Halaman

Khamis, 23 Jun 2011

Bolehkah Berpegang Dengan Penilaian Hadis al-Albani? Bab 3

Oleh : Ustaz Mohd Khafidz Bin Soroni (Jabatan Hadith KUIS)

Sila baca artikel yang lepas terlebih dahulu :

1. Bolehkah Berpegang Dengan Penilaian Hadis al-Albani? Bab 1

2. Bolehkah Berpegang Dengan Penilaian Hadis al-Albani? Bab 2

Barangkali sudah menjadi ketetapan, orang yang ingin membicarakan soal kajian hadis pada masa kini tidak dapat lari lagi dari menyebut nama ‘al-Albani’ dan membicarakan hasil-hasil penilaian hadisnya. Ia kemungkinan adalah kesan dari penyebaran karya-karya beliau secara besar-besaran oleh pihak yang mendokong pemikirannya. Malah kebanyakannya dapat diperoleh secara percuma melalui atas talian sahaja.

Apa yang dikhuatirkan ialah akan berlaku 'kemandulan’ dalam soal penilaian hadis. Justeru, hadis yang telah dinilai hukumnya oleh al-Albani itu sahaja yang harus diterima dan dipegang kuat-kuat, walaupun sarjana-sarjana besar hadis menilai hukum sebaliknya. Maka penilaian al-Tirmizi, atau al-Daraqutni, atau al-Baihaqi, atau al-’Iraqi, atau al-Zahabi, atau Ibn Hajar, atau al-Busiri, atau al-Haythami, atau selain mereka sudah tidak ada nilai apa-apa, jika al-Albani sudah menghukum sebaliknya.

Apakah sampai begitu?

Syeikh Ahmad Kamil Darwisy, murid al-Hafiz ‘Abdullah al-Ghumari telah meneliti kira-kira 55,446 buah hadis di dalam kajiannya mengenai manhaj Syeikh al-Albani dalam memberi penilaian terhadap hadis. Beliau telah menyatakan pandangannya yang saya rumuskan sepertimana berikut;

1. al-Albani telah meneliti dan memberi penilaian ke atas sekitar 55,000 buah hadis termasuk hadis yang berulang-ulang, dan telah mendaifkan lebih kurang 16,000 buah hadis darinya. Jumlah ini meliputi lebih dari 50 buah karya yang telah diterbitkan.

2. Beliau telah menukilkan dan mengikut kira-kira 3,000 (tepatnya 3,088) hukum hadis dari al-Tirmizi, dan menyanggah pula lebih dari 700 hukum hadis (antara 766 - 781) yang telah dinyatakan oleh al-Tirmizi.

3. Beliau banyak menukilkan dan memetik sahaja hukum hadis yang diberikan oleh Syeikh Habib al-Rahman al-A’zami tanpa sebarang komentar yang berjumlah hampir 800 buah hadis (tepatnya 782).

4. Dari jumlah kira-kira 55,000 hadis, sekitar 8,000 (tepatnya 8,266) hadis dalam Sahih al-Jami’ al-Saghir wa Ziyadatih adalah yang paling kurang kesilapannya, iaitu kurang dari 35 hadis. Di dalamnya, beliau hanya menurut sekitar 2,000 hukum hadis al-Tirmizi dan sekitar 800 hukum hadis Habib al-Rahman al-A’zami.

5. Baki dari 55,000 hadis, iaitu kira-kira 47,000 hadis mengandungi kelemahan dan kemudaratan. Maka perlu berhati-hati dengan hukum hadis yang ada di dalam kitab-kitab beliau, selain dari kitab Sahih al-Jami’ al-Saghir wa Ziyadatih dan Da’if al-Jami’ al-Saghir wa Ziyadatih. Al-Albani sendiri banyak merujukkan hukum hadis kepada kedua-dua kitab ini, iaitu sebanyak 15,758 hukum hadis telah dipetik darinya. Namun sebanyak 107 hukum hadis darinya dibantah oleh al-Hafiz ‘Abdullah al-Ghumari. Manakala sebanyak 14,527 buah hadis darinya adalah mengikut hukum para muhaddithin.

6. Lebih afdal bagi seorang penuntut ilmu hadis mempelajari Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Muwatta’ Malik, Musnad Ahmad, al-Mukhtarah, al-Kutub al-Sittah dan seumpamanya berbanding mempelajari hadis dari kitab-kitab al-Albani.

7. al-Albani telah memberi dua atau beberapa hukum yang berbeza pada hadis yang sama, yang berjumlah sebanyak 4,013 hukum hadis. Ini menunjukkan seolah-olah beliau lebih mementingkan kuantiti, dan bukannya kualiti.

8. Berikut adalah jadual kekerapan hukum hadis yang disebut oleh al-Albani;

Darjat hadis

Jumlah

موضوع

3,421

منكر

785

شاذ

47

باطل

212

ضعيف

14,587

صحيح (وحسن بنوعيه)

34,512

غريب

1,384

Jumlah

54,948

* Data angka ini menurut kajian Syeikh Ahmad Darwisy


Perubahan Hukum Hadis al-Albani

Sebagai tambahan kepada kajian Syeikh Ahmad Darwisy di atas, Syeikh al-Albani dikatakan telah menarik balik semula sebahagian penilaian hadisnya (tashih dan tad‘if) yang diberikan kepada sesetengah hadis. Jumlahnya adalah kira-kira 222 buah hadis yang telah dihimpunkan oleh Muhammad Hasan al-Syaykh dalam kitab (تراجع العلامة الألباني فيما نص عليه تصحيحا و تضعيفا), terbitan Maktabah al-Ma‘arif: Riyadh, 2002.


Menurut Ustaz Adlan Abd. Aziz dalam satu tulisannya: "Di antara orang-orang yang berusaha untuk memberikan maklumat tentang hadith-hadith yang telah diubah penilaian terhadapnya oleh al-Albani ialah:

Pertama, buku yang ditulis oleh Abu Malik ‘Audah Ibn Hasan yang dicetak oleh Dar al-Nafa'is, Jordan (setahu saya, ia adalah di bawah seliaan salah seorang murid al-Albani iaitu Dr. Umar al-Asyqar) pada tahun 2003. Ia mengumpulkan 500 hadith yang telah dinilai kembali hukumnya (sahih atau dhaif dan sebagainya) oleh al-Albani dan beliau mengubah pendapat yang lama kepada yang baru. Di dalam buku ini hanya ada sebanyak 250 hadith kerana buku ini adalah bahagian pertama. Saya belum menemui bahagian keduanya setakat ini.

Buku kedua yang mengumpulkan perubahan pendapat al-Albani ialah buku hasil karya Muhammad Kamal al-Suyuthi, cetakan Dar Ibn Rajab, Mesir pada tahun 2004. Ia mengumpulkan sebanyak 307 hadith".

Kata beliau lagi: "Kedua-dua buku ini amat penting bagi mereka yang seringkali membuat rujukan dengan menggunakan buku-buku al-Albani. Jangan pula kita tersalah dalam menggunakan pandangan beliau yang lama atau kita tersalah anggap bahawa berlakunya percanggahan dalam penilaian al-Albani. Apa yang sebenarnya berlaku ialah beliau menarik balik pendapatnya setelah beliau bertemu dengan pendapat yang lebih tepat". - Sumber


Mengakui kesilapan memang akhlak yang dipuji. Namun dalam soal penilaian hadis ini, apatah lagi jumlahnya mencecah ratusan hadis, menyebabkan kurangnya kebolehpercayaan terhadap keseluruhan atau sebahagian besar penilaian seseorang itu. Hal ini pernah berlaku kepada al-Hakim al-Naisaburi dan Ibn al-Jawzi - رحمهما الله. Malah hukum-hukum baru al-Albani itu pun masih dapat dinilai dan dibincang semula. Dari tersalah memilih penilaian hadis al-Albani yang terakhir, lebih baik tidak berpegang dengannya, atau mesti membanding dan menggandingkannya dengan pakar-pakar hadis yang jauh lebih hebat.


Ulama yang mengkritik Syeikh al-Albani dan karya-karya mereka:

Berikut pula disenaraikan para ilmuwan dari pelbagai aliran pemikiran – termasuk aliran Salafiyyah sendiri - yang ada mengkritik Syeikh al-Albani yang berpunca dari perbezaan pandangan terhadap hukum hadis. Mereka ialah;

  1. Syeikh Isma’il bin Muhammad al-Ansari, yang menyusun kitab (إباحة التحلي بالذهب المحلق للنساء والردّ على الألباني في تحريمه), (الانتصارُ لشيخ الإسلام محمد بن عبد الوهاب بالردِّ على مجانبة الألباني فيه الصواب), (تصحيحُ حديث صلاة التراويح عشرين ركعة والردّ على الألباني في تضعيفه) tentang kesahihan tarawih 20 rakaat dan penolakan terhadap al-Albani yang mendaifkannya, (تعقباتٌ على: سلسلة الأحاديث الضعيفة والموضوعة للألباني) dan (نقدُ تعليقات الألباني على شرح الطحاوية) sanggahan terhadap al-Albani atas ulasannya pada Syarah at-Tahawiyyah.

  1. Syeikh ’Abdullah bin Soleh al-’Ubaylan, yang menulis kitab (التعقباتُ المليحة على: (السلسلة الصحيحة)) mengkritik al-Albani yang menyandarkan hadis dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah kepada selain al-Sahihain sedangkan ia ada di dalam kedua-duanya atau salah satu darinya, dan kitab (إتمام الحاجة إلى صحيح سنن ابن ماجه) mengkritik al-Albani yang menyandarkan hadis dalam Sahih Sunan Ibn Majah kepada selain al-Sahihain sedangkan ia ada di dalam kedua-duanya atau salah satu darinya.

  1. Syeikh Ramadhan Mahmud ’Isa, yang menulis kitab (الأحاديثُ الضعيفة في سلسلة الأحاديث الصحيحة) mengkritik secara khusus jilid pertama kitab Silsilah al-Ahadith al-Sahihah.

  1. Syeikh Khalid bin Ahmad al-Mu’azzin, yang menulis kitab (إقامةُ البرهان على ضعف حديث: استعينوا على إنجاح الحوائج بالكتمان. وفيه الرد على العلامة الشيخ محمد ناصر الدين الألباني).

  1. Syeikh ‘Abd al-Mun’im Mustafa Halimah Abu Basir, yang menulis kitab (حكم تارك الصلاة), dan (الانتصارُ لأهل التوحيد والرد على من جادل عن الطواغيت ملاحظات وردود على شريط: (الكفر كفران) للشيخ محمد ناصر الدين الألباني).

  1. Syeikh Badr al-Din Hasan Diyab al-Dimasyqi, yang menyusun kitab (أنوارُ المصابيح على ظلمات الألباني في صلاة التراويح).

  1. Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin ‘Abdullah bin Baz, bekas Mufti Saudi yang menyusun risalah (أينَ يضع المصلي يده في الصلاة بعد الرفع من الركوع) yang dicetak di bawah tajuk (ثلاث رسائل في الصلاة).

  1. Syeikh ‘Adil bin ‘Abdullah al-Su’aydan, yang menulis kitab (بذلُ الجهد بتضعيف حديثي السوق والزهد).

  1. Syeikh Soleh bin ‘Abd al-‘Aziz Al al-Syaykh, yang menyusun kitab (التكميلُ لما فاتَ تخريجه من: (إرواء الغليل)).

  1. Syeikh ‘Abdullah bin Muhammad al-Duwaisy, yang menyusun kitab (تنبيهُ القارئ [على] تقوية ما ضعفه الألباني) dan (تنبيهُ القارئ لتضعيف ما قواه الألباني).

  1. Syeikh Hamud bin ‘Abdullah al-Tuwaijiri, yang menyusun kitab (التنبيهاتُ على رسالة الألباني في الصلاة).

  1. Syeikh Bakr bin ‘Abdullah Abu Zaid, yang menyusun risalah (جزءٌ في كيفية النهوض في الصلاة وضعف حديث العجن).

  1. Syeikh Mamduh Jabir ‘Abd al-Salam, yang menyusun kitab (حول مسألة تارك الصلاة) antara kandungannya mengkritik risalah al-Albani yang berjudul (حُكم تارِكِ الصَّلاةِ).

  1. Syeikh ‘Abd al-Qadir bin Habibullah al-Sindi, yang menulis kitab (رَفْعُ الْجُنَّةِ أمام: (جلباب المرأة المسلمة في الكتاب والسنة) mengkritik kitab al-Albani yang berjudul (جلباب المرأة المسلمة).

  1. Dr. Ibrahim al-Subayhi, yang menulis risalah (عددُ صلاة التراويح).

  1. Syeikh Mustafa al-‘Adawi, yang menulis kitab (المؤنقُ في إباحة تحلي النساء بالذهب المحلق وغير المحلق) dan (نظراتٌ في: (السلسلة الصحيحة) للشيخ محمد ناصر الدين الألباني) menganalisa 100 hadis pertama dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, yang disusun bersama-sama dengan Syeikh Khalid Ahmad al-Mu’azzin.

  1. Syeikh ‘Abdullah bin Mani‘ al-‘Utaybi, yang menulis kitab (ملحوظاتٌ على كتاب: (الصلاة) للعلامة محمد ناصر الدين الألباني).

  1. Syeikh Fahd bin ‘Abdullah al-Sunaid, yang menyanjung al-Albani tetapi telah menulis kitab (الإعلامُ في إيضاح ما خفي على الإمام).

  1. Syeikh Ahmad ‘Abd al-Ghafur ‘Attar, yang menulis kitab (ويلك آمن، تفنيد بعض أباطيل ناصر [الدين] الألباني).

  1. Syeikh Dahhan Abu Salman, yang menulis kitab “al-Wahmu wat-Takhlit ‘ind al-Albani fil Bai’ bit-Taqsit” tentang keraguan dan kekeliruan al-Albani dalam jual beli secara ansuran.

  1. Habib ‘Ali bin Muhammad bin Yahya al-’Alawi, yang menulis kitab “Hidayatul Mutakhabbitin Naqd Muhammad Nasir al-Din”.

  1. Syeikh Muhammad ‘Awwamah, yang menulis kitab “Athar al-Hadith al-Syarif fi Ikhtilaf al-A’immah al-Fuqaha’”.

  1. Dr. Salahuddin bin Ahmad al-Idlibi, yang menulis kitab (كشف المعلول مما سمي بسلسلة الأحاديث الصحيحة).

  1. Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah, yang menyusun kitab (خطبةُ الحاجة ليست سنة في مستهل الكتب والمؤلفات) dan (كلماتٌ في كشف أباطيل وافتراءات ) penolakan terhadap kebatilan dan tohmahan al-Albani dan sahabatnya Zuhair al-Syawisy serta pendukung mereka.

  1. Syeikh ‘Abdullah al-Harari al-Habasyi, yang menyusun kitab (التعقّبُ الحثيث على من طعن فيما صحَّ من الحديث) dan lampirannya (نصرةُ: (التعقب الحثيث) على من طعن فيما صح من الحديث).

  1. Syeikh As’ad Salim Tayyim, yang menyusun kitab (بيانُ أوهام الألباني في تحقيقه لكتاب فضل الصلاة على النبي -صلى الله عليه وسلم- للقاضي إسماعيل بن إسحاق الأزدي) dan (تخريجُ حديث أوسٍ الثقفي في فضل الجمعة وبيان عِلّتِه).

  1. Syeikh Muhaddith ‘Abdul ‘Aziz bin Muhammad bin as-Siddiq al-Ghumari yang menulis risalah (بيانُ نكث الناكث المتعدي بتضعيف الحارث) dan (الباحث عن علل الطعن في الحارث).

  1. Syeikh Dr. Mahmud Sa’id Mamduh, muhaddith Mesir yang menyusun kitab (التعريفُ بأوهام من قسم (السنن) إلى صحيح وضعيف) penjelasan tentang kekeliruan al-Albani yang memisahkan kitab-kitab Sunan kepada sahih dan da’if, yang terdiri dari 6 jilid, (التعقيب اللطيف والانتصار لكتاب التعريف), (تنبيهُ المسلم إلى تعدي الألباني على: (صحيح مسلم) dan juga kitab (وصولُ التهاني في إثبات سُنِّيَّة السُّبْحة والرَّدِّ على الألباني).

  1. al-Hafiz Syeikh ’Abdullah bin Muhammad bin al-Siddiq al-Ghumari, muhaddith besar Maghribi yang menyusun kitab (القولُ المقنع في الرد على الألباني المبتدع) mengkritik sebahagian tahkik al-Albani terhadap kitab (بداية السُّول في تفضيل الرسول صلى الله عليه وسلم للعز بن عبد السلام), dan risalah kecil (إرغامُ المبتدع الغبي بجواز التَّوسّل بالنبي في الردِّ على الألباني الوبي) yang judul asalnya ialah (جزءٌ فيه الردّ على الألباني وبيان بعض تدليسه وخيانته). al-Hafiz ’Abdullah al-Ghumari tidak pernah mengkritik orang lain secara kasar kecuali terhadap al-Albani.

  1. Syeikh Habib al-Rahman al-A’zami, muhaddih besar India yang menyusun kitab (الألباني شذوذه وأخطاؤه) tentang penyimpangan dan kesalahan al-Albani dalam 4 juzuk. Namun cetakan awalnya menggunakan nama samaran, iaitu ‘Arsyad al-Salafi’.

  1. Sayyid Hasan bin ’Ali al-Saqqaf, orang yang paling banyak mengkritik al-Albani secara keras sebagai refleksi dari gaya bahasa al-Albani sendiri. Beliau telah menyusun banyak kitab dalam mengkritiknya, iaitu (إبطال التصحيح الواهن لحديث العاجن), (وهم سيء البخت الذي حرَّم صيام السبت), (القول المبتوت في صحة صلاة الصبح بالقنوت), (اللجيف الذعاف للمتلاعب بأحكام الاعتكاف) menolak dakwaan al-Albani bahwa tidak harus beriktikaf kecuali dalam tiga masjid sahaja, (احتجاج الخائب بعبارة من ادَّعى الإجماع فهو كاذب), (قاموس شتائم الألباني وألفاظه المنكرة في حق علماء الأمة وفضلائها وغيرهم), (الشهاب الحارق المنقض على إيقاف المتناقض المارق), (الأدلةُ الجليّة لسنة الجمعة القبلية), (إعلام المبيح الخائض بتحريم القرآن على الجنب والحائض), (البشارةُ والإتحاف فيما بين ابن تيمية والألباني في العقيدة من الاختلاف), (تحذير العبد الأوّاه من تحريك الإصبع في الصلاة), (تناقضاتُ الألباني الواضحات فيما وقع له في تصحيح الأحاديث وتضعيفها من أخطاء وغلطات), (تنقيح الفهوم العالية بما ثبتَ وما لمْ يثبتْ من حديث الجارية), (الشماطيط فيما يهذي به الألباني في مقدماته من تخبطات وتخليط) menyanggah isi mukadimah dalam juzuk pertama kitab Silsilah al-Ahadith al-Da’ifah, (حاشية على إرغام المبتدع للغماري) dan (صحيح صفة صلاة النبي صلى الله عليه وآله وسلَّم). Sebahagian orang melihat kritikan Sayyid Hasan ini seolah-olah agak berbentuk peribadi, meskipun fakta-faktanya boleh diambil kira.

Demikianlah sebahagian ilmuwan yang telah mengkritik, menolak pendapat atau membetulkan kesilapan al-Albani.

Tidak dinafikan banyak kitab-kitab yang telah dikarang oleh peminat-peminat Syeikh al-Albani bagi membela dan mempertahankan beliau. Namun, kebanyakan dari kitab-kitab tersebut agak lemah dari segi hujah-hujah yang dikemukakan, dan tidak dapat mematahkan hujah-hujah kritikan dengan cara ilmiah. Ia hanya sekadar suatu sanggahan dan bantahan bagi menonjolkan kehebatan al-Albani. Sedangkan pada hakikatnya ia bukanlah begitu 'kebal’.

Oleh kerana hasil-hasil karya beliau sudah tersebar dengan begitu banyak dan meluas dalam pelbagai bahasa, sama ada dapat diperolehi dengan kos ataupun secara percuma, maka atas sebab itulah perlu ditulis sesuatu mengenainya kerana ia melibatkan hadis-hadis Junjungan Nabi SAW. Bagaimanapun, jika ada yang tidak mahu menerima, maka itu terpulang pada dirinya. Asalkan jangan menyalahkan dan menyesatkan orang lain dalam soal-soal khilafiyyah hanya kerana perbezaan hukum hadis.

عفا اللهُ عنه ورَحِمَهُ.


Wallahu a'lam


Sumber : http://sawanih.blogspot.com/2011/05/bolehkah-berpegang-dengan-penilaian_27.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan