Halaman

Isnin, 18 Oktober 2010

Persoalan Cinta Remaja

Oleh : Ustaz Muhammad Rashidi Bin Haji Wahab

PENGENALAN

Selepas tazkirah ringkas mengenai kelebihan perkahwinan yang saya sediakan untuk krew iLuvislam.com diterbitkan semula di laman utama website iLuvislam.com DI SINI, kotak pesanan ringkas di facebook dan email saya telah dimasuki beberapa persoalan mengenai cinta. Walaupun saya bukanlah berminat sangat untuk membicarakan persoalan ini, namun memandangkan mereka mengharapkan jawapan serta pandangan daripada saya, maka saya gagahi juga untuk menjawab setakat termampu.

Antara persoalan tersebut (saya ringkaskan):

1. Apakah pandangan ustaz mengenai perkahwinan semasa belajar?

2. Bagaimana dikira bertunang menurut Islam?

3. Bagaimana untuk mengekalkan keharmonian rumahtangga?

4. Dan beberapa soalan lagi.

Memandangkan persoalan cinta ini adalah persoalan yang begitu menarik untuk diperbahaskan dan diperkatakan di kalangan remaja Islam pada hari ini, maka saya juga ingin mengambil ruang ini untuk membicarakan soal cinta secara ringkas untuk menjelaskan beberapa perkara. Walaupun artikel ini membicarakan persoalan cinta, ini bukanlah bermakna saya menggalakkan dan membenarkan golongan remaja Islam di luar sana untuk terus bercinta. Saya cuma berharap dengan penjelasan ini, ia akan memberikan kefahaman yang lebih jelas mengenai hakikat cinta agar remaja yang sedang hangat bercinta tidak mudah hanyut dengan arus pancaroba dunia.

Di sini saya edit semula beberapa artikel yang pernah saya tulis mengenai cinta untuk tatapan para pembaca sekalian. Semoga mendapat manfaat. InsyaAllah.

PENGERTIAN CINTA

Apa yang kita fahami tentang erti cinta? Jika kita tanyakan persoalan ini kepada para remaja yang sedang hangat bercinta, pelbagai jawapan yang akan diperolehi. Di antara jawapan itu mungkin ada yang berkata: Cinta adalah kasih sayang, cinta adalah buta, cinta adalah rindu-rinduan, cinta adalah tempat meluahkan perasaan dan pelbagai jawapan lagi. Ini hanyalah jawapan pada tanggapan mereka sahaja bahawa cinta bermaksud sedemikian. Betulkah maksud cinta seperti yang para remaja itu fahami?

Menurut En. Pahrol Mohd Juoi (dari sebuah program Coffee Talk: Magnet Cinta), cinta mempunyai beberapa erti yang praktikal di antaranya cinta itu bererti tanggungjawab, perbuatan / tindakan, memberi dan lain-lain lagi. Jika kita menyatakan perasaan dan ungkapan cinta kepada seseorang, ini bermakna kita akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas orang yang kita tujukan ungkapan tersebut. Kita akan bertanggungjawab terhadap segala masalahnya yang dihadapinya termasuklah kewangan, pendidikan, kesihatan dan sebaginya lagi. Sebagai merialisasikan cinta itu, kita juga perlu bertindak melakukan sesuatu untuk menyelesaikan segala masalah yang dihadapinya tanpa kenal penat dan jemu. Kita sanggup memberikan segala tenaga, masa dan wang ringgit untuk orang yang kita cintai itu dengan bersungguh-sungguh.

Disebabkan itulah para suami / bapa sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu dan menyelesaikan masalah isteri dan anak-anaknya kerana suami / bapa itu mencintai dan menyayangi mereka sepenuh hatinya. Dia sanggup melakukan apa sahaja untuk membahagiakan orang yang dia cintai dan sayangi. Begitulah hebatnya cinta yang ditunjukkan oleh suami / bapa sebagai memenuhi amanah daripada Allah Taala kepadanya.

FITRAH MANUSIA KEPADA CINTA DAN BERPASANGAN

Firman Allah Taala bermaksud:
Dan sesungguhnya Dialah yang menciptakan pasangan lelaki dan perempuan.
(Surah an-Najm: Ayat45).

Perasaan untuk berpasangan dan bercinta adalah fitrah yang telah dicampakkan oleh Allah Taala kepada hamba-hambaNya. Ini bermakna fitrah untuk dicinta dan mencintai adalah sesuatu yang suci lagi bersih.

Menurut En. Pahrol Mohd Juoi lagi, jiwa manusia ini sememangnya memerlukan cinta kerana cinta diibaratkan seperti makanan kepada jasad. Jasad memerlukan makanan untuk memberikan kekuatan. Kekuatan inilah yang akan menggerakkan tubuh badan untuk menunaikan segala tugas dan tanggungjawab. Begitu jugalah diibaratkan keperluan cinta ke atas diri setiap manusia. Masing-masing memerlukan di antara satu sama lain.

Memandangkan cinta adalah suci lagi murni, janganlah kita kotorkan ia dengan perkara-perkara yang boleh merosakkan kesucian cinta itu. Perbuatan ini akan membuatkan Allah Taala murka kepada kita. Segala batasan syarak mestilah dipatuhi agar fitrah yang suci itu tidak bertukar menjadi fitnah!

UNDANG-UNDANG CINTA

En. Pahrol Mohd Joui telah menggariskan beberapa peraturan dan batasan-batasan untuk bercinta. Di antaranya ialah:

1. Hendaklah cinta kita itu didasari kepada cintakan Allah Taala.

Ertinya, cinta yang kita berikan kepadanya semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah Taala. Allah Taala yang memberikan fitrah itu kepada kita, maka gunakanlah fitrah itu untuk menghampirkan diri kepadaNya.

2. Pastikan semasa menjalinkan hubungan cinta itu tiada hukum Allah Taala yang dilanggar.

Di antaranya ialah tidak ada pergaulan bebas, tidak berdua-duaan di tempat yang sunyi, tidak mendedahkan aurat, tidak mengabaikan asas-asas agama seperti solat dan lain-lain lagi.

3. Jangan mencintai seseorang lebih dari mencintai Allah Taala.

Maksudnya, janganlah kita mencintai seseorang itu lebih hebat daripada kita mencintai Allah Taala. Cintailah seseorang itu seadanya sahaja dan cintailah Pencipta cinta itu lebih dari segalanya.

PERTUNANGAN MENURUT SYARAK

Pertunangan di sisi syarak terbahagi kepada lima cara. Pertunangan boleh dikira jika berlaku salah satu dari cara berikut:

- Lelaki memberitahu hajatnya untuk meminang kepada seorang perempuan secara langsung.

- Lelaki memberitahu hajatnya untuk meminang kepada wali perempuan.

- Menggunakan pihak ketiga untuk meminang.

- Wali menawarkan anak perempuannya kepada seorang lelaki soleh.

- Perempuan menawarkan dirinya sendiri kepada seorang lelaki soleh.

Sekiranya kedua-dua pihak telah bersetuju dan menerima (menggunakan salah satu cara di atas) maka ini adalah sudah dikira bertunang di sisi syarak.

Maklumat lebih lanjut DI SINI.

PERKAHWINAN SEMASA BELAJAR

Ramai di kalangan kawan-kawan saya di Universiti Al-Azhar, Mesir dahulu telah mendirikan rumahtangga / berkahwin bersama pasangan masing-masing semasa belajar. Keadaan ini sudah menjadi adat bagi kami di sana.

“Ustaz, tak teringin untuk mendirikan rumahtangga semasa masih belajar ke?” tanya beberapa orang ahli iLuvislam kepada saya melalui YM. Mungkin mereka mengetahui kebanyakkan pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar berkahwin semasa belajar. Di sebabkan itulah mereka bertanyakan soalan seperti itu kepada saya.

Saya hanya tersenyum lantas menjawab ringkas, “tak sampai seru lagi”.

Walaupun ada pihak yang begitu bersetuju dengan perkahwinan ketika belajar, namun bagi pendapat saya pula, buat waktu itu, cita-cita saya untuk menuntut ilmu lebih diutamakan berbanding perkahwinan. Selain itu juga, nafsu serta gelora syahwat masih boleh dibendung dan dikawal walaupun kebanyakan perempuan Mesir agak “hot” cara pemakaian mereka. Jadi, adalah lebih baik saya menggunakan waktu itu dengan sebaiknya memandangkan saya masih lagi tidak mempunyai apa-apa tanggungjawab terhadap keluarga secara khusus. Maka waktu itulah masa yang terbaik untuk saya menuntut ilmu sebanyak mungkin di Bumi Anbiyak itu.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Rebutlah lima keadaan sebelum datang lima keadaan yang lain, iaitu keadaan mudamu sebelum tuamu, keadaan sihatmu sebelum kedatangan sakitmu, keadaan kaya sebelum fakirmu, keadaan lapangmu sebelum waktu sibukmu dan masa hidupmu sebelum tibanya kematianmu. (Riwayat Hakim dan Baihaqi).

Selain itu, ada juga yang meminta sedikit nasihat dan pandangan saya mengenai perkara ini, “apakah pendapat ustaz mengenai perkahwinan awal sewaktu masih belajar?”

Saya menjawab, “ia bergantung kepada keadaan seseorang itu”

Saya menambah lagi “jika awak merasakan diri sudah wajib untuk berkahwin dan tiada pula halangan daripada keluarga, berkahwinlah”

Maksud saya ini ialah, jika kita merasakan diri sudah cukup bersedia dan amat dikuatiri diri akan terjatuh ke dalam lembah penzinaan (nafsu meronta-ronta) sekiranya tidak berkahwin, maka pada waktu itu wajiblah ke atasnya berkahwin. Selain itu, ibu bapa juga haruslah dibawa berbincang mengenai perkara ini. Mungkin sesetengah ibu bapa tidak bersetuju dan mungkin ada juga sesetengah ibu bapa bersetuju. Ia haruslah diuruskan dengan sebaiknya agar kedua-dua belah pihak tidak bermasam muka.

Teringan saya kata-kata En. Pahrol Mohd Juoi, “cinta akan datang jika cita-cita diutamakan, namun jika cinta diutamakan belum tentu cita-cita akan datang.”

PERIGI MENCARI TIMBA

Perigi mencari timba atau perempuan mencari lelaki sebagai calon suamainya bukanlah sesuatu yang asing di dalam Islam. Di antara contoh yang boleh dijadikan rujukan perempuan Islam pada hari ini adalah kisah Saidatina Siti Khadijah meminang Rasulullah S.A.W. Ini menunjukkan bahawa harus di sisi agama bahkan digalakkan jika seseorang perempuan itu meminang seorang lelaki yang soleh.

Walaubagaimanapun, adat kita di Malaysia memandang perkara ini sebagai sesuatu yang janggal dan memalukan. Seseorang perempuan itu akan dikatakan gatal jika mereka yang memulakan dahulu perhubungan dengan seseorang lelaki. Sedangkan mendapatkan seorang lelaki / suami yang soleh adalah di antara perkara utama yang dituntut oleh agama.

Persepsi ini perlu diubah secara perlahan-lahan dan beransur-ansur. Selain itu juga, perlulah diingatkan kepada mana-mana perempuan yang ingin memulakan dahulu peminangan ini agar sentiasa menjaga adab-adab dan sopan-santun yang telah di ajar oleh Islam. Jagalah percakapan dan perbuatan agar pihak lelaki tidak salah faham tujuan kita memulakan dahulu perhubungan itu.

PENUTUP

Tujuan artikel ini ditulis bukanlah untuk mengajak para remaja yang tidak bercinta untuk bercinta dan mencari pasangan. Namun utama artikel ini disediakan adalah untuk memberitahu dan mengingatkan para remaja yang sedang hangat bercinta sekarang ini agar sentiasa berjaga-jaga dengan fitnah dunia. Kerana cinta, para remaja sanggup melakukan apa sahaja walaupun perkara itu bersalahan dengan syarak.

Ungkapan hukamak ada mengatakan: Cinta kepada harta ertinya bakhil, cinta kepada perempuan ertinya alam, cinta kepada diri ertinya bijaksana, cinta kepada mati ertinya hidup dan cinta kepada Allah Taala ertinya takwa.

buluh.iluvislam.com

Wallahualam.

1 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam