Halaman

Khamis, 16 April 2009

Penjelasan Mengenai Hadith Jariyah Bab 9

Perkataan Ulama' Muhaddith Muktabar dalam Menafikan Tempat dan Jisim bagi Allah s.w.t. (Suatu Pentunjuk Ke Arah Memahami Aqidah Tanzih Mereka)

Imam Al-Hafiz Abu Bakr bin Al-Husein Al-Baihaqi As-Syafi'e (458 H) (yang sering menjadi rujukan termasuklah bagi sesetengah kelompok mujassimah dalam cuba menisbahkan tempat bagi Allah) ada berkata:

وأنه الظاهر فيصح إدراكه بالأدلة، الباطن فلا يصح إدراكه بالكون في مكان. واستدل بعض أصحابنا في نفي المكان عنه بقول النبي (صلّى الله عليه و سلّم) "أنت الظاهر فليس فوقك شىء، وأنت الباطن فليس دونك شىء"، وإذا لم يكن فوقه شىء ولا دونه شىء لم يكن في مكان

Maksudnya: "Allah s.w.t. itu Maha Zahir kerana (kewujudannya) boleh didapati dengan bukti-bukti (daripada kekuasaanNya melalui alam ini) dan Maha Bathin kerana tidak boleh didapati (kewujudanNya) secara bertempat. Sebahagian para ulama' kami (aliran ahlus-sunnah) menafikan tempat bagi Allah s.w.t. dengan berpandukan dalil sabda Rasulullah s.a.w. yang berbunyi: "Kamu Maha Zahir yang tiada di atas kekuasaanMu sesuatupun dan Maha Bathin yang tiada di sampingMu sesuatu pun". Jika tiada di atasNya sesuatu dan tiada di sampingNya sesuatu, jelaslah bahawasanya Allah s.w.t. wujud tanpa bertempat"
(Al-Asma' wa As-Sifat: 400)


Imam Al-Muhaddith Umar bin Muhammad An-Nasafi (537 H) ada berkata"

والمُحدِثُ للعالَم هو الله تعالى ، لا يوصف بالماهيَّة ولا بالكيفية ولا يَتمكَّن في مكان

Maksudnya: "Adapun yang mewujudkan alam daripada tiada adalah Allah s.w.t.. Dia tidak disifati dengan sebarang sifat mahiyyah, tidak disifati dengan sebarang tatacara dan tidak bertempat pada sebarang tempat"
(risalah Aqidah An-Nasafiyyah)

Imam Al-Hafiz Ibn 'Asakir Ad-Dimasyqi (571 H) juga ada berkata:

كان ولا مكان فخلق العرش والكرسي ولم يحتج إلى مكان ، وهو بعد خلق المكان كما كان قبل خلقه

Maksudnya: Allah s.w.t. wujud tanpa tempat. Maka Dia ciptakan Arasy dan Kursi tanpa berhajat kepada tempat. Dia wujud juga setelah menciptakan tempat sebagaimana Dia wujud sebelum menciptakan tempat (iaitu tidak bertempat).
(Tabiyyin Kizb Al-Muftari: 150)

Al-Hafiz Imam Ibn Al-Jauzi (597 H) juga ada berkata:

الواجب علينا أن نعتقد أن ذات الله تعالى لا يحويه مكان ولا يوصف بالتغير والانتقال

Maksudnya: "Wajib bagi kita untuk meyakini bahawasanya zat Allah s.w.t. tidak diliputi oleh tempat dan tidak bersifat dengan sebarang perubahan dan perpindahan"
(Shoid Al-Khatir: 47)

Bahkan, Imam Ibn Al-Jauzi mengarang satu risalah khusus dalam menolak golongan mujassimah yang berfahaman tuhan berjisim dan bertempat ini dengan nama "Daf Syubah At-Tasybih".

Imam Ibn Athir (606 H) juga ada menyebutkan:

المراد بقرب العبد من الله تعالى القرب بالذكر والعمل الصالح ، لا قرب الذات والمكان لأن ذلك من صفات الأجسام ، والله يتعالى عن ذلك ويتقدس

Maksudnya: "Yang dimaksudkan dengan dekatnya hamba kepada Allah adalah kehampiran dengan zikir dan amal soleh, bukan dekat secara bertempat kerana bertempat adalah ciri-ciri kejisiman sesuatu jisim sedangkan Maha Suci Allah daripada sifat kejisiman tersebut…"
(An-Nihayah fi Gharib Al-Hadith 4/32)


Imam Al-Qurthubi (671 H) ada menyebutkan juga:

و "العليّ" يراد به علو القدر والمنزلة لا علو المكان ، لأن الله منزه عن التحيز

Maksudnya: "Adapun Allah "Maha Tinggi" itu bermaksud ketinggian keagungan dan kedudukanNya, bukan ketinggian tempat, kerana Allah s.w.t. tidak bertempat".
(Al-Jami'e li Ahkam Al-Qur'an pada Surah Al-Baqarah ayat 255 (3/278) )

Seorang ulama' hadith agung pada zamannya, yang menjadi rujukan utama dalam bidang hadith iaitulah Imam Az-Zahabi yang sering diselewengkan maksud tulisan beliau oleh golongan mujassimah moden, juga ada berkata dalam menjelaskan pendirian dan aqidahnya yang berlepas tangan daripada fahaman "Tuhan bertempat":

وتعالى الله أن يحد أو يوصف إلا بما وصف به نفسه أو علمه رسله بالمعنى الذي أراد بلا مثل ولا كيف

Maksudnya: "Maha Suci Allah daripada dibatasi oleh sebarang batasan (samada tempat atau masa) atau Maha Suci Allah juga daripada sebarang sifat melainkan apa yang hanya disifatkan kepada diriNya atau apa yang diajarkan kepada para rasulNya dengan makna yang Dia sendiri kehendaki tanpa sebarang penyerupaan dengan makhluk dan tanpa tatacara…
(Siyar A'lam An-Nubala' 16/97-98)

Seorang ulama' hadith agung yang turut menjadi rujukan dalam bidang hadith iaitulah Al-Hafiz Imam An-Nawawi (676 H) juga ada berkata:

إن الله تعالى ليس كمثله شىء , منزه عن التجسيم والانتقال والتحيز في جهة وعن سائر صفات المخلوق

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah s.w.t. tiada yang menyerupaiNya. Dia tidak berjisim, tidak berpindah-pindah, tidak diliputi oleh sebarang tempat dan tidak bersifat dengan sebarang sifat makhluk".
(Syarah Sahih Muslim 3/19)

Imam Al-Hafiz Al-Karmani (786 H) menjelaskan tentang aqidah ini:

قوله ( في السماء ( ظاهره غير مراد ، إذ الله منزه عن الحلول في المكان ، لكن لما كانت جهة العلو أشرف من غيرها أضافها إليه إشارة إلى علو الذات والصفات

Maksudnya: "Perkataan Allah "fis sama'" maka makna zahirnya bukanlh yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t. kerana Allah s.w.t. tidak bertempat pada sebarang tempat, tetapi oleh kerana posisi di atas adalah posisi yang paling mulia berbanding posisi lain, maka Allah s.w.t. menisbahkan posisi "atas" tersebut kepada diriNya sebagai petunjuk terhadap ketinggian darjat zat dan sifatNya."
(fath Al-Bari: 13/412)

Imam Al-Muhaddith Al-Hafiz Ahmad Al-Iraqi (826 H) berkata:

...والله تعالى منزه عن الاستقرار والتحيز والجهة...

Maksudnya: "…sedangkan Allah s.w.t. tidak menetap di sesuatu, tidak mengambil ruang dan tidak bertempat…"
(Torh At-Tathrib 8/84)

Imam Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqollani (852 H) berkata:

استدل به من أثبت الجهة وقال هي جهة العلو ، وأنكر ذلك الجمهور لأن القول بذلك يفضي إلى التحيز ، تعالى الله عن ذلك

Maksudnya: Golongan yang cuba menetapkan tempat bagi Allah menggunakan hadith ini (hadith nuzul) sebagai hujah bahawa Allah bertempat di atas, sedangkan jumhur ulama' (iaitulah ahlus-sunnah kesemuanya) mengingkarinya kerana perkataan tersebut (Allah bertempat di atas) membawa maksud Allah itu mengambil ruang (bertempat) sedangkan Maha Suci Allah daripada tempat…"
(Fath Al-Bari 3/30)

Imam Ibn Hajar r.a. berkata lagi:

فمعتمد سلف الأئمة وعلماء السنة من الخلف أن الله منزه عن الحركة والتحول والحلول، ليس كمثله شىء

Maksudnya: "Muktamad sebagai pegangan salaf dari kalangan ahlus-sunnah dan juga khalaf bahawasanya Allah s.w.t. tidak bergerak-gerak, tidak berubah-ubah dan tidak bertempat. Tiada yang menyerupaiNya.
(Fath Al-Bari 7/124)

Imam Al-Muhaddith Badruddin Mahmud bin Ahmad Al-'Aini Al-Hanafi (855 H) (salah seorang pensyarah hadith Sahih Al-Bukhari) ada menyebut:

تقرر أن الله ليس بجسم ، فلا يحتاج إلى مكان يستقر فيه، فقد كان ولا مكان

Maksudnya: Telah diketahui bahawasanya Allah s.w.t. tidak berjisim dan tidak memerlukan tempat untuk Dia menetap padanya. Dia wujud tanpa tempat
('Umdah Al-Qari 12/25/117)

Demikianlah sedikit daripada ungkapan sebahagian para ulama' hadith yang jelas berlepas tangan daripada fahaman tuhan bertempat yang cuba diketengahkan oleh golongan mujassimah sehingga hari ini. Aqidah Islam yang sejahtera adalah aqidah tanzih iaitu menyucikan Allah s.w.t. daripada sebarang kekurangan termasuklah menyucikan Allah s.w.t. daripada bertempat dan berjisim.

Hanya mereka yang terus ingin mengikut ta'asub diri mereka terhadap kejahilan dan kesesatan mujassimah sahaja yang terus berkeras kepala untuk terus mempercayai tuhan wujud secara bertempat. Mereka tidak lain hanyalah mengikut hawa nafsu mereka, samada mereka menyedarinya ataupun tidak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan