Halaman

Khamis, 16 April 2009

Penjelasan Mengenai Hadith Jariyah Bab 8

Aqidah Murni Islam: Tanzih (Mensucikan) Allah daripada Kelaziman-kelaziman Jisim

Aqidah murni Islam, selain daripada mengandungi konsep tauhid (keesaan), ianya juga mengandungi konsep tanzih, iaitu menyucikan Allah s.w.t. daripada sebarang sifat-sifat kekurangan.

Antara sifat-sifat kekurangan adalah dengan menyamakan samada zat, sifat mahupun perbuatan Allah s.w.t. dengan jisim, sifat mahupun perbuatan makhluk. Antara yang membawa kepada menyamakan Allah s.w.t. dengan makhluk adalah dengan menetapkan ciri-ciri kejisiman kepada Allah s.w.t. seperti mendakwa zat Allah bertempat, berjisim, mempunyai anggota tubuh, bergerak-gerak, dibatasi oleh masa dan sebagainya.

Sebagaimana Allah s.w.t. tidak dibatasi oleh masa, begitu juga Dia tidak dibatasi oleh tempat kerana masa dan tempat adalah hasil ciptaan Allah s.w.t.. Mustahil Allah s.w.t. dibatasi oleh makhluk-makhlukNya.

Perkataan Salafus-Soleh dalam Menafikan Tempat dan Jisim bagi Allah s.w.t. (Suatu Pentunjuk Ke Arah Memahami Aqidah Tanzih Mereka)

Saidina Ali r.a. berkata:

كان- الله- ولا مكان ، وهو الان على ما- عليه- كان اهـ. أي بلا مكان

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah s.w.t. itu tidak bertempat. Dia sekarang dalam keadaan seperti mana Dia sebelum ini (iaitu tetap qadim dan abadi tanpa bertempat)”.
(Al-firaq bainal Firaq karangan Abu Mansur: 333)

Beliau berkata lagi

من زعم أن إلهنا محدود فقد جهل الخالق المعبود

Saidina Ali k.r.w.j. berkata lagi: “Sesiapa yang beranggapan bahawa, Tuhan kita mahdud (ada ruang lingkup tertentu atau ada had-had tertentu), bererti dia jahil tentang Tuhan Maha Pencipta lagi Tuhan yang disembah”
(hilyatul Auliya’: 1/73)

Imam Ali Zainal Abidin bin Al-Husein r.a. (94 H) berkata:

أنت الله الذي لا يحويك مكان

Maksudnya: “Sesungguhnya, Engkaulah Allah, yang tidak bertempat” (Ittihaf Saadah Al-Muttaqin:
4/380)


Imam Ja’far As-Sodiq r.a. (148 H) berkata:

من زعم أن الله في شيء، أو من شيء، أو على شيء فقد أشرك.

Maksudnya: “Sesiapa yang mengatakan bahawa Allah s.w.t. berada pada mana-mana tempat, atau berada atas sesuatu, atau berasal daripada sesuatu, maka dia telahpun syirik...”
(risalah Al-Qusyairiyah: 6)

Imam Abu Hanifah r.a. (150H) berkata:

كان الله تعالى ولا مكان قبل أن يخلق الخلق ، وكان الله تعالى ولم يكن أين ولا خلق ولا شىء ، وهو خالق كل شىء

Maksudnya: Allah s.w.t. itu wujud tanpa bertempat sebelum dia menciptakan makhluk. Maka, Allah s.w.t. wujud tanpa di mana, tanpa makhluk dan tanpa sesuatupun (bersamaNya). Dialah yang menciptakan segalanya.
(Al-Fiqh Al-Absath: 25)

Imam As-Syafi’e r.a. (204 H) berkata:

إنه تعالى كان ولا مكان فخلق المكان وهو على صفة الأزلية كما كان قبل خلقه المكان لا يجوز عليه التغيير في ذاته ولا التبديل في صفاته

“Allah s.w.t. wujud tidak bertempat. Dia menciptakan tempat, sedangkan Dia tetap dengan sifat-sifat keabadianNya, sepertimana sebelum Dia menciptakan makhluk. Tidak layak Allah s.w.t. berubah sifatNya atau zatNya.”
(ittihaf saadah Al-Muttaqin: 2/24).

Sheikhul Hanabilah Imam Abu Al-Fadhl meriwayatkan daripada Imam Ahmad r.a. yang berkata ketika mensyarahkan makna istiwa':

هو العلو والارتفاع ولم يزل الله عاليا رفيعا قبل أن يخلق عرشه فهو فوق كل شىء والعالي علي كل شىء... علا ولا يجوز أن يقال استوي بمماسه ولا بملاقاه تعالي الله عن ذلك علوا كبيرا والله تعالي لم يلحقه تغيير ولا تبدل ولا تلحقه الحدود قبل خلق العرش ولا بعد خلق العرش

Maksudnya: "Iaitu ketinggian darjat dan keagunganNya. Allah s.w.t. sentiasa Maha Tinggi dan Maha Tinggi (darjatNya) sebelum Dia menciptakan Arasy. Dia di atas setiap sesuatu dan Maha Tinggi (kedudukanNya) daripada setiap sesuatu… Tidak boleh seseorangberkata bahawasanya, istiwa itu zat Allah s.w.t. menyentuh Arasy atau menempatinya. Maha Suci Allah s.w.t.daripadanya (bertempat tersebut) setinggi-tinggiNya. Dia tidak akan berubah-ubah, tidak dibatasi dengan sebarang batasan sebelum penciptaan Arasy dan setelah kejadian Arasy tersebut"
(Risalah At-Tamimi: 2/265-290)

Imam At-Tohawi (321H) berkata juga:

"وتعالى - أي الله - عن الحدود والغايات والأ ركان والأعضاء والأدوات، لا تحويه الجهات الست كسائر المبتدعات"

Maksudnya: "Maha Tinggi dan Suci Allah s.w.t. daripada sebarang had, sempadan, anggota, dan alat. Dia tidak tertakluk dalam mana-mana sudut yang enam (tidak bertempat).”
(Al-Aqidah At-Tohawiyyah)


Imam Ibn Hibban (354 H) berkata:


كان- الله- ولا زمان ولا مكان

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak tertakluk kepada tempat dan masa”
(Al-Ihsan fi tartib sahih Ibn Hibban: 4/8)


Imam At-Tabari r.a. berkata:


فتبين إذا أن القديم بارىء الأشياء وصانعها هو الواحد الذي كان قبل كل شىء ، وهو الكائن بعد كل شىء ، والأول قبل كل شىء ، والآخر بعد كل شىء، وأنه كان ولا وقت ولا زمان ولا ليل ولا نهار، ولا ظلمة ولا نور ولا سماء ولا أرض ولا شمس ولا قمر ولا نجوم ، وأن كل شىء سواه محدث مدبرمصنوع...

Maksudnya: "Jelaslah bahawa Allah s.w.t. qadim, Tuhan kepada seluruh makhluk dan Penciptanya. Dialah yang Maha Esa yang wujud sebelum sesuatu wujud. Dia juga kekal setelah kewujudan makhluk. Dialah yang Maha Awal sebelum segala sesuatu dan Maha Akhir setelah segala sesuatu. Allah s.w.t. itu wujud tanpa masa, zaman, siang, malam, tanpa kegelapan dan tanpa cahaya, tanpa langit, tanpa bumi, tanpa matahari, tanpa bulan dan tanpa bintang. Semua selainNya adalah baharu yang ditadbir dan diciptakan (olehNya)."
(Tarikh At-Tabari : 1/26)



Imam Abu Al-Hasan Al-Asy'ari r.a. (324 H) berkata:

كان الله ولا مكان فخلق العرش والكرسي ولم يحتج إلى مكان

Maksudnya: "Allah s.w.t. wujud tanpa bertempat. Dia menciptakan Arasy dan Kursi tanpa memerlukan kepada tempat."
(tabyiin kazbul muftari: 150)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan