CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Isnin, 8 Jun 2009

Lima Mutiara Berharga

Dari : Saidina Ali bin Abu Thalib radiyaLlahu 'anhu

Hafalkanlah lima hal ini, andaikata kalian menunggang unta untuk mendapatkannya, maka hingga unta itu kurus kalian tidak akan memperolehinya.

Pertama : Seorang hamba hendaknya tidak berharap kecuali kepada ALlah

Kedua : Seorang hamba hendaknya hanya takut akan dosa-dosanya.

Ketiga : Seorang yang bodoh hendaknya tidak merasa malu untuk bertanya.

Keempat : Seorang yang berilmu ketika ditanya tentang sebuah persoalan dan tidak mengetahui jawapannya, hendaknya tidak malu untuk mengatakan :
"ALlah yang Maha Mengetahui."


Kelima : Bagi iman - sabar ibarat kepala sebuah tubuh, sehingga tidak (sempurna) iman seseorang yang tidak memliki kesabaran

Sumber : Muhammad bin 'Alwi Al Maliki, Al Mukhtar Min Kalamil Akhyar, cet 1, 1978, Hal 40.a

Sabtu, 6 Jun 2009

Hukum Berkaitan Post Mortem Organ Dan Tubuh Badan Dalam Islam

organ dan tubuh badan didalam islam

Soalan 1: Penyimpanan Dan Pembuangan Tisu Atau Organ Selepas Bedah Siasat (Post-mortem)

Dengan hormatnya sukacita dimaklumkan kepada pihak Dato bahawa Makmal-makmal Histologi dan Saitologi, Jabatan Perkhidmatan Makmal lazimnya melakukan dua prosedur berasingan iaitu:

1) Bedah siasat terhadap mayat atau post-mortem bagi menentukan sebab kematian. Prosedur ini ada kalanya melibatkan pemotongan tisu atau organ mayat. Prosedur memotong dan seterusnya meyimpan organ untuk jangka waktu yang lama dengan menggunakan bahan pengawet telah dibuat sekian lama bagi tujuan dan rujukan akan datang.

2) Kajian terhadap tisu dan organ pesakit yang masih hidup adalah bagi menentukan diagnosis barah. Pembuangan organ yang selesai dikaji pada masa ini adalah dalam penelitian semula

Sukacita dipohonkan pandangan dan nasihat pihak Dato mengenai kedua-dua prosedur yang disebutkan di atas supaya pihak Jabatan akan lebih berwibawa dalam menangani isu yang berkaitan dengan etika perubatan secara Islam.

Jawapan :

الحمد الله الفتاح الوهاب الهادى إلى الحق والصواب , والصلاة والسلام على رسوله خاتم الأنبياء والرسل , وآله وصحبه أجمين

Menurut Kamus Dewan, post-mortem diertikan sebagai pemeriksaan dan pembedahan mayat untuk menentukan sebab­sebab kematian, ciri atau setakat mana perubahan dihasilkan oleh penyakit atau autopsi.

Para ulama fiqh terdahulu tidak membahaskan secara khusus dan detil berkaitan dengan pembedahan ke atas mayat melainkan perbahasan yang berkaitan dengan membedah perut mayat seorang ibu yang hamil untuk mengeluarkan janin dari perutnya sekiranya janin dalam perut tersebut ada harapan untuk hidup.

Asy-Syeikh asy-Syarbini aI-Khatib dalam Mugni al-Muhtaj menjelaskan bahawa
jika mayat perempuan telah siap ditanam akan tetapi terdapat di dalam perutnya janin yang berkemungkinan masih hidup dan usia janin itu telah mencapai enam bulan atau lebih, maka hendaklah digali dan dibelah perutnya dan dikeluarkan janin tersebut sebagai memenuhi hukum wajib kerana wajib dibelah perutnya sebelum lagi dia ditanam. Akan tetapi jika janin itu tiada harapan untuk hidup, maka tidaklah harus digali atau dibongkar.

Begitu juga dengan soal membedah perut mayat yang menelan harta orang lain. Dalam at- Tuhfah, Ibnu Hajar menyebutkan bahawa jika mayat itu sebelum matinya telah menelan harta (yang berupa barang atau benda) milik orang lain dan pemilik harta itu menuntutnya dan tidak seorang pun daripada kalangan ahli warisnya atau orang lain dapat mengganti harta tersebut dengan yang seumpamanya atau harganya, maka hendaklah digali kuburnya dan dibelah perutnya seterusnya dikeluarkan harta itu daripada perutnya dan dikembalikan kepada tuan punya harta.
(Hawasyi asy-Syarwani: 3/204)

Maka dalam memutuskan hukum berkaitan dengan membedah mayat ini para ulama masih bercanggah pendapat mengenainya. Sebahagian mereka mengatakan tidak harus membedah mayat jika tujuannya untuk mengetahui bentuk-bentuk dan fungsi-fungsi organ manusia kerana yang demikian itu memadai diketahui melalui organ-organ binatang. Antara mereka yang mengatakan demikian ialah asy-Syeikh Muhammad Bakhit al-Muthi'e, bekas Mufti Mesir. Manakal sebahagian lainnya seperti asy-Syeikh Hasanain MakhI mengatakan ia harus dilakukan dalam hal darurat. (Hukm Tasyrih al-Insan Baina asy-Syari'ah wa al-Qamln: 30-31)

Para ulama yang mengatakan tidak harus dilakukan pembedahan mayat itu adalah mengambil kira prinsip agama Islam yang sangat menjaga kemuliaan dan hak-hak seta kehormatan mayat selaku manusia. Antara dalil-dalil menjadi sandaran mereka ialah firman Allah Ta'ala:

ولقد كرمنا بنى ءادم وحملنهم فى البر والبحر ورزقناهم من الطيبت وفضلنهم على كثير ممن خلقنا تفضيلا

(سورة الإسراء : 70)

Tafsirnya: "Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-­anak Adam, dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah berikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-­lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang kamu telah ciptakan. "


Penghormatan Islam terhadap manusia tidaklah hanya setakat ketika hidupnya. Bahkan apabila manusia matipun jasadnya tetap wajib mendapat penghormatan yang selayaknya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam berdiri apabila mayat seorang Yahudi melintasi Baginda. Lalu salah seorang sahabat berkata dengan penuh kehairanan:
"Sesungguhnya jenazah itu jenazah orang Yahudi". Maka Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda (maksudnya): "Bukankah jenazah orang Yahudi itu jiwa (manusia) juga?"


Dalam hadis daripada Buraidah Radhiallahu 'anhu katanya:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا أمر أميرا على خيش أو سرية أوصاه في خاصته بتقوى الله ومن معه من المسلمين خيرا ثم قال اغزوا باسم الله فى سبيل الله قاتلوا من كفر بالله اعزوا ولا تغلوا ولا تعدروا ولا تمثلوا ولا تقتلوا وليدا
(رواه مسلم)

Maksudnya: "Ketika Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam melantik seorang komandan pasukan tentera, secara khusus Baginda berpesan atau berwasiat kepadanya supaya dia selalu bertaqwa kepada Allah dan selalu berbuat baik terhadap orang-orang Islam yang ikut bersamanya. Baginda seterusnya berpesan: "Berperanglah di jalan Allah dengan sentiasa menyebut namaNya. Perangilah orang-orang yang kufur kepada Allah. Berperanglah dan jangan khianat dalam urusan harta rampasan. Jangan mengkhianati janji. Janganlah membunuh dengan cara yang kejam menurut nafsu dan jangan membunuh anak-anak kecil. "


(Hadis riwayat Muslim)


Para ulama menjelaskan larangan membunuh dengan cara yang kejam menurut nafsu atau apa yang disebutkan sebagai ولا تمثلوا bermakna jangan menghodohkan muka-muka musuh baik sebelum matinya atau pun setelah matinya.

Di riwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah, al-Baihaqi dan Imam Ahmad hadis Rasulullah, sabda baginda:

كسر عظم الميت ككسره حيا
(رواه أبو داود وابن ماجه والبيهقي وأحمد)

Maksudnya: "Memecah atau mematahkan tulang mayat sama seperti memecah atau mematahkannya sewaktu hidupnya. "


(Hadis riwayat Abu Daud, Ibnu Majah, al-Baihaqi dan Imam Ahmad)

Maka berdasarkan nash-nash di atas, menurut mereka membedah mayat itu adalah haram kerana kemuliaan manusia di sisi Allah Ta'ala itu wajib dipelihara tidak kira apapun agamanya.

Manakala pendapat para ulama yang mengatakan membedah mayat itu harus adalah berdasarkan qiyas kepada pendapat ulama yang mengharuskan membedah perut mayat yang hamil untuk mengeluarkan janin yang diharapkan hidupnya dan membelah perut orang yang menelan harta.

Di zaman mutakhir ini, para ulama cuba membahaskannya secara khusus. Dr Abdul Aziz Khalifah al-Qassar (1999) dalam Hukm Tasyrlh al-Insan Baina as-Syari'ah wa al-Qamln telah membahagikan tujuan pembedahan ke atas mayat itu kepada tiga jenis iaitu:

i. At-tasyrih al-jina'iy iaitu pembedahan yang dilakukan bagi tujuan menyiasat sebab-sebab kematian dan mengenalpasti jenis kematian bagi menyingkap sebarang kesamaran terhadap kejadian tertentu sehingga terbukti kebenaran dan tertegak keadilan.

ii. At-tasyrih al-maradhiy iaitu pembedahan yang dilakukan terhadap mayat yang terkena penyakit. Pembedahan tersebut adalah untuk mengetahui secara mendalam kesan penyakit tersebut ke atas si mati, apakah ia merupakan penyakit berjangkit atau bukan. Dengan pembedahan tersebut pihak kerajaan boleh mengambil langkah pencegahan untuk menghalang wabak tersebut daripada merebak sehingga mengancam keselamatan dan keamanan masyarakat.

iii. At-tasyrih at-ta'limiy iaitu pembedahan yang dilakukan ke atas mayat-mayat manusia di bihk-bilik mayat fakulti- fakulti perubatan dengan bimbingan doktor-doktor di universiti. Tujuannya ialah untuk mengetahui secara praktikal dalam bentuk langsung dan ilmiah mengenai anggota-anggota badan dan fungsi-fungsinya yang nyata dan tidak nyata.

Pembedahan bagi tujuan memantau penyakit dan membantu penyelesaian kes-kes jenayah adalah dua jenis bedah siasat yang dilakukan di Negara Brunei Darussalam.

Pembedahan Mayat Atas Sebab Jenayah

Menegakkan keadilan dan menolak kezaliman merupakan dua perkara yang diutamakan dalam syariat Islam. Banyak nash dan daliJ-daliI yang menunjukkan demikian. Antaranya firman Allah Ta'ala:

إن الله يأمر بالعدل والإحسن
(سورة النحل : 90)

Tafsirnya: “Sesungguhnya Allah memerintahkan untuk berlaku adil dan ihsan.”

(Surah an-Nahl: 90)

Firman Allah Ta’ala lagi:

إن الله يأمركم أن تؤدوا الأمنت إلى أهلها وإذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل
(سورة النساء : 58)

Tafsirnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.


Banyak lagi ayat-ayat al-Qur'an yang menuntut agar ditegakkan keadilan dalam apa jua perkara khususnya dalam kehakiman. Dalam hal ini, post-mortem adalah salah satu cara yang boleh membantu siasatan khususnya kematian yang disebabkan oleh jenayah. Dengan demikian hasil post-mortem akan membantu mahkamah dalam membuktikan kesalahan penjenayah dan melepaskan orang yang tidak bersalah supaya keadilan dapat ditegakkan dan kezaliman serta jenayah tidak berleluasa di alam masyarakat.

Pembedahan Mayat Atas Sebab Kajian Terhadap Penyakit

Dalam realiti pencapaian kemajuan bidang sains perubatan sekarang ini, banyak penyakit yang dikenalpasti melalui proses post-mortem. Hasil post-mortem mampu mengenal pasti penyakit dan membantu penyelidikan ubat-ubatan yang sesuai bagi mengatasinya. Post-mortem juga berfungsi memberi maklumat lanjut tentang keadaan sebenar suatu penyakit yang dihidap oleh seorang pesakit sehingga membawa kepada kematiannya. Dalam hal penyakit berjangkit pula, pihak berautoriti dapat merangka tindakan-tindakan yang perlu diambil tindakan. Ini bererti post-mortem itu boleh menjadi asas dalam mengambil langkah menyelamatkan nyawa orang ramai, lebih-lebih lagi jika kematian itu dikenalpasti berpunca daripada penyakit yang menular dan boleh merebak dengan cepat seperti penyakit Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang mana telah mengejutkan penduduk seluruh dunia baru-baru ini.

Begitulah juga dengan penyakit-penyakit seperti aids, denggi dan seumpamanya. Maka mashlahat post-mortem ini ialah sebagai jalan dan langkah berjaga-jaga ke arah pencegahan merebaknya penyakit tersebut.

Kaedah Syara’

Islam menolak perkara-perkara yang membawa kemudharatan sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam:

لا ضرر ولا ضرار

(رواه ابن ماجه وأحمد)

Maksudnya: "Tiada mudharat dan tiada kemudharatan.


(Hadis riwayat Ibn Majah dan Imam Ahmad)

Dalam kaedah fiqh pula disebutkan (kemudharatan itu dihindarkan). Dalam kaedah lain pula disebut (kemudharatan itu tidak dihindarkan dengan kemudharatan). Sebagai agama yang sangat bersungguh-sungguh menjaga kemashlahatan hidup manusia, maka Islam menolak kemudharatan itu sehingga ada kalanya perkara-perkara yang dilarang itu menjadi harus dilakukan sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta 'ala:

فمن اضطر غير باغ ولا عاد فلا إثم عليه إن الله غفور رحيم
(سورة البقرة : 183)

Tafsirnya: "Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu) , maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Pengasih. "

(Surah al-Baqarah: 173)

FirmanNya lagi:

وما جعل عليكم فى الدين من حرج
(سورة الحج : 78)

Tafsirnya: ''Dia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama. "


(Surah ai-HaJJ.• 78)

Kaedah fiqh pula menyebutالضروريات تبيح المحظورا (darurat itu mengharuskan perkara yang dilarang). Namun keharusan melakukan yang diharamkan itu tidaklah terbuka seluas­luasnya. Ia dibolehkan hanya pada kadar yang dihajati sahaja. Demikianlah juga halnya dengan post-mortem.

Menurut aI-Imam 'Izzuddin bin Abdul Salam:

أن ما احل لضرورة أو حاجة يقدرها ويزال بزوالها
Ertinya: ''Bahawasanya apa yang dihalalkan kerana darurat atau hajat adalah dihadkan mengikut kadarnya dan dihilangkan dengan ketiadaannya. "

Kaedah yang lain pula menyebutkan: "Apabila bertembung dua mashlahat maka diutamakan yang paling kukuh mashlahatnya dan apabila bertembung antara dua keburukan maka keburukan atau kerosakan yang paling ringanlah yang harus dilaksanakan untuk mengelak daripada keburukan yang lebih dahsyat antara keduanya. "

Melakukan post-mortem atau bedah siasat ke atas mayat kerana penyakit itu, kita dapati bahawa ia mengandungi beberapa kemashlahatan umum. Antaranya:

1. Menyelamatkan orang ramai daripada penyakit berjangkit.


2. Meningkatkan tahap kesihatan dan keharmonian hidup masyarakat melalui pemberian rawatan dan ubatan yang betul

Sementara bedah siasat bagi tujuan genayah itu berperanan:

1. Menjaga kesahihan hukuman dalam perbicaraan

2. Menolak kezaliman

3. Menjaga dan mengelakkan individu daripada terlibat dengan dendam dan bermusuh-musuhan.

Maka mashlahat-mashlahat ini merupakan mashlahat umum yang perlu diutamakan. Sebahagian ulama Syfi’iyyah, Hanafiyyah, Malikiyyah dan Hanabilah menqiyaskan keharusan melakukan post-mortem terhadap mayat bagi tujuan mengesan jenayah dan mengesan penyakit itu dengan keharusan pembedahan perut mayat untuk mengeluarkan kandungannya kerana menyelamatkan nyawa. Begitu juga dengan membedah perut mayat kerana mengeluarkan harta orang hidup seperti yang disebutkan sebelum ini. Maka post-motem bagi tujuan mashlahat-mashlahat seperti di atas adalah lebih utama. (Hukm Tasyrih al-Insan Baini asy-Syari’ah wa al- Qanun, 1999:37-40)


Etika Membedah Mayat

Sekalipun sebahagian ulama mengharuskan bedah siasat mayat, namun keharusan yang diberikan itu bukanlah secara mutlak atau terbuka luas tanpa had atau batasnya, sesuai dengan kehendak syara’ seperti ayat 173 daripada al-Baqarah di atas dan kaedah-kaedah fiqh yang terdahulu dan berikutnya. Kerja-kerja post-matem itu perlu dilaksanakan dengan mengambil kira perkara-perkara yang menjadi tuntutan syara’ Antaranya:

i. Menjaga Had Keperluan (Darurat)

Seperti yang diterangkan di atas, bedah siasat itu diharuskan berdasarkan keperluan (hajat) yang menjadi sebab pembedahan tersebut dilakukan. Namun keperluan yang dimaksudkan di sini adalah keperluan yang benar-benar mendesak (darurat). Darurat itu menjadi ‘illah atau sebab yang mengharuskan post-moyem. Jika tidak ia adalah dilarang kerana dikira melakukan penganiayan terhadap mayat, tidak menghormatinya dan menghodohkan rupa bentuk mayat. Kita percaya bahawa syarat kerana darurat itu adalah syarat yang mesti dikenakan atau diaplikasikan dalam semua tujuan post-motem itu dijalankan iaitu sama ada atas sebab mengenal pasti penyakit atau pun atas faktor jenayah.

Sebagai missal, si mati yang menunjukkan tanda-tanda kemungkinan diracun, atau ada bentuk kecederaan yang dialaminya sangat meragukan. Maka untuk memastikannya dia perlu dibedah. Keperluan untuk mengenal pasti punca kematiannya seperti ini adalah sangat mendesak. Ini bererti post-motem itu bukanlah diharuskan secara samarata ke atas semua mayat kerana kecelakaan di jalan raya umpamanya.



ii. Melaksakan Pembedahan Setakat Yang Diperlukan Sahaja

Keharusan post-motem itu hendaklah diukur berdasarkan kadar keperluan atau darurat sebagaimana disebut di dalam kaedah fiqh: الضرورات تقدر بقدرها (darurat itu diukur berdasarkan kadar keperluannya). Berdasarkan kaedah ini, pembedahan yang dilakukan itu tidak diharuskan melampaui batas atau had rukshah yang telah diberikan, kerana mengambil kira hukum asal pembedahan mayat tanpa sebarang sebab adalah haram. Oleh itu dalam menjalankan pembedahan ke atas mayat adalah menjadi kewajipan untuk hanya membedah mana-mana bahagian mayat yang diyakini boleh membantu pihak yang berkenaan mencapai matlamat daripada bedah siasat yang dijalankan.

iii. Melaksanakan Pembedahan Dengan Lemah Lembut

Secara umum meraka yang melakukan pembedahan ke atas mayat hendaklah menghormati mayat yang dibedah dengan menjalankan pembedahan itu secara yang paling cermat iaitu dengan adab-adab yang tidak merosakkan kehormatan dan kemulian mayat manusia.

Ketika Imam an-Nawawi menbicarakan tentang perkara yang patut dilakukan ke atas mayat sejurus sahaja kematiannya, beliau menekankan bahawa ahli keluarga adalah dituntut supaya memejamkan matanya dan menutup keseluruhan badannya dengan kain, serta menghadapkan mukanya ke arah qiblat. Ia hendaklah dilakukan oleh ahli keluarga yang paling lemah lembut di kalangan mahramnya. Imam an-Nawawi berkata:

ويتولى ذلك أرفق محارمه


Ertinya : “Dan orang yang menangani perkara itu ialah orang paling berlemah lembut daripada kalangan mahramnya.”
(An-Nawawi Minhaj ath-Thalibin, 2000: 1/322)

Berdasarkan keterangan di atas, maka hendaklah dilakukan pembedahan itu dengan cara yang lemah lembut sesuai dengan tuntutan menghormati mayat seperti mengangkat dan meletakkannya ke tempat bedah dengan lembut dan cermat.

iv. Menjaga Aurat Mayat

Menjaga aurat si mati khususnya jika mayat itu perempuan. Oleh itu orang yang sepatutnya melakukan pembedahan ke atas mayat perempuan ialah doktor bedah perempuan juga. Ini kerana haram memandang aurat mayat perempuan itu oleh lelaki asing. Kita lihat ini sesuai dengan pendapat ulama seperti Imam ar-Rafi’e dan al-Baghawi yang tidak mengharuskan lelaki asing memandikan mayat perempuan asing yang tiada hubungan mahram jika tiada seorang perempuan pun ketika itu ataupun mahramnya, bahkan hendaklah dimandikan mayat itu dengan mencurahkan air ke atas keseluruhan badan mayat perempuan itu yang ditutup dengan kain yang tebal tanpa langsung menggunakan tangan. Menurut Imam an-Nawawi, (pendapat yang ashah) mayat itu tidak dimandikan bahkan ditayammumkan sahaja.


Dalam kitab al-Iqna’ karangan asy-Syarbini al-Khatib bahawa hukum haram menyentuh itu tidak gugur dengan sebab kematian. Dalam makna yang lain walaupun perempuan itu telah menjadi mayat. Bagaimanapun juga, jika tiada langsung dockor bedah perempuan, maka tiadalah halangan untuk dilakukan proses pembedahan itu oleh doktor lelaki atas sebab-sebab darurat.

Dalam hal melihat aurat ini, orang yang melakukan pembedahan itu hendaklah melihat aurat mayat dengan sengaja sekalipun mereka daripada sesama jenis, kerana antara etika orang yang memandikan mayat ialah tidak diharuskan melihatnya kecuali pada kadar yang diperlukan pada bahagian bukan aurat. Sedangkan perbuatan memandikan mayat itu adalah wajib. Menurut Imam an-Nawawi, orang yang memandikan mayat itu hendaklah jangan melihat badan si mati melainkan kadar hajat yang bukan terdiri daripada aurat. ( An-Nawawi, Minhaj ath-Thalibin, 2000: 1/351-352)

v. Suasana Tenang

Ketika menjalankan pembedahan itu sewajarnya tidak diganggu dengan bunyi-bunyian yang bising kerana ia dianggap tidak memuliakan mayat. Perkara ini sesuai dengan kenyatan asy-Syeikh Sa’ad bin Muhamad Ba ‘asyin, bahawa makruh meninggikan suara ketika dalam perjalanan mengangkat jenazah (untuk dikebumikan) dan juga dalam keadan memandikan, mengkafankan dan ketika meletakkanya ke dalam kubur. Menurut Ibnu Ziyad pula adalah di sunatkan untuk menyebukan diri dengan berzikir dengan suara perlahan. (Asy-Syeikh Sa’id bin Muhammad Ba ‘Asyin, 1992-399).


Pengendalian Mayat Setelah Selesai Penyiasatan atau Kajian

Sebagaimana yang dituntut oleh syara’ bahawa mayat manusia itu wajib disempurnakan dengan sebaik mungkin. Dalam pengalaman post-mortem ,mayat yang dibedah pastinya akan dikerat atau dipotong pada bahagian –bahagian yang tertentu untuk dibuat kajian dan penyelidikan .Dalam hal ini mana-mana anggota yang telah dilukai atau di potong hendaklah dipasang atau dikembalikan semula sebelum dimandikan ,dikafankan ,disembahyangkan dan seterusnya ditanam bersama-sama mayat tersebut.

Oleh yang demikian apapun matlamat dan tujuan post- mortem itu dijalankan ,kajian atau siasatan hendaklh dibuat secepat mungkin dan janganlah sampai bahagian tubuh si mati terbiar dalam jangka waktu masa yang lama. Penyempurnaan jenazah itu wajib disegerakan sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ,bahawa Rasulullah Shalallahu ‘ alaihi wasalam bersabda:

Maksudnya :
“ Segerakanlah jenazah ,jika jenazah itu baik maka kebaikan yang kamu yang kamu ajukan kepadanya .Jika jenazah itu selain itu ( buruk ) maka kamu meletakkan keburukan daripada tengkok-tengkok kamu.”

( Hadis riwayat al-Bukhari)

Imam an-Nawawi ada menjelaskan bahawa hendaklah desegerakan memandikan mayat itu apabila diyakini matinya . (An-Nawawi , Minhaj ath-Thalibin,200 : 1/322)


Pengendalian Anggota/Organ

Tuntutan menyegerakan pengkebumian mayat itu merupakan salah satu ciri menjaga kehormatan mayat.Keseluruhan badan mayat hendaklah ditanam dengan keadaan yang sempurna seperti mana asalnya. Maka post-mortem yang melibatkan mayat orang Islam hendaklah mengambil kira tuntutan ini dengan mengembalikan anggota atau organ berkenaan untuk disempurnakan bersama-sama anggota tubuh badan mayat ( jenazah) .


Namun ada kalanya organ itu memerlukan masa yang terlalu lama disimpan di dalam makmal kerana sebab-sebab tertentu seperti kekurangan tenaga dari segi kepakaran,kekurangan alat dan sebagainya.Daripada amalan yang dijalankan sekarang, jenazah berkenaan akan dikebumikan ,sementara anggota atau organ yang dipisahkan untuk penyiasatan atau kajian masih dalam simpanan makmal. Soalnya bagaimanakah mengendalikan anggota yang telah diambil dari badan simati itu setelah kajian dan siasatan dijalankan ?


Membakar Anggota atau Organ

Setakat maklumat yang kita perolehi ,pemusnahan terhadap anggota atau organ yang telah dijalankan. Penyiasatan itu ialah dengan cara membakarnya mengikut prosedur perubatan dengan alasan mengelakkkan kemudharatan seperti jangkitan .

Perbuatan membakar mayat atau mana-mana bahagian mayat itu adalah bercanggah dengan cara yang digariskan oleh syara’ dalam menyempurkan mayat.

Membakar mayat itu haram kerana amalan tersebut dikira mengazab atau menyeksa mayat dengan api sedangkan manusia tiada hak dalam perkara tersebut. Selain itu ia juga dikatakan sebagai mencemari kehormatan mayat. (Asy-Sya’rawi,al-Fatawa, 1999:608)

Menurut islam selepas selesai urusan memandikan, mengkafankan dan menyenbahyangkan, mayat itu ditanam atau dikubur. Adapun cara yang dipraktikan di beberapa pusat kesihatan, anggota atau organ yang telah selesai disiasat itu akan dimusnahkan dengan cara membakarnya atas alasan itulah cara yang terbaik untuk mengelak jangkitan dan sebagainya. Cara ini adalah amat diragukan.

Setakat pengetahuan kita virus HIV adalah virus yang cepat berjangkit seperti mana juga dengan virus SARS yang menggawatkan dunia baru-baru ini. Mayat mangsa-mangsa virus tersebut diselesaikan dengan cara mengkebumikannya dengan prosedur-prosedur tertentu bagi memastikan kuman-kuman itu tidak berjangkit. Dalam hal ini, kita tidak mendengar pakar perubatan yang mengatakan mayat mangsa virus-virus berkenaan itu mesti dibakar demi menyelamatkan orang lain. Jika demikian penyempurnaan mayat secara keseluruhannya, maka adalah lebih tipis jangkitannya pada kadar yang berpunca daripada sebahagian anggota atau sebahagian organ dan seumpamanya. Apatah lagi jika ia dilakukan dengan lebih teratur seperti disimpan dalam peti setelah dibubuh dengan bahan kimia tertentu dan kemudian dikuburkan.

Saya berpendapat bahawa membakar anggota atau organ itu bukanlah satu-satunya carapengendalian. Jika kita mahu meraikan tututan syara’, maka anggota, organ atau tisu yang tinggal itu akan disempurnakan dengan cara menguburnya bukan dengan cara membakarnya, kerana perbuatan membakarnya itu bertentangan dengan kehendak hukum syara’.

Hukum Menyembahyangkan Anggota

Asy-Syeikh Sa’id bin Muhammad Ba ‘Asyin di dalam kitabnya Busyra al-Karim menjelaskan bahawa
sembahyang ke atas anggota itu wajib jika anggota badan lainnya juga telah dimandikan dan belum disembahyangkan. Jika anggota yang lainnya telah pun disembahyangkan maka sembahyang ke atas anggota anggota yang dijumpai itu adalah sunat.

Adapun anggota yang terpisah ketika seseorang itu masih hidup, maka anggota berkenaan tidak wajid disembahyangkan. Ia hanya sunat dibungkus dengan kain dan ditanam sekiranya ketika hendak menguruskan anggota itu orang berkenaan telah meninggal. Jika dia belum meninggal maka sunat ditanam sahaja tanpa perlu membungkusnya.
(Busyra al-Karim:2/409)

Menanam Anggota


Cara menanam anggota yang dipotong itru sama ada yang terpisah setelah kematiannya atau terpisah ketika hidupnya adalah dengan cara menimbusnya di bawah tanah yang menghalang daripada terhidu baunya dan tidak dibongkar oleh binatang buas. Wajib dihadapkan ke kiblat dengan meletakkan sekira-kira mempunyai kedudukanya ketika anggota berkenaan dikuburkan dalam keadaan bersambung dengan badan asalnya.

(Hawasyi asy-Syarwani wa Ibn Qasim al—‘Abadi)

Maka berdaasarkan penjelasan di atas, anggota atau organ yang dikeluarkan dari orang yang telah meninggal dunia bagi tujuan bedah siasat atau post-motem, apabila selesai kajian mengenainya wajib disempurnakan mengikut ketetapan seperti di atas iaitu jika mayat orang berkenaan telah selesai dimandikan, disembahyangkan dan dikebumikan, maka anggota yang tertinggal itu hendaklah dumandikan dan dibungkus dengan kain. Selepas itu sunat disembahyangkan sebelum ditanam.

Adapun tisu atau organ yang diambil dari pesakit ketika dia masih hidup bagi tujuan kajian kesihatan, maka sunat membungkusnya dengan kain dan seterusnya ditanam jika tisu atau organ itu hendaklah dibuang setelah pesakit itu meninggal dunia. Jika tisu atau anggota itu hendaklah disempurnakan pengendaiannya ketika pesakit berkenaan masih hidup, maka adalah sunat anggota tersebut ditanam sebagai memulaikan tuannya sekalipun tidak dibungkus dengan kain. Namun jika dibungkus tidaklah mengapa.

Negara asal : Brunei darussalam

Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam.

Penulis/Ulama : Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned

Tarikh Diisu : 2003

Nota: FATWA MUFTI KERAJAAN BRUNEI 2003

Dua tangan Allah??


Menjawab kepada persoalan akhi oo Raiser di chatbox mengenai ayat 75 surah sod. Syubhah yang dibawa oleh golongan wahabi yang tidak kunjung padam ini telah mengelirukan ramai orang. Menjadi tanggungjawab kepada yang tahu untuk menjelaskannya dan menjadi fardhu kifayah sepertimana yang disebut di dalam kitab-kitab akidah.


Soalan akhi oo Raiser : Bagaimana nak takwil ayat [aku menciptakan kau dgn dua tangan]? sebab ada yang bertanya pada ana, kalau tangan tu ditakwilkan dengan kuasa maknanya dua tangan tu dua kuasa la, ana nak je jawab soalan tu tapi ikut akal la, tapi takut tak valid.


Firman Allah yang dimaksudkan akhi;

قَالَ يَا إِبْلِيسُ مَا مَنَعَكَ أَنْ تَسْجُدَ لِمَا خَلَقْتُ بِيَدَيَّ أَسْتَكْبَرْتَ أَمْ كُنتَ مِنَ الْعَالِينَ

“(Allah) berfirman wahai iblis apakah yang menghalangi kamu sujud kepada yang telah Aku ciptakan dengan kekuasan-Ku? Apakah kamu menyombongkan diri atau kamu merasa (merasa) termasuk golongan yang (lebih) tinggi?” (Terjemahan mengikut Al-Quran dan terjemahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terbitan Dar Al-Iman Pustakan Darul Iman Sdn Bhd)


1) Perlu difahami ini merupakan ayat mutasyabihah. Ayat-ayat al-quran yang ada persamaan Allah dengan makhluk dikira sebagai ayat yang mutasyabihah.


2) Mengikut manhaj khalaf : ia perlu ditakwil kepada makna yang sesuai pada bahasa arab supaya tidak terkeliru sehingga menyamakan Allah Ta’ala dengan makhluk.


3) Mengikut manhaj salaf sebenar : menyerahkan makna “yadun” kepada Allah tanpa menterjemahkan kepada makna tangan atau menakwil kepada makna yang layak bagi Allah dan dalam masa yang sama menafikan Allah Ta’ala sama dengan makhluk.


4) Mengikut manhaj salafiyyah wahabiyyah aka salafi jadian, golongan mujassimah, hasyawiyyah dan kitabiyyah : “yadun” dengan makna tangan tetapi tangan Allah tidak sama dengan tangan makhluk. Ini pandangan yang sesat lagi menyesatkan kerana apabila diisbatkan kepada Allah sifat tangan walaupun kita katakan ia tidak sama dengan makhluk sebenarnya kita telah menjisimkan Allah. Seumpama kita katakan “sampah berbau wangi”. Bila kita sebut sampah maka sudah jelas ia berbau busuk walaupun kita sifatkan ia berbau wangi. Bila kita kata tangan Allah sebenarnya kita telah menjisimkan Allah Ta’ala walaupun kita katakan tangan Allah tidak sama dengan tangan makhluk.


5) Mahasuci Allah daripada sama dengan makhluk samada bertangan, duduk, naik turun dan sebagainya daripada sifat makhluk. Firman Allah Ta’ala;

ليس كمثله شيء

“ Tidak ada yang seumpama denganNya (Allah) sesuatupun”


6) Kenapa Allah Ta’ala menyebut dengan dua tanganNya? Untuk memuliakan Adam. Kata ulama’: أضاف خلقه إلى نفسه تكريماً له

“Allah menyandarkan ciptaanNya kepada diriNya sebagai memuliakan baginya”


Kerana ayat ini ditujukan kepada iblis yang enggan sujud kepada Adam dengan pertanyaan apa yang menegah kamu (iblis) untuk sujud kepada apa yang aku jadikan dengan zat aku bukan dengan perantaraan ayah dan ibu kerana Adam dijadikan tanpa ayah dan ibu seperti yang kita sudah maklum. Perumpamaan dengan menggunakan dua tangan lebih hebat daripada satu tangan kerana telah maklum kepada kita sesuatu kerja yang besar tidak dilakukan dengan sebelah tangan. Ini kefahaman yang disebut oleh Imam Zamakhsyari di dalam kitab Al-Kassyaf dalam menjelaskan maksud dua tangan. Berkata sebahagian ulama’ ;

لما خلقت بيدي : لما خلقت بغير واسطة

“Bagi apa yang Aku jadikan dengan dua tangan Aku bermaksud bagi apa yang aku jadikan tanpa perantaraan”


7) Mengikut tafsir jalalain oleh dua Imam besar Al-Imam Al-’Allamah Jalaluddin Al-Mahalli dan Al-Imam Al-‘Allamah Jalaluddin As-Suyuti menyebut dalam mentafsir ayat di atas;

أي توليت خلقه أي من غير واسطة أبي وأمي وهذا تشريف لآدم فإن كل مخلوق تولى الله خلقه

“Ialah Aku (Allah) meguasai kejadiannya (Adam) ialah tanpa perantaraan ayah dan ibu dan ini memuliakan bagi Adam. Sesungguhnya setiap makhluk Allah Ta’ala menguasai ciptaaNya”


8) Di dalam At-Tafsir Al-munir oleh Dr Wahbah Zuhaili : Aku menjadikannya (Adam) sendiri tanpa perantaraan Ayah dan Ibu dan Al-Yad bermaksud Al-Qudrah (kuasa Allah bukan tangan dengan maksud anggota) Juz :23-24 mukasurat : 229 Cetakan : Darul Fikr, Syiria.


9) Perkataan “yadun” yang bermaksud tangan di dalam bahasa melayu merupakan majaz ( perkataan yang dipinjam bukan dengan makna asal atau hakiki) di dalam pengajian ilmu balaghah bahasa arab.


Sebagai contoh di dalam bahasa melayu kita juga ada menggunkan simpulan bahasa seperti “Abu seorang yang panjang tangan” Apakah ia bermaksud tangan Abu benar-benar panjang atau ia simpulan bahasa untuk menyatakan Abu seorang pencuri? Sudah tentu jawapannya ialah untuk menunjukkan makna Abu seorang pencuri bukan bermaksud tangan dia benar-benar panjang.


Simpulan bahasa ini bukan merujuk kepada majaz di dalam bahasa arab kerana majaz itu seperti kita katakan bulan tersenyum atau ombak memeluk pantai tetapi simpulan ini untuk menunjukkan perkataan tangan di sini bukan bermaksud tangan yang hakiki seperti zahirnya.


Jika orang melayu tidak memahami simpulan bahasa ini, menunjukkan kejahilan dia terhadap bahasa melayu dan orang yang tidak memahami majaz ini menunjukkan kejahilan dia terhadap balaghah bahasa arab. Al-Quran merupakan kalamullah. Bahasanya disebut sebagai “ablagh” (balaghah yang paling tinggi) sehingga cabaran Allah Ta’ala kepada orang kafir untuk membuat satu surah seumpaman surah Al-Kauthar pun mereka tidak mampu. Apatah lagi kita orang melayu dalam memahami kalamullah ini.


Oleh sebab itu berkata Mujahid dalam mentafsirkan ayat ini;

قال مجاهد : اليد ها هنا بمعنى التأكد والصلة ، مجازه لما خلقت أنا كقوله : " ويبقى وجه ربك " [ الرحمن : 27 ] أي يبقى ربك

Tangan di sini dengan makna penguat dan kaitan. Majaznya ( perkataan yang dipinjam bukan dengan makna asal atau hakiki) bagi apa yang aku (Allah) jadikan. Seperti Firman Allah Ta’ala : Kekal wajah Tuhan kamu [ ar-rahman : 27 ] bermaksud kekal Tuhan kamu.


10) Berkata As-Shahrastani di dalam kitab Milal Wa Nihal:

إن الأئمة مالكا والشافعي وأحمد قالوا : من حرك يده عند قراءة قوله تعالى ( لما خلقت بيدي ) وأشار بإصبعه عند رواية قلب المؤمن بين أصابع الرحن… الحديث وجب قطع يده وقطع أصبعه

Sesungguhnya imam-imam, Malik, Syafie dan Ahmad berkata : Sesiapa yang menggerakkan tangannya ketika membaca firman Allah Ta'ala (ayat 75 surah mujadilah) dan mengisyaratkan jarinya ketika membaca riwayat "Hati manusia di antara jari-jari Allah"- Al-Hadis, wajib dipotong tangan dan jarinya. (Di naqalkan daripada kitab syarah jauharatul tauhid bagi Imam Al-Bajuri mukasurat 166).

11) Cuba lihat tafsiran sahabat seperti Ibnu Abbas yang di doakan oleh Nabi SAW “ Ya Allah, Faqihkan dia ( ibnu Abbas) di dalam agama dan ajarkan dia takwil” dan tafsiran Mujahid, Qatadah, At-Thauri dan lain-lain di dalam mentafsirkan ayat;

والسماء بنيانها بأيد

Tafsiran mereka “Kami menjadikan langit dengan (qudrat) kuasa kami”. ( Tafsir Ibnu Kathir Juz : 4 Mukasurat : 237 )


Bagaimana untuk menolak pandangan yang mengatakan jika kita takwilkan “yadun” kepada makna kuasa bermaksud ada dua kuasa?


1) Tanya kembali kepada dia, Allah Ta’ala menjadikan Adam dengan dua tangan atau dengan kuasa Allah Ta’ala?


Jika dia tidak mahu menta’wil ayat ini kepada kuasa bermaksud dia menafikan sifat kuasa Allah untuk menjadikan Adam. Sedangkan kita faham bahawasanya setiap mumkinat ( perkara yang harus ada) itu ta’luq dengan sifat qudrat (kuasa) Allah. Dengan perkataan yang lain semua perkara yang dijadikan oleh Allah dengan sifat kuasa Allah Ta’ala bukan dengan tangan yang kita fahami. Jika kita katakan yadun dengan maksud tangan secara langsung kita telah menafikan kuasa Allah Ta’ala menjadikan dengan sifat kuasa. Sedangkan sifat kuasa merupakan sifat yang wajib bagi Allah Ta’ala. Sesiapa yang menafikan Allah Ta’ala bersifat dengan sifat kuasa hukumnya kufur. Dalil Allah Ta’ala berkuasa ialah firman Allah Ta’ala ;

إن الله على كل شيء قدير

“Sesungguhnya Allah berkuasa di atas setiap sesuatu”


2) Di dalam Al-Quran Allah menggunakan kalimah satu tangan, dua tangan, dan tangan-tangan. Jika kita katakan Allah ada dua tangan. Bagaimana dengan ayat yang mengatakan satu tangan dan ayat yang mengatakan tangan-tangan yang lebih daripada dua?


3) Tanyakan juga kepada mereka bagaimana ayat yang Allah Ta’ala menggunakan perkataan “nahnu” (kami). Apakah itu menunjukkan kepada Allah ramai?


Ayat-ayat yang menyebut perkataan tangan tetapi bukan dengan maksud tangan ;

1) (Surah Al-Mujadilah : 12) فقدموا بين يدي نجواكم صدقة

Di dalam ayat ini Allah menyandarkan perkataan tangan kepada “najwa”. Najwa bermaksud perbualan rahsia. Apakah perbualan rahsia juga ada tangan? Jadi tangan di sini bukan bermaksud tangan seperti zahirnya tetapi hanya majaz seperti yang telah dijelaskan di atas.


2) (Surah Al-A’raaf : 57) وَهُوَ الَّذِي يُرْسِلُ الرِّيَاحَ بُشْراً بَيْنَ يَدَيْ رَحْمَتِهِ


Di dalam ayat ini disebut tangan rahmat. Rahmat di sini bermaksud hujan. Apakah hujan ada tangan?


Dua ayat di atas menafikan pandangan wahabi yang mengatakan tangan Allah dengan maksud hakiki bukan majazi. Padahal jika diletak makna hakiki kepada dua ayat di atas amatlah menyimpang daripada maksudnya. Justeru itu, ulama’ memahami makna yadun kepada Allah bukan dengan makna tangan yang hakiki tetapi majazi sahaja yang perlu ditakwil kepada makna yang selayaknya seperti kuasa, ni’mat, pahala, pertolongan dan lain-lain sepertimana takwilan ahli sunnah wal jamaah daripada ulama’ khalaf dan salaf demi menjaga kemurniaan akidah umat Islam.


Jika Allah ada tangan bagaimana golongan wahabi ingin menjawab kepada persoalan ayat ini. Firman Allah Ta’ala;

كل من عليها فان ويبقى وجه ربك ذو الجلال والاكرام

“Semua yang ada di atas dunia akan binasa dan yang kekal wajah Tuhan kamu yang mempunyai ketinggian dan kemuliaan”


Ayat ini menyatakan semua akan binasa kecuali wajah Allah. Di mana tangan Allah? Apakah tangan Allah juga binasa? Dangkal sungguh fahaman yang mengatakan Allah bertangan seperti mana akidah golongan yahudi.


Wajah di sini bermaksud zat Allah yang tidak bertangan dan berwajah seperti fahaman wahabi atau salafi yang mendakwa mengikut salaf tetapi menyimpang daripada akidah salaf yang sebenar. Jika Allah bertangan sudah tentu Allah akan menyebut di dalam ayat di atas tangannya juga kekal. Mana mungkin tangan Allah juga binasa. Diakan Allah yang bersifat dengan sifat baqa’ (tidak binasa dan kekal selama-lamanya).


Kesimpulannya :


1) Tidak salah kita mentakwilkan ayat dua tangan dengan maksud kuasa sepertimana kenyataan ulama’ yang telah ana bawakan. Dua tangan tidak merujuk kepada bilangan dua kuasa kerana sememangnya tangan itu dua. Mewakili Kiri dan kanan. Seperti kita katakan melihat dengan dua mata. Sememangnya melihat dengan menggunakan dua mata bukan dengan dua telinga tetapi ia sebagai jalan taukid (menegaskan) lagi kita benar-benar melihat. Menggunakan dua tangan menunjukkan kita benar-benar buat dalam keadaan bersungguh.


2) Kuasa merupakan sifat wajib bagi Allah adapun tangan merupakan sifat yang mustahil bagi Allah kerana bersalahan dengan sifat mukhalafatuhul lilhawadith.


3) Mengisbatkan tangan bagi Allah boleh menyebabkan kufur dan murtad kerana menyandarkan sifat yang tidak layak bagi Allah dan mensyirikan (menyekutukan) Allah dengan makhluk.. Nauzubillahi min zaalik. Awasi dan jauhi daripada i’tiqad sebegini.

Sumber : Mohd Al-Amin Daud

Rabu, 27 Mei 2009

Kepentingan Adab Dalam Menuntut Ilmu

May 27th, 2009 by Aljoofre

Alhamdulillah, dengan taufiq Allah selesai pembacaan kitab Ta’limul Muta’allim semalam di Shoubra. Moga sama-sama yang mengajar dan yang belajar dapat faedah.

Pada permulaan kitab ini, Assyaikh Burhanul Islam Azzarnuji telah menulis:

“Maka apabila aku melihat ramai penuntut ilmu pada zaman kita ini bersungguh-sungguh kepada ilmu, dan mereka tidak sampai pula (tidak mendapat manfaat dan hasilnya iaitu beramal dan menyebarkannya), terhalang kerana bahawasanya mereka telah salah jalannya dan meninggalkan syarat-syaratnya. Dan setiap yang tersalah jalan akan sesat, dan tidak mendapati tujuan, sedikit mahupun banyak. Maka aku ingin dan suka menerangkan kepada mereka jalan menuntut ilmu….”

Seterusnya Assyaikh Azzarnuji pun menyebutkan adab-adab atau jalan-jalan menuntut ilmu daripada niat menuntut ilmu itu sendiri hinggalah kepada memilih guru dan rakan-rakan, pentingnya mengagungkan ilmu dan ulamak, warak dan pelbagai lagi jalan yang sebenar dalam menuntu ilmu.

Saya sebutkan perkara di atas apabila mendapati pada zaman kita hari ini, terlalu banyak (dan tentu lebih banyak lagi dari zaman Imam Zarnuji hampir 10 abad yang lalu) di kalangan kita yang mencari ilmu dengan bersungguh-sungguh, akan tetapi tidak mendapat faedah daripada ilmunya, baik untuk dirinya sendiri mahupun untuk masyarakat. Malah hari ini ramai yang bukan dari aliran agama pun ingin belajar ilmu agama. Sangat baik. Tetapi mengapa tidak didapati barakahnya?

Antara sebabnya adalah “tersalah jalan” itu sendiri. Adab menuntut ilmu sudah terlalu jauh untuk diamalkan. Ingatlah menuntut ilmu agama ini bukanlah dengan mengumpul dan menghadam maklumat di otak kita sahaja. Saya selalu sebutkan, jika demikianlah, maka harddisk saya jauh lebih alim dari kita semua. Di dalamnya mengandungi hampir 100 Gigabyte maklumat dari jutaan helaian kitab. Kita, berapa helai sangat dapat menghafal?

Salah jalan ini biasanya berlaku pada perkara-perkara yang telah disebutkan oleh Syaikh Azzarnuji itu sendiri. Saya sebutkan tiga daripadanya:

1) Niat

- Berapa ramai di kalangan kita belajar kerana mudah bekerja dan mengumpul harta dunia nanti dengan sekeping pengiktirafan ijazah?
- Berapa ramai pula yang belajar untuk menunjukkan diri lebih alim daripada orang lain?
- Berapa ramai pula yang belajar untuk menjadikan dirinya dipuji dan dihormati?
- Berapa ramai pula di kalangan kita yang belajar untuk mencari-cari kesalahan ulamak terdahulu?
- Berapa ramai yang belajar untuk mencari bukti bahawa pendapat aku sahaja yang betul sedangkan amalan ummat Islam di Malaysia sebenarnya salah belaka?
- Berapa ramai pula menutut ilmu tanpa diniatkan langsung untuk balik ke tempat masing-masing bagi berjuang menegakkan Islam?

2) Memilih guru

- Berapa ramai di kalangan kita yang tidak berhati-hati memilih guru lantas belajar dengan orang yang tidak betul pemikirannya?
- Berapa ramai di kalangan kita yang belajar dengan guru yang tidak menjaga adab sebagai guru (mengutuk sana sini, mencerca alim ulamak, tidak berakhlak dalam kata-kata mahupun perbuatan dsb.)?
- Berapa ramai di kalangan kita belajar sesuatu ilmu bukan dari ahlinya (belajar Feqh dari jurutera, belajar hadis dari ahli bahasa dsb.)?
-Lebih teruk lagi, berapa ramai pula yang belajar tanpa guru? Membaca sana dan sini, lalu mengambil fahaman sendiri daripada penulisan ulamak.

3) Mengagungkan ilmu dan ulamak

- Berapa ramai dari kita yang mengetahui cara mengagungkan ilmu yang disebutkan oleh para ulamak terdahulu?
- Berapa ramai di kalangan kita yang tidak menghormati kitab ilmu?
- Berapa ramai di kalangan kita yang meletakkan ilmunya sendiri di tempat yang rendah, lalu dengan mudah boleh dijual beli dengan kepentingan dunia?
- Berapa ramai pula yang tahu adab sebagai seorang murid tetapi tidak tahu atau tidak mempraktikkan ada sebagai guru?
- Berapa ramai yang tidak pula tahu membezakan antara meletakkan ilmu di tempat yang tinggi dengan takabbur atau menghina diri?
- Berapa ramai pula tidak reti-reti beradab dengan para ulamak agung, lalu diletakkan ulamak itu setaraf dengannya dalam pemikiran dan pemahaman dengan alasan mereka jua manusia yang tidak maksum?
- Berapa ramai di kalangan kita yang terpengaruh dengan kalam beberapa kerat ustaz mee celup hari ini yang dengan lantang mengkritik ulamak silam, lalu merasa sangsi dengan para ulamak itu?
- Berapa ramai di kalangan kita yang bermulut celupar mengutuk deretan ulamak yang sudah lama mengorbankan diri untuk perjuangan Islam?
- Berapa ramai pula yang bermulut celupar terhadap para ulamak terdahulu dan dengan sesedap hati mengatakan ulamak terdahulu sesat, melakukan bid’ah, berfalsampah dalam bab Aqidah, dan pelbagai lagi kata nista?

Apabila kita nilai semula semua persoalan di atas, tentu sekali kita akan menjawab, “teralalu banyak.” Maka tidak hairanlah apabila kita dapati terlalu banyak orang yang ingin mendalami ilmu agama, akan tetapi jauh tersasar dari kebenaran, barakah tiada, manfaat juga sirna, lalu tidak dapat menegakkan yang haq.

Jelaslah pada kita betapa pentingnya adab dalam menuntut dan menyebarkan ilmu. Tiada adab, nescaya tersalah jalanlah kita. Salah jalan bermakna sesat. Kalau orang yang belajar agama pun boleh sesat, bagaimana pula dengan yang tidak mahukan agama kan…

Penulis : Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre

Menahan Haidh Untuk Berpuasa Ramadhan Sebulan Penuh

MENAHAN HAIDH UNTUK BERPUASA RAMADHAN SEBULAN PENUH

( Bilangan 291)

بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Bulan Ramadhan mempunyai banyak kelebihan, antaranya ia merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan yang menjadi rebutan dan idaman bagi orang-orang Islam yang menghargainya.

Mereka dengan sedaya-upaya memperbanyakkan amal ibadat mereka pada bulan Ramadhan kerana segala amal ibadat yang dikerjakan pada bulan ini telah dijanjikan dengan ganjaran pahala yang berganda-ganda.

Melihat kepada kelebihan yang tinggi nilainya itu, sepatutnya tiada siapa pun yang mahu melepaskan peluang untuk memperolehi laba dan untung pahala yang dijanjikan, jauh sekali untuk meninggalkan begitu sahaja peluang tersebut.

Menyentuh mengenai puasa fardhu di bulan Ramadhan, antara syarat sah puasa itu hendaklah seseorang itu suci daripada haidh dan nifas pada siang hari Ramadhan. Oleh yang demikian, puasa tidak wajib ke atas perempuan yang haidh dan nifas. Bahkan jika dia berpuasa juga, maka hukum puasanya itu tetap tidak sah, malahan perbuatannya itu adalah haram.

Hukum Mengqadha Puasa Yang Tertinggal

Jika sekiranya seseorang itu mendapati darah haidh atau nifas keluar pada siang hari di bulan Ramadhan, maka puasanya itu menjadi batal. Berbeza dengan sembahyang fardhu yang ditinggalkan pada harihari haidh atau nifas, puasa fardhu yang ditinggalkan kerana haidh atau nifas adalah wajib diqadha pada hari yang lain sebanyak hari yang ditinggalkan itu.

Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha pernah ditanya oleh Mu‘adzah mengenai perempuan yang haidh diwajibkan mengqadha puasa tetapi tidak dalam perkara sembahyang. Beliau lalu menegaskan jawapan berikut:

Maksudnya:
“Maka kami diperintahkan untuk mengqadha puasa dan kami tidak diperintahkan untuk mengqadha sembahyang.”
(Hadis riwayat Muslim)

Persoalan Memakan Ubat Menahan Haidh Di Bulan Ramadhan

Memandangkan kelebihan dan keberkatan yang terdapat pada bulan Ramadhan, ada sesetengah golongan perempuan mahu untuk melaksanakan ibadat puasa sepanjang bulan tersebut tanpa
dihalangi oleh uzur syar‘ie yang khusus dialami oleh perempuan, iaitu haidh, walaupun disedari perkara haidh merupakan perkara fitrah dan keadaan semula-jadi yang dikurniakan oleh Allah
Subhanahu wa Ta‘ala kepada perempuan.

Atas pertimbangan inilah timbul keinginan sesetengah individu untuk mengambil atau memakan ubat seperti yang dilakukan oleh jemaah perempuan yang pergi menunaikan fardhu haji atau ketika umrah. Tujuannya ialah untuk menahan kedatangan darah haidh atau melambatkannya supaya dapat melaksanakan ibadat puasa sebulan penuh.

Persoalannya apakah hukum perempuan menahan haidh ketika di bulan Ramadhan, adakah boleh disamakan atau diqiyaskan dengan hukum perempuan memakan ubat menahan haidh pada musim haji? Untuk menjawabnya, maka berikut dibawakan pendapat ulama secara ringkas.

Ulama ada menyebut perkara menahan haidh dengan tujuan agar dapat mengerjakan tawaf fardhu bagi haji dan tiada pula para ulama tadi melarang perbuatan menahan haidh kerana tujuan itu. Ini supaya perempuan berkenaan dapat mengerjakan tawaf haji dan dapat balik ke negerinya bersama-sama rombongan haji dan selesai haji perempuan berkenaan pada tahun itu.

Oleh yang demikian, jika dikiaskan menahan haidh kerana tujuan tawaf haji beserta tiada larangan atau tegahan daripada para ulama terhadap perempuan yang berbuat sedemikian, maka dari itu dibolehkan juga bagi perempuan menahan haidh dengan tujuan supaya dia dapat berpuasa Ramadhan sebulan penuh.

Sebagai kesimpulan, setakat yang diketahui bahawa tiada nash atau dalil yang melarang perempuan mengambil atau memakan ubat menahan haidh dengan tujuan untuk berpuasa sebulan penuh, maka ia boleh dilakukan tetapi dengan syarat perbuatan tersebut tidak akan memudharatkan ke atas perempuan berkenaan. Hukum ini dikiaskan kepada perempuan yang menahan haidh dengan tujuan untuk menyempurnakan tawaf fardhu ketika haji.

Akan tetapi, jika sebaliknya tindakan tersebut boleh menyebabkan kemudharatan, maka tindakan tersebut adalah dilarang. Untuk mengetahui perkara tersebut, maka adalah
dinasihatkan kepada perempuan yang berhajat untuk berbuat demikian, terlebih dahulu
meminta nasihat daripada pakar perubatan.

Sumber : Mufti Brunei

Selasa, 26 Mei 2009

AGAMA URUSAN ULAMA

Oleh:
Dr Asmadi Mohamed Naim

Persoalan peranan ulama kerap diperkatakan kebelakangan ini kerana kedudukannya yang tinggi di mata masyarakat. Namun, kebelakangan ini ada ungkapan yang mempersoalkan perkara tersebut. Perkara ini juga perlu dilihat dari hidayah al-Quran dan sunnah supaya masyarakat dapat melihat kebenaran sebenar pada perkara ini.

Ungkapan seperti: ‘Perubatan moden adalah untuk semua masyarakat’ sudah diterima umum. Namun sekiranya datang Si A berkata: Walaupun saya belajar bertani, namun disebabkan perubatan untuk semua, maka saya juga layak jadi doktor dan boleh mengubat penyakit saudara walaupun saya tidak belajar perubatan. Demikian juga ungkapan: ‘Kejuruteraan moden untuk semua’. Namun datang pula Si B mengatakan: Walaupun saya belajar kedoktoran, saya juga layak menjadi jurutera dan mahu mempraktikkan bidang kejuruteraan.

Masyarakat yang mendengar kata-kata tersebut, pasti beranggapan bahawa sesiapa yang berubat dengan Si A akan menerima bahaya. Begitu juga dengan halnya Si B, masyarakat akan berpandangan bahawa walaupun dia pandai dari sudut perubatan, namun bangunan yang dibinanya belum tentu kukuh dan merbahayakan masyarakat umum.

Kalau demikian kedudukannya, Islam adalah agama untuk semua adalah ungkapan yang sememangnya diterima. Namun adalah tidak betul mengatakan urusan agama, mentafsirkan al-Quran, menghukum kesahihan hadis dan mengeluarkan hukum boleh diberi sebebas-bebasnya untuk masyarakat awam.

Sekiranya seseorang mengamalkan perubatan tanpa ilmunya yang sah, pasti merbahayakan masyarakat dan boleh membawa kematian. Demikian juga urusan agama, sekiranya ditafsirkan dan dihuraikan oleh bukan ahlinya, pasti membawa kepada penyelewengan yang membawa kehidupan sebelum mati dan sesudah mati. Kebiasaannya, mana-mana ajaran sesat datangnya dari pengaruh seseorang kepada masyarakat awam.

Benarlah Firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl, 43 yang bermaksud:

Maka hendaklah kamu bertanya kepada orang-orang yang mengetahui sekiranya kamu tidak mengetahui.


Sabda Rasulullah SAW:
Sekiranya diserahkan urusan kepada orang yang tidak mengetahui tunggulah saat binasa.


Hadis tersebut dengan jelas menghuraikan kebinasaan sekiranya diserahkan urusan kepada bukan ahlinya, lebih-lebih lagi dalam urusan agama.


Pandangan Imam Shafie Rahimahullah:

Berkata Imam al-Shafie Rahimahullah (nasir al-sunnah) dalam kitabnya al-Risalah (Hal: 510) yang bermaksud:
Tidaklah berijtihad (qiyas) kecuali sesiapa yang mempunyai kemampuan iaitu ilmu mengenai kitabullah samada perkara fardhunya, kesusasteraannya (balaghahnya), nasikhnya, mansukhnya, ‘amnya, khasnya dan panduannya. Dia (mujtahid) berdalilkan pada perkara-perkara yang boleh ditakwilkan dengan sunnah Rasulullah SAW. Sekiranya tidak ada, maka dengan ijma’ al-muslimin. Sekiranya tiada ijma’, maka dengan qiyas.


Kemudian Imam Syafie berkata lagi:
Tidaklah boleh untuk sesiapapun berijtihad sehingga ia menjadi alim dengan sunnah-sunnah, perkataan-perkataan Salaf, persepakatan masyarakat dan perbezaan pandangan di kalangan mereka dan mahir bahasa Arab.

Imam Shafie berkata lagi:
Tidaklah boleh untuknya berijtihad (qiyas) sehingga dia merupakan seorang yang berakal sehingga boleh membezakan antara yang musytabih, tidak gopoh untuk memperkatakan sesuatu sehingga ia mempastikannnya.


Tambah Imam besar itu lagi:
Dia (mujtahid) tidak menolak untuk mendengar pandangan orang yang menyanggahnya kerana kemungkinan melalui mendengar tersebut dapat mengelakkan lupa dan menambah keyakinannya pada perkara yang ia yakin kebenaran.


Tegahan Imam Shafie:

Imam Shafie berkata lagi dalam kitabnya al-Risalah (Hal. 511):
Manakala sesiapa yang sempurna akalnya, namun bukan seorang yang berilmu (sebagaimana diperkatakan tadi), tidak halal baginya berijtihad, kerana sesungguhnya dia tidak mengetahui apa yang diijtihadkannya, sebagaimana tidak dibolehkan seorang ahli fiqh memperkatakan mengenai harga dirham walhal dia tidak mempunyai pengalaman di pasar.


Dengan itu benarlah kata-kata Rasulullah: Ulama` adalah pewaris para nabi. Merekalah yang menyambung tugas-tugas masyarakat.

Kesimpulannya, urusan agama ini adalah urusan ulama. Ulama sahajalah yang dapat membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Kebanyakan ajaran sesat dilahirkan apabila dibiarkan orang-orang awam mentafsirkan agama sewenang-wenangnya. Demikian juga aliran sesat menyesat secara taksub pada perkara khilafiyah dalam ibadah diikuti oleh masyarakat awam yang lemah asas agama.

Pada masa yang sama, masyarakat harus mengenali siapakah ulama yang sebenar. Sistem pelajaran moden, yang memisahkan ilmu-ilmu Syariah kepada al-Quran, al-Sunnah, Syariah, Dakwah dan Bahasa Arab telah melahirkan cerdik pandai Islam yang hanya pakar dalam sesuatu bidang ilmu. Seseorang mungkin dikatakan pandai hadith, tetapi tidak mempunyai kefaqihan atau tidak mahir dalam pembacaan nas-nas ulama. Demikian juga sebaliknya. Demikian juga pandai bahasa Arab sahaja tidak memboleh seseorang itu pandai mentafsir al-Quran. Kalau Bahasa Arab sahaja membolehkan seseorang mentafsirkan al-Quran, nescaya semua orang-orang Arab sudah menjadi ulama.

Sekiranyanya, lulusan agama universiti moden ini mengakui kelemahan masing-masing, akan lahir saling bergandingan untuk menegakkan kebenaran. Namun sekiranya graduan tersebut tidak menyedarinya, dan tidak mahu menghadapinya, akan lahir golongan yang disebut oleh ramai professor-profesor Syariah kepada anak-anak muridnya iaitu:
Kamu memasuki universiti dalam keadaan tawaduk, namun kamu keluar dalam keadaan takabbur.


Oleh itu, masyarakat perlu menghormati peranan ulama kita samada dulu mahupun sekarang. Kita mengharapkan institusi ulama terus dihormati kerana peranan besar mereka di kalangan masyarakat.

Wallahu a’lam.

Sumber: Utusan Malaysia, 22 Disember 2006

Penulis : Dr Asmadi Mohamed Naim

Sebutkan Sebahagian Daripada Ulama' Sufi ?

Ulama' yang berkecimpung dalam arena kesufian adalah ramai. Di antaranya, Imam al Ghazali, Imam Abu Nu'aim, al Hafiz Ibn al Solah, Imam al 'Izuddin ibn Abdul Salam, Imam Nawawi, Imam Suyuthi, Imam al Subki radiyaLlahu 'anhum dan lain-lain.

Bahkan Abu Nu'aim menyebut dalam kitab al Hilyah, bahawa imam ahli sufi juga terdiri daripada imam mazhab yang empat iaitu ImamAbu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad ibn Hanbal.

Cukuplah mereka sebagai qudwah (ikutan) kaum Muslimin samada di timur mahu pun di barat dan pengikut mereka pula adalah dari kalangan Ahli Sunnah wal Jama'ah.

Pendapat Imam 4 Mazhab Tentang Tasawuf

Imam Malik ibn Anas merupakan salah seorang dari kalangan Imam Ahli Sunnah Wal Jama'ah. Beliau hidup pada kurun k 2 dan wafat pada tahun 179 Hijrah. Beliau berkata :

Sesiapa yang belajar ilmu feqah tetapi tidak belajar ilmu tasawwuf, maka ia adalah fasiq. Sesiapa yang belajar ilmu tasawwuf tetapi tidak belajar ilmu feqah maka ia adalah zindiq, dan sesiapa yang mengumpulkan kedua-duanya, maka ia adalah ahli haqiqat.
Qawaid al Tasawuf, karangan Syeikh al Faasi, halaman 3.

Orang yang berilmu tetapi tidak mempunyai adab dan keikhlasan, kadang kala akan menyebabkan ia menjadi fasiq. Mempelajari adab dan banyak berzikir tanpa mengetahui ilmu, kadang kala akan menyebabkan seseorang itu menjadi kafir zindiq. Manakala orang yang menghimpunkan di antara ilmu dan adab serta zikir-zikir sahajahlah, yang mengetahui haqiqat agama ini.

Sebagaimana yang diperkatakan oleh Imam Syafi'e : Aku telah mendampingi ahli sufi, maka aku telah mendapat faedah daripada mereka dua kalimah. Mereka menyatakan :

"Waktu itu seperti pedang, sekiranya kamu tidak memotongnya, maka ia akan memotong kamu.

Sekiranya diri kamu tidak disibukkan dengan perkara kebenaran, maka ia akan menyibukkan kamu dengan perkara-perkara yang batil.
Ta'yid al Haqiqah al 'Aliyyah karangan Imam Suyuti, halaman 15

Oleh yang demikian, Syeikh Ali al Masyhur menyatakan : Tidak mengetahui nilai masa melainkan dua golongan; ahli sufi dan ahli fikir Barat.

Imam Ahmad ibn Hanbal mewasiatkan kepada anaknya, AbduLlah dengan berkata :

"Wahai anakku! Hendaklah kamu duduk bersama kaum ini (ahli sufi) kerana mereka telah melebihi kami dengan banyaknya ilmu, muraqabah, khasyah (takut kepada ALlah), zuhud dan tinggi himmah.
Tanwir al Qulub karangan Syeikh Amin al Kurdi, halaman 405.


Sumber : Al Allamah Abu AbduLLah 'Alawi al Yamani, Intabih diinuka Fi Khatrin, Agamamu Dalam Bahaya, terjemahan Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki, Cetakan Kedua, Sofa Production, Selangor.

Apakah Dia Usul Tasawuf ?

Usul Tasawuf sebagaimana yang disebut oleh Sahl al Tasturi mengandungi enam perkara :

1. Berpegang dengan Kitab ALlah.
2. Mengikut Sunnah RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam
3. Memakan makanan yang halal
4. Meninggalkan kezaliman
5. Menjauhi maksiat
6. Bertaubat
7. Menunaikan segala hak kewajipan

(Al - Tobaqat al Kubra karangan Imam al Sya'rani (1/66)

Apakah Makna Perkataan Sufi?

Ketahuilah bahawa di sisi ahli bahasa, kalimah sufi mempunyai bermacam-macam makna. Di antara pendapat mereka ialah :

Kalimah sufi diambil dari perkataan ahli suffah iaitu orang-orang yang tinggal di anjung Masjid Nabawi di Madinah yang disediakan oleh RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam untuk sahabat-sahabatnya yang miskin. Mereka telah memutuskan hubungan dengan dunia dan meluangkan masa untuk beribadah.

Dikatakan kalimah sufi diambil dari perkataan orang yang berada di sof yang pertama.

Dikatakan jua ia berasal dari perkataan mensucikan hati.

Dikatakan, ia dinisbahkan kepada pakaian berbulu.

Imam al Subki bernasyid :

Telah bercanggah pendapat manusia semenjak dahulu di dalam memberikan makna sufi,
Dan mereka telah berselisih pendapat padanya, mereka menyangka ia terbit daripada perkataan suf (pakaian daripada bulu kambing),
Dan aku tidak sekali-kali memberikan nnama ini melainkan kepada pemuda yang telah mensucikan dirinya, maka ia menjadi sufi (bersih) sehingga dinamakan sebagai sufi."
Tasawuf bukanlah suatu mazhab kerana tasawuf merupakan suluk, adab dan jalan menuju ALlah, melalui seseorang Masyaikh Murabbi (guru pendidik).


Sumber : Al Allamah Abu AbduLLah 'Alawi al Yamani, Intabih diinuka Fi Khatrin, Agamamu Dalam Bahaya, terjemahan Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki, Cetakan Kedua, Sofa Production, Selangor.