CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Khamis, 31 Disember 2009

'Bahtera Perubahan' Dalam Seminar Takhrij Hadith Nusantara (?)

Oleh : Ustaz Khafidz bin Soroni

- Alhamdulillah hari ini saya berkesempatan menyertai Seminar Takhrij Hadith Nusantara di UM (blog seminar). Hari ini saya sebagai pendengar saja. Sebagaimana biasa seminar-seminar di IPT, rata-rata pembentang adalah berkelulusan master atau Ph.D di dalam bidang kepakaran yang berkenaan. Adakalanya ada juga pelajar master yang membentang. Para pembentang juga biasanya dari kalangan pensyarah-pensyarah di IPT. Dari sudut ini, dapat dilihat semacam ada dinding antara mereka dengan tok-tok guru, syeikh-syeikh, ustaz-ustaz serta lain-lain ahli ilmu di luar IPT. Dalam pengalaman saya, jarang ada jemputan khas dari kalangan mereka. Apa yang baik, di kalangan ahli-ahli akademik walaupun berbeza kecenderungan masing-masing, mereka dididik agar bersifat terbuka dalam pelbagai masalah dan isu, asalkan ia berpaksi kepada hujah dan dalil. Tiada ketaksuban kecuali dalam mengikut nas dan dalil. Namun adakalanya sifat keterbukaan itu hanya meniti di mulut kemudian dilemparkan ke tepi sahaja.

- Dalam bidang hadith di IPT, kebanyakan mereka yang takhassus adalah orang-orang yang saya kenali atau biasa namanya disebut-sebut. Tidak ramai yang di peringkat veteran, namun bilangannya di peringkat syabab (orang muda) semakin bertambah dari tahun ke tahun. Namun, tidak ramai yang daripada lulusan al-Azhar (Mesir), dan banyak yang daripada lulusan tempatan, Jordan dan Saudi. Fenomena ini turut menjadi perhatian saya kerana berdasarkan pengalaman, pelajar lulusan al-Azhar biasanya punya cara berfikir yang sedikit berbeza dengan pelajar lulusan tempat lain. Antara sebabnya mungkin kerana mereka hidup dalam masyarakat Arab Mesir yang mengamalkan berbagai-bagai mazhab fiqh dan juga tariqat-tariqat sufi yang subur, selain turath ulama yang tidak terkira banyaknya. Kesan fenomena ini ialah hingga ada yang berkata kepada saya: "Semua 'orang hadith' sekarang nampaknya cenderung kepada 'wahabi'...". (????....) Satu tamparan ringan sebenarnya buat saya.

- Dalam pembentangan utama seminar sebelah pagi ada dua orang yang tidak asing namanya disebut dalam bidang hadith, iaitu Dr. Muhammad Abu al-Laith, UIA dan Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin, USM. Dr. Abu al-Laith walaupun cenderung kepada salafi, pada hemat saya beliau agak bersifat terbuka yang memang layak sebagai seorang ahli akademik. Antara katanya (bermaksud):
Asya'irah dan Maturidiyyah juga adalah salafiyyun...

- Hingga tiba pembentangan Dr. Asri bertajuk "Salah Faham Terhadap Tujuan Isnad". Saya mengharapkan hari ini beliau tidak akan bercakap perkara yang dapat membuat 'kepanasan' orang lain. Saya harap biarlah beliau bercakap dengan benar-benar ilmiah. Jika beliau hendak mengkritik orang lain sekalipun, biar dibawakan hujah pro dan kontra, dalil kawan dan lawan, kemudian masing-masing dinilai dan seterusnya baru mentarjih. Saya mengharap itu. Namun saya sedikit kecewa apabila kertas kerja beliau tidak ada disertakan agar dapat disemak dan dibaca. Maka para hadirin hanya mendengar ucapan beliau serta melihat slaid power-point yang disediakannya. Bagaimanapun, apa yang saya harapkan di awal tadi tidak berlaku hari ini. Setelah selesai ucapan beliau, baru saya benar-benar sedar bahawa tajuk beliau tersebut rupa-rupanya bertujuan untuk 'menyerang' orang-orang yang mengadakan pengajian-pengajian bersanad pada masa sekarang ini.

- Saya sebenarnya tidak mahu menulis tentang hal ini kerana saya sangat khuatir kalau apa yang saya sebut bersifat peribadi tanpa saya sedar. Saya tidak mahu dilihat begitu semampunya. Apa yang ingin saya sentuh ialah pemikiran, cara berfikir, metode dan pendekatannya sahaja. Justeru atas rasa perlu menjelaskan pendirian yang saya lihat lebih benar dan tepat, maka saya sebut juga di sini.

- Menurut Dr. Asri , tujuan sebenar sanad ialah untuk melihat kesahihan hadith dan ia bukan untuk berbangga-bangga. Namun kini ia telah disalahfaham, hinggakan ada yang mendakwa belajar tanpa sanad adalah tidak sah! Ini adalah jawapan bagi persoalan yang ditimbulkan oleh beliau; apakah sanad masih diperlukan sehingga zaman mutakhir ini? Jika tujuan sanad ialah untuk memastikan kesahihan hadith, mengapa perlu sanad hadith, Sahih al-Bukhari contohnya, untuk sampai kepada kita? Beliau berpendapat (memperlekeh sebenarnya?), 'kempen' periwayatan sanad yang dibuat oleh 'pusat-pusat' pengajian bersanad ketika ini adalah tidak releven. Malah katanya (secara sindiran), kalau nama kita masuk dalam sanad, nescaya jadi daif hadith tersebut, bahkan jadi mawdhu' (palsu)!... (???...!!!!...***)

- Sesudah menunjukkan ijazah sanad hadith yang beliau perolehi daripada beberapa orang syeikh hadith India (walaupun katanya bukan untuk menunjuk), beliau turut mempersoalkan; adakah sanad hanya untuk tabarruk (ambil keberkatan)? Kalau ada orang yang daif atau majhul dalam sanad tersebut, apa perlunya tabarruk? Justeru beliau berkesimpulan sanad hanyalah untuk zikra (kenangan) sahaja. Katanya, Dr. Abu al-Laith pun bersetuju.

- Demikian adalah rumusan daripada pembentangan beliau tersebut. Saya melihat ianya tidak ilmiah kerana ia dibuat hanya untuk 'menyerang' pihak tertentu. Tidak dibawakan perbahasan tentang ilmu sanad merangkum ilmu rijal yang sangat luas skopnya, dan hanya memfokus tujuan kewujudan sanad dalam kurun-kurun hijrah yang awal. Mengapa tidak disebut keprihatinan ulama-ulama Islam sepanjang kurun melewati zaman Ibn Hajar, dan al-Suyuti sehingga ke zaman al-Fadani, dan zaman mutakhir ini, keprihatinan mereka dalam memelihara sanad dan menghimpunkannya? Sejauhmana kita layak menyebut (روينا) atau (أخرج فلان) sahaja? Apakah ratusan, atau ribuan kitab-kitab sanad (bernama thabat, mu'jam, fihris dll.) itu semua hanya untuk zikra? Juga tidak diterangkan tentang kepelbagaian seni sanad yang dipelihara oleh para ulama terdahulu, di mana semua kitab-kitab yang dikarang diriwayatkan hingga kepada penyusunnya di dalam berbagai bidang ilmu. Apakah ianya semata-mata untuk zikra? Juga tidak disebut, apa yang membezakan kita dengan golongan Yahudi dan Kristian dan wajar untuk dibangga-banggakan ialah keistimewaan isnad yang dipelihara sehingga ke hari ini. Kewujudan sanad sehingga ke hari ini, bukan sekadar untuk tabarruk dan zikra semata-mata. La' ya syeikh, ... Ia adalah anugerah, fadhilat, toma'ninah, khauf wa raja' (takut dan harap), adab, syiar dan sakinah (ketenangan)!!!

Wallahu a'lam.

Sumber : Http://Sawanih.Blogspot.Com

Bacaan tambahan :

Tiada ulasan: