Halaman

Selasa, 29 Julai 2025

Hadis 2 Gerhana Di Bulan Ramadhan Tanda Zahir Imam Mahdi ?

 Soalan:

Assalamualaikum..
Mohon ulasan Dr mengenai hadis ttg dua gerhana di bln ramadan sbgai tnda zahir imam mahdi..
Ulasan :
Waalaikumussalam wrt wbr.
Setakat yang ‎dianalisis, tidak ditemukan riwayat hadis Nabi SAW mengenai gerhana bulan dan ‎matahari di bulan Ramadhan. Namun, terdapat dua buah athar yang sangat daif, ‎iaitu:‎
‎1.‎ Riwayat ad-Daraqutni dalam Sunannya:‎
أخرج الدارقطني في سننه: حَدَّثَنَا أَبُو سَعِيدٍ الإِصْطَخْرِيُّ، ثنا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ نَوْفَلٍ ثنا عُبَيْدُ بْنُ ‏يَعِيشَ ثنا يُونُسُ بْنُ بُكَيْرٍ عَنْ عَمْرِو بْنِ شِمْرٍ عَنْ جَابِرٍ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَلِيٍّ قَالَ: "إِنَّ لَمَهْدِيِّنَا آيَتَيْنِ لَمْ ‏تَكُونَا مُنْذُ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ، يَنْخَسِفُ الْقَمَرُ لأَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ وَتَنْكَسِفُ الشَّمْسُ ‏فِي النِّصْفِ مِنْهُ، وَلَمْ تَكُونَا مُنْذُ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ". (رواه الدارقطني في سننه (رقم الحديث: ‏‎1573‎‏ أو 1795)، وقفه على محمد بن علي الباقر، وهو من صغار التابعين، وفيه عَمْرِو بْنِ شِمْرٍ عَنْ ‏جَابِرٍ‏ كلاهما ضعيف، وعمرو أضعف، ضعفه ابن أبي حاتم والنسائي وابن عدي وغيرهم، قال ابن ‏حبان: رافضي يشتم الصحابة ويروي الموضوعات عن الثقات، وجابر الجعفي متكلم فيه، ويونس بن ‏بكير متكلم فيه أيضاً، فقد ضعفه العقيلي)
Daripada Muhammad bin ‘Ali katanya: “Sesungguhnya bagi al-Mahdi kami ada dua ‎tanda kedatangannya yang belum pernah terjadi sejak Allah menciptakan langit dan ‎bumi; [pertama] gerhana bulan di malam pertama Ramadhan, dan [kedua] gerhana ‎matahari di pertengahan bulan daripadanya. Kedua-duanya tidak pernah terjadi ‎sejak Allah menciptakan langit dan bumi”. (Riwayat ad-Daraqutni dalam Sunannya) ‎
Riwayat ini merupakan kata-kata Muhammad bin ‘Ali al-Baqir (wafat 114H). ‎Namun, ia sangat daif atau kemungkinan palsu kerana tidak diketahui al-Baqir ‎mengambilnya daripada siapa krn ia berkaitan perkara ghaib, dan pada sanadnya ‎terdapat beberapa perawi bermasalah, terutama ‘Amru bin Syimr yang ditohmah ‎meriwayatkan hadis-hadis palsu. ‎
‎2.‎ Riwayat Nu‘aim bin Hammad dalam al-Fitan:‎

قَالَ [الْوَلِيد]: وَحُدِّثْتُ عَنْ شَرِيكٍ، أَنَّهُ قَالَ: «بَلَغَنِي أَنَّهُ قَبْلَ خُرُوجِ الْمَهْدِيِّ تَنْكَسِفُ الشَّمْسُ [عند ‏المتقي الهندي: ينكسف القمر؟] فِي شَهْرِ رَمَضَانَ مَرَّتَيْنِ». (رواه نعيم بن حماد في الفتن) ‏

Diberitakan daripada Syarik katanya: “Telah sampai kepadaku bahawa sebelum al-‎Mahdi keluar matahari (atau bulan?) akan gerhana di bulan Ramadhan dua kali”. ‎‎(‎Riwayat Nu‘aim bin Hammad dalam al-Fitan) ‎
Riwayat ini tidak mempunyai sanad lengkap kerana Syarik bin ‘Abdullah (wafat ‎‎177H) hanya menyebut disampaikan kepadanya tanpa menyatakan daripada siapa. ‎Bahkan, perawi daripada Syarik juga tidak diketahui. ‎
Meskipun demikian, kedua-dua riwayat berkenaan turut dimuatkan oleh sebahagian ‎ulama dalam kitab mereka, seperti Imam al-Qurtubi (wafat 671H)‎ dalam at-Tazkirah, ‎Imam Ibnu Hajar al-Haitami (wafat 974H)‎ dalam al-Qawl al-Mukhtasar fi ‘Alamat ‎al-Mahdi al-Muntazar, dan al-‘Allamah al-Muttaqi al-Hindi (wafat 975H)‎ dalam al-‎Burhan fi ‘Alamat Mahdi Akhir al-Zaman. ‎
Boleh jadi mereka mencatat kedua-dua riwayat hanya sebagai rekod dan iktibar ‎sahaja, tanpa sempat meneliti keadaan sanadnya. Ini kerana sanad kedua-dua riwayat ‎ini sangat daif atau berkemungkinan palsu. ‎
Wallahu a‘lam.‎

Tiada ulasan:

Catat Ulasan