Halaman

Sabtu, 24 September 2016

BUMI SFERA ATAU RATA (FLAT)?


Oleh : Ustaz Abdul Rahman

Isu ini isu lama. Para ulama dan ilmuwan Islam dah bincang lama :

1. Al-Maqdisi berkata dalam muqaddimah kitabnya Ahsanul Taqasim Fi Ma'rifatil Aqalim:

أما الأرض فإنها كالكرة.. إلخ
"Adapun bumi, maka sesungguhnya ia adalah seperti bola (sfera)".

2. Ibnu Fadhlillah al-'Umari menukilkan daripada Asy-Syarif Al-Idrisi dalam muqaddimah kitabnya Masalikul Absor Fi Mamalikil Amsor:

قال الشريف: ومع كون الأرض كرة، هي غير صادقة الاستدارة
"Kata Asy-Syarif (Al-Idrisi) : walaupun bumi adalah sfera, namun ia tidaklah benar-benar bulat (maksudnya bujur sedikit)"

3. Disebutkan dalam kitab Wafayatul A'yan (4/359), karangan Ibnu Khallikan, bahawa Abu Bakar As-Sufi berkata:

لو وضعنا طرف حبل على أي موضع كان من الأرض، وأدرنا الحبل على كرة الأرض، انتهينا بالطرف الآخر إلى ذلك الموضع من الأرض، والتقى الطرفان

"Jika kita letakkan hujung tali di atas mana-mana tempat di bumi, dan kita lilitkannya di atas bumi, kita akan akhiri hujung tali yang kedua di tempat yang sama dan akan bertemulah kedua-dua hujung tali tersebut".

4. Kata Imam Ibnul Jauzi dalam kitabnya Al-Muntazom Fi Tarikh Al-Muluk wal-Umam:

وكذلك أجمعوا على أن الأرض مثل الكرة
"Dan begitu juga mereka IJMA' mengatakan bahawa bumi adalah seperti bola (sfera)"

5. Kata Al-Hafiz Az-Zahabi dalam Mukhtasar Al-'Uluw:

الأرض في وسط السماء كبطيخة في جوف بطيخة، والسماء محيطة بها من جميع جوانبها
"Bumi di tengah langit adalah seumpama tembikai dalam rongga tembikai, dan langit meliputi bumi dari segenap arah".

Az-Zahabi juga berkata:

وبرهان ذلك: أنا لو فرضنا مسافراً سافر على كرة الأرض من جهة المشرق إلى جهة المغرب، وامتد مسافراً، لمشى مسافراً على الكرة إلى حيث ابتدأ بالسير

"Dan bukti perkara tersebut ialah: jika kita andaikan seorang musafir bermusafir di atas bulatnya bumi, daripada timur ke barat, dan (kemudian) dia meneruskan lagi perjalanan, maka pastilah dia akan berjalan ke arah tempat di mana dia mulakan perjalanan".

6. Kata Ibnu Hazm dalam kitabnya yang masyhur, yang berkaitan dengan Comparative Religion, iaitu Al-Fasl Fi Al-Milal wa Al-Ahwa' wa Al-Nihal:

قالوا إن البراهين قد صحت بأن الأرض كروية، والعامة تقول غير ذلك.
وجوابنا وبالله تعالى التوفيق: إن أحداً من أئمة المسلمين المستحقين لاسم الإمامة بالعلم ـ رضي الله عنهم ـ لم يُنكروا تكوير الأرض، ولا يُحفظ لأحد منهم في دفعِه كلمة. بل البراهين من القرآن والسنة قد جاءت بتكويرها.

"Mereka berkata: Sesungguhnya bukti-bukti telah mengesahkan bahawa bumi adalah bulat, sedangkan masyarakat awam mengatakan sebaliknya.

Dan jawapan kami (taufiq hanya daripada Allah) : sesungguhnya seorang daripada imam-imam para muslimin yang berkelayakan untuk digelar imam dalam ilmu (semoga Allah meredai mereka) tidak mengingkari bulatnya bumi. Dan tidak dihafaz (tidak dijumpai suatu nas atau nukilan) satu kalimah pun daripada salah seorang daripada mereka dalam menolak perkara tersebut. Bahkan bukti-bukti daripada Quran dan Sunnah telah datang membuktikan bulatnya bumi".

7. Disebutkan juga dalam Majmu' Fatawa Ibnu Taimiyyah

(http://library.islamweb.net/newlibrary/display_book.php…) :
فصل: اعلم أن " الأرض " قد اتفقوا على أنها كروية الشكل
"Ini suatu fasal: ketahuilah bahawasanya mereka (para ulama) telah SEPAKAT mengatakan bahawa sesungguhnya bumi berbentuk sfera".

8. Disebutkan dalam Tafsir Al-Bahr Al-Muhit
(http://library.islamweb.net/newlibrary/display_book.php…) :
قال أبو عبد الله الداراني : ثبت بالدليل أن الأرض كرة ، ولا ينافي ذلك قوله : ( مد الأرض ) وذلك أن الأرض جسم عظيم ، والكرة إذا كانت في غاية الكبر كان قطعة منها تشاهد كالسطح

"Kata Abu Abdillah Al-Darani: Telah thabit dengan dalil bahawa bumi adalah bola (sfera). Dan ini tidak bercanggah dengan firman Allah s.w.t: (مد الأرض) kerana sesungguhnya bumi adalah suatu jisim yang besar. Dan (sememangnya) bola (sfera) jika terlalu besar, maka suatu bahagian daripadanya akan kelihatan seperti rata".

9. Banyak lagi kalau nak tulis. Imam Fakhruddin Al-Razi, Imam Al-Ghazali, Imam Tohir Ibn 'Asyur semuanya kata bumi adalah sfera. Sebab itu tidak hairanlah kalau ada sesetengah ulama mengatakan bahawa perkara ini sudah ijma'. Bahkan ada juga yang kata perkara ini termasuk ilmu dharuri.

Bahkan Imam Fakhruddin Al-Razi menyifatkan perbuatan menafikan bentuk bumi adalah sfera itu adalah MUKABARAH (degil tidak mahu menerima keberanan). Rujuk Tafsir Ar-Razi pada ayat-ayat berkaitan tajuk ini.

Kalau kita tetap nak menafikan, silakan. Tetapi anggaplah itu pandangan infiradi (peribadi). Apa yang difahami oleh masyarakat sudah selari dengan kalam ulama. Jadilah ahli ilmu yang bijak yang tidak menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat. Cukuplah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan