Halaman

Isnin, 25 Oktober 2010

Hukum Perempuan Menziarahi Kubur : Bagaimana Dengan Perempuan Yang Haidh ?

Oleh : Mufti Brunei

بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Salah satu amalan yang sering dilakukan oleh masyarakat kita pada bulan Ramadhan dan pada Hari Raya Fitrah ialah berziarah kubur, sama ada yang diziarahi itu adalah kubur ibu bapa atau kaum kerabat. Berziarah itu pula diisi dengan membaca al-Qur’an yang pahalanya dihadiahkan kepada orang yang telah meninggal dunia.

Biasanya surah Yassin dan bertahlil merupakan bacaan pilihan masyarakat kita apabila berziarah kubur.

Berziarah kubur pula tidak hanya di bulan Ramadhan atau ketika Hari Raya sahaja, bahkan terdapat sesetengah keluarga yang menjadikannya rutin yang dilakukan seminggu sekali, sebulan sekali atau pada waktu-waktu yang dipersetujui oleh ahli keluarga yang difikirkan boleh berziarah beramai-ramai ke kubur.

Apa yang biasa dilihat, berbagai lapisan golongan ahli keluarga yang bukan sahaja terdiri daripada golongan lelaki dewasa, malahan kanak-kanak lelaki dan golongan perempuan juga
beramai-ramai turut sama berziarah.

Senario golongan perempuan turut serta pergi berziarah ke kubur menimbulkan reaksi sesetengah pihak yang beranggapan bahawa perempuan tidak dibenarkan berziarah kubur, lebih-lebih lagi perempuan yang dalam haidh. Adakah betul anggapan sedemikian?


Hukum Berziarah Kubur

Terdapat perbezaan hukum berziarah kubur bagi lelaki dan perempuan.

1. Hukum berziarah bagi lelaki

Para ulama sepakat mengatakan bahawa sunat bagi lelaki menziarahi kubur orang-orang Islam berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Buraidah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah
Shallalahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Dahulu aku melarang kamu menziarahi kubur, maka (sekarang) ziarahlah.”

(Hadits riwayat Muslim)

Menurut Imam asy-Syarwani Rahimahullah, ganti nama " كم " (kum) dalam larangan dan juga " زوروا " pada perintah dalam hadis di atas adalah ditujukan kepada kaum lelaki.

Orang-orang yang sunat diziarahi kuburnya itu pula ialah:

I. Kubur kedua ibu bapa, walaupun kubur keduanya bukan di negeri di tempatnya berada.

II. Kubur kaum keluarga terdekat atau sahabat-handai yang pada ketika hidup mereka sunat untuk diziarahi, begitu juga bila mereka meninggal dunia.

III. Kubur orang lain (yang bukan keluarga atau sahabat handai) dengan tujuan berziarah untuk mengingatkan kematian, memohon rahmat daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala untuknya atau sebagainya.

2. Hukum berziarah bagi perempuan

Keadaan perempuan berbeza dengan lelaki dari segi emosi dan perasaan. Perasaan mudah tersentuh dengan apa sahaja yang berlaku sering dikaitkan dengan mereka. Apabila seseorang yang dikenali meninggal dunia, lebih-lebih lagi jika orang tersebut adalah seseorang yang disayangi atau terlalu rapat dengannya selalunya membangkitkan perasaan emosi dan ada sesetengahnyatidak dapat membendung perasaan sehingga meraung-raung di depan mayat atau di tanah perekuburan.

Menurut pendapat jumhur ulama, hukum ziarah kubur bagi perempuan adalah makruh kerana ditakuti boleh mengundang fitnah atau ditakuti mereka menangis dengan mengeluarkan suara yang nyaring meratapi kepergian si mati.

Dalil yang menunjukkan bahawa hukum bagi perempuan menziarahi kubur adalah tidak haram berdasarkan beberapa hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam seperti berikut:

1. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu,
katanya:

Maksudnya:
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berjalan melintasi seorang perempuan yang sedang menangis di kubur anaknya, lalu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bertaqwalah engkau kepada Allah dan bersabarlah.”
(Hadits muttafaq ‘alaih)

Daripada hadits di atas dapat difahami bahawa menziarahi kubur bagi perempuan tidak dilarang. Ini kerana jika perbuatan tersebut dihukumkan haram, sudah tentunyalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegur ataupun melarang perempuan tersebut daripada menziarahi kubur.

2. Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang doa yang boleh dibacanya apabila berziarah ke perkuburan. Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Katakanlah: “Mudah-mudahan Allah limpahkan keselamatan ke atas ahli kubur daripada orang-orang mukmin dan orang-orang Islam dan semoga Allah merahmati orang-orang terdahulu dari kalangan kami dan orang-orang yang terkemudian, dan sesungguhnya sekiranya kami diizinkan oleh Allah kami akan bertemu dengan kamu.”

(Hadits riwayat Muslim)

Hadits di atas adalah dalil yang menunjukkan bahawa tidak haram bagi perempuan berziarah kubur.

Namun perlu diingat, bahawa hukum berziarah kubur bagi perempuan ini bergantung pada tujuan dan keadaannya ketika berziarah. Hukum asalnya adalah makruh sekalipun tujuannya
untuk mengambil iktibar, untuk mengingatkan kepada kematian, alam barzakh dan alam akhirat. Di samping itu, perempuan tersebut dapat menjaga adab kesopanan ketika berziarah, dapat menahan diri dari kesedihan atau dukacita yang bersangatan dan aman dari segala fitnah.
Manakala apabila berlaku tujuan dan keadaan yang sebaliknya, maka hukum makruh tersebut akan bertukar kepada haram.

Menurut setengah ulama, jika tujuannya adalah untuk menimbulkan semula perasaan dukacita dan untuk meratapi si mati, maka adalah haram baginya menziarahi kubur. Begitu juga jika sekiranya perempuan tersebut tidak menjaga adab kesopanannya semasa berziarah, tidak aman dari segala fitnah atau seumpamanya, maka haram baginya menziarahi kubur.

Berbeza pula hukumnya menziarahi kubur Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Hukumnya adalah sunat bagi perempuan dan lelaki. Begitu juga menurut sebahagian ulama, sunat berziarah ke kubur para nabi, para ulama dan aulia.

Hukum Perempan Haidh Berziarah Kubur

Perempuan yang dalam haidh tidak ada halangan untuk berziarah kubur, kerana untuk berziarah kubur tidak disyaratkan suci daripada hadats kecil mahupun besar. Suci daripada hadats merupakan salah satu adab yang disunatkan sahaja kepada orang-orang yang ingin berziarah ke tanah perkuburan.

Oleh yang demikian, perempuan yang dalam haidh berziarah kubur dengan tujuan yang dibenarkan oleh syara‘ serta dapat menjaga adab kesopanan ketika berziarah dihukumkan makruh sebagaimana dengan hukum perempuan yang suci berziarah kubur.

Namun satu hal yang berbeza di antara perempuan yang suci dengan perempuan sedang haidh ketika di tanah perkuburan ialah dari segi keharusan membaca ayat-ayat al-Qur’an untuk si mati. Perlu diingat, perempuan yang dalam haidh haram membaca al- Qur’an walaupun hanya satu ayat daripada al-Qur’an. Maka memadailah baginya berzikir seperti bertahlil, bertasbih dan
sebagainya atau berdoa untuk si mati seperti memohon keampunan dan rahmat atau yang seumpamanya daripada Allah untuk si mati.

Secara umumnya, adab-adab yang perlu dijaga oleh perempuan yang menziarahi kubur sama ada yang dalam keadaan suci mahupun haidh ialah:

(1) Hendaklah dia ditemani oleh suaminya ataupun mahramnya.

(2) Keluar dalam keadaan menutup aurat sepenuhnya sepertimana yang telah digariskan oleh Islam.

(3) Jangan selalu pergi berziarah ke kubur.

(4) Tidak berbual dengan percakapan kosong sebagaimana yang dilarang ke atas kaum lelaki, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh
Buraidah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya:
“(Dahulu) aku telah melarang kamu menziarahi kubur, maka (sekarang), siapa yang ingin menziarahi kubur, berziarahlah, dan janganlah kamu bercakap-cakap dengan perkataan yang tidak baik.”
(Hadis riwayat an-Nasa’ie)

Perlu diambil perhatian juga, hukum yang membenarkan perempuan berziarah kubur ini adalah tertakluk bila adanya keizinan daripada suami atau wali. Sekiranya tiada keizinan daripada suami atau wali, tidaklah perempuan itu dibenarkan untuk berziarah kubur.

Kesimpulannya, perempuan yang dalam haidh tidak dilarang menziarahi kubur kerana secara umumnya hukum berziarah bagi perempuan itu adalah makruh dengan ada syarat-syarat yang perlu dijaganya iaitu dari segi tujuan dan adab berziarah. Di samping itu, jika dia turut sama berziarah ke perkuburan bersama ahli keluarga yang lain, dia hendaklah berhati-hati agar tidak turut sama dengan yang lainnya membaca ayat-ayat al-Qur’an seperti Yassin dan yang seumpamanya kerana haram baginya melakukan yang demikian dengan keadaannya di dalam haidh itu.

2 ulasan:

  1. Salam ustaz.

    Saya salin ke blog saya : http://didik-hatiku.blogspot.com/2010/10/hukum-perempuan-haidh-ziarah-kubur.html

    Harap dihalalkan ya ustaz.. terima kasih info yang bermanfaat.

    BalasPadam