CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Ahad, 15 April 2012

Bolehkah Menghadiri Upacara Pengebumian Mayat Orang Bukan Islam ? Bab Akhir



BOLEHKAH MENGHADIRI UPACARA PENGEBUMIAN MAYAT ORANG BUKAN ISLAM ?
(Bilangan 118 Bahagian Akhir)  


Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

MEMASUKI GEREJA
Gereja ialah sebuah bangunan tempat beribadat penganut Kristian. Gereja disebut pelbagai nama mengikut saiz dan penggunaannya. Jikalau gereja kecil dan penggunaannya dikhaskan ia disebut chapel. Tetapi terdapat juga istilah umum yang digunakan untuk gereja iaitu disebut churchAbbey pada asalnya bermakna asrama paderi-paderi tetapi kini telah diperluaskan penggunaannya hingga lebih membawa erti gereja besar. Biasanya bahagian utama gereja berbentuk salib. Gerbang gereja pada mulanya berbentuk bulat, tetapi kemudiannya tirus ke atas bagi melambangkan keteguhan dan keagungan. 
(Ensiklopedia Malaysiana: 5/109-110)

Jika berlaku kematian, biasanya mayat orang kafir (Kristian) dibawa ke dalam gereja bagi menjalankan upacara khas keagamaan dan ia adalah menjadi salah satu syi‘ar atau tanda khusus bagi agama mereka. Cara seperti ini tidak ada di dalam Islam dan bagi orang Islam sendiri tidak dibenarkan turut bersama mengikuti atau menyertai acara keagamaan mereka itu.
Menurut sesetengah kitab yang menghuraikan hukum-hukum yang berkaitan dengan orang kafir zimmi ada menyebutkan bahawa gereja-gereja mereka itu adalah tempat-tempat laknat, kemarahan dan kemurkaan turun kepada mereka di dalamnya sebagaimana dikatakan oleh sebahagaian sahabat: “Jauhi oleh kamu akan orang-orang Yahudi dan Nashrani di hari-hari kebesaran mereka kerana kemurkaan turun kepada mereka pada hari-hari itu”. Selain daripada itu, gereja itu termasuk di antara rumah (tempat) musuh-musuh Allah, rumah musuhNya pula adalah tidak layak dijadikan tempat beribadat kepadaNya. (Ibn Qayyim Al-Jauziah, Ahklam Ahl Zimmah, 3:1230-1231)
Apabila demikian halnya gereja itu, maka tidak elok bagi seseorang Muslim memasukinya tanpa sebab-sebab tertentu, sebagaimana dicatatkan dalam sejarah pembukaan Bait Al-Muqaddas bahawa Sayyidina Umar Radhiallahu ‘anhu pernah memasuki gereja Al-Qummamah (Al-Qiyamah) dan sempat duduk di dalamnya dan apabila tiba waktu sembahyang beliau keluar. Tindakan Sayyidina Umar ini lebih banyak bermotifkan politik Islamiyah yang pada masa itu di mana agama Islam baru mula bertapak di kawasan Bait Al-Muqaddas dan Umar sendiri memasukinya bukan kerana sukakan atau cenderung kepada gereja atau ajaran mereka. (Muhammad Redha, Al-Faruq: Umar bin Al-Khattab: 208)

SYARAT-SYARAT MEMASUKI GEREJA
Menurut ulama Syafi‘e hukum memasuki gereja itu dibolehkan dengan beberapa syarat. Antara syarat-syarat itu ada kebenaran daripada pihak gereja dan di dalam gereja itu pula tidak terdapat gambar atau patung-patung yang dimuliakan seperti gambar atau patung yang disangkakan orang Nashrani sebagai gambar atau patung Nabi Isa‘Alaihishshalatu wasallam, atau Sayyidatina Maryam dan lain-lain.
Jika syarat-syarat ini tidak terpenuhi, maka tidak harus memasukinya (haram) masuk gereja disebabkan ada gambar-gambar atau patung yang dihormati oleh mereka yang diletakkan dalam gereja itu.
Dalam hal ini Ibnu Hajar dan Imam Ali Al-Syibramalisi Rahimahullah menyebutkan bahawa tidak harus memasuki gereja kecuali dengan ada izin kebenaran daripada mereka dan di dalamnya tidak terdapat gambar-gambar yang dimuliakan. (Tuhfah Al-Muhtaj: 9/295 & Hasyiah Nihayah Al-Muhtaj: 8/99)
Termasuk juga syarat itu hendaklah masuknya itu tidak membawa kesan cenderung atau mengiktiraf kepada ajaran gereja atau akan membawa dia mempersendakan Islam bersama-sama orang kafir sehingga boleh merosakkan aqidahnya. (Fatwa Abdul Halim Mahmud: 198)
Berasaskan kepada huraian di atas, adalah dibolehkan mengikuti serta menyertai jenazah orang kafir dari tempat kediaman asalnya sehingga sampai ke tempat pengkebumiaannya, termasuk ke gereja yang sunyi daripada gambar-gambar dan patung yang disebutkan.
Walau bagaimanapun perlu diingat bahawa orang Islam adalah haram menghadiri atau menyertai mana-mana acara peribadatan atau acara khas keagamaan agama yang lain, sama ada ia dilakukan di gereja, di kuil, rumah atau di mana-mana tempat sekalipun.
Dengan demikian perkara orang Islam datang ke gereja untuk hanya sekadar memberi takziah dan simpati kepada keluarga terdekat atau teman rapat adalah harus, iaitu selama tidak menyertai acara khusus keagamaan mereka dan di tempat itu tidak ada gambar-gambar atau patung yang mereka muliakan.

Sumber : 

1. http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2001/ip_menu1.htm

2.  http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2001/ic65_2001.htm
  
   

Bolehkah Menghadiri Upacara Pengebumian Mayat Orang Bukan Islam ? Bab 1



BOLEHKAH MENGHADIRI UPACARA PENGEBUMIAN MAYAT ORANG BUKAN ISLAM ?
(Bilangan 118 Bahagian Pertama)  


Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah



Agama Islam sangat tegas dan keras dalam soal mempertahankan akidah Islamiyah, namun ia juga amat berlembut dan toleran dalam perkara-perkara tertentu seperti soal sosial dan kemasyarakatan yang melibatkan bagaimana mengatur di antara orang Islam dengan orang yang bukan Islam selama mana hubungan itu tidak menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal, lebih-lebih lagi tidak ada yang boleh menjejaskan atau merosakkan akidah orang Islam.

Berbuat baik dan berlaku adil kepada semua orang adalah salah satu prinsip Islam. Kerana Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam itu diutus oleh Allah Ta‘ala bagi seluruh alam sebagai rahmat dan nikmat yang besar. Sesiapa yang beriman dan menurut syari‘at Islam yang disampaikannya, selamatlah dia, dan sesiapa yang kufur ingkar, celakalah dia di dunia dan di akhirat, sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Dan tiadalah kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”.
(Surah Al-Anbiya': 107)



Begitu juga berbuat baik kepada orang yang bukan Islam tidak dilarang oleh Islam. Hal ini telah dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu daripada kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”.
(Surah Al-Mumtahinah: 8)



Islam juga tidak melarang bermu‘amalah seperti berjual beli, saling berkunjung, menghormati mereka sebagai individudalam batas pergaulan dan hubungan mengikut sukatan mujamalah asalkan bukan kerana memenuhi tuntutan acara keagamaan mereka atau lainnya yang bertentangan dengan syara‘.
Pendeknya Islam juga tidak melarang menjalin hubungan silaturahim dengan orang bukan Islam dalam batas yang diizinkan oleh syara‘, apa lagi mereka itu keluarga terdekat seperti ibu bapa, adik, abang dan sebagainya. Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sebuah hadis, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Daripada Asma’ binti Abu Bakar Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata: “Telah datang ibuku kepadaku di masa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sedangkan (ketika itu) dia masih musyrik (belum Islam). Maka aku meminta fatwa kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu aku berkata: “Dia (ibuku) menginginkan sesuatu daripadaku, adakah aku menghubungkan silaturahim kepadanya? Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ya, hubungkanlah silaturahim dengannya”.
(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Dalam hubungan ini jika berlaku kematian di kalangan mereka yang kafir zimmi, bagaimana sikap orang Islam mengenainya?
Perlu diketahui bahawa pada dasarnya apabila berlaku kematian ke atas orang kafir zimmi adalah dituntut supaya mereka tidak menzahirkan penanaman mayat dan kematian mereka secara terang-terangan. (Al-Raudhah: 10/333)

MENGIRINGI MAYAT ORANG KAFIR KE KUBUR
Islam tidak melarang perkara takziah dengan menghadiri atau mengikuti mayat orang kafir ke tempat pengkebumian, jika mayat itu terdiri daripada keluarga terdekat seperti isteri, jiran, teman rapat, maula dan hambanya. Keharusan menghadiri atau mengikuti mayat orang bukan Islam ini berdasarkan riwayat daripada Ali Karramallahu wajhah di mana beliau memberitahu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa saudara Baginda yang sesat (belum menganut Islam) telah mati, lalu Baginda mengarahkan Ali untuk menghadirinya. (Qalyubi wa ‘Umairah: 1/406 & Fath Al-‘Allam: 3/280)
Menurut Kitab Fath Al-‘Allam, jika mayat itu orang lain seperti bukan ahli keluarganya maka hukumnya adalah haram. (Fath Al-‘Allam: 3/280)



ADAB  KETIKA MENZIARAHI MAYAT ORANG KAFIR

 Islam tidak melarang menghadiri pengkebumian mayat orang kafir bahkan memberikan etika dan cara ketika menghadiri mayat tersebut.
Etika dan cara menghadiri mayat orang kafir dicatatkan dalam beberapa riwayat yang ada kaitan mengenainya, di antaranya:
Maksudnya: “Muhammad bin Al-Hassan bin Harun berkata: “Abu Abdullah ditanya: “Dan adakah dia boleh menghadiri mayatnya? “Beliau menjawab: “Ya, boleh sebagaimana yang dilakukan oleh Al-Harith bin Abu Rubai‘ah di mana dia menghadiri mayat ibunya dan dia hanya berada di tepi dan tidak berada di dekat mayat kerana mayat itu dilaknat”.
Dalam sebuah riwayat yang lain:
Maksudnya: “Daripada Abdullah bin Ka‘ab bin Malik daripada bapanya: “Qais bin Syammas datang menemui Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, katanya lagi: “Ibunya kebetulan mati sebagai seorang Kristian dan dia ingin menghadiri mayatnya”, maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadanya: “Naiki kenderaanmu dan berjalanlah di hadapan mayatnya, kerana apabila engkau menunggang dan engkau berada di hadapannya maka engkau tidak dikira bersamanya”.
(Hadis riwayat Ad-Daruqutni: 2/75-76)
Berdasarkan riwayat di atas, keharusan menghadiri dan mengucapkan takziah di dalam majlis yang ada padanya mayat orang kafir hanyalah sekadar menunjukkan simpati saja dan tidak terlalu dekat dengan mayat, manakala ketika membawanya ke tempat pengkebumian pula, maka beradalah di hadapan mayat, bukan di arah belakang.
Simpati (takziah) yang ditunjukkan itu hanya sekadar mujamalah saja dan kehadiran itu pula tidak sekali-kali dikaitkan dengan agama dan akidah. Dengan lain perkataan kehadiran itu bukan kerana mengikut acara keagamaan mereka.
Dengan yang demikian bertakziah dengan menghadiri mayat orang kafir daripada kalangan keluarga atau teman rapat dalam batas-batas yang tidak termasuk dalam acara keagamaan mereka adalah diharuskan.
Bersambung


Khamis, 12 April 2012

Siapakah Para Ulamak Yang Membolehkan Tawassul ?





Soalan :

Terdapat golongan yang ekstrim menghukum syirik ke atas umat Islam yang melakukan tawassul kepada RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam. Adakah perbuatan ini benar dan siapakah di kalangan para A'immah dan Huffaz yang membolehkan tawassul ?

Jawapan :

Al Allamah al Muhaddith al Arif billah, Sayyid Muhammad bin Alawi al Maliki telah membahas perkara tawassul ini dengan panjang lebar di dalam kitab beliau bertajuk Mafahim Yajibu an Tushahhah (lihat Muhiqq At Taqawwul fi Mas'alah at Tawassul dalam Rasa'il Hammah wa Mabahith Qayyimah, ms 397) Kemudian beliau menyenaraikan nama-nama para A'immah dan Huffaz yang membolehkan tawassul antaranya :

1. Al Imam Al Hafiz, Abu AbduLlah al Hakim dalam Al Mustadrak. (Di dalam kitab tersebut, beliau menyebutkan Nabi Adan bertawassul dengan Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam dan mensahihkannya)

2. Al Imam Al Hafiz, Abu Bakar al Baihaqi dalam Dala'il an Nubuwwah (Beliau juga menyebut tentang hadith Nabi Adam bertawassul dengan Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wasallam dan hadith-hadith yang berkaitan dengan tawassul.)

3. Al Imam al Hafiz, Jalal ad Din as Sayuthi dalam Al Khasha'ish al Kubra (Beliau juga menyebut hadith Nabi Adam bertawassul).

4. Al Imam al Hafiz, Abu Al Farj Ibn Al Jauzi dalam Al Wafa (Beliau juga menyebut hadith Nabi Adam bertawassul dan hadith-hadith berkaitan.

5. Al Imam Al Hafiz Al Qadhi Iyadh dalam Asy Syifa' fi at Ta'rif bi Huquq al Mushtofa.

6. Al Imam, Syaikh Nur ad Din al Qari al Ma'ruf bin Mulla Ali Qari dalam Syarhnya kepada kitab Asy Syifa'.

7. Al Allamah Ahmad Syihab ad Din al Khaffaji dalam Nasim ar Riyadh (Kitab syarah kepada Asy Syifa')

8. Al Imam Al Hafiz, Al Qisthillani dalam Al Mawahib al Ladunniyyah (Beliau menyebutnya di awal kitab)

9. Al Allamah Syaikh Muhammad Abd al Baqi az Zarqani dalam Syarh (1/44) nya ke atas Al Mawahib.

10. Al Imam Syaikh al Islam, Abu Zakaria Yahnya An Nawawi dalam Al Idhah (Bab keenam, m.s 498. Lihat juga Al Majmu', 8/272)

11. Al Allamah Ibn Hajar al Haitami dalam Hasyiah (m/s 499) nya atas Al Idhah dan beliau menulis risalah khas tentang tawassul berjudul Al Jauhar al Munazzham.

12. Al Hafiz Syihab ad Din Muhammad bin Muhammad bin Al Jazari ad Dimasyqi Iddah al Husn al Hashin (disebutkan dalam tajuk Kelebihan Doa)

13. Al Allamah al Imam Muhammad bin Ali asy Syaukani dalam Tuhfah az Zakirin (m/s 761)

14. Al Allamah al Imam al Muhaddith Ali bin abd al Kafi as Subki dalam Syifa' as Siqam fi Ziyarah Khair al Anam (lihat Bab Kelapan, m/s 161)

15. Al Hafiz Imad ad Din Ibn Kathir dalam Tafsir al Qur'an al Azhim dalam Tafsir al Quran al Azhim.

16. Al Imam Al Hafiz Ibnu Hajar al Asqolani dalam Fath al Bari (Beliau menyebutkan kisah seorang lelaki yang datang ke kubur RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam dan bertawassul dengan baginda dan mengatakan sanadnya sahih dalam Fath al bari (Lihat 2/495)

17. Al imam Al Mufassir Abu Abdullah al Qurthubi dalam Al Jami' li Ahkam al Quran (lihat 5/265)

18. Asy Syaikh Yusuf Khator Muhammad di dalam kitabnya Al Mausu'ah al Yusufiyyah fi Bayan Adillah ash Shufiyyah, menambah lagi nama-nama para ulama' selain daripada nama-nama di atas yang membolehkan tawassul atau yang menukilkan dalil-dalil daripada para A'immah di dalam kitab-kitab mereka termasuklah. (m/s 122-123)

19. Imam Syafie

20. Imam Ahmad bin Hanbal

21. Imam Malik. Seperti yang disebutkan oleh Al Allamah Ibn Hajar dalam Al Jauhar al Munazhzham dan Al Asqolani dalam Al Mawahib al Laduniyyah, dan As Samhudi dalam Khulashah al Wafa' dan al Qadhi Iyadh dalam asy Syifa' dengan sanad yang sahih dan selain dari mereka pun menyebutkan perkara yang sama.

22. Al Allamah Asy Syihab ar Ramli Asy Syafie.

23. Al Allamah Syaikh Ibn Muflih al Hanbali.

24. Al Allamah Syaikh Ala' ad Din Ali al Mardawi al Hanbali (lihat kitab al Inshaf 2/456)

25. Al Allamah Syaikh Ahmad al Mardawi.

26. Syaikh Yusuf an Nabhani.

27. Al Allamah Syaikh as Samiri (pengarang at Talkhish) (Lihat Kasyf al Qina', 2/29)

28. Syaikh Muhammad al Hamid (lihat Rudud ala Abathil, m/s 25-26)

29. Syaikh Ibn Taimiyyah (lihat Al Fatawa al Kubra, 1/105 dan 140)

30. Syaikh Ibn Al Qayyim al Jauziyyah

Menariknya turut tersenarai adalah nama pengasas Wahhabi iaitu Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab (lihat Fatawa Asy Syaikh Muhammad bin Abd al Wahhab fi Majmu'ah al Mu'allafat, Bahagian Ketiga m.s 68, yang telah disebarkan oleh Universiti al Imam Muhammad bin Su'ud al Islamiyyah pada Minggu As Syaikh Muhammad bin Abd al Wahhab. Adalah sangat pelik sekali golongan yang membolehkan mengadakan Minggu Asy Syaikh Muhammad bin Abd al Wahhab tetapi mengingkari Maulidur Rasul sallaLlahu 'alaihi wasallam !).

Dan Ulamak Wahhabi iaitu Syaikh Muhammad Nashir al Albani (lihat Syarh al Aqidah ath Thohawiyyah, Syaikh Muhammad Nashir al Albani m.s 46)

Ulamak terkini yang membolehkan :

31. Mufti Brunei (rujuk :  http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2001/ic80_2001.htm )

32.  Prof Dr Ali Jum'ah (lihatAl Qawin li Tashbih Ba’dhi al Mafahim)

33.Sheikh Prof. Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti Hafizahulla (lihat Al-Salafiyyah: Marhalah Zamaniyyah Mubarakah La Mazhaba Islami (1996), ms.155, 156).)

34. Sheikh Dr Abdul Malik Abd Rahman al-Sa’di (al-Bid’ah fi al-Mafhum al-Islami al-Daqiq)

35. Prof Dr Wahbah Az Zuhaili (lihat "فتاوى معاصرة" di muka surat 355)

Dan ramai lagi..

Sumber :

1. Muhadir bin Haji Joll, Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama Inilah Jawapannya.., m.s 335-338, Cetakan Pertama 2011, Mawleed Publishing Sdn Bhd, Kuala Lumpur.

2. http://akitiano.blogspot.com/2010/11/pembelaan-terhadap-wahbah-al-zuhayli.html

3. http://drasmadinet.blogspot.com/2009/09/isu-tawassul.html






Rabu, 11 April 2012

Hukum Mengambil Wudhu Dalam Keadaan Berhadas Besar







Oleh : Mufti Brunei

Mengambil Wudhu Dalam Keadaan Berhadas Besar


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Orang yang berhadas kecil diwajibkan mengambil wudhu untuk mengangkat hadasnya itu bagi membolehkannya melaksanakan ibadah-ibadah tertentu seperti sembahyang, tawaf sama ada wajib atau sunat, sujud syukur atau tilawah dan seumpamanya.

Namun tuntutan tersebut tidak hanya pada ibadah yang menjadikan wudhu sebagai syarat sah perlaksanaannya, malahan juga dituntut pada keadaan-keadaan yang lain walaupun tuntutan itu hanya berupa sunat semata-mata seperti ketika sedang marah, membaca alQur’an (bukan dengan memegangnya) atau mendengar al-Qur’an, membaca dan mendengar Hadits, memegang kitab-kitab agama seperti kitab-kitab Tafsir atau Fiqh, membaca atau belajar ilmu ilmu syara‘ dan membacakannya, ketika masuk atau duduk di dalam masjid, ketika hendak tidur dan sebagainya.

Di samping itu disunatkan juga untuk sentiasa mengekalkan wudhu kerana amalan mengekalkan wudhu mendatangkan manfaat yang besar kepada orang yang sentiasa mengamalkannya seperti meluaskan rezekinya, disukai oleh malaikat Hafazhah, menjadi benteng (pendinding) dan juga memelihara dirinya daripada melakukan perkara atau perbuatan maksiat.

Mengekalkan wudhu bagi orang yang berhadas kecil bukanlah suatu perkara yang susah. Mereka boleh saja berwudhu semula jika batal wudhunya atau terus memperbaharui wudhu mereka jika masih dalam keadaan berwudhu bila-bila masa saja yang mereka kehendaki.

Melihat kepada tuntutan dan keutamaan wudhu ke atas orang yang berhadas kecil, apakah orang yang berhadas besar juga dituntut dan boleh melaksanakannya? Bagaimanakah kedudukan mereka dalam hal wudhu ini? Apakah Hukum Bagi Orang Yang Berhadas Besar Mengambil Wudhu? 

Orang yang berhadas besar itu adalah mereka yang berada dalam keadaan berjunub dan perempuan yang dalam keadaan haidh atau nifas. Namun dua keadaaan ini mempunyai kedudukan hukum yang berbeza kerana keadaannya masing-masing. 

 I. Orang yang berjunub mengambil wudhu 

Disunatkan bagi orang yang berjunub yang belum mandi wajib untuk mengambil wudhu apabila hendak tidur, makan dan minum dan juga ketika hendak mengulang semula persetubuhan.

 Diriwayatkan daripada Sayyidatuna ‘A’isyah Radhiallahu ‘anha, beliau menceritakan:

Maksudnya:

 “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila hendak tidur, sedangkan Baginda berada dalam keadaan junub, Baginda membasuh kemaluan Baginda (terlebih dahulu) dan mengambil wudhu (sepertimana wudhu) untuk sembahyang.” 

 (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam riwayat lain pula, Sayyidatuna ‘A’isyah Radhiallahu ‘anha berkata:

Maksudnya:

 “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila dalam keadaan junub lalu Baginda hendak makan atau tidur, Baginda mengambil wudhu sepertimana wudhu Baginda untuk sembahyang.” 

 (Hadits riwayat Muslim)

Kedua hadits di atas adalah dalil mengenai sunat bagi orang yang berjunub untuk mengambil wudhu sebelum tidur atau sebelum makan dan minum.

Manakala dalil mengenai dengan sunat berwudhu sebelum mengulangi semula persetubuhan bagi orang yang berjunub itu adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudriy Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Maksudnya: 

“Apabila salah seorang daripada kamu mendatangi (menyetubuhi) isterinya, kemudian ingin mengulangi lagi, maka (sebaiknya) hendaklah dia mengambil wudhu.” 

 (Hadits riwayat Muslim)

Imam an-Nawawi Rahimahullah menerangkan bahawa hadits- hadits tersebut di atas memberi maksud bahawa orang yang berhadas besar (berjunub) jika dia hendak tidur, makan, minum atau bersetubuh lagi dengan isteri yang telah disetubuhinya atau isterinya yang lain, adalah disunatkan terlebih dahulu mengambil wudhu serta membasuh (membersihkan) kemaluannya (sebelum berwudhu).

 Beliau juga menyebut bahawa para ulama asySyafi‘iyyah berpendapat adalah makruh hukumnya ke atas orang yang berhadas besar (berjunub) untuk tidur, makan, minum dan bersetubuh sebelum berwudhu.

 Hikmah Sunat Berwudhu Ke Atas Orang Yang Junub 

 Terdapat beberapa pendapat ulama mengenai hikmah disunatkan berwudhu ke atas orang yang berjunub jika dia hendak tidur, makan, minum dan bersetubuh. Antaranya:

 Pendapat pertama: 

Untuk meringankan hadas kerana wudhu berperanan untuk mengangkat hadas daripada anggota-anggota wudhu. Demikian juga, ia bermaksud bagi tujuan kebersihan.

 Pendapat kedua: 

Dengan wudhu merangsang seseorang untuk mandi apabila air terkena pada anggota-anggota wudhu.

 Pendapat ketiga: 

Bertujuan agar seseorang itu tidur dalam keadaan suci dari salah satu dua hadas (hadas kecil dan besar) kerana ditakuti dia menemui ajalnya di dalam tidur. 

II. Hukum perempuan yang dalam haidh dan nifas mengambil wudhu 

 Hukum berwudhu bagi perempuan yang dalam haidh atau nifas itu terbahagi kepada dua:

I. Jika darah haidh atau darah nifasnya masih keluar (belum kering),

 tidak disunatkan baginya untuk berwudhu. Ini adalah kerana wudhu tidak memberi apa-apa kesan pada mengangkat hadas perempuan haidh atau nifas yang masih keluar darahnya. Maka tidak sah bersuci daripada hadas ketika darah haidh atau nifas masih keluar.

II. Jika darah haidh atau nifasnya sudah berhenti (kering) tetapi dia belum mandi wajib,

maka disunatkan ke atasnya untuk mengambil wudhu jika dia hendak tidur, makan atau minum. Ini kerana apabila darah haidh atau nifas perempuan tersebut sudah berhenti, maka hukumnya adalah seperti orang yang berjunub; iaitu sunat ke atasnya mengambil wudhu jika dia hendak tidur, makan atau minum kerana ia memberi kesan pada hadasnya (terangkat hadas kecil).

 Berdasarkan penerangan di atas, tiada halangan bagi orang yang berjunub dan juga perempuan yang kering haidhnya tetapi belum mandi wajib untuk mengambil wudhu pada waktu-waktu tertentu sebagaimana yang disebutkan di dalam beberapa hadits.

Sekurang-kurangnya dengan melakukan wudhu dapat meringankan hadas yang ditanggung oleh keduanya sebelum mandi untuk mengangkat hadas.

Sumber : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2010/bill28-2010.pdf

Selasa, 3 April 2012

Kepentingan Penggunaan Akal dan Tradisi Berfikir Dalam Neraca Islam









Oleh : Ustaz Raja Ahmad Mukhlis


Kepentingan Penggunaan Akal dan Tradisi Berfikir dalam Neraca Islam 

Agama Islam adalah sebuah agama yang sangat menekankan kepentingan berfikir dan menggunakan akal secara murni. Ini kerana, Islam adalah agama yang benar dan mempunyai segenap bukti tentang kebenaran ajaran-ajarannya. Oleh yang demikian, antara jalan utama untuk mencapai dan menilai kebenaran Islam adalah penggunaan akal yang jujur dalam mencari kebenaran.

Antara kepentingan penggunaan akal adalah dalam memahami sebahagian sifat-sifat kesempurnaan Allah s.w.t. itu sendiri. 

Maksudnya, kepentingan akal juga mencakupi bidang ketuhanan (ilahiyyat) terutamanya dalam bab-bab konteks sifat-sifat ketuhanan tersebut, dengan batasan-batasan yang digariskan oleh syarak.

Allah s.w.t. menjadikan beberapa contoh penggunaan akal dan hujah logik dalam Al-Qur’an dalam membuktikan kebenaran ajaran aqidah tauhid murni antaranya:- 

 Pertama:

Allah s.w.t. menceritakan tentang Nabi Ibrahim a.s. dengan kaumnya yang kufur. Allah s.w.t. menjelaskan betapa Nabi Ibrahim a.s. menggunakan suatu pendekatan logik dengan menghancurkan semua berhala kaumnya ketika ketiadaan mereka, lalu meninggalkan satu sahaja berhala yang besar yang tidak dihancurkan. Lalu, sebuah kapak digantungkan kepada berhala tersebut. Ketika kaumnya pulang ke kampung tersebut, mereka menyalahkan Nabi Ibrahim a.s. terhadap kehancuran tuhan-tuhan mereka. Lalu, Nabi Ibrahim a.s. menunjukkan kepada berhala besar tersebut. Kaum baginda a.s. mengingkari Nabi Ibrahim a.s. yang menyalahkan berhala besar kerana akal mereka tahu patung berhala tidak mampu bergerak, apatah lagi untuk menghancurkan berhala-berhala lain. Lalu, dengan demikian, mereka terperangkap dengan persoalan, mengapa mereka menyembah berhala yang tidak dapat memberi manfaat dan menolak kemudaratan sama sekali? Namun, mereka tidak mahu menggunakan akal dan tidak mahu berfikir dengan cara yang logik (mengabaikan logik yang sangat mudah) sehingga mereka mengambil tindakan keras ke atas Nabi Ibrahim a.s.. [rujuk Surah Ibrahim: 59-70]

Kedua: 

Allah s.w.t mengambarkan andainya alam ini mempunyai lebih dari dua tuhan, nescaya ianya akan binasa. Ini juga suatu bentuk pendekatan logik yang digunakan oleh Allah s.w.t. dalam bidang aqidah murni Islam. [Rujuk Surah Al-Anbiya: 22 dan rujuk juga Surah Al-Mu’minun: 91]

Penggunaan akal sangat penting dalam mengkaji dan menyingkap rahsia dan kebesaran Allah s.w.t. di sebalik alam ini. Dengan berfikir, seseorang dapat melihat alam sebagai tanda-tanda bagi kewujudan dan kebesaran Allah s.w.t.. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

 Sesungguhnya pada penciptaan langit-langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut dengan membawa apa yang bermanfaat buat manusia dan apa yang Allah turunkan dari langit yang berbentuk air, lalu dengan air itu, Allah menghidupkan bumi sesudah ianya mati (kering) dan Dia sebarkan di bumi akan segala jenis haiwan dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi, sungguh terdapat tanda-tanda (kewujudan, keesaan dan kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berakal (berfikir). 

[Surah Al-Baqarah: 164]

 Bahkan, dengan akal juga, manusia akan merenungi hikmah dan kebijaksaan Allah s.w.t. melalui penciptaan alam di sekeliling mereka. Ini kerana, Allah s.w.t. yang Maha Bijaksana tidak akan menjadikan sesuatu tanpa tujuan kerana setiap perbuatanNya berteraskan kebijaksanaan dan kesempurnaanNya.

 Oleh yang demikian, Allah s.w.t. menggambarkan mereka yang sering menggunakan akal secara murni dan berfikir dengan cara yang betul akan menghayati hakikat ini. Mereka adalah golongan Ulul-Albab yang menghayati keesaan Allah s.w.t. dalam perbuatan-perbuatanNya melalui penciptaanNya. \

Allah s.w.t. berfirman tentang mereka:

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih berganti malam dan siang itu, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal (Ulil Albab). (190) Iaitu, mereka yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring lalu mereka memikirkan juga tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Wahai Tuhan kami. Tiadalah Engkau jadikan (semua) ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksaan api neraka (191)” 

(Surah Ali Imran: 190-191)

Disebabkan penghayatan terhadap hikmah Allah s.w.t. dalam kejadian alam inilah, justeru akal mereka yang cerdik tertumpu untuk menyingkap ruang kesempurnaan Allah s.w.t. melalui penciptaanNya. Lalu, mereka mengkaji setiap pelusuk alam ini bagi menyingkap hikmah tersebut di samping mengambil manfaat daripada alam sekeliling dalam rangka untuk menyempurnakan kehambaan mereka kepada Allah s.w.t..

Penggunaan akal secara murni dan cara berfikir yang benar sentiasa akan membawa kepada renungan yang bermanfaat dan menunjukkan kepada kebenaran yang utama. Oleh sebab itulah, ketika seseorang melihat hakikat alam ini adalah suatu tanda bagi kewujudan Allah s.w.t., maka semakin kuat renungannya kepada alam ini, semakin kuat rasa dalam jiwanya seolah-olah direnungi oleh Tuhan semesta alam.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

Adakah mereka tidak memerhatikan kepada unta, bagaimana ia diciptakan? (17) Dan kepada langit bagaimana ia ditinggikan? (18) Dan kepada gunung, bagaimana ia ditegakkan? (19) Dan kepada bumi, bagaimana ia dihamparkan? (20) 

(Surah Al-Ghasyiah: 17-20)

 Dengan merenung alam ini justeru membawa kepada penghayatan terhadap kasih sayang dan sifat pemurah Allah s.w.t. kepada para hambaNya. 

Allah s.w.t. berfirman lagi yang bermaksud:

 “Dan Dialah Allah yang menundukkan lautan (untukmu) agar kamu dapat memakan daripadanya daging yang segar (ikan), dan kamu melihat bahtera belayar padanya, dan supaya kamu mencari (keuntungan) dari kurnia-Nya, dan supaya kamu bersyukur” 

(Surah An-Nahl: 14)

 Alam ini bagaikan cermin tentang keagungan Allah s.w.t.. Bahkan, kesempurnaan alam ini menjadi cermin kepada hakikat diri sendiri dan seluruh alam ini yang berasal daripada perbuatan-perbuatanNya yang Maha Esa. Lalu, penghayatan yang lahir daripada cara berfikir yang baik adalah suatu penghayatan yang jelas terhadap kebenaran mutlak Allah s.w.t. dalam alam ini. Ia juga menggambarkan tentang perjalanan hidup seseorang yang akan kembali kepada kebenaran mutlak tersebut iaitulah “kita daripada Allah dan akan kembali kepadaNya”.

 Allah s.w.t. berfirman lagi tentang hubung kait fikiran yang baik dengan natijah pemikiran yang baik: 

 Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) diri mereka? Allah tidak menjadikan langit dan bumi serta apa yang terkandung di antara kedua-duanya melainkan dengan (tujuan) yang benar dan waktu yang telah ditetapkan. Sesungguhnya kebanyakan manusia benar-benar tidak ingat akan pertemuan dengan Tuhan mereka” 

(Surah Ar-Rum: 8)

 Apa yang menyebabkan manusia leka daripada pertemuan dengan Tuhan mereka, melainkan kerana tidak mahu menggunakan akal mereka untuk merenungi hakikat diri mereka sendiri yang memang bukan berasal daripada diri mereka, tetapi sebaliknya berasal daripada Tuhan yang Maha Pencipta. Kalaulah mereka mahu berfikir dengan fikiran yang baik, nescaya mereka dapati hakikat diri mereka tidak pernah berasal daripada diri mereka sendiri, sehingga perlu lalai daripada hakikat bahawasanya diri sendiri berasal daripada suatu pihak yang lain, iaitulah Allah s.w.t..

 Al-Qur’an mengkritik golongan yang tidak mahu menggunakan akal atau tidak mahu berfikir dengan fikiran yang baik dan cara yang betul dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

 Sesungguhnya makhluk (binatang) yang paling buruk di sisi Allah adalah orang-orang yang pekak (tidak mahu mendengar seruan kebenaran) dan orang-orang yang tuli lagi tidak berakal (tidak mahu berfikir dengan baik) 

(Surah Al-Anfaal: 22)

 Bahkan,orang-orang yang kufur setelah disampaikan peringatan terhadap kebenaran ajaran tauhid adalah mereka yang tidak mahu berfikir dan tidak mahu menggunakan akal sebaik-baiknya. Sudah pasti, tradisi tidak mahu menggunakan akal ini suatu tradisi yang merugikan kerana ia membawa kepada seribu satu penyelesalan yang tiada nilainya.

 Allah s.w.t. menceritakan tentang ahli neraka yang menyesali kekufuran mereka: Mereka berkata:

Jika kami mendengar (ajaran rasul) dan berfikir, nescaya kami tidak akan tergolong bersama ahli neraka

 (Surah Al-Mulk: 10)

 Imam Al-Qurtubi meriwayatkan tafsiran Saidina Ibn Abbas r.a. tentang pernyataan orang-orang kafir yang tidak berfikir tersebut dengan berkata: “tidak menggunakan akal untuk membuat penilaian yang mendalam (nazhor)” [Tafsir Al-Qurtubi]

Sumber : http://rajamukhlis.blogspot.com/2012/02/kepentingan-penggunaan-akal-dan-tradisi.html

Isnin, 19 Mac 2012

Hukum Menggunakan Perkakas Dapur Orang Bukan Islam Bab Akhir

Oleh : MUFTI BRUNEI


Perihal Berkongsi Menggunakan Perkakas Dapur Dengan Orang Bukan Islam (Bahagian Akhir)

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Ketuhar Gelombang Mikro (Microwave Oven) Digunakan Bersama Orang Bukan Islam 

Mengenai ketuhar gelombang mikro yang berfungsi sebagai alat pemanas makanan, udara panas yang keluar untuk memanaskan makanan itu ia adalah dari udara panas yang suci. Jika sekiranya udara panas berkenaan itu mengandungi udara najis, disebabkan kesan daripada makanan yang dipanaskan sebelumnya itu najis, maka menurut setengah ulama, makanan yang dipanaskan selepasnya itu harus juga dimakan. Hal ini dikiaskan kepada roti yang dimasak dengan bahan najis yang kering dan habuknya terkena pada roti, namun roti itu harus dimakan.

 Perkara ini disebutkan di dalam kitab Fathul-‘Allam:

Ertinya:

“Dan dimaafkan roti yang dibakar dengan (menggunakan bahan bakar) tahi kering; dengan diletakkan sekeping roti di atas tahi kering selepas menyalakan apinya, atau diuli di atas tanah lapang, maka boleh dimakan roti itu dan mencebisnya pada ketika roti itu lembut walaupun terlekat padanya sedikit debu, dan tidak wajib membasuh mulut jika dia hendak bersembahyang dan sembahyangnya tetap sah dengan menanggungnya.” 

Disebutkan lagi di dalam kitab yang sama:

Ertinya:

“Dan jika diletakkan bejana yang mengandungi susu di atas api yang bernajis bagi memanaskan susu itu, lalu berterbangan sesuatu daripadanya ke dalam susu, (sedemikian itu) adalah dimaafkan.” Adapun asap yang sedikit mengikut ‘urf yang timbul daripada makanan yang najis adalah dimaafkan. Demikian juga dimaafkan asap yang timbul daripada kesan makanan yang dimasak (dipanaskan) dengan menggunakan bahan najis seperti tahi lembu yang dikeringkan. Adapun wap yang bukan daripada sebab pemanasan dengan api adalah suci. 

 Perkara ini dijelaskan oleh Imam as-Sayyid al-Bakri Rahimahullahu Ta‘ala:

Ertinya:

“Dan dimaafkan yang sedikit - menurut ‘urf - asap najis, iaitu asap yang naik daripadanya (najis) dengan sebab (dibakar) dengan api, sekalipun (asap yang timbul) daripada kayu gaharu yang diletakkan di atas seumpama (bara) tahi kering.” 

“Dan terkeluar (tidak termasuk) dengan (perkataan) asap najis ialah wapnya, iaitu wap yang naik daripadanya (najis) yang bukan melalui (dipanaskan/dimasak) dengan api, maka wap itu adalah suci. Termasuk dalam kategori ini ialah (seperti) udara yang keluar daripada tandas atau dubur, maka ia adalah suci. Maka jika sekiranya angin itu dipenuhkan dalam satu bekas lalu dibawa dalam sembahyang, maka sembahyang itu tetap sah.” 

Berdasarkan petikan pandangan ulama di atas, jelas bahawa asap yang sedikit yang timbul dari kesan memanaskan benda najis adalah termasuk dalam hukum najis yang dimaafkan. Adapun wap dari najis yang timbul bukan sebab dipanaskan dengan api ianya adalah suci.

Oleh itu, memakai semula ketuhar gelombang mikro untuk memanaskan makanan selepas ia digunakan oleh orang bukan Islam untuk memanaskan makanan yang meragukan kehalalannya atau yang jelas haram adalah harus. Walaupun demikian, sebelum menggunakan ketuhar gelombang tersebut seeloknyalah makanan itu dibalut terlebih.

Berlainan halnya jika ketuhar itu jelas bernajis atau terkena najis, maka hendaklah ketuhar tersebut dibersihkan terlebih dahulu mengikut cara-cara membersihkan najis.

Peti Ais Digunakan Bersama Orang Bukan Islam 

Berkongsi peti ais dengan orang yang bukan Islam tidak menjadi halangan jika makanan atau minuman yang disimpan di dalam peti ais itu yang halal belaka.

Tetapi jika terdapat makanan yang haram yang disimpan di dalamnya, lebih-lebih lagi daging babi, maka ini membawa keraguan yang terang nyata atau syubhah. Ini kerana sekalipun seseorang itu telah mengambil langkah berhati-hati seperti meletak simpanan barang halal di tempat yang paling atas dalam peti ais untuk mengelak dari titisan air daging babi yang disimpan oleh orang bukan Islam, tetapi tidak ada jaminan dari orang yang empunya daging babi untuk mengambil sikap berhatihati dalam menyimpan daging babinya ke dalam peti ais tersebut agar peti ais dan barang-barang lain yang ada di dalam peti ais itu terpelihara dari terkena sentuhan atau lelehan air daging babi itu.

Perlu diingat bahawa apa-apa sahaja yang bersentuhan dengannya dalam keadaan salah satu daripadanya basah, maka benda yang bersentuhan dengannya itu dihukumkan mutanajjis (bernajis).

Oleh itu sekiranya berkongsi peti ais itu dapat dan mampu dielakkan, maka hendaklah ia dielakkan misalnya dengan memiliki peti ais berasingan yang khusus untuk menyimpan makanan orang Islam. Ataupun dengan menerangkan kepada orang yang bukan Islam itu tentang kesan sentuhan daging babi terhadap makanan atau benda-benda lain.

Tetapi ini bukanlah jaminan, memandangkan orang bukan Islam tidak memahami semua ini. Tetapi jika sekiranya tidak dapat dielakkan daripada berkongsi peti ais dengan orang bukan Islam yang menyimpan daging babi di dalamnya, maka makanan orang Islam yang disimpan di dalam peti ais tersebut adalah dibersihkan menurut cara membersihkan bendabenda yang terkena najis mughallazah sebelum ia digunakan demi untuk menjauhi keraguan atau syubhah memakan makanan yang bernajis (mutanajjis). Sebagai kesimpulan, hukum menggunakan perkakas dapur yang pernah digunakan oleh orang bukan Islam untuk memasak atau menghidang bahan-bahan najis adalah makruh.

Makanan yang dipanaskan di dalam ketuhar gelombang yang dikongsi bersama orang bukan Islam adalah harus dimakan. Asap najis jika ada yang timbul melalui pemanasan ketuhar berkenaan adalah dimaafkan. Apabila tidak yakin dan tidak ada bukti perkakas dapur itu terkena najis mughallazhah, maka tidaklah wajib disertu perkakas tersebut sekalipun pada kebiasaannya perkakas tersebut digunakan oleh pengguna bukan Islam untuk bahan-bahan najis.

Bukti dan keyakinan itu hendaklah berdasarkan penglihatan atau pengetahuan sendiri atau perkhabaran orang yang adil lagi dipercayai. Jika yakin perkakas dapur berkenaan terkena najis samada najis mughallazhah, najis mutawassithah ataupun najis mukhaffafah, maka wajiblah dibersihkan perkakas tersebut mengikut cara penyucian sebagaimana yang dikehendaki oleh syara‘.

Sungguhpun demikian, orang-orang Islam adalah dituntut mengambil sikap wara‘ dengan berhati-hati mengguna pakai perkakas-perkakas dapur termasuk peti ais yang dikongsi itu. Sementara langkah lebih selamat adalah tidak menggunakan perkakas-perkakas tersebut kerana semuanya itu dikategori sebagai syubhah atau meragukan. Menjauhi perkara atau benda yang meragukan adalah merupakan tuntutan syara‘.

Sumber : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2012/bil3_bhg2-2012.pdf

Hukum Menggunakan Perkakas Dapur Orang Bukan Islam Bab 1

Oleh : MUFTI BRUNEI


Perihal Berkongsi Menggunakan Perkakas Dapur Dengan Orang Bukan Islam (Bahagian Pertama)

  (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

 Bagi setengah orang Islam, berkongsi menggunakan perkakas dapur dengan orang bukan Islam adakalanya menjadi suatu perkara yang tidak dapat dielak dalam kehidupan mereka sehari-hari terutama di kalangan pelajar Islam yang belajar di luar negeri yang tinggal sebumbung dengan pelajar bukan Islam, mahupun di kalangan pekerja Islam yang berkongsi dapur dengan pekerja bukan Islam atau pelancong-pelancong Islam yang tinggal di apartmen-apartmen di luar negeri.

 Tidak dinafikan adakalanya perkakas tersebut digunakan untuk makanan dan minuman yang tidak halal seperti daging babi atau bahagian lain dari binatang tersebut, daging binatang yang tidak disembelih menurut cara Islam serta cecair yang memabukkan. Benda-benda tersebut merupakan najis di dalam syara‘ dan haram ke atas umat Islam untuk memakan atau meminumnya.

 Pengetahuan kebanyakan orang bukan Islam mengenai makanan haram itu mungkin hanya pada zat yang diharamkan seperti daging babi atau daging yang tidak disembelih menurut cara Islam. Mereka tidak tahu cara membersihkan benda-benda najis atau yang terkena najis. Maka dakwaan atau sangkaan suatu makanan itu tidak mengandungi bahan yang haram atau tidak najis semata-mata sahaja, belum tentu betul. Justeru situasi berkongsi bagi orang-orang Islam yang faham boleh mengundang rasa ragu, khuatir dan kurang selesa kepada mereka.

 Hukum Menggunakan Perkakas Dapur Orang Bukan Islam dan Perkakas Yang Berkemungkinan Terkena Najis 

Setiap individu Islam adalah sangat dituntut untuk sentiasa menitikberatkan kebaikan, kesucian dan kebersihan makanan atau minuman yang hendak dimakan mahupun diminum, bahkan wajib hukumnya untuk memakan makanan yang baik dan halal berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Wahai manusia! Makanlah (makanan) dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik …” (Surah al-Baqarah: 168) 

Secara tidak langsung, tuntutan ini termasuklah menjaga kesucian dan kebersihan perkakas yang digunakan di dalam penyediaan sesuatu makanan atau minuman. Pada hakikatnya, perkakas atau alat-alat dapur orang bukan Islam adalah termasuk perkara-perkara syubhah (yang diragukan kesuciannya). Risiko terdedah atau terkena najis adalah sangat besar.

Setiap yang meragukan wajar dijauhi sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Abu al-Haura as-Sa‘adi, daripada Hasan bin Ali Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya:

“Tinggalkan apa-apa yang meragukanmu kepada apa-apa yang tidak meragukanmu.” 

(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Meninggalkan perkara yang diragukan dan mengambil yang tidak meragukan adalah jalan yang paling selamat, selama mana ada jalan untuk mendapatkan yang tidak diragukan itu. Bertolak dari keadaan yang meragukan inilah para ulama fiqh menetapkan hukum bahawa minum atau makan pada bejana atau bekas makanan dan minuman orang bukan Islam yang sudah pernah digunakan oleh mereka secara umumnya adalah makruh.

Di dalam kitab Hawasyi asy-Syarwani jelas disebutkan:

Ertinya:

 “Makruh menggunakan bejana (perkakas) orang-orang kafir, dan apa yang mereka pakai, dan (manakala) apa yang di bawah-bawah (pakaian dalam) mereka iaitu apa yang langsung menutupi (mengenai) kulit adalah lebih-lebih lagi (makruhnya). Dan (manakala) bejana (perkakas) air mereka itu adalah lebih ringan (makruhnya).” 

Demikian juga, makruh hukumnya menggunakan setiap sesuatu yang berkemungkinan besar terkena najis dan setiap yang diyakini terkena najis sebagaimana dijelaskan oleh As-Sayyid al-‘Allamah ‘Abdullah bin ‘Umar bin Abu Bakar bin Yahya Rahimahullahu Ta‘ala di dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin:

Ertinya:

 “Ya, adalah makruh menggunakan setiap apa (benda) yang berkemungkinan besar terkena najis dan (makruh menggunakan) setiap apa (benda) yang kita telah yakini terkena najis sekalipun najis mughallazhah (khinzir dan anjing), kemudian ia (benda) itu berkemungkinan telah suci, sekalipun kemungkinan (ia suci) itu jauh.” 

 Adakah Perlu Disertu Perkakas Dapur Orang Bukan Islam dan Perkakas Yang Berkemungkinan Terkena Najis Mughallazhah? 

Pada dasarnya menyertu (membasuh dengan air bersih sebanyak tujuh kali yang salah satunya dengan air bercampur tanah) perkakas dapur tersebut tidaklah wajib, selama tidak ada bukti yang meyakinkan bahawa perkakas tersebut pernah terkena najis mughallazhah.

 Perkakas tersebut juga tidak wajib dibersihkan mengikut cara penyucian yang ditetapkan dalam hukum syara‘ selama tidak ada keyakinan ia pernah terkena najis mutawassithah atau mukhaffafah. 

 Menurut hukum syara‘, sesuatu itu pada asalnya adalah suci melainkan apabila diyakini ia terkena atau bercampur najis maka ia dihukumkan najis atau bernajis, contohnya pada perkakas-perkakas dapur seperti piring, mangkuk, gelas, kuali, ketuhar gelombang mikro (microwave oven), peti ais dan seumpamanya. Semua perkakas tersebut adalah suci pada asalnya.

Maka ia tetap dihukumkan suci melainkan ada sebab iaitu seperti kita yakin perkakas-perkakas itu telah terkena najis. Umpamanya kita dapat tahu bahawa ketuhar gelombang mikro atau peti ais itu ada disimpan atau pernah disimpan daging babi di dalamnya, atau masih ada darah yang melekat padanya. Jika ini berlaku, maka ia dihukumkan tidak suci (bernajis) kerana ada keyakinan tentang kenajisannya. Untuk menentukan sesuatu itu najis atau terkena najis hendaklah ianya dipastikan, iaitu ada zat najis atau sifat-sifatnya yang terdiri daripada rasanya, baunya atau warnanya.

Jika telah pasti maka hendaklah dihilangkan semua perkara itu. Jika tiada wujud salah satu daripada perkara-perkara tersebut, atau memadai dengan hilangnya zat, rasa dan bau atau zat, rasa dan warna, maka tempat atau benda itu tetaplah suci yakni kembali kepada hukum asal (suci), kecuali ada sesuatu yang menyebabkan kita yakin tempat atau benda itu bernajis seperti najis hukmi.

Apabila tidak yakin sesuatu tempat atau benda itu terkena najis, terdapat kaedah penting yang boleh dijadikan sandaran iaitu yang dipegang oleh para ulama fiqh apabila membahaskan perkaraperkara najis yang dimaafkan (ma‘fuwun ‘anhu).

Disebutkan di dalam kitab Fathul Mu‘in, karangan Syeikh Zainuddin alMalibariy, anak murid kepada Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullahu Ta‘ala :

Ertinya:

“Sesuatu yang asalnya suci, lalu ada perasangka ia menjadi najis dengan alasan bahawa barang yang seperti itu pada kebiasaannya najis, maka di sini ada dua pendapat yang terkenal dengan:

Pendapat mengikut asal (ia suci) dan pendapat mengikut zahir atau ghalib (kebiasaan).

 Pendapat yang lebih kuat adalah pendapat bahawa barang tersebut suci mengikut kepada yang asal itu lebih diyakini kerana ianya lebih tepat berbanding mengikut kebiasaan yang ia berbeza-beza sesuai dengan keadaan (orang ramai) dan masa. 

Yang demikian itu seperti pakaian pembuat arak, pakaian orang haidh, pakaian anak-anak damit, bejana orang-orang (musyrik) yang menggunakan barang najis sebagai kepercayaan agama, daun yang pada kebiasaannya berjatuhan di tempat najis, air liur anak damit, kain tenun jukh yang terkenal diperbuat daripada lemak babi, keju Syria yang terkenal diperbuat daripada perut besar babi.” Walaupun pada kebiasaannya pengguna bukan Islam menggunakan perkakas-perkakas tersebut dengan bahan-bahan najis, tetapi ini sahaja tidaklah dapat dijadikan bukti atau keyakinan.

Bukti dan keyakinan itu hendaklah berdasarkan penglihatan atau pengetahuan sendiri atau perkhabaran orang yang adil lagi dipercayai bahawa perkakas itu pernah terkena najis. As-Sayyid al-‘Allamah Abdullah bin ‘Umar bin Abu Bakar bin Yahya Rahimahullahu Ta‘ala ada menyebutkan:

Ertinya:

“Setiap benda (suci) yang tidak diyakini mengandungi najis, tetapi benda itu pada kebiasaan jenisnya memang mengandungi najis, seperti pakaian anak-anak kecil, orang-orang jahil daripada kalangan tukang-tukang sembelih binatang dan penganut-penganut agama daripada kalangan orang-orang kafir yang mana di dalam syariat mereka menggunakan najis. Seperti para pemakan daging babi, (maka) menurut pendapat yang paling kuat dari dua pendapat mengenai perkara ini ialah beramal dengan hukum asal (sesuatu itu) iaitu ia (dihukumkan) suci.” 

 bersambung

Sumber :  http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2012/bil3_bhg1-2012.pdf

Jumaat, 16 Mac 2012

Seminar Antarabangsa Bersama Ulamak Ahlus Sunnah Wal Jama'ah Sedunia



Seminar Antarabangsa Manhaj Nabawi

 MASA:

8 April 2012 bersamaan 16 Jamadil awal 1433 Hijrah

 TEMPAT:

Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur

 JAM: 

9.oo Pagi - 4.3o Petang

 Antara Ulamak Antarabangsa yang bakal hadir, Insya Allah  :

 1. Sayyid Ahmad Ibn Sayyid Muhammad Ibn 'Alawi Al-Maliki (Arab Saudi)

 2. Profesor Dr. Usamah Al-Abd (Rektor Universiti Al-Azhar, Mesir)

 3. Profesor Dr. Abdal Hakim Murad (Cambridge University, UK)

 4. Profesor Dr. Farouk Hammada (Maghribi)

 5. Dr. Ahmad Abdul Qadir Al-Rifaei (Lubnan)

 6. Dr. Abd al-Razak Al-Sa’adi (Iraq)

 7. Sayyid Abd al-Mun’im Al-Ghumari (Maghribi)

 8. Shaykh Dr. Isa bin Abdullah Al-Himyari (UAE)

 9. Habib As-Sayyid Ali Bin Abdul Rahman Al-Jufri (Yaman)

 Maklumat lanjut sila layari website Universiti As-Sofa :

 http://www.yayasansofa.com/seminar/index.php

 Untuk Pendaftaran sila klik link di bawah :

 http://www.yayasansofa.com/seminar/index.php?option=com_smartformer&formid=3 

Harap dapat disebarkan kepada ramai lagi umat Islam di luar sana. JazakumuLlahu khairan kathira

Rabu, 14 Mac 2012

BENARKAH IMAM AL-BUKHARI BERAMAL DENGAN HADIS DHAIF?










Oleh : Ustaz Umar Muhammad Noor

Tulisan ini dilihami oleh persoalan yang diajukan kepada saya: adakah Imam Al-Bukhari beramal dengan hadis dhaif? Soalan ini berlaku apabila sekumpulan orang menegaskan bahawa Al-Bukhari melarang (ada yang berkata: mengharamkan) beramal dengan hadis daif. Pendapat seperti ini memang bukan baru, namun dibina di atas andaian yang belum pernah diuji kesahihannya.[1] Saya berminat membahas perkara ini bukan untuk membela atau membantah mana-mana pihak, akan tetapi untuk menjelaskan salah satu metode ulama mutaqaddimin yang seringkali samar sehingga terbuka untuk kesalahfahaman.

Untuk menjawab soalan ini, saya mengajak anda untuk merujuk Sahih Al-Bukhari sendiri sambil menyadari bahawa kitab ini bukan sekedar “kumpulan hadis-hadis sahih” belaka. Jika begitu, sungguh sia-sia Al-Bukhari menghabiskan 16 tahun daripada usianya hanya untuk membuat sebuah kitab yang hanya mengumpulkan hadis-hadis sahih tanpa menjelaskan kandungan hukum dan pengajaran yang terdapat di dalamnya. Siapa yang membaca kitab ini dengan teliti akan melihat bahawa kitab ini sebuah maha karya ilmu hadis yang sangat kaya dengan pelbagai ilmu, terutama fiqh dan ijtihad. Oleh itu, untuk menjawab soalan ini, saya mengajak kita semua melihat sendiri praktik amali beliau dalam berhujah agar jelas bagi kita adakah beliau berhujah dengan hadis dhaif ataukah tidak?

Fiqh Al-Bukhari dan Hadis Muallaq

Para ulama berkata: “ فقه البخاري في تراجمه ” (Fiqah Al-Bukhari terdapat di dalam tajuk-tajuk babnya).[2] Oleh itu, jika kita hendak mengkaji praktik ijtihad Al-Bukhari, maka kita mesti fokuskan pandangan kita kepada tajuk-tajuk bab yang terdapat di dalam kitab ini. 
Dan siapa yang mengkaji tajuk-tajuk ini akan mendapati bahawa hujah fiqh Al-Bukhari sedikitnya terdiri dari dua bentuk hadis: hadis-hadis muallaq yang terdapat di awal bab dan hadis-hadis sahih yang terdapat dalam kandungan bab. Hadis-hadis kategori kedua, yakni yang diletakkan dalam kandungan bab, merupakan hadis-hadis inti yang dijamin kesahihannnya oleh Imam Al-Bukhari, oleh itu terkeluar daripada kajian saya kali ini. Saya hanya akan mengkaji hadis-hadis muallaq yang, menurut Al-Hafiz Ibn Hajar, tidak semuanya sahih, malah terdapat hadis-hadis lemah padanya.[3] 

Apabila mengkaji hadis-hadis muallaq ini, kita mesti sadar bahawa tidak semuanya disebutkan Al-Bukhari sebagai hujah. Sebahagiannya malah disebutkan untuk membantah hujah pihak lain dengan menyebutkan ‘illah yang terdapat di dalam hadis ini. Maka, saya akan mencoba melihat dengan hati-hati setiap hadis muallaq dhaif yang disebutkan Al-Bukhari, lalu memastikan apakah beliau berhujah dengannya ataukah tidak? Untuk mengelak subjektifiti, sekaligus meluruskan pemahaman saya yang lemah, saya selalu merujuk pendapat Ibn Hajar berkenaan setiap hadis yang saya sebutkan. Sebab beliau, menurut saya, merupakan ulama yang paling pakar dalam kajian hadis-hadis muallaq ini.[4]
Temuan

Kajian singkat saya menunjukkan bahawa Al-Bukhari sangat teliti memilih hujah-hujahnya. Sedapat mungkin beliau berhujah hanya dengan hadis-hadis yang sahih, namun begitu beliau tidak menutup pintu untuk beramal dengan hadis daif jika terdapat aspek-aspek eksternal (قرائن خارجية) tertentu yang menyokongnya. Beliau menggunakan hadis-hadis dhaif seperti ini bukan hanya dalam fadail a’mal, bahkan dalam beberapa permasalahan hukum. Namun nisbah hadis-hadis seperti ini sangat sedikit dibandingkan hadis-hadis sahih yang beliau gunakan.
Tulisan ini terlalu sempit untuk menghuraikan semua temuan saya, sebahagiannyapun mungkin terbuka untuk bantahan dan penafsiran lain daripada pihak yang tidak setuju. Oleh itu, saya hanya akan menyebutkan beberapa perkara yang menurut saya sangat jelas dalam membuktikan kesimpulan dan rumusan saya tadi.

1. Al-Bukhari beramal dengan hadis daif apabila kandungan hadis itu disokong oleh pelbagai hadis-hadis lain yang serupa dengannya.

Contohnya ucapan Al-Bukhari dalam kitab Al-Zakat:

وَقَالَ طَاوُس : قَالَ مُعَاذ لِأَهْلِ الْيَمَنِ ائْتُونِى بِعَرْضٍ ثِيَابٍ خَمِيصٍ أَوْ لَبِيسٍ فِى الصَّدَقَةِ ، مَكَانَ الشَّعِيرِ وَالذُّرَةِ أَهْوَنُ عَلَيْكُمْ ، وَخَيْرٌ لأَصْحَابِ النَّبِىِّ صلى الله عليه وسلم بِالْمَدِينَةِ .

Dan berkata Tawus: Berkata Muadz kepada Ahli Yaman: “Berikan kepadaku pakaian yang lebar untuk zakat, sebagai ganti daripada gandum dan jagung, perkara itu lebih ringan untukmu dan lebih baik bagi sahabat-sahabat Nabi Saw di Madinah.”
Hadis ini beliau sebutkan untuk menyokong pendapat beliau berkenaan dengan kebolehan mengambil barang-barang lain selain emas dan perak sebagai zakat. Pendapat ini selari dengan mazhab Hanafi. Berkata Ibn Rusyaid: “Al-Bukhari sepakat dengan Hanafiah dalam masalah ini meski beliau seringkali berbeza pandangan dengan mereka. Dalil yang membawa beliau kepada sikap ini.”[5]

Jika kita kaji, sanad hadis ini sebenarnya munqati (terputus), Tawus bin Kisan tidak berjumpa dengan Muadz bin Jabal.  Berkata Ibn Hajar:

هَذَا التَّعْلِيق صَحِيحُ الْإِسْنَادِ إِلَى طَاوُس ، لَكِنَّ طَاوُسًا لَمْ يَسْمَعْ مِنْ مُعَاذ فَهُوَ مُنْقَطِع ، فَلَا يُغْتَرُّ بِقَوْلِ مَنْ قَالَ ذَكَرَهُ الْبُخَارِيّ بِالتَّعْلِيقِ الْجَازِمِ فَهُوَ صَحِيحٌ عِنْدَهُ لِأَنَّ ذَلِكَ لَا يُفِيدُ إِلَّا الصِّحَّة إِلَى مَنْ عُلِّقَ عَنْهُ ، وَأَمَّا بَاقِي الْإِسْنَادِ فَلَا ، إِلَّا أَنَّ إِيرَادَهُ لَهُ فِي مَعْرِضِ الِاحْتِجَاجِ بِهِ يَقْتَضِي قُوَّتَهُ عِنْدَهُ ، وَكَأَنَّهُ عَضَّدَهُ عِنْدَهُ الْأَحَادِيثُ الَّتِي ذَكَرَهَا فِي الْبَابِ .

Ta’liq ini sahih sanadnya kepada Tawus, akan tetapi Tawus tidak mendengar daripada Muadz, jadi ia munqati. Maka janganlah tertipu dengan ucapan orang yang berkata bahawa Al-Bukhari menyebutnya dengan sighat jazm bermakna hadis ini sahih di sisinya, sebab perkara ini hanya menunjukkan kesahihan hingga kepada orang yang dita’liq (yakni Tawus), adapun baki sanadnya tidak (sahih). Akan tetapi, beliau menyebutkan hadis ini untuk hujah menunjukkan kuatnya hadis ini di sisinya.Mungkin menurut beliau (kandungan) hadis ini disokong oleh hadis-hadis yang beliau sebutkan dalam bab ini.[6]

Sebelumnya, hadis ini juga dihukumkan munqati oleh Imam Al-Syafii, namun beliau menerima kandungannya karena beliau percaya Tawus benar-benar mengetahui perkara ini. Berkata Al-Syafii: “Tawus mengetahui perkara Muadz meskipun beliau tidak berjumpa dengannya karena beliau berjumpa ramai dengan murid-murid Muadz di Yaman setahuku.”[7]

2. Al-Bukhari Beramal dengan hadis dhaif apabila kandungan hadis tersebut bersesuaian dengan amal yang disepakati seluruh ulama.

Berkata Al-Bukhari:

وَيُذْكَر أَنَّ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَضَى بِالدَّيْنِ قَبْل الْوَصِيَّة
Disebutkan bahawa Nabi Saw menetapkan bahawa hutang (mesti dibayar) sebelum wasiat.

Al-Bukhari menyebutkan hadis ini untuk menyokong pendapatnya bahawa membayar hutang orang yang meninggal dunia mesti didahulukan daripada melaksanakan wasiatnya. Meski hadis ini lemah sanadnya, namun beliau berhujah dengannya karena aspek lain yang meliputi hadis ini, iaitu para ulama bersepakat mengamalkan hadis ini.
Berkata Al-Hafiz Ibn Hajar:

هَذَا طَرَف مِنْ حَدِيث أَخْرَجَهُ أَحْمَد وَالتِّرْمِذِيّ وَغَيْرهمَا مِنْ طَرِيق الْحَارِث وَهُوَ الْأَعْوَر عَنْ عَلِيّ بْن أَبِي طَالِب قَالَ : " قَضَى مُحَمَّد صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ الدَّيْن قَبْل الْوَصِيَّة ، وَأَنْتُمْ تَقْرَءُونَ الْوَصِيَّة قَبْل الدَّيْن " لَفْظ أَحْمَد وَهُوَ إِسْنَاد ضَعِيف ، لَكِنْ قَالَ التِّرْمِذِيّ : إِنَّ الْعَمَل عَلَيْهِ عِنْد أَهْل الْعِلْم ، وَكَأَنَّ الْبُخَارِيّ اِعْتَمَدَ عَلَيْهِ لِاعْتِضَادِهِ بِالِاتِّفَاقِ عَلَى مُقْتَضَاهُ ، وَإِلَّا فَلَمْ تَجْرِ عَادَته أَنْ يُورِد الضَّعِيف فِي مَقَام الِاحْتِجَاج بِهِ ، وَقَدْ أَوْرَدَ فِي الْبَاب مَا يُعَضِّدهُ أَيْضًا

Ini adalah sebahagian daripada hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Al-Tirmidzi dan lain-lain, dari jalan Harith Al-A’war, dari Ali bin Abi Talib: “Muhammad Saw telah menetapkan bahawa hutang sebelum wasiat, namun kamu membacanya wasiat sebelum hutang.” Demikian lafaz Ahmad. Ia adalah sanad yang lemah, akan tetapi Al-Tirmidzi berkata bahawa amal berlaku atas hadis ini menurut para ahli ilmu.Seolah-olah Al-Bukhari berpegang dengan hadis ini karena sokongan kesepakatan (ulama) akan isinya. Jika tidak, bukan kebiasaan beliau menyebutkan hadis dhaif dengan tujuan berhujah. Beliau juga menyebutkan di dalam bab ini, perkara-perkara yang menyokongnya.[8]
Menarik ucapan Ibn Hajar bahawa bukan kebiasaan Al-Bukhari  berhujah dengan hadis dhaif, namun beliau kadangkala melakukannya jika memenuhi syarat-syarat tertentu sebagaimana kesimpulan saya di atas. Ini juga menyokong kesimpulan bahawa Al-Bukhari tidak pernah melarang beramal dengan hadis dhaif, malah kadang melakukannya sebagaimana sikap jumhur fuqaha.

3. Al-Bukhari terkadang beramal dengan hadis dhaif apabila kandungannya menjelaskan atau menafsirkan kandungan hadis lain.
Misalnya, berkata Al-Bukhari:

 وَيُذْكَر عَنْ أَبِي حَسَّان عَنْ اِبْن عَبَّاس أَنَّ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَزُور الْبَيْت أَيَّام مِنًى

“Disebutkan daripada Abu Hassan dari Ibn Abbas bahawa Nabi Saw berziarah (maksudnya: melakukan tawaf ziarah/ifadah) pada hari-hari Mina.”

Menurut Al-Hafiz Ibn Hajar, tujuan Al-Bukhari menyebutkan hadis ini adalah untuk menghimpun dua riwayat yang saling bertentangan, yakni riwayat Ibn Umar dan Jabir yang menceritakan bahawa Nabi Saw melakukan tawaf ifadah pada siang hari, dan riwayat Abu Zubeir dari Ibn Abbas bahawa Nabi Saw melakukan tawaf itu pada malam hari. Riwayat Abu Hassan ini menghimpun kedua hadis ini dan menyimpulkan bahawa Nabi Saw melakukan kedua-duanya (tawaf pada siang dan malam hari) sebab baginda tawaf berkali-kali selama mabit di Mina.

Berkata Ibn Hajar: “Maka yang dimaksudkan dalam hadis Jabir dan Ibn Umar adalah hari pertama. Dan hadis Ibn Abbas untuk hari-hari (Mina) yang lain.”[9] Beliau juga berkata: “Terdapat hadis mursal yang menyokong riwayat Abu Hassan ini. Dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah dari Ibn Uyainah: telah memberitahuku Ibn Tawus dari bapanya: bahawa Nabi Saw bertawaf setiap malam.”[10]

Jadi, jelaslah bahawa Al-Bukhari berhujah dengan hadis ini dalam sebuah masalah hukum. Padahal, jika kita perhatikan sanad hadis ini, ianya cukup lemah. Guru-gurunya, seperti Ibn Al-Madini dan Ahmad bin Hanbal, mengingkari hadis ini karena tidak ada yang meriwayatkannya dari Qatadah melainkan Hisyam. Agaknya, pandangan Al-Bukhari tentang hadis ini pun tidak jauh beza dengan kedua gurunya. Berkata Ibn Hajar:[11]

وإنَّما مَرَّضَه البُخاريُّ لِشِدَّةِ غَرابَتِهِ

Al-Bukhari menyebutnya dengan sighat tamrid karena sangat munkarnya.
Pendapat Jumhur

Demikian sedikit temuan yang boleh saya kongsikan pada kali ini, tentu sahaja kajian ini sebenarnya lebih luas daripada ini, karena kesempitan tempat. Boleh disimpulkan bahawa Al-Bukhari tidak melarang, apalagi mengharamkan, beramal dengan hadis dhaif jika kandungannya disokong oleh pelbagai aspek eksternal yang menguatkannya.  Paling tidak, itulah yang dipahami oleh Al-Hafiz Ibn Hajar apabila mensyarahkan hadis-hadis muallaq tersebut di atas.
Pendirian Al-Bukhari ini samasekali tidak merendahkan darjat beliau sebagai ahli hadis yang paling unggul, malah menunjukkan ketinggian darjat beliau dalam hadis dan fiqh sekaligus. Sebab sikap yang beliau tunjukkan ini tidak lain adalah pendapat majoriti ulama dari kalangan ahli hadis dan ahli fiqh dari kalangan ulama tabiin, juga guru-guru Al-Bukhari, rekan-rekannya, dan murid-muridnya,  dan sebahagian besar ulama pada hari ini. 

Kenyataan ini sekaligus menyadarkan kita untuk selalu melihat para ulama secara objektif dan bukan melalui mata subjektifiti yang hanya menginginkan mereka berperilaku selari dengan pemahaman dan kemahuan kita. Semoga Allah memberikan kebijaksanaan kepada kita semua dalam melihat kebenaran. Wallahu a’lam bissawab.



[1] Pendapat sedemikian pernah disebutkan oleh Syeikh Al-Qasimi dalam “Qawaíd Al-Tahdith” hal. 113. Beliau berkata: “Yang zahir, mazhab Al-Bukhari dan Muslim seperti itu (yakni tidak beramal dengan dhaif secara mutlak. Menunjukkan perkara itu adalah syarat Al-Bukhari dalam Sahih-nya …”
[2] Muqaddimah Fath Al-Bari hal.17.
[3] Sila kaji perbahasan panjang lebar tentang perkara ini yang disebutkan Ibn Hajar dalam Muqaddimah Fath Al-Bari, hal.24 dan seterusnya.
[4] Kitab beliau bertajuk Taghliq Al-Ta’liq membuktikan perkara itu. Sejauh pengetahuan saya tidak ada kitab yang membahas hadis-hadis muallaq Sahih Al-Bukhari selengkap kitab ini. 
[5] Fath Al-Bari 3/392.
[6] Ibid 3/393.
[7] Al-Um 2/12.
[8] Fath Al-Bari 5/462.
[9] Fath Al-Bari 3/716.
[10] Ibid. 3/717.
[11] Taghliq Al-Ta’liq


Latarbelakang Ustaz Umar Muhammad Noor : Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A Usuluddin (Tafsir-Hadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan M.A Usuluddin (Hadis) di Unversiti Omm Durman, Sudan. Menimba ilmu hadis di Damaskus Syria, sejak tahun 2002 hingga 2007.

Sumber : http://umarmnoor.blogspot.com/2012/03/al-bukhari-beramal-dengan-hadis-dhaif.html