Halaman

Selasa, 15 September 2009

Doa tawassul ahlu kisa’

Penulis : Ustaz Al Amin Daud


Hari ini saya cuba menjelaskan persoalan doa yang mengandungi unsur tawassul dengan ahlu kisa’. Ada yang menginkari doa ini kerana kata mereka terdapat unsur syiah kerana menyebut nama ahli keluarga Nabi SAW. Ada juga yang mengingkarinya kerana surat berantai ini mengandungi butiran palsu.Doa Selsema H1N1

Merujuk kepada surat berantai di atas. Pertamanya kita perlu jelas dan dapat membezakan surat berantai dengan doa yang dinyatakan adalah dua perkara yang berbeza. Kalau kita menafikan kebenaran surat berantai dengan nama yang tersebut di dalam surat itu tidak bermakna kita juga menafikan kebenaran doa tersebut.

Secara peribadi saya juga tidak mengenali nama yang disebutkan di dalam surat tersebut. Tetapi doa ini saya telah kenali semenjak saya di bangku sekolah lagi sebelum wujudnya surat ini. Bahkan mengikut riwayat guru kami di pondok ia menjadi amalan guru-guru pada zaman dahulu untuk mengelak wabak taun. Ia dibaca secara beramai-ramai sambil berjalan mengelilingi kampung.


Sudah tentu doa yang diajar oleh Rasulullah SAW merupakan doa yang paling afdhol. Afdhol di atas wazam isim tafdhil bermaksud paling baik atau terbaik dan di sana ada doa-doa yang baik yang kita tidak boleh menafikan dengan sewenang-wenangnya. Afdhol bukan bermaksud menafikan yang baik.

Seumpama kita mengatakan memakan roti lebih baik daripada nasi. Apakah nasi tidak baik? Bukan begitu tetapi kita katakan ia lebih baik. Seperti contoh yang lain. Solat sunat afdhol dilakukan di rumah. Apakah bermaksud jika dibuat di masjid maka tidak sah? Sudah tentu tidak, tetapi afdhol (lebih baik).

Begitulah perumpamaan dengan doa-doa yang disusun oleh ulama’ kita. Jika kita hendak bandingkan dengan doa Nabi SAW maka tidak ada bandingannya tetapi itu samasekali tidak menafikan kelebihan doa para ulama’ yang menjadi qudwah kita selepas Nabi SAW.


Di bawah ni kenyataan yang diambil daripada blog al-fansuri yang menyebut riwayat ulama' ahli sunnah waljamaah . Boleh rujuk kitab yang dinyatakan untuk mendapat penjelasan kebenaran doa ini;


Antara ulama Sunni yang menyebut mengenai amalan tawassul dengan Ahlul Kisa` sebagai sarana mencegah wabak penyakit adalah al-Qadhi asy-Syaikh Yusuf bin Isma`il an-Nabhaani رحمه الله. Dalam karyanya "Sa`aadatud Daarain" halaman 627 beliau menyatakan bahawa amalan tersebut antara yang mujarrab untuk mencegah wabak.


Di dalam doa ini kita bertawassul dengan ahli kisa' keturunan Rasulullah SAW yang dimuliakan oleh Allah dan dinyatakan kelebihan mereka di dalam hadis yang mutawaatir yang diriwayatkan oleh lebih daripada 30 orang sahabat dan disebut sebagai "'itrati".

تركت فيكم ما إن تمسكتم به لن تضلوا بعدي كتاب الله وعترتي أهل بيتي

Aku tinggalkan kepada kamu jika kamu berpegang dengannya nescaya kamu tidak akan sesat selepas aku iaitu Al-Quran dan Ahli keluargaku.

Hadis ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun kerana ia diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Ahmad, Al-Hakim di dalam mustadraknya dan ramai lagi tanpa saya memanjang perbicaraannya di sini. Boleh rujuk di sini untuk penjelasan hadis ini dan sumber kitab-kitab hadis yang meriwayatkannya. Maka termasuk di dalam umum hadis ini Sayyidina Ali, Siti Fatimah, Sayyidina Hassan Dan Sayyidina Hussin Radiallahu 'Anhum Ajma'ien..


Mencintai ahli beit bukan beerti kita syiah. Kerana mencintai ahli beit Rasulullah SAW merupakan suatu tuntutan di dalam mazhab ahli sunnah wal jamaah bahkan disarankan oleh Nabi SAW di dalam hadis “itrati di atas. Kerana hendak menentang syiah kita jangan jadi syiah dengan membenci ahli keluarga Nabi SAW. Kerana hakikatnya syiah yang mengkhianati ahli keluarga Nabi SAW seperti yang tercatat di dalam sejarah versi ahli sunnah wal jamaah.


Jangan anggap keturunan Rasulullah itu syiah. Walaupun syiah menjadikan Sayyidina Ali sebagai imam mereka itu bukan bermaksud Sayyidina Ali itu syiah. Begitu juga dengan Siti Fatimah dan anak keduanya yang merupakan cucu kesayangan baginda SAW, Sayyidina Hassan dan Sayyidina Hussin. Wal ‘iyazabillah min zaalik.


Semoga dengan mencintai ahli beit Rasulillah SAW menjadi asbab syafaat Allah pada hari kiamat nanti sepertimana yang dinyatakan oleh Imamuna As-Syafie di dalam syairnya yang mengandungi erti tawassul dengan keluarga Nabi SAW;


آلُ النبيِّ ذريعتي وهُمُو إليْهِ وَسِيلَتِي أرْجُو بهمْ أُعْطَى غَداً بيدي اليمين صحيفتي


Maksudnya: ahli keluarga Nabi merupakan perisaiku (apabila aku ada kesusahan di dunia dan di akhirat).Mereka merupakan wasilah aku kepada Allah dan aku mengharapkan diberikan kitab catitan amalku nanti dengan tangan kanan (dengan keberkatan mereka).


Jika ahli keluarga Rasulullah boleh menjadi asbab syafaat untuk diberikan kitab dengan tangan kanan pada hari kiamat yang dahsyat jadi bagaimana kiranya kesusahan di dunia ini?


Pada hakikatnya hanya Allah sahaja yang boleh memberi manfaat dan mudharat kepada kita tetapi tidakkah Allah menjadikan bagi setiap sesuatu itu asbab? Jika kepala sakit, kita mencari panadol sebagai asbab untuk menghilangkan sakit dan kita tidak katakan ia perbuatan syirik selagimana dia menganggap panadol sebagai asbab sahaja mengapa kita katakan bertawassul dengan ahli keluarga Nabi SAW dianggap perbuatan syirik sedangkan mereka asbab kepada nusrah Allah SWT.

Sumber : Http://al-amindaud.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan