CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Isnin, 23 Mac 2009

Berhati-hati Menggunakan Pewarna Rambut

BERHATI-HATI MENGGUNAKAN PEWARNA RAMBUT

(BILANGAN 218)



(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Di akhir-akhir ini ramai para remaja dan belia kita yang mewarnakan rambut mereka dengan warna yang bermacam-macam sehingga menjadi satu trend atau gaya terbaru. Apakah trend atau gaya mewarna rambut sebegini dibolehkan dalam syara‘ atau pun sebaliknya? Jika sekiranya dibolehkan, apakah garis panduan yang ditetapkan oleh syara‘ mengenainya?

Bolehkah Mewarna Rambut?

Mewarna rambut yang beruban dengan warna kuning atau merah adalah sunat bagi lelaki dan perempuan. Begitu juga janggut yang beruban. (Al-Majmu‘: 1/360-362). Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak mewarna (rambut dan janggut mereka yang beruban, oleh kerana itu) kamu buatlah kelainan daripada mereka (dengan mewarna rambut dan janggut kamu yang beruban).”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Adapun rambut yang tidak beruban adalah sayugianya dikekalkan atau dibiarkan sebagaimana asalnya tanpa perlu diwarnakan kecuali jika ada sesuatu hajat untuk mewarnakannya seperti untuk tujuan perubatan.

Mewarna Rambut Dengan Warna Hitam

Bagaimanapun, mewarna rambut dengan warna hitam sama ada bagi lelaki atau perempuan adalah diharamkan. Daripada Jabir radhiallahu ‘anhu katanya:

Maksudnya: “Pada hari penaklukkan Mekkah, Abu Quhafah dibawa ke hadapan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan rambut dan janggutnya yang berwarna putih seperti tsaqhamah (sejenis tumbuhan yang bunga dan buahnya berwarna putih). Maka Baginda bersabda: “Tukarlah ini (rambut dan janggut) dengan sesuatu (yang lain), tetapi jauhilah (dari menggunakan) warna hitam”.

(Hadis riwayat Muslim)

Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma pula meriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Di akhir zaman akan banyak kaum yang mewarna rambut dengan warna hitam seperti dada burung merpati, mereka itu tidak akan dapat mencium bau syurga”.

(Hadis riwayat Abu Daud)

Berdasarkan dua hadis yang tersebut di atas, maka adalah haram mewarna rambut dengan warna hitam bagi lelaki dan perempuan.

Walaubagaimana pun diberi kelonggaran bagi orang yang keluar berjihad menggunakan warna hitam sekiranya ia bertujuan untuk menakutkan musuh. Begitu juga diberi kelonggaran kepada wanita yang bersuami menggunakan warna hitam bagi tujuan berhias untuk suaminya dengan syarat ada izin daripada suaminya. (Al-Majmu‘: 1/360-362 dan Bughyah al-Mustarsyidin: 78)

Pewarna Rambut Yang Terdapat Di Pasaran

Pewarna rambut yang terdapat di pasaran sewajarnya tidak digunakan sewenang-wenangnya dengan alasan bahawa pewarna tersebut mempunyai cap perkataan HALAL oleh negara pengeluar.

Setakat manakah keharusan menggunakan bahan pewarna tersebut dan apakah ia tidak menghalang sampainya air ketika mengangkat hadas kecil dan besar, perkara tersebut tidak dapat dipastikan dengan yakin. Oleh kerana itu, hendaklah berhati-hati dalam menggunakannya.

Rambut merupakan bahagian yang wajib dibasuh ketika mandi junub atau mengangkat hadas kecil (wudhu’). Ini bererti air yang bersih wajib sampai ke semua bahagian rambut termasuklah kulit kepala ketika mandi junub itu atau sebahagiannya ketika berwudhu’. Jika ada sesuatu yang menghalang air untuk sampai membasahi rambut, maka tiadalah sah mandi hadas dan wudhu’ itu. Sehubungan dengan itu ibadat-ibadat yang dilakukan seperti sembahyang menjadi tidak sah kerana hadas atau wudhu’nya itu tidak terangkat.

Dari itu, sekiranya pewarna rambut itu sifatnya melekat atau melapis rambut, sekalipun ianya suci maka ia sudah pasti menghalang air untuk sampai ke rambut. Jika ini terjadi, maka mandi junub umpamanya dalam keadaan rambut diwarnakan dengan bahan tersebut (menghalang air sampai ke rambut) adalah tidak sah dan ini akan menyebabkan ibadahnya seperti sembahyang tidak sah kerana hadasnya tidak terangkat.

Berbeza halnya, jika pewarna rambut itu tidak melekat di atas rambut seperti ia sifatnya meresap sepertimana meresapnya inai (pacar) pada jari dan kuku. Ini tiada menghalang air dari sampai ke bahagian yang wajib dibasuh.

Meniru Trend Dan Gaya Orang Bukan Islam

Perbuatan mewarna rambut kerana meniru trend dan gaya penampilan orang-orang bukan Islam adalah tidak bersesuaian dengan prinsip akhlak agama Islam, sebagaimana yang kita lihat akhir-akhir ini ianya menjadi ikutan di kalangan anak-anak remaja bahkan belia-belia Islam zaman sekarang. Meniru trend atau gaya orang bukan Islam adalah dilarang kerana perbuatan tersebut akan menjadikannya tergolong dalam kumpulan tersebut. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasalam ada bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai/meniru sesuatu kaum maka dia adalah dari golongan mereka”

(Hadis riwayat Abu Daud)

Menurut Ibnu al-Qayyim al-Jawziyyah menyerupai mereka (orang yang bukan Islam) dari sudut penampilan zahiriyah merupakan satu jalan ke arah menyerupai mereka dari segi maksud dan perbuatan. Ianya juga sebenarnya timbul atas dasar suka dan menganggap ianya adalah satu perkara yang baik. Apabila seseorang itu menganggap kelakuan orang bukan Islam itu satu kebaikan maka cenderunglah dirinya untuk melakukan kelakuan orang bukan Islam itu.

Apabila dia sudah melakukannya buat pertama kali nescaya akan diulanginya untuk kali kedua dan seterusnya sehingga menjadi satu kebiasaan kepada dirinya. Jika ini berlaku akan lenyaplah nilai-nilai Islam di dalam dirinya itu.

Dari itu perbuatan menyerupai orang-orang bukan Islam itu adalah sangat ditegah sekalipun tanpa bertujuan meniru perbuatan mereka itu demi menjaga iman dan akidah umat Islam daripada terjerumus ke arah perkara yang boleh membawa kepada kekufurran.Wal‘iyadzubillah.

Kesimpulannya mewarna uban yang tedapat di kepala adalah sunat sama ada bagi lelaki atau perempuan. Warna yang disunatkan untuk digunakan pula ialah kuning atau merah bukan warna hitam. Walau bagaimanapun harus mewarnakan uban itu dengan warna hitam sekiranya ianya bertujuan untuk menakutkan pihak musuh ketika berjihad. Begitu juga, perempuan diberi kelonggaran menggunakan warna hitam bagi tujuan berhias untuk suaminya dengan syarat ada izin daripada suami itu.

Tanda atau logo HALAL yang dicap pada pewarna rambut yang terdapat di pasaran bukanlah suatu jaminan bahawa pewarna rambut itu tidak akan menghalang air sampai ke rambut sekalipun ia suci. Oleh itu, adalah lebih selamat tidak menggunakannya atau dipastikan terlebih dahulu dengan yakin agar kita terhindar dari perkara yang syubhah atau yang samar-samar demi memelihara kesucian agama, sesuai dengan sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang samar, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia, maka sesiapa memelihara (dirinya dari) segala yang kesamaran, sesungguhnya dia telah memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan sesiapa yang jatuh ke dalam perkara kesamaran, jatuhlah dia ke dalam yang haram. Seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa di dalam badan itu ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah seluruh badan dan apabila ia rosak, rosaklah seluruh badan, ketahuilah ia adalah hati.”

(Hadis riwayat Muslim)

Pewarna yang jelas selamat lagi harus ialah seumpama ‘inai’.

Sumber : Mufti Brunei

Tiada ulasan: