penyaksian-penyaksian tersebut, hanyalah berita-berita gembira (busyra) yang terikat dengan syariat baginda yang mulia; apa yang diterima olehnya kami juga menerimanya dan apa yang tidak diterima olehnya, maka mazhab kami adalah bersangka baik padanya. Maka kami hukumkannya seperti hukum mimpi yang tertakwil.

Kita tidak ragu lagi bahawa kebanyakan mimpi itu perlu kepada takwil/tafsir. Namun, kami memilih bersangka baik kerana seorang mukmin yang bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad itu adalah utusan Allah SWT, dan ia sayang terhadap agamanya, serta patuh mengikutinya, kami menolak bahawa ia sengaja berdusta ke atas Rasulullah SAW. Keadaan berjaga dalam perkara ini adalah sama seperti keadaan tidur, sedang dia membaca sabdaan baginda SAW: “Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka hendaklah dia menempah tempat duduknya daripada api neraka”. – tamat kata-kata Syeikh Muhammad al-Hafiz al-Tijani

3. Kekeliruan:
Dengan itu, segala hadis yang telah dikumpul oleh para ulamak yang menjadi tonggak sandaran hukum dan panduan bagi umat Islam sepanjang zaman sudah tidak lagi diperlukan. Ini kerana sudah ada sumber hadis lain yang lebih dekat kepada baginda. 

Jawapan:
Kekeliruan ini hanya pendapat akal dan khayalan semata-mata yang tidak berpijak kepada realiti yang berlaku dalam dunia kerohanian ahli-ahli sufi yang hak. Tiada siapa dari kalangan wali-wali Allah Taala dan orang-orang soleh ini mengatakan segala hadis yang telah dikumpul oleh para ulama yang menjadi tonggak sandaran hukum dan panduan bagi umat Islam sepanjang zaman sudah tidak lagi diperlukan kerana sudah ada sumber hadis lain yang lebih dekat kepada baginda. Pada saya, kekeliruan kerana berkhayal ini disebabkan kerana tidak cukup menelaah, membaca dan memahami.

4. Kekeliruan:
Setelah situasi ini wujud maka banyaklah amalan-amalan yang boleh ditambah dan diwujudkan berdasarkan arahan langsung daripada Rasulullah kepada guru atau orang yang mencapai darjat menemui Rasul s.a.w.

Jawapan:
Sudah ratusan tahun isu bertemu secara sedar (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. ini dibincangkan oleh para ulama. Namun, hakikatnya tiada langsung akidah baru atau hukum-hakam baru yang didakwa oleh orang-orang soleh dan wali-wali Allah Taala yang pernah bertemu dengan Rasulullah s.a.w. Kebanyakannya jika betul adalah berkaitan zikir, doa dan selawat. Dan kesemua itu pula tidak terkeluar dari dalil-dalil dan perintah-perintah syarak yang umum mengenainya. Bahkan menurut ramai ulama, masalah-masalah yang khusus berkaitan zikir dan doa ini pintu perbahasannya adalah lebih luas, tidak sepertimana amalan-amalan ibadah lain, selamamana ia tidak melanggar batas-batas syarak. Jika benar ada penerimaan sesuatu secara yaqazah, maka hukumnya adalah seumpama hukum apa yang diperolehi daripada kasyaf, ilham dan mimpi yang benar. Mesti ditimbang dengan neraca syarak.

Cuba perhatikan kata-kata Syeikh Muhammad al-Hafiz al-Tijani tadi:

“Meskipun kami berpendapat harus seorang wali itu melihat Rasulullah SAW dalam keadaan jaga, tetapi kami menganggap hukumnya adalah sama seperti hukum mimpi tidur yang benar. Tidak dapat dipegangkecuali atas apa yang menepati syariatnya SAW”.

5. Kekeliruan:
Hadis adalah tonggak kedua agama Islam, apabila tonggak ini telah berjaya dicerobohi, maka panduan umat Islam akan menjadi goyah dan berkecamuk. Percaya bahawa seseorang boleh menerima taklimat terus dari Nabi s.a.w akan memusnahkan salah satu rujukan penting umat Islam yang diberitahu sendiri oleh Rasulullah s.a.w iaitu, kitabullah dan sunahnya.

Jawapan:
Percaya bahawa seorang wali atau orang soleh boleh menerima taklimat terus dari Nabi s.a.w tidak akan memusnahkan institusi hadis yang sudah sedia ada. Jika benar mereka bertemu secara sedar (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w., maka adalah amat MUSTAHIL baginda s.a.w. akan menyuruh kepada perkara-perkara yang akan memansuhkan atau merosakkan syariatnya sendiri. Tidak dapat diterima dek akal bahawa Nabi s.a.w. akan mengkucar-kacirkan syariat yang telah dibangunkan dengan titik peluh dan darah dagingnya sendiri.

Apa yang dikhayalkan itu tidak akan berlaku selama-lamanya kerana para wali atau orang-orang soleh tersebut adalah golongan yang amat takut kepada Allah SWT, sangat cinta kepada baginda Nabi s.a.w., terlalu sayang dengan syariat baginda s.a.w., dan begitu kasih kepada umat baginda s.a.w. Apakah dapat diterima akal, mereka ini berusaha untuk merosakkan syariat baginda s.a.w.dan menyesatkan umatnya?? Seolah-olah mereka tidak pernah dengar hadis baginda Nabi s.a.w.: “Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka hendaklah dia menempah tempat duduknya daripada api neraka”.

Jangan terlalu berprasangka buruk kepada ahli-ahli sufi seolah-olah mereka semua orang yang bodoh, tidak mengerti syariat dan akan menerima secara membuta tuli siapa saja yang mendakwa bertemu dengan Nabi s.a.w., walaupun dari orang yang jahil. Jika ada ahli sufi yang menyeleweng, maka sandarkan kesalahan itu kepadanya sahaja, bukan kepada semua golongan ahli sufi.

6. Kekeliruan:
Para ulamak silam antaranya Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud Ahmad dan ramai lagi, berjuang hingga berjaya menjadikan sumber rujukan Islam kedua ini terpelihara dari dicampur adukkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Jika ada orang yang mengaku menerima taklimat dari baginda tetapi tidak disandarkan kepada sumber yang telah dikumpulkan oleh ulamak silam maka dakwaan itu dianggap salah dan pembohongan.

Jawapan:
Rangkap akhir di atas dapat difahami sebaliknya begini; Jika ada orang yang mengaku menerima taklimat dari baginda dan disandarkan kepada sumber yang telah dikumpulkan oleh ulamak silam maka dakwaan itu dianggap benar. Alhamdulillah, ada sedikit kemuafakatan.

Cubalah belek contohnya, kitab al-Durr al-Thamin fi Mubasysyarat al-Nabi al-Amin SAW susunan Imam al-Mujaddid Syah Wali Allah al-Dihlawi yang menghimpunkan 40 peristiwa bertemu Rasulullah s.a.w. secara mimpi dan jaga. Perhati dan fahamkan, apakah ada yang tidak bersandarkan kepada syariat baginda s.a.w.?

7. Kekeliruan:
Sebarang ajaran sufi yang percaya dengan asas ini perlu dibendung kerana akan membawa kemusnahan kepada masyarakat Islam dan menjauhkan mereka dari ajaran Nabi s.a.w yang walaupun dari sudut penampilan mereka mengajak kepada ibadat dan berbuat baik.

Jawapan:
Menurut pengetahuan saya setakat ini, tidak ada satu pun tariqat sufi muktabar di dunia pada hari ini yang menolak keharusan bertemu secara sedar/jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. Apakah seluruh tariqat-tariqat sufi ini dengan puluhan juta pemgamalnya perlu dibendung dan dibanteras...? Apakah kemusnahan benar-benar berlaku kepada masyarakat Islam dan mereka telah jauh dari ajaran Nabi s.a.w. disebabkan seluruh tariqat sufi di dunia pada hari ini menyatakan – sesudah sekian lama - seorang soleh harus bertemu secara sedar/jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. ??

Tidak ada orang waras yang mengatakan demikian. Bahkan ramai dari kalangan alim ulama tariqat-tariqat sufi ini adalah pemelihara-pemilhara sunnah baginda s.a.w. baik sunnah yang zahir mahupun sunnah yang batin. Berapa banyak rahmat dan manfaat rohani yang tersebar di seluruh dunia sama ada kita sedari ataupun tidak, disebabkan usaha-usaha mereka.

Memang seluruh tariqat sufi di dunia pada hari ini menyatakan harus bertemu secara sedar/jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w., namun realitinya perkara tersebut tidak selalu berlaku pun kerana ia adalah suatukaramah yang dianugerahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang dikehendaki sahaja. Bahkan dalam tempoh 100 tahun, barangkali hanya beberapa orang sahaja yang boleh dibilang dengan jari mendakwa demikian, atau dikatakan mengalaminya. Jika peribadi dan latar belakangnya bertunjangkan syariat, maka baru boleh diterima dakwaan itu. Jika sebaliknya, maka dakwaan tersebut adalah wajib ditolak.

Perlu juga dilihat bagaimana cara mereka dapat mencapai peringkat kerohanian yang tinggi itu; Apakah zikirnya 100,000 setiap hari, atau selawatnya 50,000 setiap hari, atau tahajjudnya 500 rakaat setiap hari? Atau apakah hanya sekadar berjanggut, berjubah dan berserban besar saja, tetapi amalannya ‘kosong’?? Kata al-‘Allamah Ibn Al-Haj dalam kitab al-Madkhal (3/194): 

“Sebahagian orang mendakwa melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah, sedangkan ia merupakan satu perbahasan yang sempit (sukar) untuk diperbahaskan.  Amat sedikitlah dari kalangan mereka yang mengalaminya, kecuali terhadap mereka yang amat mulia di zaman ini. Walau bagaimanapun, kami tidak mengingkari sesiapa yang mengaku pernah mengalaminya, dari kalangan orang-orang yang mulia yang dipelihara oleh Allah s.w.t. zahir dan batin mereka.”

Wallahu a’lam.


Rujukan Tambahan:

- Melihat Nabi s.a.w. Secara Yaqazah: Satu Jawapan oleh Raja Ahmad Mukhlis:
- Rawd al-Rayyahin, http://cb.rayaheen.net
- Multaqa al-Nukhbah, http://www.nokhbah.net
- Masalah Berjumpa Rasulullah Ketika Jaga Selepas Wafatnya(terjemahan) oleh Husain Hasan Toma‘i.
- Sa‘adah al-Darayn oleh al-‘Allamah Syeikh Yusuf al-Nabhani.
- Fatwa Mufti Brunei, download :   yaqazah-fatwa-mufti-brunei.
- al-Muqizah fi Ru’yah al-Rasul SAW fil Yaqazah oleh Syeikh Hisyam bin 'Abd al-Karim al-Alusi, download: http://www.almijhar.org/book/almokza.pdf

Sumber : http://sawanih.blogspot.com/2012/07/blog-post.html