CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Jumaat, 11 Disember 2009

Anggapan Mereka Bahawa Kebenaran Itu Hanya Ada Pada Golongan Minoriti (Yang Sedikit)

Perhatian : Artikel ini perlu dibaca keseluruhan untuk mendapatkan kefahaman yang lebih jelas di bawah label : Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Selamat)

Dengan berdasarkan pemahaman yang keliru terhadap hadith iftiroqul ummah mereka pun mengatakan bahawa kaum Muslimin yang sebenarnya itu hanyalah mereka sahaja dan populasi mereka itu lebih kurang 1.3 % dari jumlah seluruh kaum Muslimin. Mereka seolah-olah bangga dengan jumlah minoriti kerana memang hasil dari pemahaman mereka terhadap hadith iftiroqul ummah padahal pemahaman yang sebenarnya dari hadith itu tidaklah menatijahkan yang sedemikian. Terhadap pengakuan mereka sebagai kelompok minoriti dan bahawa kebenaran itu selalu bersama yang minoriti merekapun berdalil dengan firman ALlah :

1.
و قليل ما هم = "Dan mereka itu adalah minoriti (golongan yang sedikit)"
(Surah As Shad : 24)

2.
وقليل من عبادي الشكور = "Dan sedikitlah di antara hamba-hambaKu orang yang bersyukur"
(Surah As Saba' : 13)

3. Sementara firman ALlah tentang kelompok majoriti berbunyi :
وما يؤمن أكثرهم با الله إلا وهم مشركون
= "Dan tidaklah kebanyakan (majoriti) di antara mereka itu beriman kepada ALlah kecuali mereka berbuat syirik"
(Surah Yusuf : 106)

Ketahuilah para pembaca yang budiman bahawa sesungguhnya pengertian minoriti (golongan yang sedikit) pada ayat tersebut boleh bermakna umum dan boleh pula bermakna khusus. Apabila bermakna umum maka maksudnya adalah bahawa kaum Msulimin itu memang selalu minoriti dibandingkan dengan orang-orang kafir yang banyak (majoriti).

Sedangkan apabila bermakna khusus maka maksudnya adalah bahawa kaum Muslimin yang betul-betul istiqomah memang minoriti berbanding dengan kaum Muslimin yang tidak istiqomah dan tidak teguh pendirian. Akan tetapi semua mereka adalah Muslim dan bertauhid serta termasuk penghuni syurga dengan izin ALlah subahanahu wa ta'ala. Adapun mengatakan bahawa ayat وما يؤمن أكثرهم با الله إلا وهم مشركون ditujukan kepada umat Islam maka ini jelas telah menyalahi jumhur mufassirin yang berpendapat bahawa ayat tersebut diturunkan berkaitan dengan para penyembah bintang dan berhala serta orang-orang Yahudi dan Nasrani. Membawa ayat tersebut untuk Kaum Muslimin merupakan satu malapetaka yang besar dan pengkafiran terhadap ummat Islam. Benarlah kiranya Ibnu Umar radiyaLlahu 'anhu ketika
berbicara tentang orang-orang yang merobek agama, beliau menyebut mereka sebagai berikut :

إنهم إنطلقوا إلى ايات نزلت فى الكفر فجعلوها على المؤمنين

Ertinya : "Sesungguhnya mereka suka membelokkan ayat-ayat yang sebenarnya turun pada orang-orang kafir lalu mereka menjadikannya untuk orang-orang Mukmin"


Ibnu Umar memandang mereka itu sebagai makhluk ALlah yang buruk (Lihat Sahih Bukhari hadith no 6531)

Al Ustaz Jamil zainu dalam bukunya Manhaj Firqah an Najiah menyebutkan pertanyaan (yang disampaikan kepada dirinya): "Apakah ummat ini terdapat kesyirikan?". Lalu dia menjawab : "Ya". Beliau berdalil dengan firman ALlah : وما يؤمن أكثرهم با الله إلا وهم مشركون . SubhanaLlah ini adalah satu kedustaan yang besar dan penggunaan dalil yang batil serta fasid.

Selasa, 8 Disember 2009

Dalil Solat Sunat Taubat

Penulis : Ustaz Mohd Khafidz

Soalan:

Ada seorang "ustaz" mengatakan bahawa solat sunat taubah tiada dalilnya. Dan taubat dapat dilakukan dengan hanya bertaubat memohon ampun kepada Allah SWT serta menyesal terhadap apa yang dilakukan sahaja tanpa perlu bersolat. Beliau juga mengatakan hadith solat taubat adalah hadith yang direka. Benarkah demikian?

Jawapan:

Ada solat sunat yang bersandarkan kepada hadith-hadith yang sabit (sahih dan hasan), maka ini hukumnya sunat diamalkan, dan ada solat sunat yang bersandarkan kepada hadith-hadith yang tidak sabit (daif dan palsu), maka ini hukumnya tidak harus diamalkan. Adapun solat sunat taubah ianya bersandarkan kepada hadith yang sahih. Dalilnya:

عن أبي بكر رضي الله عنه أنه قال: "سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: " ما من عبد يذنب ذنباً فيُحسِنُ الطهور ثم يقوم فيصلي ركعتين ثم يستغفر الله إلا غفر الله له " ثم قرأ هذه الآية {وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ} آل عمران: الآية 135 . رواه أبو داود (1521) وهو حديث حسن.

Daripada Abu Bakar RA katanya : Aku dengar Rasulullah SAW bersabda: “Tiada seorang hamba itu melakukan suatu dosa, lalu dia mengelokkan bersucinya (berwuduk) kemudian dia berdiri dan bersolat dua rakaat, kemudian dia beristighfar kepada Allah, melainkan Allah akan mengampunkan dosanya”. Kemudian baginda membaca ayat ini: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”.

(Riwayat Abu Dawud - hadith hasan)

عن عبد الله بن بريدة عن أبيه رضي الله عنه قال: أصبح رسول الله يوماً فدعا بلالاً، فقال: "يا بلال بم سبقتني إلى الجنة؟ إني دخلت البارحة الجنة فسمعت خشخشتك أمامي" فقال بلال: "يا رسول الله ما أذنبت قط إلا صليت ركعتين، وما أصابني حدث قط إلا توضأت عندها". وفي رواية : وَرَأَيْتُ أَنَّ لِلَّهِ عَلَيَّ رَكْعَتَيْنِ. فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "بهذا". رواه أحمد والترمذي (3622) وقال: وَفِي ‏ ‏الْبَاب ‏ ‏عَنْ ‏ ‏جَابِرٍ ‏ ‏وَمُعَاذٍ ‏ ‏وَأَنَسٍ ‏ ‏وَأَبِي هُرَيْرَةَ و ‏قَالَ : ‏ ‏هَذَا ‏ ‏حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ غَرِيبٌ.

Daripada ‘Abdullah bin Buraidah daripada bapanya Buraidah RA katanya: Suatu pagi Rasulullah memanggil Bilal dan bertanya: “Wahai Bilal, dengan amalan apa yang menyebabkan engkau mendahuluiku ke syurga? Sesungguhnya semalam aku memasuki syurga lalu aku mendengar bunyi tapak kakimu di hadapanku”. Jawab Bilal: “Wahai Rasulullah, tiadalah aku melakukan suatu dosa melainkan aku akan bersolat dua rakaat, dan tiadalah aku mengalami suatu hadas melainkan aku akan berwuduk kerananya”. Dalam satu riwayat: “…dan aku lihat bahawa wajib ke atasku kerana Allah bersolat dua rakaat”. Maka jawab Rasulullah SAW: ”Dengan amalan inilah”.

(Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, katanya: Hadith hasan sahih gharib)

Berdasarkan dua hadith ini, maka jelaslah bahawa solat sunat taubah itu ada asalnya dan bukan direka-reka. Ada beberapa buku yang disusun oleh ahli ilmu bagi menjelaskan mengenainya, antaranya;

1. (ثلاث صلوات عظيمة مهجورة فاحيها يا عبد الله : صلاة الاستخارة ، ، صلاة التوبة ، صلاة التسبيح والغفران ) oleh 'Adnan 'Ar'ur (1991).
2. (غسل الحوبة في صلاة التوبة ) oleh Majdi Fathi as-Sayyid Ibrahim (1996).
4. Lihat juga sini (Arab).

Sumber : Http://Sawanih.Blogspot.Com

SEMINAR SUFI 2009


SEMINAR SUFI 2009

Anjuran : JABATAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN, PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN, JABATAN PERDANA MENTERI, TINGKAT 10, MENARA PUSAT ISLAM, JALAN PERDANA, 50676 KUALA LUMPUR
TEL: 03-22723137 FAX: 03-22723126

Tarikh/Hari : 12HB DISEMBER 2009 -25HB ZULHIJJAH, 1430H (SABTU)

Tempat : DEWAN INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM) - 234432-H2, Langgak Tunku, Off Jalan Duta, 50480 Kuala Lumpur.
Tel : 03-62046200 Faks : 03-62014189 Email : info@ikim.gov.my

Sila hubungi Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan untuk tempahan tempat dan makanan. Muslimin dan Muslimat dijemput hadir beramai-ramai.

Sabtu, 5 Disember 2009

Al Allamah Al-Sheikh Yusuf al-Dijwi al Azhari.

Penulis : Ustaz Haji Abdul Raof Pondok Tampin

{Sesungguhnya daku tidak akan mengikut pendapat Ibnu Taimiah sama sekali, (kerana) Sesunggguhnya jika aku sampai kedarjah Mujtahid, maka Aku tidak akan mengikut pendapat sesiapa pun. Sebaliknya jika daku tidak sampai kepangkat mujtahid, maka daku akan bersama-sama mengikuti pendapat majoriti ulamak , aku tidak akan bersama (menyokong mereka yang bertelingkah ) dengan mereka.
(Cara) yang begitu adalah yang lebih cermat dalam beragama. Dan lebih hampir pada sisi Aqli dan Naqli ( pada sudut pandangan ilmu-ilmu akliah dan ilmu-ilmu Syara).} - al allamah al-sheikh Yusuf al-Dijwi al Azhari.
Begitulah bunyi (Kalimah fi salafiah al haadhirah- كلمة فى سلفية الحاضرة) -surat yang dikirim beliau kepada al allamah Muhammad Zahid al Kawthari.

Al Allamah al-Syeikh Yusof al-Dijwi merupakan seorang yang cerdik dan berfikiran tangkas. Beliau mampu menerangkan sesuatu perkara dengan bahasa yang indah dan baik, daya ingatannya kuat dan ilmunya amat luas. Halaqah pengajian yang diadakannya di al Azhar Syarif, dihadiri oleh hampir seribu orang ulama' dan penuntut ilmu. Beliau menyampaikan ucapannya dengan keterangan dan penjelasan yang amat memukau dan menarik perhatian pendengar sehingga mengalir ke dalam diri mereka curahan ilmu yang berkesan. Beliau adalah seorang ahli tafsir, ahli hadith dan ahli falsafah al Azhar. Selain itu, beliau juga seorang pengarang dan khatib al Azhar yang benar-benar hebat di antara ulama' lain yang sezaman dengannya.

Beliau menjadi orang kepercayaan masyarakat Islam di seluruh dunia, menunjukkan pengiktirafan mereka terhadap keluasan ilmunya, ketulusannya dan ketinggian wara'nya. Banyak pertanyaan yang datang dari segenap tempat dan pelusuk dunia yang diajukan kepadanya untuk meminta fatwa.

Beliau juga adalah seorang yang bersifat pemurah dan mulia. Wajahnya akan ceria ketika dapat menyelesaikan hajat-hajat yang dikemukakan kepadanya walau dalam apa jua perkara. Layanan yang diberikannya kepada orang-orang asing tidak ada tolak bandingannya.

Kitab-kitab karangannya menarik perhatian umat Islam dan telah berada di serata pelusuk dunia. Banyak hasil makalahnya yang begitu bermanfaat telah tersebar ke segenap tempat dan masih lagi dimuatkan di dada-dada akhbar dan majalah Bahasa Arab sehingga ke akhir hayatnya. Ini adalah kurniaan Allah yang dianugerahkanNya kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Telah berkata Imam Besar Syeikhul Azhar Dr. Abdul Halim Mahmud:

Sesungguhnya kami telah menghadiri majlis pengajian al Marhum al Alim al Kabir al arif billah Fadhilah Syeikh Yusof al Dijwi di Ruwaq Abbasiy di dalam Masjid al Azhar selepas sembahyang Subuh. Pengajian ilmu tafsirnya benar-benar menarik perhatian. Beliau telah menghimpunkan di antara ilmu yang ditimbanya semenjak sekian lama dengan ilmu yang diperolehinya melalui sumber ilham-ilham robbaniyyah. Tetapi sayang, tidak seorang pun yang membukukan pengajian-pengajiannya ini. Sekiranya ilmu yang dicurahkan dalam pengajian itu dibukukan, sudah tentu dapat dimanfaatkan ilmunya dan mutiara-mutiara ilhamnya.


Secubit biodata al- Dijwi

Dilahirkan di Dajwah yang terletak dalam daerah Qalyub Mesir pada tahun 1287 H. Ayahandanya berasal dari Bani Habib, manakala bondanya berketurunan Sayyidina Hasan r.a.
Setelah menghafaz al Quran di kampungnya, beliau dihantar oleh ayahandanya belajar dial Azhar. Beliau menerima ilmu ilmu Islam daripada ulama' al Azhar semenjak tahun 1301H hingga 1317H. Kemudian beliau memasuki peperiksaan darajah al Alimiyyah (sama taraf dengan Phd) pada zaman ini). Beliau telah berjaya dalam peperiksaan tersebut ddengan cemerlang sehingga salah seorang gurunya yang terkenal 'alim di kalangan ulama' Azhar iaitu Syeikh Radhi al Hanafi, datang menziarahi ke rumahnya untuk mengucapkan tahniah di atas kejayaannya.

Di antara guru-gurunya:

1. Syeikh Harun ibn Abdur Raziq al Banjawi (wafat 1335H dalam usia 87 tahun).
2. Syeikh Ahamad al Rifaii al Fayyumi (wafat pada tahun 1326H).
3. Syeikh Muhammad ibn Salim al Tomum (wafat pada tahun 1336H).
4. Syeikh Ahmad Faid al Zurqoni
5. Syeikh Daud al Maliki.
6. Syeikh al Azhar Syeikh Salim al Bisyri.
7. Syeikh Razzaq ibn Saqar al Barqami.
8. Syeikh Muhammad al Buhairi al Syafie
9. Syeikh Atiah al Adawi al Syafie
10. Syeikh Hasan al Jarisi (seorang guru beliau dalam ilmu Qiraat).

Murid-muridnya:

Ramai di kalangan murid-murindnya yang menjadi ulama' besar dalam semua bidang ilmu Islam dengan berkat didikannya.

Di antara mereka ialah:

1. Al Muhaddith Syeikh al Islam al Allamah Muhammad Zahid al Kawthari.
2. Mufti Besar Mesir al Muhaddith al Allamah al- Syeikh Hasanain Makhluf.
3. Syeikh al Azhar Imam al Akbar Dr. Abdul Halim Mahmud.
4. Imam Jami' al Azhar al Arif Billah Syeikh Soleh ibn Muhammad al Ja'fari.
5. Al Allamah Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim.
6. Al Allamah Syeikh Muhammad al Hafiz al Tijani.

Wafatnya:

Beliau wafat di antara waktu Maghrib dan Isya' pada malam Rabu 5 Safar tahun 1365H, ketika berusia 78 tahun. Usianya telah dihabiskan dengan melaksanakan amal-amal soleh, menyebarkan ilmu-ilmu yang bermanfaat, berdakwah dengan cara berhikmah dam memberikan pengajaran yang baik serta berjihad pada jalan Allah dengan mata pena dan lisan.

Sumber : Http://PondokTampin.Blogspot.Com

Khamis, 3 Disember 2009

Ilmu Hadith Belum Cukup Tanpa Fiqh

Penulis : Abdul Latif Rahbar

Ilmuan-ilmuan Islam yang terkenal seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud dan lain-lain imam muhaddithin yang mana mereka sudahpun menghafal ratusan ribu hadis masih tetap mengamalkan agama berdasarkan mazhab imam-imam mujtahid walaupun pada pandangan mata umum apalah perlunya mereka bertaqlid sedangkan mereka mempunyai ilmu agama yang jauh lebih daripada cukup?

Di sinilah bezanya antara fuqaha (ahli-ahli fiqh) dan muhaddithin (ahli-ahli hadith). Apabila seseorang itu mengetahui beribu hadis sekalipun, tetapi dia tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk membahaskannya, maka dia tidak layak untuk mengeluarkan sesuatu pendapat.

Mereka-mereka yang mempelajari Sunan Tirmizi pasti mengetahui bahawa apabila membincangkan masalah fiqh, Imam Tirmizi tidak pernah mengambil pendapat guru beliau Imam Bukhari, tetapi beliau menyebut nama-nama seperti Imam Malik, Imam Syafie, Imam Ahmad atau ulama Kufah iaitu Imam Abu Hanifah.

Imam Tirmizi hanya akan mengambil nama Imam Bukhari apabila beliau membahaskan kesahihan atau status sesuatu hadis, kerana beliau mengetahui bahawa walaupun Imam Bukhari adalah pakar dalam bidang hadis, tetapi kepakaran Imam Bukhari dalam ilmu fiqh belum dapat menandingi kepakaran yang ada pada imam-imam mujtahid.

Dapat kita fahami di sini, bahawa setinggi manapun ilmu hadith seseorang itu, belum tentu dia layak mengeluarkan fatwa sekiranya dia tidak mempunyai ilmu fiqh yang cukup. Sekiranya datang dua nas bertentangan antara satu sama lain, yang mana kedua-duanya adalah sahih dan sama kuat, yang mana satukah akan kita ambil? Ini hanya dapat dilakukan seandainya kita mampu memahami selok-belok ilmu fiqah, bukan dengan hanya bersandarkan kepada kesahihan semata-mata.

Sebagai contoh ingin penulis menceritakan di sini perbahasan antara dua imam mujtahid Abu Hanifah dan Awza’I mengenai masalah mengangkat kedua belah tangan selepas bangun dari rukuk. Imam Awza’i mengatakan:

“Saya meriwayatkan dari Salim, dari Nafi’ dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w. mengangkat tangan dalam solat Baginda s.a.w.”


Lalu Imam Abu Hanifah menjawab:
“Saya meriwayatkan dari Hammad, dari Ibrahim An-Nakh’i dari ‘Alqamah dari Ibnu Mas’ud bahawa Rasulullah s.a.w tidak mengangkat tangan Baginda s.a.w.”


Imam Awza’i membalas:
“Saya membawa sanad (rangkaian periwayat) yang lebih sedikit dan tuan ingin berhujah dengan sanad yang lebih perantaraannya?” (Mengikut pendapat ulama hadis, hadis yang lebih kurang perantaraannya antara perawi dengan Baginda s.a.w adalah lebih kuat dari hadis yang mempunyai lebih perawi, seperti yang tertera di atas bahawa antara Imam Awza’i dan Rasulullah s.a.w hanya tiga perawi dibandingkan dengan Imam Abu Hanifah yang mempunyai empat perawi).


Jawab Imam Abu Hanifah:
“Hammad lebih faqih daripada Salim, Ibrahim An-Nakh’i lebih faqih daripada Nafi’ dan ‘Alqamah lebih faqih daripada Ibnu Umar walaupun beliau adalah seorang sahabat Nabi s.a.w. Dan Ibnu Mas’ud adalah Ibnu Mas’ud (siapakah yang dapat menafikan kefaqihan Ibnu Mas’ud?).”


Di sini Imam Abu Hanifah mengambil kira faktor kefaqihan perawi dalam mengeluarkan fatwa dan bukan bersandarkan kepada kekuatan dan nilai sesebuah hadis semata-mata. Pun begitu perlu diingatkan bahawa menurut pendapat Imam Syafie mengangkat tangan selepas rukuk adalah sunnah kerana ia adalah amalan penduduk Tanah Haram dan Syam, yang mana terdapat sekurang-kurangnya 35,000 sahabat dikebumikan di Syam.

Dalam sebuah hadith riwayat Sunan, Nabi s.a.w. bersabda:
"Semoga Allah ta’ala menyegarkan fikiran orang yang mendengar perkataanku, lalu dia menyampaikannya sepertimana yang dia dengar. Betapa ramai orang yang disampaikan itu lebih memahami dari si pendengar asal itu sendiri."


Di sini Nabi s.a.w. sendiri mengkategorikan antara mereka yang menghafal hadis dan mereka yang memahami hadis. Kerana itulah Imam A’mash salah seorang perawi Bukhari telah berkata kepada anak murid beliau Imam Abu Hanifah:
“Kamu wahai golongan fuqaha’ adalah doktor dan kami (golongan muhaddithin) hanyalah penjual ubat.”


Dalam I’lam al-Muwaqqi’in Imam Ibnul-Qayyim meriwayatkan bahawa satu ketika Muhammad bin Ubaidullah bin Munadi telah mendengar seorang lelaki bertanya kepada guru beliau Imam Ahmad bin Hanbal:
“Apabila seseorang itu menghafal 100,000 hadith, adakah dia dikira sebagai seorang yang faqih?” Imam Ahmad menjawab: “Tidak.”

Dia ditanya lagi: “Sekiranya 200,000 hadith?” Balas beliau: “Tidak.” Orang itu bertanya lagi: “Sekiranya 300,000?” dan sekali lagi Imam Ahmad menjawab tidak.

Kemudian orang itu bertanya: "Bagaimana sekiranya dia menghafal 400,000 hadith?” Lalu Imam Ahmad mengisyaratkan dengan tangan beliau, “Lebih kurang begitulah.”

Riwayat di atas memberi gambaran jelas kepada semua, dengan hanya mempelajari beberapa ribu hadis belum tentu kita mampu untuk melayakkan diri kita dalam mengeluarkan pendapat sewenang-wenangnya. Apatah lagi bila hanya tahu beberapa kerat hadis?

Mengapakah kita perlu bermazhab?

Inilah soalan yang sering diajukan oleh ghair muqallidin (golongan tidak bermazhab). Jawapannya amat ringkas:
Apabila kita tidak mempunyai ilmu yang cukup maka wajib untuk kita mendengar mereka yang paling arif, dan sekiranya kita mempunyai ilmu yang cukup maka haram untuk kita mengikut mana-mana mazhab.


Ini bersesuaian dengan mafhum firman Allah ta’ala dalam surah al-Mulk apabila Allah ta’ala menceritakan perihal penduduk neraka:
"Dan mereka berkata: 'Sekiranya kami mendengar (patuh) atau kami memahami (akan agama) maka sudah tentulah kami tidak akan menjadi penduduk Sa’ir (Neraka)'".


Walaupun ayat di atas adalah berkenaan dengan iman, tetapi memandangkan konteks ayat adalah luas maka ulama berhujah tentang betapa pentingnya patuh kepada yang mahir. Dan sekiranya kita tidak mahu patuh maka kita sendiri mestilah menjadi dari golongan yang berakal dan memahami sedalam-dalamnya.

Sekiranya kita tidak berhati-hati, maka dikhuatiri kita akan terjebak lalu tergelungsur jatuh dan jauh menyimpang dari kehendak syariah walaupun pada asalnya niat yang sebenar adalah untuk menegakkan hukum Allah di atas muka bumi bersesuaian dengan yang di bawa oleh Baginda s.a.w.

Amalan ulama yang jauh lebih mahir berbanding kita sendiri adalah hujah yang kuat betapa kita tidak sepatutnya dengan sewenang-wenang mengeluarkan pendapat sendiri.

Nama-nama seperti Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Nasa'i, Ibnu Majah, Tahawi, Ibnu Hajar, Ibnu Rushd, Sayuti, Ibnu Kathir adalah antara mereka yang bertaqlid dengan imam-imam mujtahid yang datang sebelum mereka.


Golongan yang tidak mengikut mazhab pada hari ini banyak menggunakan pendapat Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim dalam membahaskan pendapat mereka. Tidakkah mereka sedar bahawa keduanya adalah antara ulama ulung dalam mazhab Hanbali? Dan mengapa tidak sahaja mereka digelar Taimi sekiranya mereka merasakan bahawa pendapat Ibnu Taimiyyah sahaja yang berasaskan al-Quran dan Sunnah?

Adakah imam-imam mujtahid terdahulu tidak memahami sunnah sedangkan zaman mereka jauh lebih dekat dengan zaman Baginda s.a.w. dan para sahabat kalau nak dibandingkan dengan Ibnu Taimiyyah yang datang enam hingga tujuh abad selepas imam-imam mujtahid?

Hakikatnya apabila kita berpegang kepada pendapat imam mujtahid, kita sudahpun berpegang kepada dalil dan tali yang kukuh. Imam Dzahabi seorang ahli sejarah yang terkenal dan alim mengenai ilmu-ilmu perawi hadis dalam kitab-kitab beliau tidak pernah berbahas mengenai imam-imam mujtahid. Ini kerana penerimaan umum dan kehebatan imam-imam mujtahid mencapai darjah mutawatir, iaitu mustahil untuk orang ramai bersepakat untuk berbohong dalam menyatakan keunggulan imam-imam tersebut.

Ghair muqallidin hari inipun lebih banyak berpandukan pendapat ulama yang tidak mengikut mazhab seperti mereka antaranya Syeikh Nasirudin al-Albani. Persoalannya sekarang apabila mereka mengikut al-Albani maka mereka sahajalah Ahlusunnah wal-jama’ah. Dan apabila kita terikat dengan pendapat-pendapat Syafie maka kita tidak digelar sebagai Ahlussunnah. Di manakah keadilan?

Jadi, apabila kita sedia maklum bahawa ilmu yang ada pada kita hari ini belum tentu cukup untuk kita berbahas segala dalil dalam sesuatu masalah agama, apakah hak kita untuk berijtihad apatah lagi memberi keizinan umum kepada orang-orang awam untuk berijtihad sendiri? Sedangkan tahap pemahaman dalam kalangan ulama ada bezanya, apakah perlu kita menyusahkan orang ramai untuk berfatwa?

Sumber : HarakahDaily.Net


Bacaan Tambahan :

Sabtu, 28 November 2009

Hukum Solat Jumaat Pada Hari Raya

Jawapan dari Ustaz Ghoni :

Dalam Mazhab Syafi`e solat jumuat kekal wajib apabila jatuh hariraya pada hari jumuat dan solat hariraya hukumnya adalah sunat bukan wajib

Ulamak mengatakan hadis-hadis yang dikemukakan adalahah sahih namun hadis itu ditujukan kepada bukan penduduk madiinah

Kebenaran dari RasuluLLah meninggalkan solat jumuat bagi orang yang telah menunaikan solat hariraya ditujukan khas kepada penduduk al `awaali iaitu penduduk kampung-kampung diluar madiinah yang sememangnya mereka tidak wajib solat jumuat.

Dalam Mazhab Syafi`e musafir yang tidak wajib solat jumuat tidak disyaratkan musafir jauh


Perkara ini boleh kita fahami daripada kata-kat Tabi`ien dibawah :

قَالَ أَبُو عُبَيْدٍ
ثُمَّ شَهِدْتُ الْعِيدَ مَعَ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ فَكَانَ ذَلِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فَصَلَّى قَبْلَ الْخُطْبَةِ ثُمَّ خَطَبَ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ هَذَا يَوْمٌ قَدْ اجْتَمَعَ لَكُمْ فِيهِ عِيدَانِ فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَنْتَظِرَ الْجُمُعَةَ مِنْ أَهْلِ الْعَوَالِي فَلْيَنْتَظِرْ وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَرْجِعَ فَقَدْ أَذِنْتُ لَهُ

Telah berkata Abu `Ubaid (Tabi`ie ) Kemudian aku berhariraya bersama Uthmaan bin `Affaan (khalifah ke 3) adalah hari itu hari jumuat, lantas beliau solat (hariraya) sebelum khutbah kemudian beliau berkhutbah maka antara kata-katanya :

"Wahai manusia sesungguhnya hari ini telah berhimpun untuk kamu 2 hariraya maka sesiapa yang mahu menunggu (solat) jumuat dari kalangan penduduk al `awaali (kampung-kampung diluar Madinah) hendaklah ia menunggu. Sesiapa yang suka kembali (kekampung dan tidak solat jumuat) maka sesungguhnya aku izinkan untuknya.


(petikan dari Sohih Bukhori)

Ya ada hadis seperti ini, dimana ulamak mengatakan kata-kata Nabi itu untuk penduduk kampung-kampung terpencil yang mana mereka memang tidak wajib solat jumuat pun. Sebaliknya orang yang wajib solat jumuat, mereka tetap wajib solat jumuat sekalipun hari itu adalah hariraya.

Penerangan mengenai perbezaan pendapat mazhab oleh Ustaz Muhammad Fuad:



Sedikit penambahan dari saya...oleh kerana melihat pekembangan ilmu Fiqh yang begitu meluas sekarang di Malaysia, terutama pandangan-pandangan dari mazhab Hanbali sudah diketengahkan di sini, maka sudah pastinya saya perlu meraikan pandangan-pandangan tersebut. OLeh itu saya kira tiada masalah juga masyarakat awam yang ingin berpegang dengan mana-mana pandangan tersebut dengan syarat berdasarkan Ilmu yang dipelajari, samada pandangan pertama tidak menggugurkan kewajipan solat Jumaat atau pandangan kedua yang tidak mewajibkan solat Jumaat. Bagaimanapun disini ada beberapa kiteria yang saya rasa tidak boleh diabaikan :

1 ) Pertama : tidak bertujuan meremeh-remehkan hukum hakam Syariah, mengambil sesuatu pandangan kerana mengikut hawa nafsu dan menjadikan Khilaf Fiqh sebagai helah/alasan untuk memilih pandangan-pandangan yang termudah sahaja. Sebagai mana Al-Alamaah Al-Tarizi dalam bab Hukum Ruksah menyatakan
: “ maka sesuatu helah ( sebagai alasan ) dan mengambil pandangan yang termudah yang dilakukan hanyalah menyebabkan kehancuran ( Aslu Syar’ie ) dasar/paksi Syariat, ataupun juga menghapuskan Maslahah Syar’ieyah ( kemaslahatan Syariah ) ”.


Imam syatibi juga menyebut dalam Al-Muafawaqat : "
Apabila seorang mukallaf menjadikan setiap permasalahan dengan bertujuan baginya mengambil pandangan yang termudah sahaja dalam sesuatu mazhab, dan setiap pandangan termudah tersebut memenuhi hawa nafsunya, maka sesungguhnya yang demikian itu mencabut Riqbatul Taqwa ( pemeliharaan taqwa dalam dirinya )".


Nasihat daripada Imam Ibnu Taimiyah dalam Iqamatul Hujah :
tidak harus menyandarkan helah ini kepada mana –mana imam. Dan sesiapa yang yang menyandarkan kepada salah seorang daripada mereka maka dia adalah jahil dengan dasar-dasar Imam Mujtahid tersebut, dan kedudukan mereka dalam Islam.
( Rujukan : Rukhsah Syar’ieyah, Dr Umar Abdullah Kamil )

2 ) Kedua : memilih pandangan Jumhur ( majoriti ) Fuqaha’ dalam sesuatu permasalahan, sebagaimana Syeikh Al-Qardhawi dan ramai lagi menyarankan supaya memilih Ijtihad Al-Jamaa’i ( Ijtihad majoriti ) kerana ia lebih selamat daripada Ijtihad Al-fardi ( ijtihad individu ), walupun begitu tidak boleh mengatakan ijtihad individu tadi adalah salah kerana adakala pandangan mujtahid tersebut lebih benar & tepat menurut ijtihadnya.

3) Ketiga : apabila berlaku perselisihan fiqh yang bersandarkan kepada dalil-dalilnya, maka lebih utama menggunakan qaedah Mura’atul Khilaf & keluar daripada khilaf adalah digalakkan. Caranya apabila bertembung dua pandangan dalam permasalahan Fiqh, maka digalakkan memilih pandangan yang lebih berat. Bab ini telah diperincikan oleh Imam izuddin Ibnu salam dalam Qawaid Ahkam bagaimana peraikan khilaf menurut kaedah gabungan antara mazhab maliki & syafie.

4 ) Keempat : Pengunaan dan pengamalan ilmu fiqh dalam ruang lingkup Syariah mestilah bersesuaian dengan kehendak semasa dan suasanan ( fiqh waqi’) seterusnya, bertepatan dengan Maqasid syariah ( objektif syariah ), maslahah dunia dan akhirat, dan kaedah-kaedah yang lain. Apabila membicara tentang hukum hakam dalam lapangan Syariah, maka tiga unsur ini tidak dapat dipisahkan dalam pengamalan dan perlaksanaan ilmu fiqh tersebut.

Anatara aspek terpenting yang bersangkut paut dalam perlaksanaan hukum hakam syariah ini adalah Maqasid syariah itu sendiri, iaitu tujuan sebenar pensyariatan yang berasaskan pentaklifan ( tanggungjawab ) setiap mukallaf. Ia selari dengan Konsep maqasid syariah yang tiga ini ( daruriyah, Hajjiyah dan Tahsiniah ) tujuannya untuk memelihara 5 asas penting ( iaitu agama, aqal, jiwa, keturunan, dan harta )

Manakala menurut objektif untuk agama ini,setiap individu mukallaf perlu melaksanakan tanggungjawab pensyariatan tersebut dengan sebaik-baiknya. Ini Kerana objektif syariah bukannya menjadi sesorang mukallaf itu pemalas ( kerana wujudnya perselisihan fiqh yan membolehkan dia mengambil pendapat mana-mana yang mudah). Akan tetapi objektif syariah ini mengaplikasikan perselisihan dalam ilmu fiqh sebagai suatu kemudahan kepada mukalaf apabila wujudnya perselisihan pandangan tersebut menurut situasi dan keadaan.

Sebagaimana Dr Abdul Majid najjar (phd Aqidah & falsafah Universiti al-azhar ) menjelaskan dalam kitab beliau hal maqasid syariah :
“ia sebagai suatu elemen yang amat terpenting dalam asasiah ilmu-ilmu fiqhiyah. Dengan berpandukan objektif dan matlamat ini, ia menzahirkan hukum hakam syariah bertepatan dengan waqi’ ( reality ) sesuatu pemasalahan. Dan mewujudkan kemaslahatan dalam kehidupan manusia bagi mempraktikkan hukum hakam syariah”.

Beliau membawa penjelasan daripada Imam syatibi yang menyatakan perlunya seseorang faqih itu memahami situasi semasa dalam suatu permasalahan dan memerhati dengan mendalam keadaan mukallaf tersebut agar dapat membawa kepada kemaslahatan dan menolak berlakunya kefasadan.

Apabila menyentuh tentang maqasid Syariah ini, saya tertarik dengan jawapan saudara di atas…kerana Objektif Syariah ini berkait dengan Fiqh nawazil..melihat permasalahan berbeza situsasi, keadaan dan masa berubah dari zaman ke zaman .

Jika diukur dalam pemerhatian Syariah, pandangan-pandangan yang berbeza ini adalah benar kedua-duanya ( pandangan yang menggugurkan solat jumaat dan tidak menggugurkan solat Jumaat ) namum apabila dilihat pada konteks tujuan & matlamat Syariah ini, pentaklifan dalam perlaksanaan hukum hakam tersebut masih lagi terikat apabila ia bersesuaian dengan kemampuan seseorang individu mukallaf tersebut. Ia berbeza bagi mereka yang tidak berkemampuan. Malah ia selari dengan tujuan Syariah mempraktikkan hukum tersebut sebagai mempertingkatkan ketaqwaan bukan mengabaikan sesuatu pensyariatan kerana berhelahkan suatu kemudahan.

Sebagai kesimpulannya, saya meraikan pandangan-pandangan yang berbeza ini yang menyatakan solat jumaat tidak perlu dilakukan..tetapi pada masa yang sama saudara juga perlu melihat kiteria di atas agar kita tidak menjadikan permasalahan khilaf ini sebagai lesen " cari malas " sehingga pentaklifan Syariah ini terabai kerana kemalasan kita bukan berada di sutasi yang sebenarnya, bagaimana & cara untuk mempraktikkan & meraikan Fiqh Iktilaf di kalangan mazhab fiqh yang lain.

Bagi saya pula, bukanlah susah sangat menghadiri solat jumaat tersebut, paling kurang satu jam sahaja..tidak menyebabkan lumpuh akibat bersila terlalu lama kesan darah tidak mengalir di hujung-hujng jari.

Dan bukan terlalu susah pada zaman serba moden sekarang, start enjin kenderaan dalam masa 10minit sudah sampai ke masjid, berbanding di zaman lampau berjalan kaki berbatu-batu jauhnya sudah pasti menyukarkan berulang alik dari rumah ke masjid. Begitu juga bagi mereka yang tinggal berjauhan, dan juga bagi mereka yang sibuk menyembelih dan menguruskan haiwan korban apabila sudah menyempurnakan solat hari raya dan pelbagai lagi urusan penting unutk kemaslahatan umum. Mungkin di situ ada keperluan dan sebabnya.

Tetapi bagi mereka yang meninggalkan solat jumaat kerana hendak keinginan tidur, kerana kesibukan seharian berhari raya, kerana letih bersembang , kerana sibuk berjuadah kuih muih, kerana sibuk membawa teman wanita bersiar-siar dihari raya dan pelbagai-bagai lagi kesibukan kita adakah sama situasi di atas..? sehinggakan kita mengabaikan perkara yang lebih keutamaan daripada yang bukan utama. Maslahah dunia & akhirat lebih penting daripada kepentingan peribadi.

Walaubagaimanapun kewajipan mendirikan solat zohor bagi golongan yang kedua ini tetap tidak digugurkan hukumnya secara Ijma'.

Sekian Wallahu’lam

Bacaan Tambahan : Hukum Solat Jumaat Pada Hari Raya - Pusat Fatwa United Arab Emirates

Beradab dalam berbeza pendapat


KITA harus menerima hakikat bahawa walaupun agama Islam itu satu, namun tafsiran terhadap Islam itu berbeza-beza. Pemahaman dan seterusnya penafsiran terhadap sumber-sumber Islam yang asal iaitu al-Quran dan al-Sunnah adalah tidak sama di kalangan para imam dan ulama mujtahid. Kerana itulah ia membawa kepada wujudnya pelbagai aliran atau disebut juga mazhab dalam dunia Islam sejak awal lagi.

Bahkan perbezaan kefahaman ini wujud sejak di zaman para sahabat Rasulullah SAW lagi. Kekalutan yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini ialah apabila munculnya sekelompok 'agamawan reformis' atau digelar juga 'progresif' yang mendakwa bahawa pendapat mereka sahajalah yang betul lalu mereka ini ingin melakukan apa yang disebut 'pembaikan' (islah) atau pembaharuan (tajdid) dalam masyarakat.

Pembaharuan ini ingin dilakukan atas pelbagai nama dan platform sama ada 'minda tajdid', atau mengemudi 'bahtera itu dan ini' dengan pelbagai slogan pula seperti 'kembali kepada al-Quran dan Sunnah', atau 'mengikut amalan generasi Salaf' dan seumpamanya.

Apa yang ingin digambarkan oleh kelompok 'mujaddid palsu' ini ialah selama ini amalan masyarakat kita kononnya tidak mengikut al-Quran dan Sunnah; nenek moyang dan ibu bapa kita tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya; masyarakat kita banyak melakukan amalan bidaah sesat, bahkan turut mempertikaikan mengikut mazhab kerana katanya di zaman Nabi SAW dulu tiada mazhab lalu kenapa kita harus mengikut mazhab hari ini.

Tiada salah untuk melakukan pembaharuan malah ia dituntut apabila masyarakat menjadi semakin jauh dari amalan murni Islam yang sebenar lalu mencampur-adukkan dengan amalan khurafat dan bidaah sesat. Bahkan ada hadis dari Abu Hurayrah r.a., yang menyebut bahawa

Allah akan membangkitkan setiap seratus tahun untuk ummah ini orang yang memperbaharui agamanya.
(Sunan Abu Dawud)

Namun apa yang mengecewakan ialah apabila golongan-golongan ini bukannya 'memperbaharui' agama daripada perkara-perkara khurafat dan bidaah sesat, sebaliknya membongkar perkara-perkara khilafiyyah yang telah disepakati para ulama silam sejak ratusan tahun lalu untuk bersetuju berbeza pendapat (agree to disagree).

Kesan pembongkaran itu hanyalah menimbulkan keresahan dan keraguan di kalangan masyarakat sehingga membawa kepada perpecahan sesama sendiri.

Perkara-perkara khilafiyyah yang wujud dalam amalan mazhab-mazhab Ahlul Sunnah wal Jamaah seperti membaca qunut Subuh, keadaan jari telunjuk ketika tasyahhud perlu digerakkan atau tidak, berdoa beramai-ramai selepas sembahyang, dan seumpamanya tidak mungkin dapat diselesaikan hari ini jika dahulu pun tidak mampu diselesaikan oleh alim-ulama yang ratusan kali ganda lebih hebat daripada ulama-ulama hari ini dan lebih dekat dengan Rasulullah SAW dan generasi Salaf.

Menyedari hakikat bahawa perbezaan pendapat para ulama itu tidak dapat dielakkan khususnya dalam hal-hal ranting yang terperinci dalam ibadat, maka para ulama usul telah merumuskan bahawa "kebenaran dalam perkara ranting (furuk) itu berbilang-bilang." Ia suatu hakikat bahawa kebenaran dalam perkara bersifat 'cabang-cabang' Islam ini tidak mampu untuk diseragamkan menjadi satu walaupun ribuan ulama telah mencubanya sejak sekian lama.

Lalu selama kita mengikuti pandangan majoriti ulama (al-sawad al-a'zam) iaitu para imam mazhab empat dari kalangan Ahlul Sunnah wal Jamaah, maka insya-Allah kita berada di atas landasan dan jalan yang benar.

Renunglah nasihat para ulama silam dalam mengambil sikap beradab apabila menangani perbezaan pendapat dengan menekuni karya-karya mereka yang banyak berhubung dengan adabul ikhtilaf (Adab Berbeza Pendapat). Imam al-Shatibi r.a. sendiri sebagai contoh menulis:

Sesungguhnya perbezaan pendapat yang terjadi pada zaman sahabat hingga ke hari ini berlaku adalah dalam masalah-masalah ijtihadiyyah. Pertama kali ia berlaku pada zaman Khulafa' al-Rasyidin dan sahabat-sahabat yang lain, lalu berterusan sehingga zaman para tabi'en dan mereka tidak saling mencela di antara satu sama lain.
(al-I'tisom 2/191)

Selain tidak beradab dalam menangani perbezaan pendapat, golongan reformis agama ini juga mendakwa bahawa Islam yang sebenar ialah dengan mengikut al-Quran dan al-Sunnah dan bukannya mengikut mazhab.

Bunyinya menarik dan benar tetapi sebenarnya penuh dengan kebatilan dan kepalsuan seperti mana yang sering diungkapkan "kalimatul haq yuridu biha al-batil".

Mereka secara tidak langsung menyeru masyarakat menjadi 'bebas mazhab' (al-la madhabiyyah) suatu aliran yang dianggap 'bidaah' paling bahaya yang menentang syariat Islam seperti mana ungkapan Sheikh Dr. Said Ramadhan al-Buti dalam kitabnya al-la Madhhabiyya Akhtaru Bid'atin Tuhaddidu al-Shari'at al-Islamiyyah (Bebas Mazhab Bid'ah Paling Bahaya Menyalahi Syariat Islam).

Bahkan Imam Ibn Rajab al-Hanbali (meninggal dunia 795H/1393M) telah lama menentang aliran ini menerusi kitabnya Radd 'ala man Ittaba'a Ghayr al-Madhahib al-Arba'ah (Sanggahan Terhadap Mereka Yang Tidak Mengikut Mazhab Empat).

Kita perlu faham bahawa apabila disebut 'mengikut mazhab' bukanlah bermakna taksub kepada pandangan akali para Imam-Imam mazhab, kerana pandangan mereka itu juga sebenarnya didasarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Bahkan mazhab itu sendiri bukanlah pandangan sosok tubuh seorang individu atau Imam mazhab semata-mata.

Mengikut mazhab Shafie bukan bermaksud mengikut pandangan Imam Shafie seorang diri sahaja, tetapi ia melibatkan sekumpulan para alima ulama yang mengikut kaedah mengistinbatkan hukum berdasarkan kaedah dan kriteria Imam Shafie.

Adalah tidak benar seperti apa yang cuba dimomokkan oleh kelompok agamawan reformis ini bahawa mengikut mazhab itu seolah-olahnya tidak mengikut al-Quran dan al-Sunnah. Terlalu dangkal jika kita berfikiran begitu dan terlalu hina kita meletakkan taraf keilmuan para imam-imam kita dan ulama mazhab yang menghabiskan usia menjadi penyuluh kegelapan umat dengan menelaah al-Quran, al-Hadis dan kitab-kitab saban waktu tanpa jemu.

Hidup mereka dipenuhi dengan ilmu dan pengajian sehingga ada ulama silam yang walaupun ketika sedang makan masih tetap menelaah kitab-kitab, sedangkan hidup kita penuh dengan bersenang-lenang dan berseronok-seronok.

Adalah amat mengecewakan apabila kita dapati ungkapan-ungkapan menghina para ulama silam dan dilontarkan bersahaja tanpa rasa bersalah bahkan dengan cukup biadab sekali sama ada dalam tulisan di dada-dada akhbar mahupun pada ceramah-ceramah.

Ini bukanlah bermaksud mengatakan bahawa para ulama itu maksum dan tidak melakukan kesalahan, tetapi pendekatan menghina itu tidak sewajarnya dilakukan apatah lagi oleh golongan agamawan sendiri.

Kesimpulannya, kelemahan para ulama bukanlah untuk didedahkan kepada masyarakat umum apatah lagi untuk dijadikan bahan ditertawakan kerana tiada sekelumit manfaat pun yang diperolehi dengan pendedahan sebegitu melainkan 'mengajar' masyarakat bersikap biadap terhadap para ulama silam.

Kita harus ingat bahawa kita juga ulama dan apabila kita 'mengajar' masyarakat awam biadap terhadap para alim-ulama silam dan tidak menghormati mereka, kita jangan terkejut jika masyarakat juga akan bersikap biadap terhadap kita selaku ulama suatu hari kelak'.

Penulis ialah Felo Pusat Perundingan dan Latihan, Institut Kefahaman Islam Malaysia.


Bacaan Tambahan :


Rabu, 25 November 2009

Bahaya Taklid Dalam Tauhid


umat islam hanya mentauhidkan Allah yang esa dan tidak menyembah makhluk lain.


APABILA ditanya dari mana nas al-Quran dan sunnah yang menyebut pembahagian yang jelas bagi tauhid tiga serangkai iaitu tauhid uluhiah, tauhid rububiah dan tauhid asma' wa sifat, pendokongnya yang mengaku berpegang dengan al-Quran dan sunnah pun, teragak-agak mendatangkan hujah.

Lantas mendatangkan hujah-hujah berbentuk taklid iaitu WAMY, ulama-ulama lain dan silibus-silibus beberapa buah universiti yang menyokong. Itu sebenarnya taklid.

Kadang-kadang didatangkan nukilan al-Baghdadi dalam al-Farq Baina al-Firaq berkaitan dengan tafsiran perkataan 'ahlussunnah' sebab mahu bergantung dengan ulama silam Ahlussunnah, namun ditiadakan syarahan bahawa Imam al-Baghdadi sebenarnya mensyarahkan tauhid Sifat di dalam kitab tersebut apabila beliau mensyarahkan firqah najiah (firqah yang selamat). Bahkan perkataan 'tauhid-tauhid sifat' dalam definisi tersebut diabaikan. Walhal itulah antara sifat-sifat 20.

Lihat bagaimana Imam al-Baghdadi mensyarahkan pandangan Ahlussunnah dalam mentauhidkan sifat Allah SWT:

"Mereka ijmak bahawa tempat tidak meliputiNya (Allah SWT tidak bertempat) dan masa tidak mengikatnya, berbeza dengan firqah al-Hasyamiah dan al-Karamiah, yang mengatakan Allah memegang arasynya".
(Lihat Al-Baghdadi, al-Farq Baina al-Firaq, hal.256).

Dalam isu tauhid, amat merbahaya kita bertaklid. Sepatutnya didatangkan nas-nas yang jelas berkaitan pembahagian tiga serangkai tersebut bersesuaian sekiranya kita bersarjanakan al-Quran dan sunnah.

Kalau berdoa selepas solat secara berjemaah yang tidak ditunjuk oleh hadis secara jelas pun dituduh bidaah dan sesat oleh sesetengah orang (walau berdoa disuruh dalam al-Quran dan sunnah), apatah lagi isu pokok dan besar seperti tauhid.

Apabila ditanya, mana dalil al-Quran dan sunnah apabila anda mengatakan penyembah berhala bertauhid dengan tauhid rububiah (tanpa tauhid uluhiyah)? Lantas akan dinyatakan kata-kata si polan dan polan mengatakan perkara ini dan di sokong pula dengan ulama-ulama ini dan ini.

Persoalan saya: Kenapa tidak ada sepatah pun ayat al-Quran dan hadis atau kata-kata ulama-ulama Salafussoleh (tiga kurun pertama) mengenai perkara ini?

Memang benar ada ayat yang bermaksud:

Dan jika engkau bertanya kepada mereka, siapakah yang menciptakan mereka, nescaya mereka menjawab: Allah; jadi bagaimana mereka dapat dipalingkan (dari menyembah Allah SWT).
(al-Zukhruf: 87).

Dalil ini digunakan untuk menunjuk- kan orang-orang Musyrik (penyembah berhala) beriman dengan iman rububiah. (Mohd. Naim Yasin, hal.11).

Namun kenapa tidak dicantumkan dengan ayat selepasnya?

Dan (Allah mengetahui) ucapannya (Muhammad): Ya Tuhanku, sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang tidak beriman.
(al-Zukhruf: 88).

Tidak pula al-Quran mahupun sunnah menyebut orang-orang Musyrik beriman dengan tauhid rububiah sahaja! Ini persoalan akidah, sepatutnya ada nasnya secara jelas.

Sebaliknya al-Quran mengatakan dengan jelas bahawa mereka bukan orang yang beriman. Bagaimana kita boleh mengubahnya mengatakan mereka beriman dengan tauhid rububiah? Mana dalilnya sebab ini persoalan akidah?

Ini adalah taklid. Kenapa kita membenarkan taklid dalam soalan akidah sebegini? Kita amat tidak adil apabila membenarkan taklid pada persoalan akidah sebegini.

Lantas kemungkinan saya pula ditanya:

Apa dalil kamu dari al-Quran dan sunnah yang menyebabkan kamu mengkhususkan Sifat 20 untuk Allah SWT?

Maka saya berkata:

"Bahawasanya Allah SWT bersifat dengan segala sifat kesempurnaan, dan maha suci dari segala kekurangan. Sesungguhnya ketuhanannya melazimkan kesempurnaan mutlak secara khusus untuk ZatNya.

"Kemudian, kami memilih sifat-sifat terpenting daripada sifat-sifatNya yang maha sempurna dan kami menjelaskannya secara terperinci perkara-perkara dan keyakinan-keyakinan yang berkaitan dengannya

(Lihat al-Buti, 1992, Kubra al-Yaqiniyat al-Kauniyyah, h108).

Adalah satu fitnah sekiranya kami dikatakan menghadkan sifat Allah SWT kepada 20 sahaja!

Saya mungkin ditanya lagi:

Mana dalilnya dari al-Quran dan sunnah? Saya akan mengatakan bahawa semua sifat dua puluh itu ada dalilnya di dalam al-Quran dan sunnah. Kalau mahu diperincikan, boleh dilihat dalam semua buku yang mensyarahkan Sifat 20.

Saya ditanya lagi: Bukankan Sifat 20 itu susunan Muktazilah?

Saya berkata:

Sekiranya saudara membaca sejarah Islam silam, saudara akan memahami bahawa pada zaman Khalifah Abbasiah iaitu Ma'mun bin Harun ar Rasyid (198H-218H), al-M'tashim (218H-227H) dan al-Watsiq (227H-232H) adalah khalifah-khalifah penganut fahaman Muktazilah atau sekurang-kurangnya penyokong-penyokong yang utama dari golongan Muktazilah.


Dalam sejarah Islam, dinyatakan terjadinya apa yang dinamakan 'fitnah al-Quran itu makhluk' yang mengorbankan beribu-ribu ulama yang tidak sefaham dengan kaum Muktazilah.


Pada masa itu, Imam Abu Hassan al-Asy'ari muda remaja, dan belajar kepada seorang Sheikh Muktazilah, iaitu Muhammad Abdul Wahab al-Jabai (wafat 303H).


Imam Abu Hassan al-Asy'ari (wafat 324H) melihat terdapat kesalahan besar kaum Muktazilah yang bertentangan dengan iktiqad (keyakinan) Nabi SAW dan sahabat-sahabat baginda, dan banyak bertentangan dengan al-Quran dan sunnah. Lantas beliau tampil meninggalkan fahaman Muktazilah dan menongkah hujah-hujah kaum Muktazilah.

Kefahaman Masyarakat

Bermula dari itulah, Imam Abu Hassan al-Asy'ari melawan kaum Muktazilah dengan lidah dan tulisannya. Justeru, susunan tauhidnya bermula setelah dia berjuang menentang Muktazilah dan mengembalikan kefahaman masyarakat kepada al-Quran dan sunnah.

Di atas jalannya, ulama silam menelusuri, antaranya ialah Imam Abu Bakar al-Qaffal (wafat 365H), Imam Abu Ishaq al-Asfaraini (wafat 411H)., Imam al-Hafiz al-Baihaqi (wafat 458), Imam Haramain al-Juwaini (wafat 460H), Imam al-Qasim al-Qusyairi (wafat 465H), Imam al-Baqilani (wafat 403H), Imam al-Ghazali (wafat 505H), Imam Fakhrurazi (wafat 606H) dan Imam Izzuddin bin Abd Salam (wafat 660H). (Lihat Kiyai Sirajuddin Abbas (2008). Aqidah ahlussunnah wal Jamaah, h21-23).

Tidak pernah wujud pertelingkahan antara penghuraian Imam Abu Hassan al-Asy'ari dan Imam al-Maturidi dengan pengikut-pengikut mazhab fiqh yang empat.

Kemudian saya mungkin diperlekeh kerana pengajian sifat 20 ini bentuknya kaku, lantas contoh sindirannya ialah:

"Wujud maksud ada, lawannya tiada.... akhirnya semuanya tiada".

Saya katakan sememangnya cara perbahasan Sifat 20 kena diperbaharui dan diringkaskan.

Dalil-dalil al-Quran berkaitan sifat tersebut perlu lebih dipertekankan berbanding dengan dalil-dalil akal yang rumit-rumit yang mungkin zaman kita tidak memerlukannya.

Pada saya, mungkin penulisan seorang ulama Indonesia Kiai Sirajuddin Abbas bertajuk: Aqidah Ahlussunnah wal Jamaah, boleh digunakan untuk memudahkan kefahaman pembaca. Buku ini masih banyak dijual di toko-toko buku di Wisma Yakin, Kuala Lumpur.

Saya kemudian ditanya berkaitan dengan sahabat-sahabat saya yang mungkin belajar dan mengajar tauhid tiga serangkai ini?

Saya katakan pengalaman saya mendengar pensyarah-pensyarah dan sahabat-sahabat saya yang mengajar tauhid pecah tiga ini, ada di kalangan mereka tidak ekstrem, tidak sampai mengkafirkan/mensyirikkan golongan yang tidak sependapat.

Contohnya bila memperkatakan tawassul dan menziarahi kubur, ada di kalangan mereka menerimanya tanpa mengkafirkannya atau menyesatkannya.

Demikian juga persoalan penafsiran ayat-ayat sifat, ada yang tidak menerima/ tidak taklid bulat-bulat kenyataan Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab, dan lebih kepada menyerahkan kepada Allah SWT. Mereka lebih suka merujuk terus ke Ibn Taymiyyah berbanding Sheikh Abd Wahhab.

Di kalangan mereka (mengikut cerita adik saya ketika dia belajar di Universiti Yarmuk, Jordan), pensyarah Aqidahnya mengatakan: Kamu orang-orang Malaysia, ramai mengikut Ahlu sunnah aliran Asyairah.

Namun, tauhid yang diajarkan ini mengikut susunan Ibn Taymiyah kerana menjadi silibus Universiti ini (pada masa itu). Terserah kepada kamu mengikut keyakinan Asyairah itu (tanpa beliau menyesatkannya).

Mereka menyedari ramai ulama silam (sama ada muhadithin, fuqaha' atau mufassirin) dari kurun ke tiga Hijrah berpegang kepada huraian Imam Abu Hassan al-Asy'ari (wafat 324H) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (wafat 333H).

Walaupun begitu, ada yang amat ekstrem dalam pegangannya sehinggakan menyesatkan imam-imam terdahulu yang berada dalam lingkungan ratusan tahun.

Semoga pembaca membuat pertimbangan dan terbuka berkaitan isu ini. Pada saya berpegang pada tauhid susunan dan huraian orang yang dekat dengan Rasulullah SAW (al-'ali) lebih selamat dari berpegang kepada tauhid orang terkemudian dan sekarang yang kelihatan cacar marba metodenya dan bertaklid dengan orang-orang baru (al-nazil).

Semoga Allah SWT menyelamatkan kita dari kesesatan dan menganugerahkan kita jalan yang lurus.

Sumber : Utusan Malaysia

Bacaan Tambahan :

I'tiqad Al-Asy'ari Adalah i'tiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah

Ulamak-ulamak Asya'iroh

Aqidah Al Azhar Oleh Dr Yusof al Qardhawi

Hukum Mengkafirkan Golongan Asya'irah

Selasa, 24 November 2009

Prof Dr Ali Jum'ah : Hukum Bertawassul Dan Dalil-dalil Sahih Bab Akhir

6. Kisah meminta hujan di sisi Maqam Nabi Muhammad sallaLlahu 'alaihi wasallam pada zaman Khalifah Saidina Umar bin Khattab radiyaLlahu 'anhu. Diriwayatkan dari Malik al Dar radiyaLLahu 'anhu, dia adalah bendahara Saidina Umar radiyLlahu 'anhu, dia berkata : ........... kekeringan (kemarau) teruk telah melanda kehidupan manusia di zaman Saidina Umar radiyaLlahu 'anhu. Lalu ada seorang lelaki datang ke maqam Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam dan berkata :

"Wahai RasuluLlah (sallaLLahu 'alaihi wasallam), mintakan hujan untuk umatmu kerana mereka sungguh telah binasa (menderita)." Rupa-rupanya RasuluLLah sallaLlahu 'alaihi wasallam telah menjumpainya di dalam mimpi dan bersabda, "Datanglah kepada Saidina Umar radiyaLlahu 'anhu dan sampaikan salamku kepadanya dan beritahukan bahawa mereka akan dilimpahkan hujan. Katakan kepadanya : Maka hendaklah kamu bijaksana, bijaksana (cerdas dan tepat dalam membuat keputusan)". Lelaki itu datang kepada Saidina Umar radiyaLlahu 'anhu dan menyampaikan kepadanya perihal itu. Saidina Umar radiyaLlahu 'anhu berkata : "Ya Tuhanku, aku tidak lalai (iaitu selalu bersungguh-sungguh) kecuali apa yang aku tidak mampu."


Hadith riwayat Ibnu Abi Syaibah Mushannaf Ibnu Abi Syaibah, vol 6 hlm 356; dan Ibnu Abdil Barr, Al Isti'ab, vol 3, hlm 1149.

Hadith ini sohih; dinyatakan sohih oleh al Hafiz Ibnu Hajar al Asqolani dengan tegas dalam perkataannya. "Dan Ibnu Abi Syaibah radiyaLlahu 'anhu meriwayatkan dengan sanad sohih dari riwayat Saleh al Samman dari Malik al Dar radiyaLlahu 'anhu, dia berkata :

أصاب الناس قحط في زمن عمر فجاء رجل إلى قبر النبى صلى الله عليه وسلم فقال : يا رسول الله استسق لأمتك فإنهم قد هلكوا.فأتى الرجل فى المنام فقيل له : ائت عمر .... الحديث رواه أبى شيبه

"Kekeringan (kemarau) teruk telah melanda kehidupan manusia di zaman Saidina Umar radiyaLlahu 'anhu. Lalu ada seorang lelaki datang ke maqam Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam dan berkata : "Wahai RasuluLlah, mintakan hujan untuk umatmu kerana mereka sungguh telah binasa (menderita). Rupa-rupanya RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam telah menjumpainya di dalam mimpi dan bersabda, "Datanglah kepada Saidina Umar radiyaLlahu 'anhu....," Hadith selengkapnya.."

Daripada Said radiyaLlahu 'anhu di dalam kitab "Al-Futuh" meriwayatkan bahawa orang yang bermimpi tersebut adalah Bilal bin Harits Al Muzani radiyaLlahu 'anhu, salah seorang sahabat Nabi sallLlahu 'alaihi wasallam. (Al Hafiz Ibnu Hajar, Fathul Bari. vol 2 hlm 495 dan 496)

Riwayat tersebut juga dikemukakan oleh Al Hafizh Ibnu Katsir dan dia berkata, "Hadith ini sanadnya sohih." (Ibnu Katsir, Al Bidayah wa An Nihayah vol 7, hlm 90). Hadith ini telah dinyatakan sohih oleh para tokoh penghafal hadith terkemuka (hafizh), sehingga layak menjadi dalil atas bolehnya meminta kepada Nabi Muhammad sallaLlahu 'alaihi wasallam untuk memohonkan hujan dan berdoa setelah perpindahan Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam yang mulia dari kehidupan dunia.

7. Kisah Khalifah Al Mansur dengan Imam Malik radiyaLlahu 'anhu ceritanya begini, suatu hari Abu Ja'far Al Manshur Al Abbasi, Khalifah kedua kekuasaan Abbasiyah bertanya kepada Imam Malik radiyaLlahu 'anhu, "Wahai Abu AbdiLlah, apakah aku menghadap RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam dan berdoa atau aku menghadap kiblat dan berdoa ?" Imam Malik radiyaLlahu 'anhu menjawab, "Kenapa kamu harus memalingkan wajahmu daripadanya, sedangkan dia adalah wasilahmu dan wasilah ayahmu, Nabi Adam alaihissalam., kepada Allah subahanahu wa ta'ala pada hari kiamat ? Oleh itu, menghadaplah kepadanya dan mohonlah syafaat darinya, memang jelas ALlah subahanhu wa ta'ala memberikan (kelebihan) syafaat kepadanya."

(Kisah ini diriwayatkan oleh Abu Hassan Ali bin Fihr di dalam kitabnya "Fadhail Malik" dengan sanad yang tidak mengapa (tidak cacat); diriwayatkan oleh Qadhi 'Iyadh di dalam kitab As Syifa' dari jalur riwayatnya dari beberapa guru di antara guru-guru yang thiqah; demikian juga disampaikan oleh Imam As Subki di dalam kitab Syifa As Siqam, Al Samhudi di dalam kitab Wafa Al Wafa, dan Qasthalani di dalam Kitab Al Mawahib Al Ladunniyah. Dalam kitab Al Jauhar Al Munazzham, Ibnu Hajar berkata, " Ini diriwayatkan dengan sanad Sohih." Al Allamah Al Zarqani, di dalam kitab Syarh Al Mawahib berkata, " Sesungguhnya Ali bin Fihr menyampaikan dengan sanad yang hasan dan Qadhi 'Iyadh menyampaikan dengan sanad yang Sohih".

Di dalam cerita ini terdapat isyarat bahawa Imam Malik radiyaLlahu 'anhu mempunyai pandangan (iaitu cenderung menerima) hadith bertawassulnya kepada maqam Nabi Adam 'alaihissalam dan bahawa ia memandang sikap menghadap kepada maqam Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam dan meminta syafaat darinya itu termasuk di dalam suatu kebaikan.

Dan berdasarkan kepada dalil-dalil yang tegas dan sohih dari KitabuLlah dan Sunnah Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam ini. Para ulama umat ini dari golongan empat mazhab dan lain-lain mencapai kesepakatan atas boleh dan dianjurkannya bertawassul dengan Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam pada masa hidup Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam dan setelah Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam wafat. Mereka sepakat bahawa hal itu tidak diharamkan sama sekali. Inilah pendapat yang kami pegang bahawa bertawassul dengan Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam adalah sunnah dan merupakan salah satu bentuk ungkapan doa kepada ALlah subahanahu wa ta'ala yang digalakkan untuk menggunakannya.

Tidak dipandang pendapat yang menyendiri (ganjil) dari kesepakatan ulama seperti Ibnu Taimiyyah dan orang-orang setelahnya yang mengulang-ngulang pendapatnya. Dan ALLah subahanahu wa ta'ala Maha Tinggi dan lagi Maha Mengetahui.

Sumber Rujukan : Prof Dr Ali Jum’ah, Penjelasan Terhadap Masalah-masalah KhilafiahAl Bayan – Al Qawin li Tashbih Ba’dhi al Mafahim, .2008, Penerbitan Dar Hakamah, Selangor