Halaman

Isnin, 14 September 2009

Bagaimana Cara Menyambut Aidilfitri ? Bab Akhir

MENGHAYATI IDULFITRI
(Bilangan 111 Bahagian Akhir)

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah
Hari Raya Fitri adalah hari persaudaraan dan hari kegembiraan maka di hari ini adalah disunatkan sesama Islam saling mengucap tahniah dengan doa-mendoakan di antara satu sama lain seperti mengucapkan:


Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimanya daripada awak"
Hukum sunat mengucapkan tahniah di Hari Raya ini diperakui oleh Ibnu Hajar Rahimahullah.(Hasyiyatan 1:359)
Adapun maksud dari kalimah tahniah yang berbentuk doa ini membawa makna semoga diterima puasa dan amal kebajikan yang dibuat di bulan Ramadhan.
Dengan penjelasan di atas membuktikan bahawa hari Raya orang Islam berbeza sekali konsepnya dengan hari raya orang bukan Islam apatah lagi ianya disambut sebaik sahaja selesai menunaikan ibadah puasa. Kalau non muslim berhari raya hanya sekadar untuk berhibur dan bergembira walau ada kaitan dengan unsur keagamaan, maka kita sebagai umat Islam bukan itu cara dan konsepnya. Berhibur di dalam hari raya orang Islam berkonsepkan ibadah sebagai melahirkan syukur kita kepada Allah Subhanhu wa Ta‘ala.
Sebilangan umat Islam hari ini amat mendukacitakan kerana tidak faham akan konsep hari raya yang sebenar lalu tidak dapat menghayatinya sehingga merayakannya seperti mana orang-orang bukan Islam berhari raya. Kalau bangsa lain umpamanya mempunyai lagu khas sempena hari raya mereka maka kita pun memilikinya bahkan lebih daripada mereka dengan rentak dan irama yang bermacam-macam. Perkara ini sebenarnya boleh mendatangkan tanggapan negatif bagi orang-orang bukan Islam terhadap Islam. Mereka menganggap bahawa hari raya orang Islam tidak jauh bezanya dari hari-hari perayaan mereka iaitu hanya sekedar untuk melahirkan rasa gembira dan berhibur.
Selain itu dengan corak sambutan yang mereka lakukan itu adalah kesan dari tidak menghayati Ramadhan sepenuhnya kerana Ramadhan adalah bulan Qana‘ah yang mana dengan itu mampu menghindarkan kita dari memboros dan berlebihan di dalam menyambut Idulfitri.
Kita perlu sedar bahawa hari raya inilah hari menerima ganjaran bagi mereka yang benar benar beramal di bulan Ramadhan.
Hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam diriwayatkan daripada Sa‘ad bin Aus Al-Anshariy daripada ayahnya Radhiallahu ‘anhu Baginda bersabda yang maksudnya :
"Apabila tiba hari Raya fitri berdirilah malaikat di pintu-pintu jalan lalu menyeru: "Pergilah wahai kaum muslimin menghadap Tuhan yang Pemurah yang memberikan kebajikan kemudian memberikan pahala yang banyak, demi sesungguhnya kamu telah diperintahkan untuk melakukan qiamullail maka kamu membuatnya, dan kamu diperintahkan untuk berpuasa pada siangnya maka kamu berpuasa, kamu juga mentaati Tuhan kamu maka kamu terimalah balasan kamu, maka apabila bersembahyang maka akan menyerulah orang yang menyeru: "Ketahuilah bahawasanya Tuhan kamu telah mengampunkan kamu dan pulanglah menuju tunggangan kamu dan itu adalah hari menerima balasan dan dinamakan hari itu di langit sebagai hari al- Ja‘izah (hari mendapat ganjaran)
. (Hadis riwayat At-Thabrani)

Oleh yang demikian marilah kita sama-sama memperbanyak amal ibadah di hari ini dengan tidak mencampur-baurkannya dengan perkara maksiat. Seperti berziarah umpamanya, yang mana amalan berziarah ini sangat dituntut oleh Islam . Lebih-lebih lagi masyarakat kita mengambil kesempatan hari raya ini untuk kunjung-mengunjugi sayugialah jangan dicemari dengan pergaulan bebas di antara yang bukan mahram serta aktiviti yang merosakkan keimanan yang telahkita sucikan di sepanjang Ramadhan, seperti pesta tari-menari dan berkaroake sehingga mengganggu ketenteraman jiran-jiran yang berdekatan yangmana perbuatan ini adalah amat di tegah di dalam Islam. Selain dari itu amalan besedekah di hari raya ini adalah juga merupakan tuntutan sunat di mana Baginda menganjurkan untuk bersedekah sebaik sahaja selepas menunaikan sembahyang hari raya.
Kesimpulannya hari raya fitrah ini adalah hari hablun minallah dan hablun minannas iaitu hari mempererat serta dan memperkukuh hubungan diantara makhluk dengan Khaliq dan diantara makhluk dengan makhluk.
Maka sama-samalah kita hidupkan malam dan siang hari raya ini dengan perkara yang disunatkan sama ada yang langsung dijelaskan oleh hadis Baginda atau yang secara mafhumnya adalah dituntut di dalam Islam berpandukan huda (petunjuk) Rasulullah yang mana jika kita mengikut sunnah Baginda bererti kita mencintai Allah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :
"Katakannlah (wahai Muhammad) jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku nescaya Allah mengasihi kamu"

(Surah Ali ‘Imran:31)
Sumber : Mufti Brunei

Tiada ulasan:

Catat Ulasan