Halaman

Rabu, 22 April 2020

MENJAWAB KEKELIRUAN SEBAHAGIAN TOP 5 LEMAH ATAU PALSU TENTANG RAMADHAN



Soalan : Assalamu'alaikum ustaz, mohon pencerahan mengenai video yang ditularkan di atas.  Seolah-olah salah besar mengamalkan sebahagian hadis-hadis yang disebutkan ? 

ULASAN : Dr Mohd Khafidz bin Soroni

Oleh kerana berlaku kekeliruan dalam sesetengah masyarakat, maka izinkan saya untuk mengulas sedikit pada hadis-hadis yang diutarakan. Tanpa menafikan ada penilaian hadis yang sama-sama dipersetujui, namun ada dua buah hadis yang perlu kepada penjelasan dan ulasan lanjut kerana kedaifan hadis-hadis tersebut secara umum tidak terlalu teruk dan masih boleh diguna pakai sebagai fadhail amal sekurang-kurangnya, iaitu;

Hadis i: TIDUR ORANG YANG BERPUASA ADALAH IBADAH

Iaitu hadis:

" نوم الصائم عبادة وصمته تسبيح وعمله مضاعف ودعاؤه مستجاب وذنبه مغفور"

Hadis ini riwayat al-Baihaqi dlm Syu‘ab al-Iman drpd ‘Abdullah bin Abi Awfa RA melalui 3 jalan riwayat. Kata al-Baihaqi bagi jalan riwayat ke 2 dan ke 3: “Ma‘ruf bin Hassan, daif dan Sulaiman bin ‘Amru al-Nakha‘i, lbh daif lagi daripadanya”. Manakala, jalan riwayat pertama tidak diulas oleh al-Baihaqi. Namun, kelemahannya masih ada kerana ‘Abd al-Malik bin ‘Umair menurut Ahmad adalah bercelaru hadisnya, dan menurut Ibn Ma‘in, seorg yg bercampur aduk hafazannya, dan menurut Abu Hatim, bukan hafiz. Demikian ulasan al-Munawi di dlm Faidh al-Qadir. al-Hafiz as-Suyuti di dalam al-Jami‘ as-Saghir mengisyaratkan hadis ini sebagai daif. Demikian juga penilaian Mulla al-Qari di dalam al-Asrar al-Marfu‘ah.

al-Hafiz al-‘Iraqi menambah bahawa hadis ini turut diriwayatkan dalam Amali Ibn Mandah daripada riwayat Ibn al-Mughirah daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA dengan sanad yg daif. Cuma lafaz (الصائم) ditukar kepada lafaz (العالم). Kata al-‘Iraqi: “Boleh jadi ‘Abdullah bin ‘Amru RA, kerana ulama tidak menyebut bagi Ibn al-Mughirah sebarang riwayat lain melainkan daripadanya”. Kata al-‘Iraqi lagi: “Juga diriwayatkan oleh Abu Mansur ad-Dailami dlm Musnad al-Firdaus daripada hadis ‘Abdullah bin Abi Awfa RA, namun pada sanadnya ada Sulaiman bin ‘Amru al-Nakha‘i, salah seorg pendusta”. Iaitu sepertimana dalam salah satu jalan riwayat al-Baihaqi di atas. 

Sayyidi Ahmad al-Ghumari (w. 1380H) di dlm kitab al-Mudawi telah membawakan dua riwayat sokongan drpd hadis Ibn Mas‘ud RA [riwayat Abu Nu‘aim dlm al-Hilyah]; dan hadis ‘Ali bin Abi Talib RA [riwayat Hamzah as-Sahmi dalam Tarikh Jurjan dan Abu Talib al-Haruni dlm Amalinya]. Namun, kedua-duanya bersanad daif. Apa pun, kesemua jalan riwayat ini saling kuat menguatkan antara satu sama lain dan kemungkinan menunjukkan hadis ini ada asalnya daripada Nabi SAW. 

Dikatakan, hadis ini bercanggah dengan hadis sahih: (من قام رمضان ايمانا واحتسابا). Namun, saya tidak pasti apa percanggahannya kerana hadis di atas tentang kelebihan orang yang berpuasa secara umum, sedangkan hadis sahih tersebut berkaitan qiyam Ramadhan (solat tarawih). Apakah orang yang berqiyam tidak tidur sepanjang malam dan siang?

al-Hafiz Ibn Rajab (w. 795H) dlm Lata’if al-Ma‘arif ada memberikan penjelasan yg cukup baik berkenaan maksud hadis ini. Kata beliau: “Jika dia berniat dengan makan dan minumnya supaya kuat badannya untuk berqiyam dan puasa, maka dia beroleh pahala dengan sebab itu. Sepertimana jika dia berniat dengan tidurnya pada malam dan siang hari supaya kuat untuk beramal, maka tidurnya itu adalah ibadah. Di dalam sebuah hadis marfu‘: ‘Tidur orang yang berpuasa itu ibadah’. Kata Hafsah binti Sirin: Menurut Abu al-‘Aliyah: ‘Org yang berpuasa itu di dalam ibadah selama mana dia tidak mengumpat seseorg, walau dia tidur di atas tilamnya sekalipun’. Lalu Hafsah sering berkata: ‘Alangkah untungnya ibadah, sedang aku tidur di atas tilamku’. Ia dikeluarkan oleh ‘Abd al-Razzaq.”

Hadis ii: RAMADHAN ADALAH BULAN AWALNYA RAHMAT, PERTENGAHANNYA KEAMPUNAN DAN PENGAKHIRANNYA PEMBEBASAN DARI API NERAKA

Iaitu hadis;

هو شهر أوله رحمة وأوسطه مغفرة وآخره عتق من النار.

Rangkap hadis ini ada diriwayatkan daripada hadis Abu Hurairah RA [riwayat Ibn Abi ad-Dunya dalam Fada’il Syahr Ramadhan, Ibn ‘Adi dalam al-Kamil, dan lain-lain]; dan hadis Salman RA [riwayat Ibn Abi ad-Dunya dalam Fada’il Syahr Ramadhan, Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya, al-Baihaqi dalam Fada’il al-Awqat, dan lain-lain].

Dalam sanad hadis Abu Hurairah RA terdapat Maslamah bin al-Salt dan kedudukan beliau hanya majhul (tidak diketahui), bukannya sebagai pendusta. Maka, sanad tersebut seharusnya daif saja. Manakala hadis Salman RA pula dalam sanadnya terdapat dua org perawi yang dikritik iaitu, Yusuf b. Ziyad al-Basri dan ‘Ali b. Zayd. [i] Yusuf  b. Ziyad munkar hadisnya dan [ii] ‘Ali b. Zayd  menurut ramai pengkritik hadis seorg yang daif, manakala menurut sebahagian mereka seperti al-Tirmizi, al-‘Ijli, Ya‘qub b. Syaibah, Ibn ‘Adi  dan as-Saji, beliau masih boleh diambil kira (lihat Tahzib al-Tahzib).

Apapun, riwayat mereka disokong oleh jalur riwayat lain, sepertimana dalam al-Amali al-Khamisiyyah oleh as-Syajari. Di mana, riwayat Yusuf  b. Ziyad disokong oleh ‘Abdul ‘Aziz bin ‘Abdullah. Manakala riwayat ‘Ali b. Zayd  disokong oleh Qatadah b. Di‘amah, seorang perawi thiqah. Malah, di dalam Musnad al-Harith, hadis ini diriwayatkan pula melalui jalur riwayat lain, tidak melalui jalur Yusuf b. Ziyad al-Basri dan ‘Ali b. Zayd!

Justeru, rangkap hadis tersebut boleh dinilai hasan li-ghairih atau daif saja sekurang-kurangnya. Ada pun yg menolak hadis ini dengan hujah bahawa ia bercanggah dengan dalil-dalil yang menunjukkan seluruh Ramadhan itu mencakupi ketiga-tiga perkara sekaligus, iaitu setiap harinya adalah rahmah, keampunan dan kebebasan dari api neraka. Maka, menurut hemat saya, ianya tidak bercanggah sekiranya kita menafsirkan hadis tersebut sebagai pengukuhan dan penegasan terhadap kelebihan bulan Ramadhan yang cukup besar. Dengan maksud, orang yg berpuasa selain mendapat rahmah, keampunan dan kebebasan dari api neraka pada setiap hari Ramadhan, turut mendapat rahmah yg besar di awalnya, pengampunan yang berganda di pertengahannya dan kebebasan yang sebenar dari api neraka di akhirnya.

Wallahu a‘lam.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1540865102747457&id=558058371028140

Tiada ulasan:

Catat Ulasan