Halaman

Rabu, 30 Julai 2025

Tiada Paksaan Dalam Agama ? Apakah Penjelasannya ?


Dr Mohd Khafidz Soroni
BARU-BARU ini tular sebuah video seorang pemuda dalam satu sesi siaran langsung di sebuah media sosial meluahkan hasrat untuk keluar daripada Islam. Menurutnya, dia bertindak demikian disebabkan tekanan hidup yang dihadapi. Keluar daripada Islam atau murtad sebenarnya adalah satu jenayah yang berat dalam Islam dan ia bukanlah suatu perkara yang boleh dipermainkan.
Apa pun yang menimpa pemuda tersebut, ia tidak sewajarnya bertindak di luar batasan agama seperti itu. Penulis percaya tekanan hidup yang dialaminya tidaklah lebih buruk berbanding tekanan hidup yang dihadapi oleh penduduk Gaza di Palestin. Meskipun mereka bersendirian ditindas oleh Rejim Israel tanpa belas kasihan dan tanpa mendapat bantuan daripada mana-mana negara Islam lain. Namun, kerana iman yang teguh, tiada penduduk Gaza yang murtad keluar daripada Islam lantaran mempertikaikan keadilan Allah SWT terhadap mereka yang puluhan tahun hidup dalam keadaan penuh sengsara.
Gejala ingin keluar daripada Islam ini jika tidak ditangani lebih awal mampu menggugat kestabilan agama Islam sebagai agama rasmi negara. Satu kajian di negeri Selangor pada tahun 2022 menunjukkan sembilan daripada 500 orang belia Islam tidak percaya kepada kewujudan Tuhan dan alam ghaib. Walaupun jumlah ini kecil melibatkan 1.8%, namun ia tetap merupakan suatu angka yang agak membimbangkan.
Selain faktor tekanan hidup dan ekonomi, terdapat berbagai faktor lain yang dilihat mendorong ke arah gejala ini. Antaranya ialah jahil agama sehingga gagal menghayati dua kalimah syahadah yang diucapkan, ragu mengenai aspek keadilan dan rahmat Tuhan, tindak balas ekstrem terhadap sesuatu pengalaman pahit, pengabaian ibu bapa terhadap perihal akidah anak-anak, pengaruh golongan ateis atau bukan Islam, dan sebagainya.
Turut menggusarkan, komen yang diberikan oleh sesetengah netizen terhadap video tersebut juga tidak kurang membimbangkan apabila ada yang mengulas, 'tiada paksaan dalam agama.' Seolah-olah perbuatan pemuda berkenaan bukanlah satu jenayah besar dan serius. Pemberi komen itu jelas keliru dengan maksud ayat al-Quran: "Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)." (Surah al-Baqarah: 256)
Padahal maksud ayat ini ialah orang Islam tidak boleh memaksa orang bukan Islam untuk masuk dalam agama Islam, sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama tafsir seperti Ibnu Jarir at-Tabari, al-Qurtubi, Ibnu Kathir, al-Jalalain, as-Sabuni dan lain-lain. Lebih jelas lagi terdapat beberapa riwayat yang menyebutkan tentang sebab penurunan ayat ini.
Antaranya,

riwayat Sa'id bin Jubair daripada Ibnu Abbas RA katanya: "Terdapat seorang wanita Ansar yang selalu kematian anak. Lalu, dia bernazar atas dirinya sekiranya ada anaknya yang hidup, maka ia akan menjadikannya beragama Yahudi. Maka, ketika Bani Nadhir diusir dari Madinah, terdapat bersama dengan mereka anak-anak orang Ansar (termasuk anak wanita itu). Maka, mereka pun berkata: "Kami tidak akan membiarkan anak-anak kami (diusir bersama Yahudi)." Lalu Allah SWT menurunkan ayat: "Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur)." (Surah al-Baqarah: 256). Kata Sa'id bin Jubair: "Maka, sesiapa yang mahu dia boleh turut serta bersama mereka dan sesiapa yang mahu dia boleh memeluk Islam." (Riwayat Abu Dawud, an-Nasa'i dan Ibn Hibban. Hadis sahih)
Demikian yang disebut oleh Sa'id bin Jubair, Mujahid, as-Sya'bi, al-Hasan al-Basri dan lain-lain bahawa ayat tersebut turun dengan sebab peristiwa berkenaan. Kebebasan tersebut diberikan supaya seseorang yang ingin memeluk agama Islam, dia memeluknya dengan hati yang penuh ikhlas dan sukarela tanpa sebarang paksaan.
Jelasnya, ayat berkenaan bukan bermaksud orang Islam bebas untuk memilih mana-mana agama lain dan keluar daripada agama Islam atau murtad dengan alasan tiada paksaan dalam agama Islam. Ini jelas merupakan satu kefahaman yang salah dan terpesong jauh. Seseorang yang telah mengakui dirinya beragama Islam, maka ia wajib mematuhi dan melaksanakan ajaran Islam dengan sebaik mungkin. Ia juga tertakluk kepada undang-undang Islam dan tidak boleh sewenang-wenangnya bebas untuk memilih agama lain.
Terdapat banyak hadis yang memberi ancaman keras terhadap orang yang murtad keluar daripada agama Islam. Antaranya,

daripada Abdullah bin Mas'ud RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Tidak halal darah seorang Muslim yang bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa aku ini utusan Allah kecuali dengan satu daripada tiga perkara iaitu; nyawa dibalas dengan nyawa (kerana membunuh), orang berkahwin yang berzina, dan orang yang keluar daripada agama, meninggalkan jemaah (kaum muslimin)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Selasa, 29 Julai 2025

Hadis 2 Gerhana Di Bulan Ramadhan Tanda Zahir Imam Mahdi ?

 Soalan:

Assalamualaikum..
Mohon ulasan Dr mengenai hadis ttg dua gerhana di bln ramadan sbgai tnda zahir imam mahdi..
Ulasan :
Waalaikumussalam wrt wbr.
Setakat yang ‎dianalisis, tidak ditemukan riwayat hadis Nabi SAW mengenai gerhana bulan dan ‎matahari di bulan Ramadhan. Namun, terdapat dua buah athar yang sangat daif, ‎iaitu:‎
‎1.‎ Riwayat ad-Daraqutni dalam Sunannya:‎
أخرج الدارقطني في سننه: حَدَّثَنَا أَبُو سَعِيدٍ الإِصْطَخْرِيُّ، ثنا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ نَوْفَلٍ ثنا عُبَيْدُ بْنُ ‏يَعِيشَ ثنا يُونُسُ بْنُ بُكَيْرٍ عَنْ عَمْرِو بْنِ شِمْرٍ عَنْ جَابِرٍ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَلِيٍّ قَالَ: "إِنَّ لَمَهْدِيِّنَا آيَتَيْنِ لَمْ ‏تَكُونَا مُنْذُ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ، يَنْخَسِفُ الْقَمَرُ لأَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ وَتَنْكَسِفُ الشَّمْسُ ‏فِي النِّصْفِ مِنْهُ، وَلَمْ تَكُونَا مُنْذُ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ". (رواه الدارقطني في سننه (رقم الحديث: ‏‎1573‎‏ أو 1795)، وقفه على محمد بن علي الباقر، وهو من صغار التابعين، وفيه عَمْرِو بْنِ شِمْرٍ عَنْ ‏جَابِرٍ‏ كلاهما ضعيف، وعمرو أضعف، ضعفه ابن أبي حاتم والنسائي وابن عدي وغيرهم، قال ابن ‏حبان: رافضي يشتم الصحابة ويروي الموضوعات عن الثقات، وجابر الجعفي متكلم فيه، ويونس بن ‏بكير متكلم فيه أيضاً، فقد ضعفه العقيلي)
Daripada Muhammad bin ‘Ali katanya: “Sesungguhnya bagi al-Mahdi kami ada dua ‎tanda kedatangannya yang belum pernah terjadi sejak Allah menciptakan langit dan ‎bumi; [pertama] gerhana bulan di malam pertama Ramadhan, dan [kedua] gerhana ‎matahari di pertengahan bulan daripadanya. Kedua-duanya tidak pernah terjadi ‎sejak Allah menciptakan langit dan bumi”. (Riwayat ad-Daraqutni dalam Sunannya) ‎
Riwayat ini merupakan kata-kata Muhammad bin ‘Ali al-Baqir (wafat 114H). ‎Namun, ia sangat daif atau kemungkinan palsu kerana tidak diketahui al-Baqir ‎mengambilnya daripada siapa krn ia berkaitan perkara ghaib, dan pada sanadnya ‎terdapat beberapa perawi bermasalah, terutama ‘Amru bin Syimr yang ditohmah ‎meriwayatkan hadis-hadis palsu. ‎
‎2.‎ Riwayat Nu‘aim bin Hammad dalam al-Fitan:‎

قَالَ [الْوَلِيد]: وَحُدِّثْتُ عَنْ شَرِيكٍ، أَنَّهُ قَالَ: «بَلَغَنِي أَنَّهُ قَبْلَ خُرُوجِ الْمَهْدِيِّ تَنْكَسِفُ الشَّمْسُ [عند ‏المتقي الهندي: ينكسف القمر؟] فِي شَهْرِ رَمَضَانَ مَرَّتَيْنِ». (رواه نعيم بن حماد في الفتن) ‏

Diberitakan daripada Syarik katanya: “Telah sampai kepadaku bahawa sebelum al-‎Mahdi keluar matahari (atau bulan?) akan gerhana di bulan Ramadhan dua kali”. ‎‎(‎Riwayat Nu‘aim bin Hammad dalam al-Fitan) ‎
Riwayat ini tidak mempunyai sanad lengkap kerana Syarik bin ‘Abdullah (wafat ‎‎177H) hanya menyebut disampaikan kepadanya tanpa menyatakan daripada siapa. ‎Bahkan, perawi daripada Syarik juga tidak diketahui. ‎
Meskipun demikian, kedua-dua riwayat berkenaan turut dimuatkan oleh sebahagian ‎ulama dalam kitab mereka, seperti Imam al-Qurtubi (wafat 671H)‎ dalam at-Tazkirah, ‎Imam Ibnu Hajar al-Haitami (wafat 974H)‎ dalam al-Qawl al-Mukhtasar fi ‘Alamat ‎al-Mahdi al-Muntazar, dan al-‘Allamah al-Muttaqi al-Hindi (wafat 975H)‎ dalam al-‎Burhan fi ‘Alamat Mahdi Akhir al-Zaman. ‎
Boleh jadi mereka mencatat kedua-dua riwayat hanya sebagai rekod dan iktibar ‎sahaja, tanpa sempat meneliti keadaan sanadnya. Ini kerana sanad kedua-dua riwayat ‎ini sangat daif atau berkemungkinan palsu. ‎
Wallahu a‘lam.‎

Isnin, 28 Julai 2025

Puasa Bukan Sekadar Lapar dan Dahaga


Dr Mohd Khafidz Soroni
Bulan yang penuh barakah tiba lagi. Mudah-mudahan Ramadan kali ini menjadi Ramadan yang lebih baik untuk kita berbanding Ramadan sebelumnya.
Memperbaiki diri merupakan proses yang wajib kita lakukan secara berterusan. Meskipun kita sudah berpuasa tiga puluh atau empat puluh kali Ramadan, belum tentu sama dengan sembilan kali Ramadan yang dilaksanakan oleh baginda Nabi SAW.
Meskipun fardu puasa Ramadan lewat disyariatkan, iaitu pada tahun kedua Hijrah, namun Allah SWT mengingatkan kepada umat Islam bahawa ibadah puasa ini bukanlah ibadah baharu, tetapi ia adalah ibadah yang sebelumnya turut difardukan kepada umat-umat terdahulu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah: 183)
Antara hikmah diberitakan bahawa umat-umat terdahulu juga wajib berpuasa adalah bagi meringankan jiwa umat Islam dalam menunaikannya. Ini kerana sesuatu perintah yang agak sukar, namun jika diketahui ia membabitkan semua manusia, maka jiwa akan berasa mudah untuk menerimanya dan berasa lebih tenang untuk melaksanakannya.
Namun, tidak diketahui secara terperinci tentang bagaimana cara umat-umat terdahulu itu berpuasa. Sebahagian ulama tafsir seperti Imam al-Baghawi dan Imam as-Suyuti membawakan beberapa riwayat yang menyatakan bahawa puasa umat sebelum kita adalah dari malam sehingga malam berikutnya, sebagaimana pada permulaan Islam.
Jika benar, maka ini bererti mereka dituntut berpuasa dalam jangka masa yang agak lama. Ini kerana mereka bukan sahaja perlu berpuasa pada waktu siang, bahkan perlu berpuasa juga pada waktu malam. Jadi, mereka hanya dapat makan sekali sahaja setiap hari, iaitu pada waktu berbuka.
Namun, cara berpuasa berkenaan telah dimansuhkan. Umat Islam kemudian hanya wajib berpuasa pada waktu siang sahaja.
Adapun pada waktu malam, mereka dibenarkan untuk makan minum seperti biasa. Malah, sebelum terbit fajar, umat Islam digalakkan untuk bersahur hingga bersahur ini menjadi pembeza antara puasa umat Islam dan puasa umat terdahulu.

Daripada 'Amru bin al-'As RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Perbezaan antara puasa kita dengan puasa ahli kitab adalah makan sahur." (Riwayat Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Nasa'i)
Bersahur juga mengandungi keberkatan yang dapat membantu umat Islam bagi menjalani ibadah puasa di siang hari.

Daripada Anas bin Malik RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Bersahurlah kamu sekalian, kerana pada bersahur itu ada barakah (keberkatan)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Bukan itu sahaja, orang yang bersahur juga mendapat rahmat Allah SWT dan doa daripada para malaikat.

Abu Sa'id al-Khudri RA meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: "Makan sahur itu mempunyai barakah (keberkatan), maka janganlah kamu meninggalkannya, meskipun seseorang daripada kamu hanya minum seteguk air. Sesungguhnya Allah 'azza wajalla dan para malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang bersahur." (Riwayat Ahmad dalam Musnadnya. Hadis hasan)
Sebelum betul-betul terbit fajar, umat Islam disunatkan untuk melakukan imsak, iaitu berhenti daripada makan dan minum sebagai langkah berhati-hati.

Anas RA meriwayatkan daripada Zaid Ibn Thabit RA katanya: "Kami pernah bersahur bersama Nabi SAW, kemudian baginda SAW bangkit untuk mendirikan solat." Anas bertanya: "Berapakah (jarak masa) antara azan (subuh) dengan sahur itu?" Zaid menjawab: "Dalam ukuran bacaan lima puluh ayat." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sepanjang berpuasa umat Islam hendaklah menjaga seluruh anggotanya daripada melakukan perkara maksiat, selain dianjurkan untuk memenuhi masa dengan amal ibadah dan ketaatan kepada Allah SWT. Purata tempoh kita berpuasa pada setiap hari adalah lebih kurang sekitar 13 jam. Maka, tentunya bertambah sangat rugi orang yang gagal menahan nafsunya daripada berbuat dosa sepanjang tempoh ini.

Daripada Abu Hurairah RA katanya, bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang tidak meninggalkan bercakap bohong dan berkelakuan keji lagi buruk (sedangkan dia berpuasa), maka tidak ada gunanya di sisi Allah dia meninggalkan makan dan minumnya (selain daripada lapar dan dahaga sahaja yang diperolehinya)." (Riwayat al-Bukhari)
Setelah masuk waktu berbuka, umat Islam digalakkan pula untuk menyegerakan berbuka puasa dan tidak melengah-lengahkannya.

Daripada Sahl bin Saad RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Manusia sentiasa berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa (setelah masuk waktunya)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Manakala Abu Hurairah RA meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: "Allah 'Azza wa Jalla berfirman: "Sesungguhnya hamba-Ku yang paling Aku kasihi ialah orang yang paling segera berbuka puasa." (Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hasan gharib)
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Sabtu, 26 Julai 2025

Syafaat Orang Yang Masuk Syurga Tanpa Hisab


Dr Mohd Khafidz Soroni
Nilai syurga pastinya tidak dapat dibayar dengan wang, sebaliknya dengan iman dan amalan ketaatan kepada Allah SWT.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Semua umatku akan masuk ke syurga kecuali orang yang enggan. Sesiapa yang mentaatiku dia akan masuk ke syurga dan sesiapa yang menderhakaiku, maka dialah yang enggan." (Riwayat al-Bukhari)
Sehubungan demikian, ada segolongan umat Nabi SAW yang akan masuk syurga tanpa dihisab oleh Allah SWT.
Daripada Ibnu Abbas RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Seluruh umat manusia pernah diperlihatkan kepadaku. Maka, ada seorang dan dua orang nabi yang melewati bersama sekumpulan orang dan ada nabi yang tidak ada seorang pun bersamanya, sehingga diperlihatkan kepadaku segerombolan manusia yang sangat ramai.
Aku pun bertanya: "Apakah ini? Adakah ini umatku?" Lalu dikatakan: "Bahkan, ini adalah Musa dan kaumnya". Lantas diberitahukan kepadaku:"Lihatlah ke ufuk". Maka, di sana terdapat segerombolan manusia yang memenuhi ufuk.
Kemudian dikatakan lagi kepadaku: "Lihatlah di sebelah sini dan di sebelah sana, di ufuk-ufuk langit". Maka, di sana juga terdapat segerombolan manusia yang telah memenuhi ufuk.
Lalu, dikatakan kepadaku: "Ini adalah umatmu dan di antara mereka terdapat 70,000 orang yang akan masuk syurga tanpa hisab."
Selepas itu, baginda masuk rumah dan tidak memberikan perincian kepada mereka. Maka, sahabat pun berbincang. Mereka berkata: "Kita adalah orang yang beriman kepada Allah dan mengikuti Rasul-Nya, maka kelompok tersebut adalah kita atau anak kita yang dilahirkan dalam keadaan Islam kerana kita dilahirkan pada zaman jahiliah."
Lalu, hal itu sampai kepada Nabi SAW, lantas baginda pun keluar dan bersabda: "Mereka adalah orang yang tidak pernah minta untuk dijampi, tidak pernah membuat ramalan sial melalui burung, tidak pernah melakukan rawatan tuam dengan besi panas dan mereka sentiasa bertawakal kepada Tuhan mereka."
Lalu, Ukkasyah bin Mihsan berkata:"Adakah aku termasuk di antara mereka, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Ya". Lantas, seorang sahabat yang lain berdiri dan bertanya: "Adakah aku juga termasuk di antara mereka?" Namun, baginda bersabda: "Ukkasyah telah mendahuluimu." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Jumlah 70,000 orang yang akan masuk syurga tanpa hisab ini kerana mereka tidak meminta untuk dijampi, tidak membuat ramalan sial melalui binatang, tidak melakukan rawatan tuam dengan besi panas dan mereka sentiasa bertawakal kepada Allah SWT.
Walaupun jumlah ini besar, namun dikira masih sedikit jika dibandingkan dengan bilangan sahabat Nabi SAW sahaja yang melebihi 100,000 orang.
Maka, apakah bilangan terbabit hanya terbatas pada 70,000?
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari, ada dalam beberapa hadis lain menunjukkan bahawa bersama-sama 70,000 itu ada tambahan lagi.
Dalam hadis Abu Hurairah di sisi Ahmad dan al-Baihaqi dalam al-Ba'th daripada Nabi SAW sabdanya: "Aku telah memohon kepada Tuhanku, lalu Dia menjanjikan kepadaku bahawa ada 70,000 daripada umatku akan masuk syurga seumpama rupa bulan purnama. Lalu, aku memohon ditambahkan lagi, lalu Dia pun menambahkan lagi buatku iaitu bersama setiap seribu ada 70,000 orang."
Sanadnya adalah baik. Dalam bab sama juga daripada Abu Ayyub di sisi at-Tabarani, daripada Huzaifah di sisi Ahmad, daripada Anas di sisi al-Bazzar dan daripada Thauban di sisi Ibnu Abi Asim. Maka, jalan-jalan riwayat ini mampu menguatkan antara satu sama lain.
Juga diriwayatkan daripada Abu Umamah, Nabi SAW bersabda: "Tuhanku telah menjanjikan kepadaku bahawa ada 70,000 daripada umatku akan masuk syurga. Bersama setiap 1,000 pula ada 70,000 orang yang tiada dikenakan hisab mahupun azab serta ada lagi tiga raupan daripada raupan Tuhanku."(Riwayat Ahmad, at-Tirmizi dan Ibn Majah. Hadis sahih)
Ini menjadikan jumlah mereka secara keseluruhan ialah 4.9 juta orang, tidak termasuk tamsilan tiga raupan Allah SWT terbabit.
Ada beberapa hadis lain yang menyatakan bahawa bersama setiap seorang daripada 70,000 itu ada 70,000 orang, menjadikan jumlah mereka semuanya 4.9 bilion.
Bagaimanapun, semua sanadnya daif seperti yang dijelaskan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar. Meskipun demikian, beliau menerangkan juga bahawa bilangan tambahan (hingga 4.9 bilion) terbabit mungkin termasuk sekali dengan bilangan secara tamsilan tiga raupan Allah SWT itu.
Semua hadis ini adalah antara dalil bahawa orang Mukmin yang soleh mampu memberi syafaat kepada orang Mukmin yang lain pada hari akhirat kelak.
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Jumaat, 25 Julai 2025

Bid'ahkah Amalan Membaca Yaasiin Di Malam Jumaat ?


TERDAPAT dalil khusus mengenai kelebihan membaca Yasin pada waktu malam.
Hari Jumaat merupakan penghulu bagi segala hari. Namun demikian, terdapat larangan daripada Nabi SAW bagi umat Islam mengkhususkan hari Jumaat untuk melaksanakan sebahagian ibadah tertentu. Di samping, menganjurkan mereka untuk mengerjakan sebahagian ibadah tertentu yang lain pula.
Antara ibadah yang dilarang untuk ditunaikan secara khusus pada hari Jumaat ialah qiamullail dan puasa.
Daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW bersabda: "Janganlah kamu sekalian mengkhususkan malam Jumaat dengan berqiam di antara malam-malam yang lain, dan jangan juga mengkhususkan hari Jumaat dengan berpuasa di antara hari-hari yang lain, kecuali memang bertepatan dengan hari puasa yang biasa dilakukan oleh seseorang daripada kamu." (Riwayat Muslim)
Manakala antara ibadah yang dianjurkan untuk dilakukan secara khusus pada hari Jumaat ialah membaca surah al-Kahf, berselawat ke atas Nabi SAW dan berdoa.
Pertama, daripada Abu Sa'id al-Khudri RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang membaca surah al-Kahf pada hari Jumaat, akan terpancarlah baginya cahaya di antara dirinya dan Baitul 'Atiq (Kaabah)." Dalam riwayat lain: "...akan terpancarlah baginya cahaya di antara dua Jumaat." (Riwayat an-Nasa'i dalam as-Sunan al-Kubra, al-Hakim dalam al-Mustadrak dan al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman. Hadis hasan li-ghairih).
Kedua, daripada Aus bin Aus RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya antara hari yang paling afdal bagi kamu sekalian ialah hari Jumaat, maka perbanyakkanlah padanya berselawat ke atasku. Sesungguhnya selawat kamu sekalian dibentangkan kepadaku." (Riwayat Abu Dawud dengan sanad sahih).
Ketiga, daripada Abu Lubabah bin 'Abd al-Munzir, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Padanya (Jumaat) terdapat satu masa apabila seseorang hamba itu meminta sesuatu kepada Allah, nescaya Dia akan beri kepadanya selama mana dia tidak meminta sesuatu yang haram." (Riwayat Ahmad, Ibn Majah dan at-Tabarani dengan sanad hasan)
Secara rumusan ringkasnya, ibadah yang dilarang pengkhususannya pada hari Jumaat adalah daripada jenis solat sunat dan puasa sunat. Manakala ibadah yang dianjurkan pula adalah daripada jenis bacaan al-Quran, berselawat dan berdoa.
Sehubungan itu, apakah amalan membaca Yasin malam Jumaat‎ itu satu bidaah yang sesat?
Golongan Salafi Wahhabi antara yang lantang menegaskan bahawa ia adalah satu bidaah dan haram. Sebarang pandangan yang membolehkannya dianggap membuka pintu kepada pelbagai bidaah yang lain, justeru tiada kompromi mengenainya.
Apakah sampai sebegitu rupa kedudukannya?
Bagaimanapun, pendekatan para ulama yang mempunyai kefahaman yang jelas dalam agama tidaklah sampai ke tahap sedemikian dalam masalah-masalah furuk. Membolehkan amalan membaca Yasin malam Jumaat tidak mesti bermakna boleh membuka pintu kepada pelbagai bidaah yang lain.
Ini kerana sesuatu amalan yang diharuskan oleh ulama meskipun tidak jelas dilakukan oleh Nabi SAW, ia perlu melalui proses pendalilan dan kaedah usul yang ditetapkan. Bukan sekadar 'benda baik, apa salahnya'. Jika amalan tersebut tidak melepasinya, barulah dikira sebagai bidaah dan tertolak.
Selain tiada hadis yang melarang secara khusus, terdapat dalil khusus mengenai kelebihan membaca Yasin pada waktu malam.
Daripada Abu Hurairah RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang membaca Yasin pada suatu malam kerana mengharapkan keredaan Allah, maka akan diampunkan baginya." (Riwayat ad-Darimi, al-Tabarani, Ibnu as-Sunni dan al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman. Hadis hasan li-ghairih)
Selain Abu Hurairah, turut diriwayatkan daripada Jundab bin 'Abdullah, Ibn Mas'ud, Anas bin Malik, Ma'qil bin Yasar dan Ubay bin Kaab. Meskipun sanad-sanadnya lemah, namun ia saling menguatkan antara satu sama lain. Malam Jumaat sudah tentu termasuk sekali dalam hadis ini. Di samping terdapat dalam satu riwayat di sisi Qawwam as-Sunnah al-Asbahani dalam at-Targhib wa at-Tarhib tambahan lafaz: 'malam Jumaat'. Demikian juga di sisi al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman, namun sanadnya amat daif. Apapun, dalam bab fadha'il a'mal (kelebihan amalan) tidak mensyaratkan sesuatu hadis itu mesti berstatus sahih.
Selain itu, ia boleh dikiaskan dengan jenis ibadah yang dianjurkan pada waktu malam dan hari Jumaat iaitu bacaan al-Quran.
Kesemua ini adalah qarinah (bukti sokongan) yang menjadikannya tidak boleh terus dikategorikan sebagai bidaah.
Atas sebab itu, beberapa jabatan mufti negeri di Malaysia telah memfatwakan persoalan khilafiah adalah perkara ijtihadiyyah dan tidak boleh sama sekali dihukumkan bidaah kerana amalan tersebut telah diterima dan menjadi amalan ulama muktabar sejak dahulu, termasuklah isu ini.
Semoga pencerahan ini dapat membantu masyarakat memahami isu amalan yang tidak jelas dilakukan oleh Nabi SAW, namun terdapat dalil umum dan qarinah yang membolehkannya.
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Khamis, 24 Julai 2025

Senarai Artikel Dr Khafidz Soroni Tahun 2024


Semoga memberi manfaat.
‎1. Meninjau metode kalam Imam al-Asy'ari ‎
Disiarkan pada: Januari 7, 2024‎
‎2. Peranan ulama kalam pertahan akidah Islam
Disiarkan pada: Januari 14, 2024‎
‎3. Faktor kemunculan metode kalam ASWJ
Disiarkan pada: Januari 21, 2024‎
‎4. Ilmu kalam yang dicela ulama Salaf
Disiarkan pada: Januari 28, 2024‎
‎5. Kenali metode kalam Imam al-Maturidi ‎
Disiarkan pada: Februari 4, 2024‎
‎6. Berbangga dengan kesalahan zina?‎
Disiarkan pada: Februari 18, 2024‎
‎7. Jangan eksploitasi keturunan mulia
Disiarkan pada: Februari 25, 2024‎
‎8. Waspada 'penyakit kejahilan' mengenai agama
Disiarkan pada: Mac 3, 2024‎
‎9. Kedudukan Hajar Aswad dan faktor keunikan
Disiarkan pada: Mac 10, 2024‎
‎10. Makan kurma menurut sunah Nabi SAW ‎
Disiarkan pada: Mac 17, 2024‎
‎11. Kelebihan & hikmah menahan lapar ‎
Disiarkan pada: Mac 24, 2024‎
‎12. Tiada hadis sahih, tapi sunat diamalkan (fiqah Hari Raya)‎
Disiarkan pada: April 7, 2024‎
‎13. Bala: Antara ujian Allah dan hukuman
Disiarkan pada: April 21, 2024‎
‎14. Al-Jama'ah merujuk kepada golongan majoriti
Disiarkan pada: April 28, 2024‎
‎15. Persiapan ilmu, amal hadapi fitnah siber & fitnah dajal
Disiarkan pada: Mei 5, 2024‎
‎16. Waspada pembawa syariat palsu
Disiarkan pada: Mei 12, 2024‎
‎17. Penting jaga kesihatan mental
Disiarkan pada: Mei 19, 2024‎
‎18. Memahami faktor pemikiran ekstrem
Disiarkan pada: Mei 26, 2024‎
‎19. Ciri pemikiran ekstremisme menurut hadis
Disiarkan pada: Jun 2, 2024‎
‎20. Elak ekstremisme dalam perbahasan ilmiah
Disiarkan pada: Jun 9, 2024‎
‎21. Ibadah haji dan hadis akhir zaman
Disiarkan pada: Jun 16, 2024‎
‎22. Hadis daif boleh diamalkan secara mutlak? ‎
Disiarkan pada: Jun 23, 2024‎
‎23. RUU Mufti 2024 dan akidah ahli hadis ‎
Disiarkan pada: Julai 14, 2024‎
‎24. Seronok didengar, tidak mudah dipraktik (isu sahih dan daif)‎
Disiarkan pada: Julai 21, 2024‎
‎25. Akidah Imam As-Syafi'i selari pegangan Asya'irah
Disiarkan pada: Julai 28, 2024‎
‎26. Pembuli: Insafi perbuatan, mohon hidayah
Disiarkan pada: Ogos 4, 2024‎
‎27. Akal perlu dibekukan dalam bicara akidah?‎
Disiarkan pada: Ogos 11, 2024‎
‎28. Usah pertonton keaiban di media sosial ‎
Disiarkan pada: Ogos 18, 2024‎
‎29. Fitrah bukan dalil akidah yang qat'ie
Disiarkan pada: Ogos 25, 2024‎
‎30. Sudah tiba masanya ASWJ perlu bermanhaj jelas
Disiarkan pada: September 8, 2024‎
‎31. Haram eksploitasi kelemahan orang lain ‎
Disiarkan pada: September 15, 2024‎
‎32. Eksploitasi konsep tabarruk boleh bawa kesesatan ‎
Disiarkan pada: September 29, 2024‎
‎33. Usah mudah bidaah pihak lain yang tidak sependapat ‎
Disiarkan pada: Oktober 13, 2024‎
‎34. Ulama Asya'irah, Maturidiyyah, digeruni ahli bidaah ‎
Disiarkan pada: Oktober 20, 2024‎
‎35. Waspada ajaran Mujassimah atas nama Salaf ‎
Disiarkan pada: November 3, 2024‎
‎36. Perkukuh pengetahuan mengenai Imam al-Mahdi
Disiarkan pada: November 10, 2024‎
‎37. Membudayakan majlis pembacaan kitab hadis
Disiarkan pada: November 24, 2024‎
‎38. Menghurai kekeliruan hadis mutawatir
Disiarkan pada: Disember 1, 2024‎
‎39. Syria dan hadis berkaitan akhir zaman
Disiarkan pada: Disember 15, 2024‎
‎40. Waspada terhadap gerakan sunah ekstrem
Disiarkan pada: Disember 22, 2024‎
‎41. Anbia hidup di dalam kubur mereka ‎
Disiarkan pada: Disember 29, 2024‎