Halaman

Khamis, 16 April 2009

Penjelasan Mengenai Hadith Jariyah Bab 10

Ulasan-ulasan Para Muhadithin Muhaqqiqin (yang teliti) Terhadap Hadith Al-Jariyyah

Hendaklah difahami bahawasanya, hadith-hadith itu bukanlah suatu nas-nas yang mana semua orang boleh berinteraksi dengannya sesuka hatinya atau berdasarkan apa yang dikehendakinya. Para ahli ilmu khususnya ahli hadith mempunyai suatu manhaj ilmiah yang sangat luas lagi mendalam dalam menjadi panduan ketika berinteraksi dengan nas-nas Islami.

Kita akan kupaskan setelah ini, kecelaan bagi mereka yang tidak mempunyai latar belakang ilmu yang mendalam dalam bidang hadith, untuk menyelami perbahasan-perbahasan yang tinggi seperti membahaskan hadith ini dengan makna zahir lalu menyalahi fahaman as-sawadh al-a'zhom dalam memahaminya.

Imam Abu Hanifah ketika ditanya:

أرأيت لو قيل أين الله تعالى ؟ فقال - أي أبو حنيفة : يقال له كان الله تعالى ولا مكان قبل أن يخلق الخلق ، وكان الله تعالى ولم يكن أين ولا خلق ولا شىء ، وهو خالق كل شىء

Maksudnya: "Apa pendapatmu kalau kamu ditanya tentang di mana Allah?" Lalu Imam Abu Hanifah menjawab: "Dikatakan kepadanya bahawasanya Allah s.w.t. wujud tanpa bertempat sebelum menciptakan tempat. Maka dia wujud sebelum wujudnya "di mana" it sendiri malah sebelum wujud sebarang makhluk. Allah s.w.t. yang Maha Pencipta bagi segala sesuatu…"
(Al-Fiqh Al-Absath, Himpunan risalah-risalah Imam Abi Hanifah yang ditahqiq oleh Imam Al-Kauthari m/s 25)

Ini jelas menunjukkan bahawasanya aqidah salafus-soleh tidak memahami aina Allah tersebut dengan membawa fahaman Allah bertempat di atas langit. Mereka menafikan tempat bagi Allah s.w.t..

Al-Hafiz Imam An-Nawawi berkata dalam syarah beliau terhadap Sahih Muslim tentang hadith aina Allah tersebut:


قوله صلى الله عليه وسلم: أين الله ؟ قالـت في السماء ، قال: من أنا قالت: أنت رسول الله، قال: أعتقها فإنها مؤمنة هذا الحديث من أحاديث الصفات وفيها مذهبان:ـ

أحدهما: الإيمان به من غير خوض في معناه مع اعتقاد أن الله تعالى ليس كمثله شئ وتنـزيهه عن سمات المخلوقات.

والثاني: تأويله بما يليق به، فمن قال بهذا قال: كان المراد امتحانها هل هي موحدة تـقر بأن الخالق المدبر الفعال هو الله وحده وهو الذي إذا دعاه الداعي استقبل السماء كما إذا صلى المصلي استقبل الكعبة، وليس ذلك لأنه منحصر في السماء كما أنه ليس منحصرا في جهة الكعبة بل ذلك لأن السماء قبلة الداعين كما أن الكعبة قبلة المصلين.

Maksudnya: "Hadith ini adalah daripada hadith-hadith sifat (mutasyabihat) yang dalam memahaminya ada dua mazhab (metod).

"Pertama: ialah beriman dengannya (hadith tersebut) tanpa mendalami apa yang dimaksudkannya disertai dengan aqidah bahawasanya Allah s.w.t. tidak menyerupai sesuatu apa pun dan mensucikanNya daripada segala tanda-tanda atau sifat-sifat makhluk.

"Kedua: mentakwilkan hadith tersebut dengan apa yang layak bagi Allah. Maka sesiapa yang berpegang dengan jalan yang kedua ini, berpeganglah dia dengan bahawasanya yang dimaksudkan dengan hadith tersebut ialah Junjungan Nabi s.a.w. menguji jariah tersebut untuk mengetahui sama ada dia seorang ahli tauhid yang mengakui Maha Pencipta, Maha Pentadbir dan Maha Pembuat adalah Allah semata-mata, yang mana Dialah Tuhan yang apabila seseorang memohon kepadaNya maka dia menghadap ke langit sebagaimana apabila seseorang sembahyang dia menghadap kaabah, dan tidaklah perlakuan sedemikian ini (iaitu menghadap ke langit ketika berdoa atau menghadap kaabah ketika bersolat) menunjukkan bahawasanya Allah terbatas di langit sebagaimana juga tidaklah Dia terbatas pada posisi kaabah (yakni Allah tidak dibatasi oleh sebarang tempat kerana Dia Maha Suci daripada segala tempat dan arah, subhanAllah). Bahkan perbuatan menghadap ke langit itu adalah kerana langit itu adalah kiblat orang yang berdoa sebagaimana kaabah itu kiblat bagi orang yang solat".


Kemudian, Imam An-Nawawi menukilkan seperti berikut:

"Imam Al-Qadhi 'Iyad berkata:

لا خلاف بين المسلمين قاطبة - محدثهم ومتكلمهم ومقلدهم ونظارهم - أن الظواهر الواردة بذكر الله في السماء كقوله: ((أأمنتم من في السماء)) أنها ليست على ظاهرها، وأنها متأولة عند جميعهم...

"Tidak ada khilaf di kalangan umat Islam sekaliannya samada dari kalangan ahli-ahli fiqh, ahli-ahli hadith mereka, ahli-ahli kalam, para pemuka mahupun pengikut mereka bahawasanya segala nas yang pada zahirnya menyebut Allah di langit seperti firman Allah ta`ala: "Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan (yang pusat pemerintahanNya) di langit itu, menunggang-balikkan bumi menimbus kamu…" dan sebagainya tidaklah dimaksudkan dengan makna zahirnya. Bahkan, ianya ditakwilkan di sisi mereka semua (bukan difahami dengan makna zahir."


Imam Al-Qurthubi pula ada menyebut dalam kitab Al-Mufhim yang mensyarahkan lafaz-lafaz hadith dalam Sahih Muslim pada hadith Al-Jariyyah ini:

وقوله صلى الله عليه وسلم للجارية أين الله هذا السؤال من النبي صلى الله عليه وسلم أراد أن يُظهر منها ما يدلُ على أنها ليست ممن يعبُدُ الأصنام ولا الحجارة التي في الأرض، فأجابت بذلك وكأنها قالت إن الله ليس من جنس ما يكون في الأرض

وأين ظرف يسأل به عن المكان كما أن متى ظرف يُسأل به عن الزمان ...وهو لا يصحُّ إطلاقه على الله تعالى بالحقيقة إذ الله تعالى منـزه عن المكان كما هو منـزه عن الزمان بل هو خالق الزمان والمكان ولم يـزل موجودا ولا زمان ولا مكان وهو الآن على ما عليه كان

Maksudnya: "Adapun sabda Nabi s.a.w. kepada Al-Jariyyah tersebut dengan perkataan "Aina Allah?" merupakan soalan daripada Rasulullah s.a.w. yang mengkehendaki bukti daripada hamba perempuan tersebut samada dia bukan penyembah berhala mahupun penyembah batu yang di bumi. Maka hamba perempuan menjawab dengan jawapan tersebut seolah-olah cuba menjelaskan bahawasanya Allah bukanlah daripada jenis-jenis tuhan di bumi (yang disembah oleh musyrikin).

"Aina adalah perkataan yang ditanya dengan menggunakannya untuk mengetahui sesuatu tempat sebagaimana juga mata adalah perkataan yang ditanyakan untuk mengetahui masa… (Adapun pertanyaan dengan aina (di mana) tersebut) tidak boleh ditujukan kepada Allah secara hakikatnya kerana Allah s.w.t. tidak bertempat sebagaimana Dia tidak diliputi oleh sebarang masa. Bahkan Dialah pencipta masa dan tempat sedangkan Dia wujud sejak azali tanpa bertempat dan tanpa diliputi oleh masa. Dia wujud kini sebagaimana Dia wujud sejak azali.



Imam Abu Al-'Abbas Ahmad Al-Qurtubi berkata juga lagi:

هو الله لا أيـن ولا كـيـف عنـده ولا حَدَّ يحويه ولا حصرَ ذي حَدِّ

Maksudnya: Dialah Allah, tanpa di mana dan tanpa tatacara bagiNya. Dia tidak dibatasi oleh sebarang batasan yang meliputi.
(Tobaqot As-Syafi'iyyah: terjemah Abi Al-Hasan Al-Asy'ari 3/428)



Imam Husein bin Muhammad At-Tayyibi (743 H) ketika mengulas tentang hadith Al-Jariyyah ini berkata:

لم يُرِد - أي الرسول - السؤال عن مكانه - أي الله - فإنه منزه عنه

Maksudnya: "Tiada dikehendaki oleh Rasulullah s.a.w. ketika bertanya tersebut untuk bertanya tentang tempat bagi Allah s.w.t. kerana Maha Suci Allah s.w.t. daripada bertempat…"
(syarh At-Tayyibi 'ala Misykat Al-Masobih 6/340)


Imam Jahbal (733 H) berkata pula:

ولا يقال له أين ولا حيث، يُرَى لا عن مقابلة ولا على مقابلة ، كان ولا مكان ، كوَّن المكان ، ودبَّرَ الزمان ، وهو الآن على ما عليه كان ، هذا مذهب أهل السنة ،

Maksudnya: "Tidak dikatakan bagi Allah, di mana dan bagaimana. Dia dilihat oleh orang-orang beriman di Akhirat tanpa bertentangan tanpa berpalingan. Allah wujud tanpa bertempat lalu menciptakan tempat dan mentadbir masa. Dia wujud kini sebagaimana Dia wujud sejak azali (tanpa tempat). Inilah mazhab ahli sunnah. (
tobaqot As-Syafi'iyyah Al-Kubra: 9/41)

Imam Fakhruddin Al-Razi ada menyebutkan berkenaan hadith Al-Jariyyah ini bahawaasnya, ianya tidak membawa kepada Allah bertempat kerana dalil daripada surah Al-An'aam ayat 12 dan 13 menunjukkan bahawasanya tempat dan masa serta apa yang wujud dalam keterbatasan pada kedua-duanya adalah milik Allah s.w.t.. Oleh yang demikian, Allah s.w.t. tidak bertempat dan tidak diliputi oleh masa sama sekali. (rujuk Asas At-Taqdis dalam mensyarahkan hadith tersebut)

Imam Ibn Al-Jauzi ketika mengulas tentang hadith Al-Jariyyah ini menyebutkan

قلت قد ثبت عند العلماء أن الله تعالى لا تحويه السماء والأرض و لا تضمه الأ قطار، وإنما عرف بإشاراتها تعظيم الخالق عندها

Maksudnya: Telah tetap bagi ulama' bahawasanya Allah s.w.t. tidak diliputi oleh langit mahupun bumi dan tidak terangkum dalam mana-mana tempat. Namun, Rasulullah s.a.w. mengetahui dengan isyarat hamba perempuan tersebut bahawa dia mengagungkan Maha Pencipta"
(Daf' Syubah At-Tasybih 189)

Imam Abu Bakr Ibn Al-Arabi pula berkata dalam syarh Sunan At-Tirmizi tentang hadith tersebut:

والمراد بالسؤال بها عنه تعالى المكانة فإن المكان يستحيل

Maksudnya: "Yang dimaksudkan dengan soalan "Aina Allah" adalah bertanyakan kepada hamba perempuan tersebut tentang kedudukan Allah s.w.t. bukan bertanya tentang tentang tempat bagi Allah s.w.t. kerana tempat bagi Allah s.w.t. adalah mustahil…"
(Syarh Sunan At-Tirmizi 11/273)


Imam Muhammad bin Khalifah Al-Ubbi dalam syarah Muslim beliau (Al-Ikmal) mengulas hadith tersebut dengan berkata:

وقيل إنما سألها بأين عما تعتقده من عظمة الله تعالى، وإشارتها إلى السماء إخبار عن جلاله في نفسها

Maksudnya: "Dikatakan bahawasanya Rasulullah s.a.w. bertanya kepada hamba perempuan tersebut dengan soalan "aina" untuk bertanya tentang pegangan hamba tersebut tentang keagungan Allah s.w.t., lalu hamba perempuan tersebut menunjukkan ke langit dalam menjelaskan keagungan Allah dalam dirinya (bukan mengenai tempat Allah)"
(Ikmal Al-Mu'allim pada syarah hadith tersebut)

Imam Muhammad As-Sanusi Al-Hasani dalam Mukammil Ikmal turut mensyarahkan hadith Al-Jariyyah tersebut dengan makna takwilan iaitu keagungan Allah s.w.t..

Imam Al-Baji ketika mensyarahkan hadith ini juga ada menyebut:

لعلها تريد وصفه بالعلو وبذلك يوصف كل من شأنه العلو فيقال فلان في السماء بمعنى علو حاله ورفعته وشرفه

Maksudnya: "boleh jadi yang dimaksudkan oleh hamba perempuan tersebut adalah menyifatkan Allah dengan ketinggian, iaitu ketinggian keagunganNya, kerana dikatakan seseorang itu di langit dengan makna ketinggian keadaannya dan ketinggian darjat kemuliaannya".
Rujuk kitab Al-Muntaqi.


Demikian sedikit sebanyak syarah kepada hadith Al-Jariyyah versi aina Allah yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ini. Majoriti ulama' salaf dan khalaf iaitulah ulama' ahlus-sunnah wal jamaah memalingkan aina Allah daripada makna zahirnya yang membawa kepada kejisiman. Lebih jelas lagi, sebahagian besar daripada mereka (ulama' muktabar) membuat ulasan yang menafikan "sekeras-kerasnya" fahaman tajsim dan fahaman tuhan bertempat daripada hadith Al-Jariyyah ini, dengan memberi makna keagungan, ketinggian kedudukan Allah dan sebagainya.

Mereka mensyarahkan hadith Al-Jariyyah dengan makna keagungan dan sebagainya tanpa menetapkan makna zahir Allah di langit pada hadith Al-Jariyyah tersebut bukan berdasakan hawa nafsu mereka, sebagaimana dakwaan sebahagian mujassimah yang jahil lagi menyesatkan, tetapi berteraskan manhaj ilmiah yang sahih lagi mendalam.

Para ulama' hadith seperti Imam Al-Baihaqi, Imam Ibn Al-Jauzi, Imam An-Nawawi, Imam Az-Zahabi, Imam Al-Qurtubi, Imam Ibn Hajar Al-Asqollani dan sebagainya yang terlibat dalam menafikan makna zahir aina Allah daripada Allah s.w.t. merupakan antara rujukan utama umat Islam dalam bidang hadith itu sendiri. Mereka tidak akan mengulas hadith Al-Jariyyah dengan hawa nafsu mereka, sebagaimana sangkaan golongan mujassimah sejak dahulu sehinggalah hari ini.

Adapun mereka yang jahil dan terus ta'asub dengan kejahilan serta para pemimpin mereka, lalu terus menisbahkan tempat bagi Allah s.w.t. dengan nas-nas mutasyabihat terutamanya berkenaan hadith Al-Jariyyah versi Imam Muslim ini, maka merekalah sebenarnya yang samada jahil dengan kerangka dan manhaj ilmiah ulama' Islam, ataupun sengaja mengikut hawa nafsu mereka. Sememangnya mengakui kesalahann diri bagi diri yang sudah bersarang dengan ujub di hati, adalah suatu yang amat berat. Ya Allah, sembuhkanlah penyakit ujub daripada hatiku ini dan hati umat Islam khususnya bagi mereka yang sudah terkeluar daripada landasan majoriti umat Islam ini. Amin…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan