CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Isnin, 14 Disember 2009

Beberapa Kesilapan Yang Mengakibatkan Sembahyang Tidak Sah Bab 1


Oleh:
Mufti Brunei

BEBERAPA KESILAPAN YANGMENGAKIBATKAN SEMBAHYANG TIDAK SAH

(BAHAGIAN PERTAMA)

بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Dalam sembahyang mempunyai rukun yang wajib dilaksanakan dan perkara-perkara sunat jangan diabaikan. Kecuaian seseorang dalam melaksanakannya boleh menyebabkan sembahyang itu tidak sah atau sekurang-kurangnya tidak sempurna.

Oleh itu, apa yang ingin dijelaskan di sini ialah berhubung dengan beberapa kesalahan yang sering dilakukan dalam mengerjakan sembahyang yang mana ia boleh mengakibatkan sembahyang itu batal atau tidak sah.

(1) Membaca Di Dalam Hati

Jika seseorang mengerjakan sembahyang dengan hanya membaca di dalam hati rukun-rukun qauli atau bacaan-bacaan yang sunat, adakah perbuatan seumpama ini memadai atau ia
boleh menjejaskan sembahyang?

(i) Rukun Qauli (Bacaan-Bacaan Yang Wajib)

Di dalam sembahyang adalah disyaratkan ketika melafazkan setiap rukun qauli iaitu takbiratulihram, surah al-Fatihah, tasyahhud akhir dan salam melafazkannya dengan suara
yang dapat didengar oleh diri sendiri iaitu jika keadaan pendengarannya baik dan tiada halangan untuk mendengarnya seperti bunyi bising.

Namun jika keadaan pendengarannya tidak baik seperti tuli ataupun ada halangan untuk mendengarnya seperti bunyi bising, maka tidaklah diwajibkan dia mendengarnya, akan tetapi dia tetap wajib melafazkan bacaannya dengan suara yang sekira-kira boleh didengarnya ketika keadaan pendengarannya baik atau ketika keadaan tidak bising.

Oleh itu adalah tidak sah bacaan setiap rukun qauli apabila ia tidak dilafazkan dengan suara yang dapat didengar oleh dirinya sendiri seperti hanya dibaca dalam hati. Ini menyebabkan sembahyang yang dikerjakannya tidak sah.

(ii) Bacaan-Bacaan Sunat

Sementara bacaan-bacaan atau zikir-zikir yang sunat seperti doa al-iftitah, at-ta‘awwudz, ayat atau surah dari al-Qur’an selepas al-Fatihah, tasyahhud awal dan seumpamanya adalah dituntut juga untuk melafazkannya dengan suara yang didengar oleh diri sendiri bagi mendapatkan pahala sunat. Jika tidak dilafazkan dengan suara demikian seperti dibaca dalam hati sahaja tidaklah menjejaskan sahnya sembahyangnya, tetapi dia tidak mendapat pahala sunat.

(2) Mengerjakan Sembahyang Dengan Cepat

Disebabkan seseorang itu ingin cepat selesai dari mengerjakan sembahyang, kadangkala terabai tuntutan melakukan thuma’ninah di dalam sembahyang itu. Kecuaian dan kelalaian
dalam melakukan thuma’ninah ini boleh menyebabkan sembahyang itu tidak sah.

Thuma’ninah merupakan salah satu rukun sembahyang. Thuma’ninah bermaksud tetap anggotanya ketika melakukan suatu rukun fi‘li di dalam sembahyang sekurang-kurangnya
dengan kadar bacaan zikir: “ سبحان الله ” sebelum beralih ke rukun fi‘li seterusnya.

Thuma’ninah itu diwajibkan ketika ruku‘, i‘tidal, kedua-dua sujud dan duduk antara dua sujud, sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa ketika
mana seorang lelaki selesai mengerjakan sembahyang di masjid, kemudian dia memberi salam kepada Baginda dan Baginda menjawab salamnya lalu bersabda:

Maksudnya:
“Kembalilah dan kerjakan sembahyang (semula), sesungguhnya engkau belum sembahyang.” Maka lelaki itu pun kembali dan mengerjakan sembahyang seperti sembahyang yang telah dia kerjakan. Kemudian dia datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu memberi salam kepada Baginda. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Dan ke atasmu salam kesejahteraan.” Kemudian Baginda bersabda: “Kembalilah dan kerjakan sembahyang (semula), sesungguhnya engkau belum sembahyang.” Sehinggalah dia melakukan yang demikian itu sebanyak tiga kali.


Lalu berkata lelaki itu:
“Demi Yang Mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak dapat mengerjakan sembahyang yang lebih baik daripada ini, ajarkanlah aku.” Baginda bersabda: “Apabila engkau mengerjakan sembahyang maka bertakbirlah, kemudian bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagimu. Lalu ruku‘lah sehingga engkau thuma’ninah dalam ruku‘mu, kemudian bangkitlah sehingga engkau lurus berdiri dengan berthuma’ninah. Lalu sujudlah sehingga engkau berthuma’ninah dalam sujudmu, kemudian bangkitlah sehingga engkau thuma’ninah dalam dudukmu. Kemudian lakukanlah yang demikian itu di dalam sembahyangmu pada setiap rakaat.”
(Hadits riwayat Muslim)

Thuma’ninah ketika ruku‘ ialah tetap anggotanya semasa melakukan ruku‘ sebelum bangkit untuk melakukan i‘tidal. Sementara thuma’ninah ketika i‘tidal ialah tetap anggotanya semasa i‘tidal sebelum bergerak untuk melakukan sujud. Adapun thuma’ninah ketika melakukan sujud ialah tetap anggotanya semasa sujud sebelum bangkit daripada sujud.

Thuma’ninah ketika duduk antara dua sujud pula tetap anggotanya semasa duduk antara dua sujud sebelum melakukan sujud kedua.

Jika seseorang itu ruku‘ lalu terus berdiri tanpa thuma’ninah, maka wajib dia kembali semula melakukan ruku‘ berserta thuma’ninah, kemudian baharulah dia berdiri untuk i‘tidal. Maka sembahyang yang dikerjakan dengan cepat atau tergesagesa boleh mengakibatkan tertinggalnya rukun thuma’ninah ini. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa rukun sembahyang jika tidak ditunaikan menyebabkan sembahyang tidak sah.

(3) Sujud Dengan Tidak Mengendahkan Kedudukan Jari Kaki

Kecuaian dalam melakukan sujud juga kadang-kadang terjadi, seperti kedudukan jari kaki yang tergantung-gantung atau hanya meletakkan belakang jari kaki ke bumi. Ketika melakukan sujud diwajibkan meletakkan kesemua tujuh anggota sujud ke bumi. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya:
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam diperintahkan (oleh Allah) untuk sujud di atas tujuh anggota dan tidak mengikat rambutnya (supaya tidak terburai ketika sujud) serta tidak menyingsing pakaian: (Iaitu) dahi, kedua tangan, kedua lutut dan kedua kaki.”

(Hadits riwayat al-Bukhari)

Apa yang dimaksudkan dengan sujud di atas tujuh anggota itu ialah meletakkan sebahagian dahi, sebahagian kedua lutut, sebahagian telapak tangan atau perut jari kedua tangan dan
sebahagian perut jari kedua kaki.

Oleh itu, tidak sah sujud itu dengan hanya meletakkan belakang telapak tangan, hujung-hujung jari atau tepi-tepinya. Begitu juga, tidak memadai sujud dengan hanya meletakkan belakang jari kaki apatah lagi membiarkannya tergantung-gantung. Ini berbeza halnya jika ada keuzuran seperti putus tangan atau putus jari-jari kaki, maka gugurlah kewajipan untuk
meletakkannya.

bersambung

Sumber : Mufti Brunei

3 ulasan:

InCeK SaPpiL berkata...

salam ustaz, saya seorang pelaut. bagaimanapun kapal saya tidaklah sentiasa berlayar seperti kapal kontena atau tanker. kapal saya hanya berlayar dari base (pelabuhan) ke platform minyak di sekitar lautan malaysia. jarak perjalanan biasanya melebihi 100 batu nautika dari base yang membolehkan saya jamak solat fardu. soalannya, adakalanya kapal saya berada di sekitar (bergerak tapi tidak terlalu jauh, sekadar bertukar posisi kapal) platform itu untuk jangkamasa yang lama sehingga sebulan lamanya. adakah saya masih boleh menjamakkan solat fardu saya? terima kasih.

Admin berkata...

Assalamu'alaikum tuan yang dirahmati ALlah, Mohon dilanjutkan pertanyaan ini kepada ustaz salman : Http://akhisalman.blogspot.com - beliau mahir dalam perkara feqh ataupun dapat berhubung dengan para ustaz yang mahir dalam usul feqh, feqh perbandingan yang telah diletakkan di halaman utama blog ini,

JazakaLlah ya :)

FH berkata...

Done read :) Sambunglah lagi.May ALLAH bless ;)