SEMBAHYANG SUNAT TASBIH
KERJAKANLAH ! WALAUPUN SEKALI SEUMUR HIDUP
(BILANGAN 217 BAHAGIAN KETIGA)
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Fadhilat Sembahyang Sunat Tasbih
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada mengajarkan kepada bapa saudaranya bahawa kelebihan sembahyang sunat Tasbih itu sangatlah besar sebagaimana hadis Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya: “Jika engkau membuat yang sedemikian itu, Allah menghapuskan dosamu, baik yang terdahulu, yang sekarang, yang sudah lama, yang baru, yang tidak disengaja, yang sengaja, yang kecil, yang besar, yang tersembunyi mahupun yang terang-terangan.”
(Hadits riwayat Abu Daud)
Menurut Imam Taj as-Subki dan ulama-ulama yang lain, apabila orang telah mendengar kelebihan sembahyang sunat Tasbih itu, dan ia tinggalkan yakni tidak membuatnya maka ia tergolong daripada orang yang mencuaikan agama.
Bolehkah Sembahyang Sunat Tasbih Diqadha?
Sebagaimana yang dijelaskan terdahulu bahawa sembahyang sunat Tasbih adalah sembahyang sunat mutlak yang tidak berkaitan dengan waktu dan sebab dan sunat melakukan di waktu malam dan siang selain waktu yang diharamkan bersembahyang, ia juga boleh dilakukan pada setiap masa dan dianjurkan supaya selalu mengerjakannya walaupun dalam masa yang berdekatan kerana ia mempunyai fadhilat yang sangat besar.
Dari itu, sembahyang sunat Tasbih tidaklah dapat diqadha disebabkan ianya adalah sembahyang sunat mutlak yang tidak ada waktu tertentu.
Hukum Bacaan Tasbih Dalam Sembahyang Sunat Tasbih Dan Dalam Sembahyang-Sembahyang Sunat Selainnya
Bacaan tasbih dalam sembahyang sunat Tasbih itu adalah dikategorikan sebagai sunat hai’ah seperti bacaan takbir dalam sembahyang dua Hari Raya. Jika tertinggal bacaan tasbih tersebut itu dalam sembahyang, tidaklah disunatkan menggantikannya dengan sujud sahwi.
Begitu juga jika seseorang berniat untuk mengerjakan sembahyang sunat Tasbih, akan tetapi dia tidak membaca tasbih tersebut semasa sembahyang, sembahyangnya adalah dikira sah dengan syarat tempoh masa i‘tidal, dan duduk di antara dua sujud dan duduk istirahah tidak dipanjangkan, kerana perkara sedemikian boleh membatalkan sembahyang. Dengan demikian menjadilah ia sembahyang sunat mutlak sahaja bukanlah sembahyang sunat Tasbih.
Jika sekiranya seseorang berniat untuk sembahyang sunat biasa sahaja, kemudian mendatangkan bacaan tasbih-tasbih tersebut dalam sembahyangnya itu, maka dalam perkara ini diharuskan baginya membaca tasbih berkenaan selagi dia tidak memanjangkan rukun yang pendek seperti i’tidal kerana niatnya itu niat sembahyang sunat biasa sahaja bukan sembahyang sunat Tasbih. Dengan demikian ianya tetap dianggap sebagai sembahyang sunat mutlak biasa bukannya sembahyang sunat Tasbih.
Selain itu, disunatkan mengisrarkan (tidak menyaringkan) bacaan tasbih itu, sama ada ianya dilakukan di waktu malam ataupun di waktu siang. Adapun bacaan-bacaan lain dalam sembahyang sunat Tasbih itu disunatkan juga membaca dengan israr jika dilakukan di waktu siang akan tetapi disunatkan membaca dengan bacaan pertengahan antara jahr (dinyaringkan) dan israr jika dikerjakan di waktu malam sepertimana sembahyang sunat-sunat yang lain.
Akan tetapi jika bernazar untuk menyaringkan bacaan tasbih itu dalam sembahyang sunat Tasbih tersebut, maka menjadilah bacaan jahr itu wajib disebabkan nazar itu, sepertimana yang disebutkan dalam bab nazar.
Jika sekiranya terlupa membaca tasbih dalam rukun tertentu sehingga berpindah pada rukun selepasnya, tidak harus kembali kepada rukun tersebut untuk membacanya. Sekiranya dia tahu akan perkara itu dan dengan sengaja mengulang rukun itu, maka batallah sembahyangnya.
Oleh kerana tidak dapat mengulang rukun tasbih tersebut untuk membaca tasbih, maka gantilah bacaan tasbih itu pada rukun seterusnya selain semasa i‘tidal, duduk antara dua sujud dan duduk istirahah. Ini kerana memanjangkan tiga rukun ini boleh membatalkan sembahyang walaupun dalam sembahyang sunat Tasbih, sebab bacaan tasbih dalam tiga rukun tersebut di dalam sembahyang sunat Tasbih hanyalah dikhususkan untuk bacaan yang asal sahaja.
Oleh itu, jika sekiranya terlupa membaca tasbih ketika rukuk, maka janganlah diganti bacaan tasbih yang tertinggal itu semasa i‘tidal, kerana tidak boleh memanjangkan bacaan padanya akan tetapi gantilah bacaan itu semasa sujud, kerana sujud adalah dikategorikan sebagai rukun yang panjang sebagaimana yang dikatakan oleh al-Baghawi.
Manakah Yang Lebih Afdhal, Washl Atau Fashl?
Washl ialah sembahyang sunat Tasbih dikerjakan secara bersambung iaitu empat rakaat dengan satu salam. Sementara fashl ialah sembahyang sunat Tasbih dikerjakan secara bercerai iaitu setiap dua rakaat sekali salam.
Ibnu Hajar mengatakan dalam kitabnya Fatawa Kubra al-Fiqhiyah, kedua cara tersebut ada diterangkan di dalam hadis. Oleh yang demikian, harus melakukan kedua cara tersebut, akan tetapi Imam Ghazali mengatakan dalam kitabnya Ihya ‘Ulumiddin, jika dikerjakan di waktu siang sambungkanlah empat rakaat dengan satu salam, dan jika dikerjakan di waktu malam ceraikanlah empat rakaat dengan dua salam, sepertimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila Baginda ditanya oleh seorang lelaki tentang bagaimana sembahyang malam itu, Baginda pun menjawab:
Maksudnya: “Sembahyang malam itu dua rakaat dua rakaat.”
(Hadis Imam Ahmad)
Haruskah Sembahyang Sunat Tasbih Dilakukan Secara Berjemaah?
Selain daripada sembahyang fardhu, ada juga sembahyang sunat yang disebut dalam kitab fiqh sebagai sembahyang at-tathawwu‘ dan an-nawafil.
Sembahyang-sembahyang an-nawafil itu menurut pengertiannya dari segi bahasa ialah tambahan, kerana ia merupakan tambahan ke atas sembahyang-sembahyang yang telah difardhukan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ia terbahagi kepada dua bahagian:
1. Yang sunat dilakukan secara berjemaah, seperti sembahyang Hari Raya, sembahyang Gerhana Bulan dan Matahari, sembahyang Witir pada bulan Ramadhan.
2. Yang tidak sunat dilakukan secara berjemaah, seperti sembahyang ar-rawatib yang mengiringi sembahyang-sembahyang fardhu, sembahyang Witir bukan di bulan Ramadan dan sembahyang Dhuha, sembahyang Tahajjud, sembahyang Tasbih.
Ketika mengulas tentang sembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah, asy-Syeikh Muhammad al-Khathib asy-Syarbini dalam kitab beliau Mughni al-Muhtaj menjelaskan, adapun sebab ianya tidak disunatkan berjemaah kerana muwazhabah (kebiasaan) Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukannya secara bersendirian. Adapun sunatnya itu hendaklah tidak dilakukan secara berjemaah, tetapi tidak dihukumkan makruh, kerana Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma pernah mengikut Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang sunat Tahajjud di rumah emak saudaranya, Maimunah.
Imam Jalaluddin al-Mahalli dalam Syarh al-Minhaj berkata ketika menjelaskan bahagian sembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah:
Ertinya: “Bahagian yang tidak disunatkan berjemaah itu, jika dilaksanakan secara berjemaah tidaklah makruh. Demikian menurut Imam an-Nawawi di dalam kitab ar-Raudhah.”
Asy-Syeikh Qalyubi di dalam Hasyiyatan ketika mengulas perkataan Imam Jalaluddin al-Mahalli “tidaklah makruh” di atas, katanya:
Ertinya: “Bahkan ia (bersembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah jika dilakukan secara berjemaah) menyalahi yang utama (khilaf al-awla) dan maksudnya, tidak disunatkan dilakukan berjemaah secara berterusan.”
Dengan penjelasan di atas, maka dapatlah dirumuskan bahawa sembahyang sunat Tasbih walaupun tidak disunatkan berjemaah, namun apabila ia dilakukan secara berjemaah tidaklah ia makruh, dan jauh sekali dianggap sebagai bid‘ah, hanyalah ia khilaf al-awla yakni menyalahi yang utama sahaja.
Orang ramai boleh memilih melakukannya secara berjemaah ataupun bersendirian. Melakukannya secara berjemaah itu tetaplah mendapat pahala kerana berjemaah. Sebagaimana telah dinaqal oleh asy-Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani daripada Ali asy-Syabramallisi katanya:
Ertinya: “Dan diberi ganjaran pahala berjemaah secara mutlak, akan tetapi adalah awla (lebih utama) meninggalkannya yakni berjemaah itu.”
Penutup
Dari penjelasan yang di atas dapatlah difahami bahawa sembahyang sunat Tasbih mempunyai fadhilat yang tersendiri selain dapat mendekatkan diri kita kepada Allah Ta‘ala dengan bertasbih, tahmid, tahlil dan takbir, sembahyang sunat Tasbih juga dapat menghapuskan segala dosa.
Oleh yang demikian, janganlah kita abaikan, kerana sesiapa yang mengetahui akan fadhilat dan kelebihan sembahyang sunat Tasbih ini tetapi tidak mengerjakannya, maka orang itu tergolong di antara orang yang mencuaikan agama sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Taj as-Subki dan ulama-ulama yang lain. Dari itu, kerjakanlah sembahyang sunat Tasbih itu walaupun sekali seumur hidup.
Sumber : Mufti Brunei
Tiada ulasan:
Catat Ulasan