Halaman

Jumaat, 4 April 2014

BAGAIMANAKAH CARA MENDORONG DIRI MENYINTAI RASULULLAH SALLALLAHU 'ALAIHI WASALLAM ?



Oleh : Ustaz Raja Ahmad Mukhlis

Perjalanan Kita Masih Jauh...

KITA hidup dalam dunia yang penuh dicemari oleh kepentingan dan kebendaan, sehingga segala kecenderungan hati kita sudah tidak lagi berasaskan nilai-nilai yang murni. Sehinggakan, makna “cinta” itu sendiri sudah dicemari pelbagai nilai yang buruk, samada ianya dicemari oleh syahwat, mahupun dicemari oleh nilai-nilai material dan kebendaan.

Kita yang tumbuh dan membesar dalam persekitaran yang dicemari oleh seribu satu nilai keakuan, penting diri dan kebendaan, tugas memupuk sebuah cinta murni dalam jiwa, yang justeru kontra dengan nilai-nilai dominan dalam persekitaran, maka ianya bukanlah satu perkara yang mudah. Sedangkan, dalam syariat Islam, selain ketaatan zahir, tanggungjawab yang lebih besar adalah sebuah perhubungan batin, iaitu mencapai kemuncak kecintaan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya shollallahu 'alaihi wasallam.

Kita sebagai umat Islam mempunyai tugas yang sangat besar di sebalik kehambaan kita, iaitulah untuk menjadikan Allah azza wa jallah dan Rasul-Nya shollallahu 'alaihi wasallam sebagai yang paling dicintai oleh diri kita sendiri, dan seluruhnya.

Allah SWT berfirman:

قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ ٱقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَآ أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأْتِيَ ٱللَّهُ بِأَمْرِهِ وَٱللَّهُ لاَ يَهْدِي ٱلْقَوْمَ ٱلْفَاسِقِينَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). [Surah At-Taubah: 24]

Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam bersabda:

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Maksudnya: Tidak beriman seseorang itu (dengan iman yang sempurna) sehinggalah aku menjadi paling dicintai olehnya lebih daripada anaknya sendiri, ayahnya dan daripada seluruh manusia”. [Hadith riwayat Imam Al-Bukhari (no: 14) dan Imam Muslim]

TANGGUNGJAWAB & TUGAS KEIMANAN

Ia suatu tanggungjawab dan tugas keimanan yang sangat sukar, tambahan kita hidup dalam sebuah lingkungan yang mengutamakan diri sendiri, bahkan segala ‘kecintaan’ kepada orang lain sebenarnya adalah kecintaan kepada diri sendiri.

Bagaimana kita yang terdidik dalam masyarakat yang cintanya berteraskan kebendaan dan kepentingan diri, untuk mencapai cinta yang murni lagi suci ini, bahkan melebihi diri kita sendiri. Kita sendiri hampir tidak mampu menjadikan sesiapa yang terzahir secara nyata dalam kehidupan kita, sebagai lebih kita cintai daripada diri kita sendiri, bagaimana pula terhadap Allah azza wa jalla dan Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam yang dinilai sebagai 'ghaib' daripada alam musyahadah kita seharian.

Maka, tidak mungkin kecintaan sebegini dapat dicapai melainkan setelah kita benar-benar mengenali Allah azza wa jalla dan Rasul-Nya shollallahu 'alaihi wasallam dengan sebuah pengenalan yang sangat mendalam lagi penuh penghayatan, sehingga diri kita dapat tenggelam dalam kecintaan yang tulus murni, yang menyebabkan kita tidak lagi mengutamakan selain kedua-duanya (Allah azza wajalla dan Rasul-Nya shollallahu 'alaihi wasallam), berbanding kedua-duaNya. Namun, dari mana kita nak mulakan langkah menuju cinta ini?

PENDORONG CINTA

Para ulama', antaranya al-Imam al-Ghazali RA pernah menyebut tentang pendorong kecintaan, iaitu samada kerana keindahan atau kebaikan yang ingin dicintai tersebut. Ataupun, kerana yang ingin dicintai memang layak untuk dicintai. Ini kerana, cinta yang dituntut ini, sebuah cinta suci dan murni, yang bebas daripada keterbatasan kebendaan dan dominasi syahwat nafsu.

Antara jalan pintas menuju cinta ini adalah dengan mencontohi sebuah perhubungan cinta yang murni dan suci ini. Sudah pasti, ianya terzahir dalam cinta antara Allah azza wa jalla dan Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam. Kita dapat lihat bagaimana Allah azza wa jalla menzahirkan kecintaan-Nya kepada Saidina Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam sebagaimana kita juga dapat melihat bagaimana Saidina Muhammad shollallahu 'alaihi wasallam menzahirkan kecintaan Baginda shollallahu 'alaihi wasallam kepada Allah azza wa jalla, iaitu melalui kehambaan yang sejati. Inilah isyarat dalam al-Qur'an:

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mencintai Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Ali Imran: 31)

Dalam ayat ini, dimulakan dengan kalimah "cinta", iaitu jika seseorang itu benar-benar mencintai Allah azza wa jalla, maka hendaklah dia mengikuti Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam. Lalu, Allah azza wa jalla akan mencintai orang tersebut. Ayat ini menunjukkan bahawa, memadai merujuk kepada salah satu untuk mewakili pihak yang kedua. Iaitu, memadai merujuk salah satu, samada Allah azza wa jalla bagi merujuk kepada kedua-duanya, iaitu Allah azza wa jalla dan Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam, begitulah sebaliknya.

JIKA BENAR CINTA ALLAH...

Asasnya, jika benar seseorang itu mencintai Allah azza wa jalla dan Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam, maka hendaklah dia mentaati Allah azza wa jalla dan Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam. Maka, orang tersebut akan dicintai oleh Allah azza wa jalla dan Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam. Hal ini jelas berdasarkan dalil-dalil yang lain. Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam menggandingkan antara Allah dan Rasul-Nya dalam sebuah hadis, (sebagaimana ayat al-QUr'an surah al-Taubah sebelum ini):

“Tiga perkara di mana sesiapa mempunyainya, maka dengannya (tiga perkara tersebut) dia akan merasai kemanisan iman: Seseorang itu menjadikan Allah dan RasulNya sebagai yang paling dicintainya.. [Hadis Sahih]

Kemudian, Allah SWT juga menggandingkan ketaatan kepada Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam sebagai ketaatan kepada Allah SWT. Firman-Nya:

"Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah." [Surah al-Nisa': 80]

Isyarat lain daripada ayat ke-31 daripada Surah ali Imran ialah, cinta itu asas kepada ketaatan zahir, kerana kesempurnaan iman adalah pada kecintaan yang agung kepada Allah azza wa jalla dan Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam.

CIRI-CIRI MUNAFIK

Jika kita lihat hadis-hadis tentang ciri-ciri Munafiq dan Khawarij, ianya menceritakan tentang ketaatan zahir yang baik, tetapi hati mereka tidak ada cinta, bahkan ada semarak kebencian pula. Ini menunjukkan, jika sudut ketaatan zahir perlu dipertingkatkan, apatah lagi perhubungan hati yang batin, yang menjadi asas kepada kesempurnaan iman.

Dalam bab ketaatan zahir, Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam mengingatkan bahawa, lakukan semampu kita, terutamanya dalam perkara-perkara sunat dan kelebihan. Namun, tiada kompromi dalam bab kecintaaan, sehingga Saidina Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam mengingatkan SAidina Umar RA ketika mengatakan dirinya masih lebih dicintai berbanding Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam: "belum lagi wahai Umar...".

ALLAH MEMULIAKAN RASULULLAH

Bagaimana Allah SWT Memuliakan Kekasih-Nya shollallahu 'alaihi wasallam?

Antara jalan untuk menyemarakkan dan menyuburkan kecintaan kita kepada Saidina Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam, yang mana kecintaan kepada Saidina Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam adalah jalan menuju cinta kepada Allah azza wa jalla, adalah: menghayati bagaimana Allah azza wa jalla mencintai dan memposisikan Kekasih-Nya shollallahu 'alaihi wasallam. Daripada itulah, kita akan semakin menuju kepada keindahan cinta kepada Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam, lalu cinta kepada Allah azza wa jalla.

Terlalu banyak bukti dan penzahiran kecintaan Allah azza wa jalla kepada SAidina Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam, menunjukkan kedudukan Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam itu sendiri, di dalam al-Qur'an, selain dalam lipatan Sirah Nabawiyyah. Jika Allah azza wa jalla sendiri telah memuji dan mengagungkan Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam di tempat yang teragung secara maknawi, iaitu dalam al-Qur'an, maka tiada siapa yang dapat mengagungkan Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam lebih daripada pengagungan Allah azza wa jalla. Bahkan, semua orang yang faham hakikat ini, mengagungkan dan memuliakan Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam kerana mengikut Allah azza wa jalla.

TUDUHAN SYIRIK

Daripada kefahaman ini, tidak mungkin timbulnya pensyirikan terhadap Allah azza wajalla dengan Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam, kerana penagungan kita terhadap Saidina Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam adalah kerana Allah azza wa jalla, dan kerana kehambaan kita kepada Allah azza wa jalla.

Antara pengagungan terhadap Saidina Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam adalah sebagaimana dalam firman-Nya:

"Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu?" [Surah al-Syarh: 4]

Apakah antara maksud, Kami (iaitu Allah azza wa jalla) ingin meninggikan bagimu sebutan namamu? Antaranya sebagaimana disebut oleh para ulama' dan salaf.

Dalam satu riwayat, Rasulullah shollallahu 'alaihi wasalllam bersabda;Jibril AS datang kepadaku dan berkata: “Sesungguhnya Tuhanku dan Tuhanmu berfirman: “Kamu tahu bagaimana Aku mengangkat sebutanmu?” Lalu saya menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui?” Maka, Allah menjawab: “Jika Aku disebut kamu disebut berserta-Ku.” [Kitab Al-Syifa oleh al-Qadhi ‘Iyadh, m/s: 124]

GANDINGAN NAMA ALLAH - RASULULLAH

Di manakah diangkat sebutan nama Nabi Muhammad shollallahu 'alaihi wasallam yang digandingkan dengan nama Allah Azza wa jalla? Sudah tentu, antaranya adalah dalam kalimah syahadah. Bahkan, kalimah Allah Muhammad (shollallahu 'alaihi wasallam) diletakkan di tempat teragung.

Al-Imam al-Hakim meriwayatkan kisah taubat Nabi Adam AS dalam kitab al-Mustadrak:

لَمَّا اقْتَرَفَ آدَمُ الْخَطِيئَةَ قَالَ : يَا رَبِّ أَسْأَلُكَ بِحَقِّ مُحَمَّدٍ لَمَا غَفَرْتَ لِي ، فَقَالَ اللَّهُ : يَا آدَمُ ، وَكَيْفَ عَرَفْتَ مُحَمَّدًا وَلَمْ أَخْلُقْهُ ؟ قَالَ : يَا رَبِّ ، لِأَنَّكَ لَمَّا خَلَقْتَنِي بِيَدِكَ وَنَفَخْتَ فِيَّ مِنْ رُوحِكَ رَفَعْتُ رَأْسِي فَرَأَيْتُ عَلَىَ قَوَائِمِ الْعَرْشِ مَكْتُوبًا لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ فَعَلِمْتُ أَنَّكَ لَمْ تُضِفْ إِلَى اسْمِكَ إِلَّا أَحَبَّ الْخَلْقِ إِلَيْكَ ، فَقَالَ اللَّهُ : صَدَقْتَ يَا آدَمُ ، إِنَّهُ لَأُحِبُّ الْخَلْقِ إِلَيَّ ادْعُنِي بِحَقِّهِ فَقَدْ غَفَرْتُ لَكَ وَلَوْلَا مُحَمَّدٌ مَا خَلَقْتُكَ
 Maksudnya: Ketika Nabi Adam melakukan kesalahan maka baginda berkata: “Wahai Tuhan. Saya meminta dengan hak Muhammad, tidakkah Engkau mengampuni daku. Lalu, Allah U berfirman: “Wahai Adam, bagaimana kamu mengetahui Muhammad sedangkan Aku belum menciptakannya?” Nabi Adam menjawab: “Wahai Tuhan. Demikian kerana, ketika kamu menciptakanku dengan yadd kekuasaan-Mu, lalu Engkau meniup padaku daripada roh-Mu, maka aku mengangkat kepalaku dan melihat pada tiang-tiang Arasy tertulis tiada tuhan melainkan Allah, Muhammad ialah pesuruh Allah. Maka saya mengetahui bahawa Engkau tidak menisbahkan kepada nama-Mu melainkan kepada makhluk yang Engkau paling sayang. Maka, Allah berfirman: “Benar wahai Adam. Sesungguhnya baginda ialah makhluk yang paling disayangi di sisi-Ku. Doalah dengan hak baginda, sesungguhnya Aku telah mengampunimu. Maka jika bukan kerana Muhammad, Aku tidak menciptakan engkau.

Bukan sekadar itu, bahkan terus disebut nama Saidina Muhammad shollallahu 'alaihi wasallam digandingkan dengan nama-Nya yang Maha Agung pada setiap zaman, maka setiap para rasul diambil janji untuk membela Nabi Muhammad shollallahu 'alaihi wasallam, jika Nabi Muhammad shollallahu 'alaihi wasallam hadir dalam kehidupan mereka, maka mereka perlu membela Nabi MUhammad shollallahu 'alaihi wasallam.

Allah azza wa jalla berfirman:

"Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari Nabi-nabi (dengan firmanNya): "Sesungguhnya apa jua Kitab dan hikmah yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula kepada kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadaNya, dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya". Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka): "Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiKu secara yang demikian itu?" mereka menjawab: "Kami berikrar (mengakui dan menerimanya)". Allah berfirman lagi: "Jika demikian, maka saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu." (Surah Ali Imran: 81)

Al-Imam al-Qusyairi menyebut dalam Latho'if al-Isyarat:

Allah mengambil perjanjian terhadap Muhammad shollallahu 'alaihi wasallam ke atas seluruh para nabi ‘alaihi salam, sebagaimana Allah azza wa jalla mengambil janji daripada mereka terhadap pengakuan tentang ketuhanan-Nya. Ia merupakan kemuncak penghormatan kepada Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam. Nama Baginda shollallahu 'alaihi wasallam telah digandingkan dengan nama diri-Nya, lalu Dia menetapkan keagungan Baginda sebagaimana Allah menetapkan keagungan buat diri-Nya. Maka Baginda shollallahu 'alaihi wasallam teristimewa dalam martabat ketinggian ini, lalu Allah azza wa jalla mempermudahkan seluruh makhluk untuk mengenal keagungan Baginda shollallahu alaihi wasalladengan menzahirkan mukjizat-mukjizat ke atas Baginda shollallahu 'alaihi wasallam.

Demikian adalah sedikit contoh daripada pengagungan Allah azza wa jalla kepada Saidina Muhammad shollallahu 'alaihi wasallam. Bahkan, masih banyak lagi ayat-ayat dalam al-Qur'an khususnya, mengangkat kedudukan Saidina Muhammad shollallahu 'alaihi wasallam, yang wajar kita hayati juga, dalam rangka menuju cinta teragung. Dengan mengenal siapakah Saidina Muhammad shollallahu 'alaihi wasallam, ianya sangat membantu untuk meningkatkan kecintaan kita kepada Saidina Muhammad al-Mustofa shollallahu 'alaihi wasallam. Masih banyak yang perlu dilakukan untuk memupuk kecintaan tertinggi ini dalam masyarakat akhir zaman ini, saat manusia tenggelam dalam 'gelora syahwat, cinta berasaskan kebendaan dan pentingkan diri sendiri.

CONTOH CINTA AL-SALAF

Contoh-contoh cinta al-Salaf kepada Saidina Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam

1) Abu Sufyan pernah menyebut

ما رأيت من الناس أحدا يحب أحدا كحب أصحاب محمد محمدا

Maksudnya: "Aku tidak pernah melihat dari kalangan manusia seseorang yang mengasihi seseorang lebih daripada kecintaan para sahabat Muhammad (shollallahu 'alaihi wasallam) kepada Muhammad (shollallahu 'alahi wasallam).

2) Abdah binti Khalid berkata


ما كان خالد يأوي إلى فراش إلا وهو يذكر من شوقه إلى رسول الله صلى الله عليه و سلم و إلى أصحابه من المهاجرين و الأنصار يسميهم و يقول : هم أصلي و فصلي و إليهم يحن قلبي طال شوقي إليهم فعجل ربي قبضي إليك حتى يغلبه النوم
Tiadalah Khalid (bapanya) meletakkan kepalanya di atas katilnya melainkan dia akan mengungkapkan kerinduannya kepada Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam dan para sahabat Baginda dari kalangan Muhajirin dan Ansor. Beliau akan menyebut nama-nama mereka seraya berkata: “Mereka itu adalah sumberku dan pemisahku (rasa kehilangan setelah kematian mereka). Kepada mereka hatiku merintih kerinduan yang sangat lama. Wahai Tuhan, segerakan kematianku agar dapat aku bertemu dengan mereka. Sehinggalah beliau tertidur. [Al-Hilyah oleh Imam Abu Nu'aim (5/210) dan Tarikh Dimasyq (15/199)]

3) Al-Qadhi Iya' meriwayatkan dalam kitab As-Syifa bi Ta'rif Huquq Al-Mustofa (jilid 2 no: 92):


ولما احتضر بلال - رضي الله عنه - نادت امرأته : واحزناه ! فقال : واطرباه ! غدا ألقى الأحبه ، محمدا ، وحزبه .
Maksudnya: Ketika Saidina Bilal r.a. dalam keadaan nazak, isterinya menyebut: "Alangkah sedihnya". Lalu, Saidina Bilal r.a. menjawab: "Bahkan alangkah gembiranya. Esok bertemu dengan para kekasih. Muhammad (shollallahu 'alaihi wasallam) dan para pengikut Baginda (shollallahu 'alaihi wasalam)

4) Begitu juga para tabi'in dan generasi setelah itu sangat merindui Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam. Mus'ab bin Abdillah berkata:


كان مالك إذا ذكر النبي صلى الله عليه و سلم يتغير لونه و ينحني حتى يصعب ذلك على جلسائه فقيل له يوما في ذلك فقال لو رأيتم ما رأيت لما أنكرتم علي ما ترون و لقد كنت أرى محمد بن المنكدر وكان سيد القراء لا نكاد نسأله عن حديث أبدا إلا يبكي حتى نرحمه

Maksudnya: Apabila disebut tentang Nabi shollallahu 'alaihi wasallam, maka wajah Imam Malik akan terus berubah dan akan tertunduk lama hingga merisaukan para muridnya yang sedang duduk di sampingnya. Suatu hari apabila ditanyakan hal demikian kepadanya, lalu beliau pun menjawab: Jika kamu dapat lihat seperti mana yang aku telah lihat, nescaya kamu tidak akan menyalahkan perbuatanku. Aku pernah melihat Muhammad bin Al-Munkadir, beliau merupakan penghulu orang-orang soleh di zamannya, apabila kami bertanya tentang suatu hadis, dengan serta merta beliau menangis berterusan hinggalah kami merasa kasihan melihatnya. [Rujuk Siyar A'laam An-Nubala']

5) Diriwayatkan suatu kisah oleh Al-Qadhi Iyad dalam As-Syifa:

ويروى أن امرأة قالت لعائشة - رضي الله عنها - : اكشفي لي قبر رسول الله - صلى الله عليه وسلم - ، فكشفته لها ، فبكت حتى ماتت .

Maksudnya: Diriwayatkan pada suatu ketika, seorang perempuan berkata kepada Saidatina 'Aishah r.a.: "Singkapkan kepadaku kubur Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam". Lalu, SAidatina 'Aishah menyingkapnya untuk perempuan tersebut. Lalu, perempuan itu menangis sehingga meninggal dunia.

MULAKAN MELANGKAH...

Demikian adalah contoh kecintaan, bahkan masih banyak lagi contoh-contoh kecintaan salaf soleh, sebuah generasi yang hampir dengan kesan-kesan peninggalan Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam yang hidup, iaitulah para sahabat RA. Sudah tentulah, suasana kehidupan masyarakat yang hampir dengan zaman Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam mempunyai keistimewaan tersendiri dan kekuatan yang lebih dalam menyemarakkan cinta kepada Saidina Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam.

Bahkan, memandang kepada salah seorang sahabat yang pernah memandang kepada Saidina Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam sahaja justeru dapat menambah kerinduan kepada Saidina Rasulullah Shollallahu 'alaihi wasallam. Bagaimana tidak, jiwa insan yang mempunyai cebisan cinta kepada Nabi shollallahu 'alaihi wasallam, apabila berada dalam al-Masjid al-Nabawi, mampu mengalirkan air mata kerinduan, hanya memandang ke arah persekitaran masjid yang berkait rapat dengan Saidina Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam, termasuklah memandang Kubbah yang Hijau.

Maka, generasi salaf mempunyai kekuatan tersendiri dalam memupuk kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya shollallahu 'alaihi wasallam, kerana masih hampir dengan zaman Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam. Namun, semakin jauh sesuatu generasi, ditambahi dengan seribu satu kepincangan yang berkembang dalam masyarakat, membuatkan idea mencintai Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam melebihi diri sendiri adalah suatu idea yang 'tidak tahu bagaimana untuk dipraktikkan' (atau kelihatan idealistik). Ramai orang yang membicarakan mengenainya sendiri hampir-hampir tidak mampu melakukannya dengan baik, bagaimana pula dengan si pendengar dan masyarakat awam?

Ia ialah suatu jalan yang panjang sedang destinasinya masih jauh, perjalanan memartabatkan cinta Allah azza wa jalla dan Rasul-Nya shollallahu 'alaihi wasallam. Dari mana sahaja dimulakan langkah, ia tidak akan memisahkan antara cinta Allah azza wa jalla yang menjadi usul, dengan cinta Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam yang merupakan cabangnya. Tidak ada ketauhidan yang mempersepsikan dua keserasian cinta ini dengan persepsi serong, sedangkan asalnya sudah jelas iaitu antara usul dan cabangnya, bukan suatu penyekutuan atau kesetaraan.

Semarakkan cinta kepada Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam tidak pernah menenggelamkan semarak cinta kepada Allah, melainkan di sisi mereka yang tidak pernah sampai kepada hakikat cinta kepada kedua-duanya sebagai cinta teragung. Ini kerana para sahabat RA tidak pernah mempertikaikan zauq (rasa) para sahabat RA yang lain dalam kecintaan kepada SAidina Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam yang mendalam.

MUlakan usaha dari apa sahaja sudut, asalkan ianya dapat menyemai benih cinta Allah azza wa jalla dan Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam, agar seterusnya dapat menjadi pohon kecintaan tertinggi, yang mengatasi segala kecenderungan hati. Tidak pernah bertembung antara usaha menyemai cinta dengan usaha menyemai ketaatan zahir, kerana kedua-dunya diperlukan dalam masyarakat. Daripada mengkritik usaha sesetengah pihak yang melakukan sesuatu dari suatu sudut, lebih baik kita sempurnakan usaha mereka dengan melakukan usaha juga dari sudut yang lain.

Majlis-majlis maulid, qasidah, marhaban dan sebagainya, sejak ianya timbul dalam masyarakat, yang mana ianya dipimpin oleh para ulama' dari serata dunia, sejak beratus-ratus tahun, menunjukkan di samping ianya mempunyai sandaran syarak, ianya juga mempunyai kepentingannya dalam masyarakat Islam.

Ia kalaupun kelihatan baharu di Malaysia, (sedangkan sebenarnya tidak), kerana nampak dilakukan secara besar-besaran, namun ia masih tidak cukup sebenarnya, untuk melawan arus cinta duniawi, kebendaan dan syahwat yang telah lama dikembangkan dalam masyarakat kita.

Namun, perkembangannya sedikit sebanyak sedang menyaingi arus negatif dalam masyarakat, yang mana kita harapkan akhirnya dapat memberi kesan yang lebih besar, terutamanya pada aspek kecintaan kepada Allah azza wa jalla dan Rasulullah shollalalhu 'alaihi wasallam. Ia sesuai dengan sabda Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam:


مِنْ أَشَدِّ أُمَّتِي لِي حُبًّا نَاسٌ يَكُونُونَ بَعْدِي يَوَدُّ أَحَدُهُمْ لَوْ رَآنِي بِأَهْلِهِ وَمَالِهِ
Maksudnya: "Antara orang yang paling mencintaiku dari kalangan umatku yang akan lahir setelahku adalah, salah seorang daripada mereka sangat mengharapkan untuk melihatku (walaupun) dengan keluarganya dan hartanya (sebagai harganya). Hadis riwayat Imam Muslim dan sebagainya dengan lafaz yang berbeza-beza.

Dalam riwayat Al-Hakim, daripada Saidina Abu Hurairah r.a., Rasulullah r bersabda:


إِنَّ أُنَاسًا مِنْ أُمَّتِي يَأْتُونَ بَعْدِي ، يَوَدُّ أَحَدُهُمْ لَوِ اشْتَرَى رُؤْيَتِي بِأَهْلِهِ ، وَمَالِهِ "
Maksudnya: Sesungguhnya ada golongan manusia dari kalangan umatku yang akan lahir setelahku, yang mana salah seorang daripada mereka sangat inginkan jika dapat membeli "penyaksianku" (melihat Rasulullah r) dengan ahli keluarganya dan hartanya." [Imam Al-Hakim mensahihkannya.]

Masa semakin suntuk sedang tanggungjawab masih banyak yang perlu dilaksanakan. Untuk membangunkan sesebuah kebaikan itu sangat susah sedangkan untuk merobohkannya begitu mudah. Binaan dakwah dan islah dalam masyarakat masih di bawah tahap yang sepatutnya, mengapa perlu dirosakkan pula apa yang sudah dibina. Kita boleh bersama-sama dalam sebarang usaha kebaikan samada pada lapangan yang sama mahpun yang berbeza, mengikut kemampuan, keutamaan dan keperluan. Semoga Allah azza wa jalla membantu umat Islam menuju ke arah cinta yang tertinggi, sesuai dengan tanggungjawab murni kehambaan mereka. Amiin.

Sumber  :  ~ Sumber: FB Raja Ahmad Mukhlis - Kolumnis Q&A

Tiada ulasan:

Catat Ulasan