BERAMAL dengan hadis daif adalah harus berdasarkan ijmak ulama terdahulu.
SUDAH banyak kali dan di pelbagai kesempatan, penulis menjelaskan tentang kedudukan dan peranan hadis daif berdasarkan manhaj yang digunakan oleh jumhur ulama. Sewajarnya tidak timbul lagi persoalan tentang manhaj atau kaedah yang diguna pakai oleh penulis. Secara asasnya menurut jumhur ulama, hadis daif tidak boleh digunakan dalam bab akidah dan hukum. Namun dalam bab fadhail amal, sirah, motivasi, hikayat dan sebagainya, iaitu selain akidah serta hukum ia boleh diguna pakai. Ertinya, hadis daif tidak ditolak secara mutlak di sisi mereka.
Adapun sesetengah pihak yang mendakwa mengikut aliran Ahli Hadis, namun menolak hadis daif secara mutlak, malah 'membakulsampahkannya' bersama hadis palsu, maka perbuatan mereka ini sebenarnya bukanlah manhaj majoriti Ahli Hadis. Ini kerana manhaj majoriti mereka termasuk Imam Malik, Imam Ahmad dan Imam al-Bukhari menerima serta memuatkan hadis daif dalam sebahagian karangan mereka.
Tidak dinafikan bahawa al-Hafiz al-Sakhawi (wafat 902H) ada menukilkan dalam al-Qawl al-Badi' pendapat yang menyatakan tidak boleh beramal dengan hadis daif secara mutlak. Beliau menisbahkan pendapat ini kepada Imam Ibnu al-Arabi (wafat 453H). Bagaimanapun, terdapat keraguan terhadap pendapat yang dinisbahkan kepada Ibnu al-Arabi ini terutama kerana beliau bermazhab Maliki dan antara usul mazhab berkenaan ialah boleh berhujah dengan hadis mursal, sedangkan ia dinilai sebagai daif oleh Ahli Hadis. Malah, terdapat pelbagai bukti beliau tidak menolak hadis daif secara mutlak.
Antaranya, dalam kitabnya 'Aridhah al-Ahwazi tentang hadis mendoakan orang yang bersin melebihi tiga kali, beliau berkata: "Abu 'Isa (at-Tirmizi) telah meriwayatkan sebuah hadis perawi majhul (tidak diketahui sebagai ahli riwayat) iaitu: 'Jika kamu suka kamu boleh mendoakannya dan jika kamu suka tidak perlu mendoakannya', namun ia sekalipun ada perawi majhul adalah mustahab beramal dengannya kerana ia hanya berbentuk mendoakan kebaikan, menghubungkan silaturahim dengan rakan serta mengeratkan persaudaraan dengannya."
Justeru itu, Syeikh Abd al-Fattah Abu Ghuddah berpendapat bahawa pendirian Ibn al-Arabi terhadap hadis daif sebenarnya adalah sama sepertimana pendirian jumhur ulama (lihat: Thalath Rasa'il fi Istihbab al-Du'a' wa Raf' al-Yadayn, hlm 102 & 143)
Syeikh Muhammad ʻAwwāmah dalam ḤHukm al-'Amal bi al-Hadith al-Da'if (hlm 133-219) telah membincangkan secara terperinci dakwaan yang mengatakan tidak boleh beramal dengan hadis daif secara mutlak.
Beliau menyenaraikan 15 tokoh ulama dahulu yang didakwa tidak beramal dengan hadis daif iaitu Imam Ibn Ma'in, Imam Ahmad, Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Imam Yahya az-Zuhli, Imam Abu Zur'ah, Imam Abu Hatim, anaknya Imam Ibn Abi Hatim; Imam Ibn Hibban, Imam al-Khattabi, Imam Ibn Hazm, Imam Ibn al-Arabi, Imam Abu Syamah, Syeikh Ibn Taimiyah dan Syeikh Jalaluddin ad-Dawwani. Kemudian beliau mengkritik satu persatu dakwaan yang dinisbahkan kepada mereka itu yang ternyata tidak benar berdasarkan bukti ilmiah apabila setiap mereka ditemui turut menerima atau mengguna pakai hadis daif.
Kajian beliau ini mengukuhkan lagi pernyataan sebahagian ulama tentang wujudnya ijmak ulama terhadap keharusan beramal dengan hadis daif dalam bab tertentu. Antaranya, kata Imam an-Nawawi (wafat 676H) dalam kitab al-Majmu' dan pada awal kitab al-Arba'in: "Telah bersepakat ulama atas keharusan beramal dengan hadis daif dalam fadhail amal (kelebihan amalan)." Demikian juga menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami (wafat 974H) dalam al-Fath al-Mubin dan al-Fatawa al-Hadithiyyah, Imam al-Hattab al-Maliki (wafat 954H) dalam Mawahib al-Jalil dan Mulla Ali al-Qari (wafat 1014H) dalam al-Haz al-Aufar dan al-Asrar al-Marfu'ah.
Malah, ramai ulama lain dalam kalangan mazhab Hanafi, Maliki, Syafii dan lain-lain yang mendokong pernyataan tersebut. Jika dakwaan ijmak ulama ini sahih, maka apa yang dinukilkan daripada Ibnu al-Arabi bahawa tidak boleh beramal dengan hadis daif secara mutlak perlulah ditakwil. Menurut al-Sayyid Alawi al-Maliki (wafat 1391H) dalam al-Manhal al-Latif (hlm 33), maksud sebenar kata-kata Ibnu al-Arabi ialah hadis yang bersangatan daifnya, yang langsung tidak dapat dijadikan hujah dan iktibar di sisi para ulama. Justeru, ia bukan semata-mata daif biasa kerana Ibnu al-Arabi masih menerima hadis yang berstatus daif dalam sebahagian karya beliau seperti Aridhah al-Ahwazi, Maraqi al-Zalaf dan Siraj al-Muridin, apatah lagi dalam menerima hadis mursal sebagaimana usul mazhabnya.
Kesemua penjelasan ini mengukuhkan lagi pernyataan Imam an-Nawawi dan lainnya yang menyebut beramal dengan hadis daif dalam bab selain akidah dan hukum adalah ijmak ulama terdahulu.
Dr Mohd Khafidz Soroni
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)
https://www.hmetro.com.my/addin/2022/10/892852/penolakan-mutlak-bukan-manhaj-majoriti-ahli-hadis
Tiada ulasan:
Catat Ulasan