Halaman

Sabtu, 30 Oktober 2010

Program Cuti Sekolah Yang Amat Bermanfaat Untuk Anak-anak !

Program Tafaqquh Fi Al Din 2010


"Mempasak Aqidah Murni, Menerap Manhaj Nabawi"

Tarikh:
19-25 Disember 2010

Tempat:
Sekolah Tinggi Islam As-Sofa, Rembau, Negeri Sembilan

Umur:
9 - 12 tahun

Sasaran:
300 peserta

Pendaftaran:
19 Disember (3 - 5 petang)

Yuran penyertaan:
RM350.00


Objektif Program:
  1. Melahirkan generasi Muslim yang berpegang teguh dengan Aqidah Islam yang sahih dan tidak mampu dirobek oleh senjata-senjata musuh walau apa jua dugaan yang melanda.
  2. Melahirkan generasi Muslim yang berbangga (i'tizaz) dengan al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam dan meyakini sepenuh hati bahawa kemuliaan hidup ini ialah bagi mereka yang berpegang kuat dengan sunnah Nabinya.
  3. Menerapkan jiwa hamba yang mempunyai ikatan kuat dengan PenciptaNya, bertaqwa dan berdaya saing.
  4. Mendukung cita-cita negara untuk terus maju membangun tanpa mengabaikan keseimbangan di antara pembangunan rohani dan fizikal.

Slot-slot Istimewa:

BENGKEL PRAKTIKAL SOLAT MAZHAB SYAFIE
- Melatih para peserta mempraktikkan solat yang sempurna mengikut Mazhab Syafie

KLINIK HIJA'IYYAH & AL-FATIHAH
- Untuk kali pertama, Tafaqquh kali ini memperkenalkan Klinik Hija'iyyah
- Peserta akan mempelajari sebutan 26 huruf hija'iyyah dengan sebutan yang betul daripada ustaz yang berpengalaman
- Mempelajari tahsin, tajwid dan sebutan yang mencacatkan bacaan al-Fatihah dalam solat

PINTAR AQIDAH ISLAM
- Mempasak prinsip-prinsip asas aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah dengan pendekatan yang menghiburkan, mudah dan tidak membosankan menerusi qasidah (Cinta Allah & Cinta Rasul)

ADAB-ADAB ISLAM
- Membimbing para pelajar menerapkan adab-adab Islam dan nilai-nilai murni dalam setiap aspek kehidupan

MOTIVASI ANAK SOLEH
- Menyedarkan peserta tentang tanggungjawab dan nilai seorang Muslim dan anak yang soleh

ISLAMIK EXPLORACE DI ZOO MELAKA
- Modul yang menarik berkaitan dengan penciptaan haiwan

TREASUREHUNT DI KOLAM AIR PANAS
- Memberi kefahaman kepada anak-anak tentang kehebatan penciptaan alam semulajadi


Pengisian-Pengisian:
  • Tauhid
  • Hadith
  • Cinta Rasul
  • Solat
  • Adab
  • Bahasa Arab
  • Kuliah Umum Beramali
  • Salawat dan Nasyid

Jangan lepaskan peluang ini!

Hubungi:

Cik Nor Azura: 017-6047058

En. Mohammad Fazli: 013-7137752


Sumber : http://akhienaim.blogspot.com/2010/10/program-cuti-sekolah.html

Isnin, 25 Oktober 2010

Hukum Perempuan Menziarahi Kubur : Bagaimana Dengan Perempuan Yang Haidh ?

Oleh : Mufti Brunei

بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Salah satu amalan yang sering dilakukan oleh masyarakat kita pada bulan Ramadhan dan pada Hari Raya Fitrah ialah berziarah kubur, sama ada yang diziarahi itu adalah kubur ibu bapa atau kaum kerabat. Berziarah itu pula diisi dengan membaca al-Qur’an yang pahalanya dihadiahkan kepada orang yang telah meninggal dunia.

Biasanya surah Yassin dan bertahlil merupakan bacaan pilihan masyarakat kita apabila berziarah kubur.

Berziarah kubur pula tidak hanya di bulan Ramadhan atau ketika Hari Raya sahaja, bahkan terdapat sesetengah keluarga yang menjadikannya rutin yang dilakukan seminggu sekali, sebulan sekali atau pada waktu-waktu yang dipersetujui oleh ahli keluarga yang difikirkan boleh berziarah beramai-ramai ke kubur.

Apa yang biasa dilihat, berbagai lapisan golongan ahli keluarga yang bukan sahaja terdiri daripada golongan lelaki dewasa, malahan kanak-kanak lelaki dan golongan perempuan juga
beramai-ramai turut sama berziarah.

Senario golongan perempuan turut serta pergi berziarah ke kubur menimbulkan reaksi sesetengah pihak yang beranggapan bahawa perempuan tidak dibenarkan berziarah kubur, lebih-lebih lagi perempuan yang dalam haidh. Adakah betul anggapan sedemikian?


Hukum Berziarah Kubur

Terdapat perbezaan hukum berziarah kubur bagi lelaki dan perempuan.

1. Hukum berziarah bagi lelaki

Para ulama sepakat mengatakan bahawa sunat bagi lelaki menziarahi kubur orang-orang Islam berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Buraidah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah
Shallalahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Dahulu aku melarang kamu menziarahi kubur, maka (sekarang) ziarahlah.”

(Hadits riwayat Muslim)

Menurut Imam asy-Syarwani Rahimahullah, ganti nama " كم " (kum) dalam larangan dan juga " زوروا " pada perintah dalam hadis di atas adalah ditujukan kepada kaum lelaki.

Orang-orang yang sunat diziarahi kuburnya itu pula ialah:

I. Kubur kedua ibu bapa, walaupun kubur keduanya bukan di negeri di tempatnya berada.

II. Kubur kaum keluarga terdekat atau sahabat-handai yang pada ketika hidup mereka sunat untuk diziarahi, begitu juga bila mereka meninggal dunia.

III. Kubur orang lain (yang bukan keluarga atau sahabat handai) dengan tujuan berziarah untuk mengingatkan kematian, memohon rahmat daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala untuknya atau sebagainya.

2. Hukum berziarah bagi perempuan

Keadaan perempuan berbeza dengan lelaki dari segi emosi dan perasaan. Perasaan mudah tersentuh dengan apa sahaja yang berlaku sering dikaitkan dengan mereka. Apabila seseorang yang dikenali meninggal dunia, lebih-lebih lagi jika orang tersebut adalah seseorang yang disayangi atau terlalu rapat dengannya selalunya membangkitkan perasaan emosi dan ada sesetengahnyatidak dapat membendung perasaan sehingga meraung-raung di depan mayat atau di tanah perekuburan.

Menurut pendapat jumhur ulama, hukum ziarah kubur bagi perempuan adalah makruh kerana ditakuti boleh mengundang fitnah atau ditakuti mereka menangis dengan mengeluarkan suara yang nyaring meratapi kepergian si mati.

Dalil yang menunjukkan bahawa hukum bagi perempuan menziarahi kubur adalah tidak haram berdasarkan beberapa hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam seperti berikut:

1. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu,
katanya:

Maksudnya:
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berjalan melintasi seorang perempuan yang sedang menangis di kubur anaknya, lalu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bertaqwalah engkau kepada Allah dan bersabarlah.”
(Hadits muttafaq ‘alaih)

Daripada hadits di atas dapat difahami bahawa menziarahi kubur bagi perempuan tidak dilarang. Ini kerana jika perbuatan tersebut dihukumkan haram, sudah tentunyalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegur ataupun melarang perempuan tersebut daripada menziarahi kubur.

2. Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang doa yang boleh dibacanya apabila berziarah ke perkuburan. Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Katakanlah: “Mudah-mudahan Allah limpahkan keselamatan ke atas ahli kubur daripada orang-orang mukmin dan orang-orang Islam dan semoga Allah merahmati orang-orang terdahulu dari kalangan kami dan orang-orang yang terkemudian, dan sesungguhnya sekiranya kami diizinkan oleh Allah kami akan bertemu dengan kamu.”

(Hadits riwayat Muslim)

Hadits di atas adalah dalil yang menunjukkan bahawa tidak haram bagi perempuan berziarah kubur.

Namun perlu diingat, bahawa hukum berziarah kubur bagi perempuan ini bergantung pada tujuan dan keadaannya ketika berziarah. Hukum asalnya adalah makruh sekalipun tujuannya
untuk mengambil iktibar, untuk mengingatkan kepada kematian, alam barzakh dan alam akhirat. Di samping itu, perempuan tersebut dapat menjaga adab kesopanan ketika berziarah, dapat menahan diri dari kesedihan atau dukacita yang bersangatan dan aman dari segala fitnah.
Manakala apabila berlaku tujuan dan keadaan yang sebaliknya, maka hukum makruh tersebut akan bertukar kepada haram.

Menurut setengah ulama, jika tujuannya adalah untuk menimbulkan semula perasaan dukacita dan untuk meratapi si mati, maka adalah haram baginya menziarahi kubur. Begitu juga jika sekiranya perempuan tersebut tidak menjaga adab kesopanannya semasa berziarah, tidak aman dari segala fitnah atau seumpamanya, maka haram baginya menziarahi kubur.

Berbeza pula hukumnya menziarahi kubur Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Hukumnya adalah sunat bagi perempuan dan lelaki. Begitu juga menurut sebahagian ulama, sunat berziarah ke kubur para nabi, para ulama dan aulia.

Hukum Perempan Haidh Berziarah Kubur

Perempuan yang dalam haidh tidak ada halangan untuk berziarah kubur, kerana untuk berziarah kubur tidak disyaratkan suci daripada hadats kecil mahupun besar. Suci daripada hadats merupakan salah satu adab yang disunatkan sahaja kepada orang-orang yang ingin berziarah ke tanah perkuburan.

Oleh yang demikian, perempuan yang dalam haidh berziarah kubur dengan tujuan yang dibenarkan oleh syara‘ serta dapat menjaga adab kesopanan ketika berziarah dihukumkan makruh sebagaimana dengan hukum perempuan yang suci berziarah kubur.

Namun satu hal yang berbeza di antara perempuan yang suci dengan perempuan sedang haidh ketika di tanah perkuburan ialah dari segi keharusan membaca ayat-ayat al-Qur’an untuk si mati. Perlu diingat, perempuan yang dalam haidh haram membaca al- Qur’an walaupun hanya satu ayat daripada al-Qur’an. Maka memadailah baginya berzikir seperti bertahlil, bertasbih dan
sebagainya atau berdoa untuk si mati seperti memohon keampunan dan rahmat atau yang seumpamanya daripada Allah untuk si mati.

Secara umumnya, adab-adab yang perlu dijaga oleh perempuan yang menziarahi kubur sama ada yang dalam keadaan suci mahupun haidh ialah:

(1) Hendaklah dia ditemani oleh suaminya ataupun mahramnya.

(2) Keluar dalam keadaan menutup aurat sepenuhnya sepertimana yang telah digariskan oleh Islam.

(3) Jangan selalu pergi berziarah ke kubur.

(4) Tidak berbual dengan percakapan kosong sebagaimana yang dilarang ke atas kaum lelaki, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh
Buraidah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya:
“(Dahulu) aku telah melarang kamu menziarahi kubur, maka (sekarang), siapa yang ingin menziarahi kubur, berziarahlah, dan janganlah kamu bercakap-cakap dengan perkataan yang tidak baik.”
(Hadis riwayat an-Nasa’ie)

Perlu diambil perhatian juga, hukum yang membenarkan perempuan berziarah kubur ini adalah tertakluk bila adanya keizinan daripada suami atau wali. Sekiranya tiada keizinan daripada suami atau wali, tidaklah perempuan itu dibenarkan untuk berziarah kubur.

Kesimpulannya, perempuan yang dalam haidh tidak dilarang menziarahi kubur kerana secara umumnya hukum berziarah bagi perempuan itu adalah makruh dengan ada syarat-syarat yang perlu dijaganya iaitu dari segi tujuan dan adab berziarah. Di samping itu, jika dia turut sama berziarah ke perkuburan bersama ahli keluarga yang lain, dia hendaklah berhati-hati agar tidak turut sama dengan yang lainnya membaca ayat-ayat al-Qur’an seperti Yassin dan yang seumpamanya kerana haram baginya melakukan yang demikian dengan keadaannya di dalam haidh itu.

Isnin, 18 Oktober 2010

Persoalan Cinta Remaja

Oleh : Ustaz Muhammad Rashidi Bin Haji Wahab

PENGENALAN

Selepas tazkirah ringkas mengenai kelebihan perkahwinan yang saya sediakan untuk krew iLuvislam.com diterbitkan semula di laman utama website iLuvislam.com DI SINI, kotak pesanan ringkas di facebook dan email saya telah dimasuki beberapa persoalan mengenai cinta. Walaupun saya bukanlah berminat sangat untuk membicarakan persoalan ini, namun memandangkan mereka mengharapkan jawapan serta pandangan daripada saya, maka saya gagahi juga untuk menjawab setakat termampu.

Antara persoalan tersebut (saya ringkaskan):

1. Apakah pandangan ustaz mengenai perkahwinan semasa belajar?

2. Bagaimana dikira bertunang menurut Islam?

3. Bagaimana untuk mengekalkan keharmonian rumahtangga?

4. Dan beberapa soalan lagi.

Memandangkan persoalan cinta ini adalah persoalan yang begitu menarik untuk diperbahaskan dan diperkatakan di kalangan remaja Islam pada hari ini, maka saya juga ingin mengambil ruang ini untuk membicarakan soal cinta secara ringkas untuk menjelaskan beberapa perkara. Walaupun artikel ini membicarakan persoalan cinta, ini bukanlah bermakna saya menggalakkan dan membenarkan golongan remaja Islam di luar sana untuk terus bercinta. Saya cuma berharap dengan penjelasan ini, ia akan memberikan kefahaman yang lebih jelas mengenai hakikat cinta agar remaja yang sedang hangat bercinta tidak mudah hanyut dengan arus pancaroba dunia.

Di sini saya edit semula beberapa artikel yang pernah saya tulis mengenai cinta untuk tatapan para pembaca sekalian. Semoga mendapat manfaat. InsyaAllah.

PENGERTIAN CINTA

Apa yang kita fahami tentang erti cinta? Jika kita tanyakan persoalan ini kepada para remaja yang sedang hangat bercinta, pelbagai jawapan yang akan diperolehi. Di antara jawapan itu mungkin ada yang berkata: Cinta adalah kasih sayang, cinta adalah buta, cinta adalah rindu-rinduan, cinta adalah tempat meluahkan perasaan dan pelbagai jawapan lagi. Ini hanyalah jawapan pada tanggapan mereka sahaja bahawa cinta bermaksud sedemikian. Betulkah maksud cinta seperti yang para remaja itu fahami?

Menurut En. Pahrol Mohd Juoi (dari sebuah program Coffee Talk: Magnet Cinta), cinta mempunyai beberapa erti yang praktikal di antaranya cinta itu bererti tanggungjawab, perbuatan / tindakan, memberi dan lain-lain lagi. Jika kita menyatakan perasaan dan ungkapan cinta kepada seseorang, ini bermakna kita akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas orang yang kita tujukan ungkapan tersebut. Kita akan bertanggungjawab terhadap segala masalahnya yang dihadapinya termasuklah kewangan, pendidikan, kesihatan dan sebaginya lagi. Sebagai merialisasikan cinta itu, kita juga perlu bertindak melakukan sesuatu untuk menyelesaikan segala masalah yang dihadapinya tanpa kenal penat dan jemu. Kita sanggup memberikan segala tenaga, masa dan wang ringgit untuk orang yang kita cintai itu dengan bersungguh-sungguh.

Disebabkan itulah para suami / bapa sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu dan menyelesaikan masalah isteri dan anak-anaknya kerana suami / bapa itu mencintai dan menyayangi mereka sepenuh hatinya. Dia sanggup melakukan apa sahaja untuk membahagiakan orang yang dia cintai dan sayangi. Begitulah hebatnya cinta yang ditunjukkan oleh suami / bapa sebagai memenuhi amanah daripada Allah Taala kepadanya.

FITRAH MANUSIA KEPADA CINTA DAN BERPASANGAN

Firman Allah Taala bermaksud:
Dan sesungguhnya Dialah yang menciptakan pasangan lelaki dan perempuan.
(Surah an-Najm: Ayat45).

Perasaan untuk berpasangan dan bercinta adalah fitrah yang telah dicampakkan oleh Allah Taala kepada hamba-hambaNya. Ini bermakna fitrah untuk dicinta dan mencintai adalah sesuatu yang suci lagi bersih.

Menurut En. Pahrol Mohd Juoi lagi, jiwa manusia ini sememangnya memerlukan cinta kerana cinta diibaratkan seperti makanan kepada jasad. Jasad memerlukan makanan untuk memberikan kekuatan. Kekuatan inilah yang akan menggerakkan tubuh badan untuk menunaikan segala tugas dan tanggungjawab. Begitu jugalah diibaratkan keperluan cinta ke atas diri setiap manusia. Masing-masing memerlukan di antara satu sama lain.

Memandangkan cinta adalah suci lagi murni, janganlah kita kotorkan ia dengan perkara-perkara yang boleh merosakkan kesucian cinta itu. Perbuatan ini akan membuatkan Allah Taala murka kepada kita. Segala batasan syarak mestilah dipatuhi agar fitrah yang suci itu tidak bertukar menjadi fitnah!

UNDANG-UNDANG CINTA

En. Pahrol Mohd Joui telah menggariskan beberapa peraturan dan batasan-batasan untuk bercinta. Di antaranya ialah:

1. Hendaklah cinta kita itu didasari kepada cintakan Allah Taala.

Ertinya, cinta yang kita berikan kepadanya semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah Taala. Allah Taala yang memberikan fitrah itu kepada kita, maka gunakanlah fitrah itu untuk menghampirkan diri kepadaNya.

2. Pastikan semasa menjalinkan hubungan cinta itu tiada hukum Allah Taala yang dilanggar.

Di antaranya ialah tidak ada pergaulan bebas, tidak berdua-duaan di tempat yang sunyi, tidak mendedahkan aurat, tidak mengabaikan asas-asas agama seperti solat dan lain-lain lagi.

3. Jangan mencintai seseorang lebih dari mencintai Allah Taala.

Maksudnya, janganlah kita mencintai seseorang itu lebih hebat daripada kita mencintai Allah Taala. Cintailah seseorang itu seadanya sahaja dan cintailah Pencipta cinta itu lebih dari segalanya.

PERTUNANGAN MENURUT SYARAK

Pertunangan di sisi syarak terbahagi kepada lima cara. Pertunangan boleh dikira jika berlaku salah satu dari cara berikut:

- Lelaki memberitahu hajatnya untuk meminang kepada seorang perempuan secara langsung.

- Lelaki memberitahu hajatnya untuk meminang kepada wali perempuan.

- Menggunakan pihak ketiga untuk meminang.

- Wali menawarkan anak perempuannya kepada seorang lelaki soleh.

- Perempuan menawarkan dirinya sendiri kepada seorang lelaki soleh.

Sekiranya kedua-dua pihak telah bersetuju dan menerima (menggunakan salah satu cara di atas) maka ini adalah sudah dikira bertunang di sisi syarak.

Maklumat lebih lanjut DI SINI.

PERKAHWINAN SEMASA BELAJAR

Ramai di kalangan kawan-kawan saya di Universiti Al-Azhar, Mesir dahulu telah mendirikan rumahtangga / berkahwin bersama pasangan masing-masing semasa belajar. Keadaan ini sudah menjadi adat bagi kami di sana.

“Ustaz, tak teringin untuk mendirikan rumahtangga semasa masih belajar ke?” tanya beberapa orang ahli iLuvislam kepada saya melalui YM. Mungkin mereka mengetahui kebanyakkan pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar berkahwin semasa belajar. Di sebabkan itulah mereka bertanyakan soalan seperti itu kepada saya.

Saya hanya tersenyum lantas menjawab ringkas, “tak sampai seru lagi”.

Walaupun ada pihak yang begitu bersetuju dengan perkahwinan ketika belajar, namun bagi pendapat saya pula, buat waktu itu, cita-cita saya untuk menuntut ilmu lebih diutamakan berbanding perkahwinan. Selain itu juga, nafsu serta gelora syahwat masih boleh dibendung dan dikawal walaupun kebanyakan perempuan Mesir agak “hot” cara pemakaian mereka. Jadi, adalah lebih baik saya menggunakan waktu itu dengan sebaiknya memandangkan saya masih lagi tidak mempunyai apa-apa tanggungjawab terhadap keluarga secara khusus. Maka waktu itulah masa yang terbaik untuk saya menuntut ilmu sebanyak mungkin di Bumi Anbiyak itu.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Rebutlah lima keadaan sebelum datang lima keadaan yang lain, iaitu keadaan mudamu sebelum tuamu, keadaan sihatmu sebelum kedatangan sakitmu, keadaan kaya sebelum fakirmu, keadaan lapangmu sebelum waktu sibukmu dan masa hidupmu sebelum tibanya kematianmu. (Riwayat Hakim dan Baihaqi).

Selain itu, ada juga yang meminta sedikit nasihat dan pandangan saya mengenai perkara ini, “apakah pendapat ustaz mengenai perkahwinan awal sewaktu masih belajar?”

Saya menjawab, “ia bergantung kepada keadaan seseorang itu”

Saya menambah lagi “jika awak merasakan diri sudah wajib untuk berkahwin dan tiada pula halangan daripada keluarga, berkahwinlah”

Maksud saya ini ialah, jika kita merasakan diri sudah cukup bersedia dan amat dikuatiri diri akan terjatuh ke dalam lembah penzinaan (nafsu meronta-ronta) sekiranya tidak berkahwin, maka pada waktu itu wajiblah ke atasnya berkahwin. Selain itu, ibu bapa juga haruslah dibawa berbincang mengenai perkara ini. Mungkin sesetengah ibu bapa tidak bersetuju dan mungkin ada juga sesetengah ibu bapa bersetuju. Ia haruslah diuruskan dengan sebaiknya agar kedua-dua belah pihak tidak bermasam muka.

Teringan saya kata-kata En. Pahrol Mohd Juoi, “cinta akan datang jika cita-cita diutamakan, namun jika cinta diutamakan belum tentu cita-cita akan datang.”

PERIGI MENCARI TIMBA

Perigi mencari timba atau perempuan mencari lelaki sebagai calon suamainya bukanlah sesuatu yang asing di dalam Islam. Di antara contoh yang boleh dijadikan rujukan perempuan Islam pada hari ini adalah kisah Saidatina Siti Khadijah meminang Rasulullah S.A.W. Ini menunjukkan bahawa harus di sisi agama bahkan digalakkan jika seseorang perempuan itu meminang seorang lelaki yang soleh.

Walaubagaimanapun, adat kita di Malaysia memandang perkara ini sebagai sesuatu yang janggal dan memalukan. Seseorang perempuan itu akan dikatakan gatal jika mereka yang memulakan dahulu perhubungan dengan seseorang lelaki. Sedangkan mendapatkan seorang lelaki / suami yang soleh adalah di antara perkara utama yang dituntut oleh agama.

Persepsi ini perlu diubah secara perlahan-lahan dan beransur-ansur. Selain itu juga, perlulah diingatkan kepada mana-mana perempuan yang ingin memulakan dahulu peminangan ini agar sentiasa menjaga adab-adab dan sopan-santun yang telah di ajar oleh Islam. Jagalah percakapan dan perbuatan agar pihak lelaki tidak salah faham tujuan kita memulakan dahulu perhubungan itu.

PENUTUP

Tujuan artikel ini ditulis bukanlah untuk mengajak para remaja yang tidak bercinta untuk bercinta dan mencari pasangan. Namun utama artikel ini disediakan adalah untuk memberitahu dan mengingatkan para remaja yang sedang hangat bercinta sekarang ini agar sentiasa berjaga-jaga dengan fitnah dunia. Kerana cinta, para remaja sanggup melakukan apa sahaja walaupun perkara itu bersalahan dengan syarak.

Ungkapan hukamak ada mengatakan: Cinta kepada harta ertinya bakhil, cinta kepada perempuan ertinya alam, cinta kepada diri ertinya bijaksana, cinta kepada mati ertinya hidup dan cinta kepada Allah Taala ertinya takwa.

buluh.iluvislam.com

Wallahualam.

Rabu, 6 Oktober 2010

Mesti Beli ! : Buku - 6 Perkara Asas Memahami Khilafiyyah

Buku yang ditulis oleh Ustaz Muhadir bin Haji Joll (Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa) ini amat bermanfaat dan perlu (mesti dibaca) terutamanya kepada mereka yang mengkaji kebenaran.


Apatah lagi di ketika ini, dengan bersandarkan buku agama yang ditulis,melalui ceramah, kuliah di dalam internet melalui saluran blog, forum, facebook terdapat di kalangan individu dan golongan yang membawa fahaman ekstrim yang suka menghukum bid'ah sesat/ahli neraka kepada sesama saudara seIslam dalam perkara khilafiyyah yang sudah menjadi ijtihad para ulamak melalui sumber al Quran dan Sunnah. Hinggalah menimbulkan kekacauan, perpecahan, permusuhan dan akhirnya kegemilangan Islam yang dicita-citakan itu kembali pudar akibat perbuatan/sikap yang mengikut hawa nafsu serta kejahilan dengan menghumban sebahagian besar umat Islam ke dalam neraka.


Kepada para pencinta ilmu dan kebenaran, asatizah, guru-guru, pensyarah, pelajar pengajian tinggi, buku ini perlu dimiliki segera !







Dapatkan segera buku 6 Perkara Asas Memahami Khilafiyyah.
Harga: Semenanjung Malaysia RM 30.00; Sabah/Sarawak RM 33.00
Penerbit: Mawleed Publishing Sdn. Bhd.


Boleh buat pesanan melalui
Toko Buku as-Sunnah
36, Jalan Bola Tampar 13/14, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor, Malaysia
(berdepan Pintu Gerbang A Stadium Bola Selangor, Shah Alam)
Tel/Fax: +603-55196300 / +60163306300 (Ustaz Khairul Anwar)
email: darulakhyar@gmail.com

Buku ini di tulis oleh teman karib al-Fagir iaitual-Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll as-Sarawaqi. Beliau adalah merupakan pensyarah di Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabangsa, Petaling Jaya, Selangor. Dan insyaAllah akan menamatkan pengajian peringkat kedoktoran (PhD) sedikit masa lagi.

Buku ini adalah merupakan sebahagian kecil daripada tajuk-tajuk perbincangan beliau di dalam buku beliau yang berjudul PERSOALAN KHILAFIYYAH DAN PENJELASAN ULAMA`, INILAH JAWAPANNYA (buku yang tebalnya mencecah 1,000 halaman ini masih di dalam proses untuk dicetak). Isi kandungan buku 6 Perkara Asas Memahami Khilafiyyah ini membincangkan beberapa perkara penting yang perlu difahami di dalam rangka memahami perkara-perkara khilafiyyah. Buku ini dibahagi kepada 2 bahagian:

Bahagian Pertama membincangkan tajuk:

  • Bid’ah
  • At-Tark
  • Mafhum dan bentuk Ibadah
  • Hadits Dhaif
  • Ikhtilaf
  • Mempercayai Ulama` dan pendapat mereka
Bahagian kedua (petikan perbahasan beberapa perkara khilafiyyah daripada kitab asal PERSOALAN KHILAFIYYAH DAN PENJELASAN ULAMA`, INILAH JAWAPANNYA yang membincangkan lebih daripada 117 persoalan)
  • Melafazkan niat
  • Posisi meletakkan tangan selepas takbiratulihram
  • Menggerakkan jari telunjuk ketika tasyahhud
  • Doa qunut di dalam sholat Shubuh
  • Kenduri/majlis tahlil
  • Talfiq
  • Tidak bermazhab dan lain-lain

Untuk mengetahuinya, maka sila dapatkan buku tersebut!