Halaman

Jumaat, 26 November 2010

Perlukah Berhutang Untuk Mengerjakan Ibadah Haji ?

Oleh : Mufti Brunei

Perlukah Berhutang Untuk Mengerjakan Ibadah Haji?


بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Antara tuntutan agama Islam yang wajib ditunaikan ialah ibadat haji. Ibadat haji merupakan salah satu daripada rukun Islam. Ia wajib ditunaikan oleh orang Islam yang mukallaf yang memenuhi syarat-syaratnya yang tertentu sekali dalam hidupnya.

Syarat Wajib Haji

Menurut para ulama, syarat-syarat wajib haji itu termasuk juga umrah ialah; Islam, baligh, berakal, merdeka dan istitha‘ah.

Apakah yang dimaksudkan istitha‘ah di sini? Istitha‘ah membawa maksud berkuasa atau berkemampuan untuk menunaikan haji. Ini dijelaskan dalam al-Qur’an, firman Allah Subahanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya:
“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan haji ke Baitullah bagi sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya.”
(Surah ’Ali ‘Imran: 97)

Ayat di atas menjelaskan bahawa haji diwajibkan ke atas orang yang berkuasa atau berkemampuan untuk mengerjakannya.

Istitha‘ah sebagai syarat wajib menunaikan haji itu terbahagi kepada dua bahagian:

Pertama: Istitha‘ah mubasyarah binafsihi iaitu mampu mengerjakan sendiri ibadat haji dengan adanya kemampuan dari segi harta dan fizikal.

Kedua: Istitha‘ah bighairihi iaitu mampu mengerjakan ibadat haji dengan perantaraan orang lain kerana kemampuannya untuk mengerjakan ibadat haji dari segi harta sahaja, seperti orang yang wajib ke atasnya haji sebelum dia meninggal dunia, maka wajib ditunaikan haji bagi pihak dirinya dengan harta peninggalannya atau orang terlalu tua atau orang sakit yang tidak berupaya mengerjakan hajinya kecuali dengan mengupah orang lain untuk mengerjakan haji bagi pihak dirinya.

Syarat Istitha‘ah Mubasyarah Binafsihi

Orang yang mampu mengerjakan sendiri ibadat haji kerana kemampuannya dari segi harta dan fizikal terikat dengan beberapa syarat, iaitu:

(i) Mempunyai perbelanjaan atau bekalan yang mencukupi untuk dirinya ketika dalam perjalan pergi dan balik dan sewaktu dia melaksanakan ibadat haji, serta perbelanjaan sara hidup bagi orang yang diwajibkan ke atasnya menanggung nafkahnya semasa dalam pelayarannya.

(ii) Terdapat kenderaan untuk perjalanannya umpamanya kapal terbang, kapal laut, bas dan sebagainya, sama ada miliknya sendiri ataupun disewa dengan kadar sewaan biasa atau sewaan semasa menurut keadaan, tempat dan waktu.

Syarat ini adalah bagi orang-orang yang tinggal sejauh dua marhalah atau lebih dari Makkah al-Mukarramah iaitu jarak perjalanan yang membolehkan diqasharkan sembahyang.

Kedua-dua syarat di atas ada disebutkan dalam hadits Baginda Shallallahu ‘alahi wasallam daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma katanya:

Maksudnya:
“Telah datang seorang lelaki kepada Nabi Shallallahu ‘alahi wasallam, lalu dia berkata: “Wahai Rasulullah, apakah dia syarat yang mewajibkan haji itu?” Baginda bersabda: “Bekalan dan kenderaan.”
(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

(iii) Hendaklah aman dan selamat dalam perjalannya daripada bahaya, seperti binatang buas ataupun musuh. Perkara ini bukan sahaja ke atas dirinya tetapi juga ke atas hartanya, kehormatannya dan juga keselamatan orang-orang yang bersamanya.

(iv) Sihat tubuh badan dan tidak menghadapi kepayahan atau kesukaran yang tidak dapat ditanggung menurut kebiasaannya dalam perjalanan umpamanya kerana tua atau sakit.

(v) Mempunyai kesempatan dan masa bagi mengerjakan fardhu haji. Maksudnya ialah seseorang itu memenuhi syarat-syarat wajib haji pada ketika itu mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat urusan dan melakukan perjalanan bagi mengerjakan fardhu haji.

(vi) Bagi perempuan, hendaklah ditemani oleh suaminya atau mahramnya atau perempuan-perempuan yang boleh dipercayai berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam:

Maksudnya:
“Janganlah seorang perempuan belayar bagi kecuali bersamanya suaminya atau mahramnya.”
(Hadits riwayat Muslim)

Maka jika salah satu daripada syarat-syarat istitha’ah tersebut tidak dipenuhi, maka tidaklah diwajibkan ke atas seseorang itu untuk mengerjakan ibadat haji.


Mengerjakan Haji Dengan Berhutang

Islam telah menetapkan bahawa ibadat haji tidak wajib ke atas orang yang tidak berharta. Islam juga telah menetapkan bahawa orang yang tidak berharta adalah tidak diwajibkan berhutang untuk mengerjakan ibadat haji.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Abu Awfa Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya:
“Aku pernah bertanya kepadanya (Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam) tentang seorang lelaki yang belum lagi menunaikan haji, “Adakah dia perlu berhutang untuk menunaikan haji itu?” Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam menjawab: Tidak.”

(Musnad asy-Syafi‘e)

Begitu juga dalam sebuah atsar yang diriwayatkan daripada Thariq Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya:
“Aku pernah mendengar anak Abu Awfa (salah seorang sahabat Nabi Shallallahu ‘alahi wasallam) ditanya berkenaan seorang lelaki yang mahu berhutang dan mengerjakan haji (dengan hutangnya itu), beliau berkata: Mohonlah rezeki kepada Allah dan jangan berhutang.”
(Hadits riwayat al-Baihaqi)

Dalam hal ini juga, Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta’ala ada menyebutkan dalam kitab beliau al-Majmu‘:

Ertinya:
“Apabila sudah tidak wajib (haji itu) ke atas orang yang memang sedia ada hutangnya kerana hutangnya itu, maka tidak wajib berhutang (untuk pergi haji) itu adalah lebih awla (utama) lagi.”

Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala berkata lagi:

Ertinya:
“Telah berkata ulama-ulama asy-Syafi‘eyyah: Sekiranya orang yang memberi hutang itu setuju hutang itu dibayar kemudian sehingga (orang yang berhutang itu) pulang dari mengerjakan haji, ibadat haji itu masih tidak wajib ke atas orang yang berhutang itu tanpa ada percanggahan pendapat.”

Oleh itu, tidak dituntut dalam Islam menunaikan ibadat haji dengan berhutang, kerana pada dasarnya orang yang berhutang dan orang yang mempunyai hutang dianggap sebagai orang yang belum mempunyai kemampuan (istitha‘ah) untuk mengerjakan haji.

Islam Tidak Menggalakkan Berhutang Untuk Mengerjakan Ibadat Haji Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan. Ini dijelaskan dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya:
“Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan tidak menghendaki kamu menanggung kesusahan.”
(Surah al-Baqarah:185)

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala lagi:

Tafsirnya:
“Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Dalam konteks ini, jika sekiranya syarat-syarat wajib haji tidak dapat dipenuhi oleh seseorang, maka tidaklah wajib baginya pergi mengerjakan haji, walaupun haji itu salah satu daripada rukun Islam yang lima. Berhutang kerana tujuan tersebut adalah suatu perkara yang tidak dituntut oleh agama, kerana berhutang sangat membebankan dan boleh membawa akibat yang buruk seperti berlakumya kesusahan dan mengandungi risiko yang tinggi bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada menyebutkan tentang orang yang berhutang dengan sabda Baginda:

Maksudnya:
“Dan jauhkanlah diri kamu daripada hutang, kerana sesungguhnya (hutang itu) awalnya adalah dukacita dan akhirnya pula mengambil harta orang dengan tiada mengembalikannya.”
(Hadits riwayat Malik)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lagi:

Maksudnya:
“Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung kerana hutangnya (yang belum dibayar) sehinggalah hutangnya itu dibayar.”
(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Kedudukan Haji Orang Yang Berhutang

Walau bagaimanapun, sekiranya orang yang berhutang itu mengerjakan haji juga dengan duit yang dipinjamnya, maka ibadat haji yang dikerjakannya itu sah sebagai haji fardhu dalam Islam.
Apabila suatu hari nanti, jika dia sudah berkemampuan untuk mengerjakan haji, maka dia tidak lagi diwajibkan atau dituntut untuk mengerjakannya.

Ini jelas disebut oleh Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala:

Ertinya:
“Adapun untuk dikira haji yang dikerjakan itu menjadi haji Islam (haji fardhu), maka syaratnya ada empat perkara iaitu;

Islam, berakal, merdeka dan baligh. Jika seorang fakir berusaha dengan bersusah payah (untuk mendapatkan perbelanjaan bagi tujuan) mengerjakan haji, maka haji itu menjadi haji Islam.”

Beliau berkata lagi dalam kitabnya Minhaj ath-Thalibin:

Ertinya:
“Maka memadailah (sah) haji seorang yang fakir (yang berusaha dengan bersusah payah untuk mendapatkan perbelanjaan mengerjakan haji).”

Begitu juga asy-Syeikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullahu Ta‘ala ketika mensyarahkan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala di atas dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj,
beliau berkata:

Ertinya:
"(Dan begitu juga memadai (sah) haji yang dilakukan oleh) setiap orang yang tidak berkemampuan apabila terkumpul (dua syarat) iaitu merdeka dan taklif (berakal dan baligh).”

Sebagai kesimpulan, orang yang tiada kemampuan dari segi kewangan, tidaklah perlu ia menyusahkan dirinya dengan berhutang untuk mengerjakan ibadah haji yang merupakan salah satu rukun Islam, apatah lagi bagi orang yang sudah mengerjakan haji atau umrah.

Sumber :


Tiada ulasan:

Catat Ulasan