Halaman

Sabtu, 26 Julai 2025

Syafaat Orang Yang Masuk Syurga Tanpa Hisab


Dr Mohd Khafidz Soroni
Nilai syurga pastinya tidak dapat dibayar dengan wang, sebaliknya dengan iman dan amalan ketaatan kepada Allah SWT.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Semua umatku akan masuk ke syurga kecuali orang yang enggan. Sesiapa yang mentaatiku dia akan masuk ke syurga dan sesiapa yang menderhakaiku, maka dialah yang enggan." (Riwayat al-Bukhari)
Sehubungan demikian, ada segolongan umat Nabi SAW yang akan masuk syurga tanpa dihisab oleh Allah SWT.
Daripada Ibnu Abbas RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Seluruh umat manusia pernah diperlihatkan kepadaku. Maka, ada seorang dan dua orang nabi yang melewati bersama sekumpulan orang dan ada nabi yang tidak ada seorang pun bersamanya, sehingga diperlihatkan kepadaku segerombolan manusia yang sangat ramai.
Aku pun bertanya: "Apakah ini? Adakah ini umatku?" Lalu dikatakan: "Bahkan, ini adalah Musa dan kaumnya". Lantas diberitahukan kepadaku:"Lihatlah ke ufuk". Maka, di sana terdapat segerombolan manusia yang memenuhi ufuk.
Kemudian dikatakan lagi kepadaku: "Lihatlah di sebelah sini dan di sebelah sana, di ufuk-ufuk langit". Maka, di sana juga terdapat segerombolan manusia yang telah memenuhi ufuk.
Lalu, dikatakan kepadaku: "Ini adalah umatmu dan di antara mereka terdapat 70,000 orang yang akan masuk syurga tanpa hisab."
Selepas itu, baginda masuk rumah dan tidak memberikan perincian kepada mereka. Maka, sahabat pun berbincang. Mereka berkata: "Kita adalah orang yang beriman kepada Allah dan mengikuti Rasul-Nya, maka kelompok tersebut adalah kita atau anak kita yang dilahirkan dalam keadaan Islam kerana kita dilahirkan pada zaman jahiliah."
Lalu, hal itu sampai kepada Nabi SAW, lantas baginda pun keluar dan bersabda: "Mereka adalah orang yang tidak pernah minta untuk dijampi, tidak pernah membuat ramalan sial melalui burung, tidak pernah melakukan rawatan tuam dengan besi panas dan mereka sentiasa bertawakal kepada Tuhan mereka."
Lalu, Ukkasyah bin Mihsan berkata:"Adakah aku termasuk di antara mereka, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Ya". Lantas, seorang sahabat yang lain berdiri dan bertanya: "Adakah aku juga termasuk di antara mereka?" Namun, baginda bersabda: "Ukkasyah telah mendahuluimu." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Jumlah 70,000 orang yang akan masuk syurga tanpa hisab ini kerana mereka tidak meminta untuk dijampi, tidak membuat ramalan sial melalui binatang, tidak melakukan rawatan tuam dengan besi panas dan mereka sentiasa bertawakal kepada Allah SWT.
Walaupun jumlah ini besar, namun dikira masih sedikit jika dibandingkan dengan bilangan sahabat Nabi SAW sahaja yang melebihi 100,000 orang.
Maka, apakah bilangan terbabit hanya terbatas pada 70,000?
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari, ada dalam beberapa hadis lain menunjukkan bahawa bersama-sama 70,000 itu ada tambahan lagi.
Dalam hadis Abu Hurairah di sisi Ahmad dan al-Baihaqi dalam al-Ba'th daripada Nabi SAW sabdanya: "Aku telah memohon kepada Tuhanku, lalu Dia menjanjikan kepadaku bahawa ada 70,000 daripada umatku akan masuk syurga seumpama rupa bulan purnama. Lalu, aku memohon ditambahkan lagi, lalu Dia pun menambahkan lagi buatku iaitu bersama setiap seribu ada 70,000 orang."
Sanadnya adalah baik. Dalam bab sama juga daripada Abu Ayyub di sisi at-Tabarani, daripada Huzaifah di sisi Ahmad, daripada Anas di sisi al-Bazzar dan daripada Thauban di sisi Ibnu Abi Asim. Maka, jalan-jalan riwayat ini mampu menguatkan antara satu sama lain.
Juga diriwayatkan daripada Abu Umamah, Nabi SAW bersabda: "Tuhanku telah menjanjikan kepadaku bahawa ada 70,000 daripada umatku akan masuk syurga. Bersama setiap 1,000 pula ada 70,000 orang yang tiada dikenakan hisab mahupun azab serta ada lagi tiga raupan daripada raupan Tuhanku."(Riwayat Ahmad, at-Tirmizi dan Ibn Majah. Hadis sahih)
Ini menjadikan jumlah mereka secara keseluruhan ialah 4.9 juta orang, tidak termasuk tamsilan tiga raupan Allah SWT terbabit.
Ada beberapa hadis lain yang menyatakan bahawa bersama setiap seorang daripada 70,000 itu ada 70,000 orang, menjadikan jumlah mereka semuanya 4.9 bilion.
Bagaimanapun, semua sanadnya daif seperti yang dijelaskan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar. Meskipun demikian, beliau menerangkan juga bahawa bilangan tambahan (hingga 4.9 bilion) terbabit mungkin termasuk sekali dengan bilangan secara tamsilan tiga raupan Allah SWT itu.
Semua hadis ini adalah antara dalil bahawa orang Mukmin yang soleh mampu memberi syafaat kepada orang Mukmin yang lain pada hari akhirat kelak.
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan