Halaman

Ahad, 15 Februari 2009

Penjelasan Mengenai Hadith Jariyah Bab 4

Perbandingan Antara Riwayat-riwayat Lain Dari Sudut Mentarjihkan Lafaz

Riwayat Keempat:

Imam Abdul Razak meriwayatkan dalam Al-Mushonnaf melalui jalan 'Atho' juga (tabi'ien yang sama seperti riwayat Imam Muslim dan Al-Mizzi):-

"Daripada Ibn Juraij yang meriwayatkan

"Daripada "Atho' bahawasanya ada seorang lelaki (iaitu Mu'awiyah berdasarkan petunjuk dari riwayat Muslim tadi) memiliki kambing yang sihat. Lalu lelaki tersebut teringin untuk menghadiahkan seekor kambingnya kepada Nabi s.a.w.. Namun, (pagi itu) seekor serigala menggigit kambing tersebut. Lelaki itu (Saidina Mu'awiyah) terus marah lalu menampar hamba perempuannya. Lalu lelaki itu (iaitu Mu'wiyah) menceritakannya kepada Rasulullah s.a.w. dalam masa yang sama menceritakan juga bahawasnya dia mempunyai tanggungan untuk memerdekakan seseorang hamba yang beriman. Tetapi dia khuatir untuk memerdekakan hamba perempuan yang dipukulnya tersebut.

"Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bawa dia ke mari". Setelah lelaki itu membawa hamba perempuannya berjumpa Rasulullah s.a.w., Rasulullah s.a.w. bertanya kepadanya:

أتشهدين أن لا إله إلا الله

Maksudnya: "Adakah kamu mengakui bahawa tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah"?

Hamba perempuan itu menjawab: "Ya".

Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Adakah kamu mengakui bahawasanya aku adalah pesuruh Allah (Rasulullah)"

Hamba perempuan itu menjawab: "Ya"…" (sehinggalah akhir hadith).


Ini suatu bentuk lafaz hadith yang lain yang diriwayatkan oleh seorang tabi'ien iaitu 'Atho' bin Yasar yang merupakan perawi daripada Saidina Mu'awiyah bin Al-Hakam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Imam Al-Mizzi dan Imam Abdul Razzak.

Bahkan, dari satu sudut yang lain, hadith ini juga tidak bertentangan dari sudut kefahamannya dengan riwayat Imam Al-Baihaqi kerana kemungkinan hamba perempuan itu seorang yang bisu masih boleh difahami daripada riwayat Abdul Razzak ini kerana Rasulullah s.a.w. ketika bertanya dengan soalan "adakah", hamba perempuan tersebut hanya perlu menggunakan isyarat (seperti mengangguk) untuk membawa faham bahawasanya dia membenarkan soalan tersebut. Kemudian, perawi hadith mengolahkan isyarat tersebut dalam bentuk perkataan untuk lebih menjelaskan peristiwa tersebut.

Pun begitu, kedudukan hamba perempuan itu seorang yang bisu adalah sebagaimana yang diriwayatkan melalui jalan Imam Al-Baihaqi dan ianya juga kemungkinan berdasarkan kefahaman Imam Al-Baihaqi dan sebahagian ulama' lain semata-mata.

Apa yang paling penting adalah, lafaz pertanyaan Rasulullah s.a.w. kepada hamba perempuan (Al-Jariyyah) tersebut pada riwayat Abdul Razzak adalah dengan bertanyakan kalimah syahadah, bukan bertanyakan "di mana Allah". Ini suatu isyarat yang jelas menunjukkan hadith Al-Jariyyah ini diriwayatkan dengan banyak lafaz yang berbeza-beza. Maka, sudah pasti ianya kembali kepada "pengaruh" perawi-perawi hadith tersebut.

Jadi, lafaz aina Allah (di mana Allah) dalam riwayat Imam Muslim itu sendiri tidak qat'ie sehingga sesetengah pihak memaksa semua orang menetapkan lafaz tersebut secara zahir lalu menetapkan tempat bagi Allah s.w.t.. Berbezanya lafaz menunjukkan lafaz hadith tersebut tidak kuat untuk dinisbahkan kepada Rasulullah s.a.w. apatah lagi jika lafaz bertanyakan kalimah syahadah yang diriwayatkan oleh Imam Abdul Razzak lebih kuat petunjuknya dalam memberi faham keislaman seseorang berbanding pertanyaan di mana Allah dalam riwayat Imam Muslim dan Imam Al-Baihaqi.

Oleh yang demikian, lafaz hadith yang diriwayatkan daripada jalan Imam Al-Mizzi dan Imam Abdul Razzak jelas menunjukkan Rasulullah s.a.w. tidak bertanya: "di mana Allah" kepada hamba perempuan tersebut. Sebaliknya, dalam riwayat Abdul Razzak, yang ditanya adalah berkenaan kalimah syahadah yang lebih kuat petunjuknya dalam menentukan keislaman seseorang.

Dari segi sanad hadith riwayat Imam Abdul Razzak pula, ianya merupakan suatu sanad yang 'aliy (tinggi: sedikit perantaraan antara periwayat hadith yang meriwayatkan hadith dalam kitab-kitabnya dengan Rasulullah s.a.w.) iaitu daripada Ibn Juraij yang meriwayatkan daripada 'Atho' bin Yasar daripada Saidina Mu'awiyah r.a..

Imam Az-Zahabi meletakkan riwayat Ibn Juraij daripada 'Atho' bin Yasar sebagai silsilah yang tinggi kesahihannya, iaitu darjat setelah silsilah az-zahab (iaitu Imam Malik meriwayatkan daripada Imam Nafi'e yang meriwayatkan daripada Saidina Ibn Umar r.a.) dan seangkatan dengannya. (Al-Muqizhoh: 25)

Malah, riwayat Imam Abdul Razzak ini turut dikuatkan oleh riwayat Imam Malik dalam Al-Muwatho'.

Riwayat Kelima berkenaan Hadith Al-Jariyyah

Imam Malik r.a. meriwayatkan dalam Al-Muwatho' (m/s 777) dengan sanad yang 'aliy iaitu daripada Ibn Syihab yang meriwayatkan daripada Ubaidillah bin Abdullah bin 'Utbah bahawasanya:

"Ada seorang lelaki daripada kaum Anshor membawa hamba perempuannya yang berkulit gelap kepada Rasulullah s.a.w.. Lalu beliau berkata: "Wahai Rasulullah. Aku mempunyai tanggungan agar memerdekakan seorang hamba perempuan. Kalau hamba perempuanku ini seorang yang beriman, maka aku akan memerdekakannya". Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya: Adakah kamu mengakui tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah"? Hamba perempuan tersebut menjawab: "Ya". Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Adakah kamu mengakui aku sebagai pesuruh Allah?" Jawabnya: "Ya". Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Adakah kamu meyakini adanya hari kebangkitan setelah kematian?" Jawabnya: "Ya". Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Merdekakanlah dia. Sesemangnya dia seorang yang beriman".


Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Malik dengan sanad tinggi ('aliy) melalui jalan seorang tabi'ie yang agung iaitu Imam Ubaidillah bin Abdullah bin 'Utbah yang dikenali sebagai Al-Fuqaha' As-Sab'ah (ulama' fiqh yang tujuh) di Madinah.

Beliau adalah seorang yang terpercaya lagi teliti (rujuk At-Taqrib).

Malah, riwayat dengan lafaz ini juga diriwayatkan oleh beberapa ahli hadith yang lain iaitu:-

- Imam Al-Baihaqi sendiri juga meriwayatkan hadith dengan lafaz ini dalam As-Sunan Al-Kubra (10/57).

- Imam Abdul Razzak juga meriwayatkan hadith Al-Jariyyah dengan jalan ini juga melalui sanad: daripada Ma'mar daripada Az-Zuhri daripada Ubaidillah bin Abdullah tersebut. (rujuk Al-Mushonnaf 9/175)

- Imam Ahmad juga meriwayatkan hadith Al-Jariyyah ini dengan jalan yang sama dalam Al-Musnad (3/451-452)

Penilaian Hadith riwayat Kelima ini:-

Adapun Abu Bakr Muhammad bin Muslim (Ibn Syihab) Az-Zuhri (50-125 H) merupakan antara perawi-perawi yang dinilai sebagai thiqqah dan tersenarai dalam antara tobaqot al-huffaz yang tinggi kedudukannya oleh Imam Az-Zahabi. (Al-Muqizhoh: 69)

Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya memberi komen terhadap hadith Al-Jariyyah melalui jalan ini (Ubaidillah bin Abdullah) dengan berkata:

إسناده صحيح وجهالة الصحابي لا تضره

"Sanadnya sahih sedangkan kejahilan (tidak disebut) sahabat (dalam riwayat Ubaidillah) ini tidak mengurangkan darjat kesahihannya" (Tafsir Ibn Kathir: 1/547)


Imam Ibn Hajar Al-Haithami pula berkata: "ia diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan perawi-perawinya yang sahih" (Al-Majma' 1/23).

Ini menunjukkan hadith-hadith riwayat "adakah kamu mengakui tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah" ini lebih banyak jalan periwayatannya berbanding lafaz "aina Allah" itu sendiri. Sehinggakan, Imam Al-Baihaqi juga ada meriwayatkan dengan jalan sebagaimana riwayat Imam Malik ini. Hal ini sahaja sudah menguatkan lafaz hadith yang diriwayatkan oleh Imam Malik dan Imam Abdul Razzak sendiri, berbanding riwayat Imam Muslim.

Bila berlakunya percanggahan dari sudut lafaz hadith melalui banyak jalan, maka timbullah permasalahan itthirob (اضطراب) dalam matan sesuatu hadith tersebut.

Hadith Al-Jariyyah: Sememangnya Diriwayatkan dengan Lafaz-lafaz yang Berbeza-beza


Imam Al-Bazzar ada menyebutkan tentang hadith Al-Jariyyah ini dengan berkata:

وهذا قد روى نحوه بألفاظ مختلفة

Maksudnya: Ia diriwayatkan sebegini dengan lafaz-lafaz yang berbeza-beza. (Kasyf Al-Astar: 1/14)

Amirul Mu'minin fi Al-Hadith Al-Hafiz Imam Ibn Hajar berkata tentang hadith Al-Jariyyah ini:

وفي اللفظ مخالفة كثيرة

Maksudnya: "Dan pada lafaz hadith ini banyak (riwayat) yang saling bercanggah" (At-Takhlish Al-Khabir 3/223)

Imam Al-Baihaqi juga ada menyebutkan dalam membuat komen terhadap hadith ini:

وهذا صحيح قد أخرجه مسلم مقطعا من حديث الأوزاعي وحجاج الصواف عن يحيى بن أبي كثير دون قصة الجارية؛ و أظنه إنما تركها من الحديث لاختلاف الرواة في لفظه

Maksudnya: "Hadith ini sahih (sanadnya) yang diriwayatkan oleh Imam Muslim secara ringkas (dipotong nas keseluruhan hadith) daripada hadith Al-Auza'ie dan Hajjaj As-Showwaf daripada Yahya bin Abi Kathir tanpa kisah Al-Jariyyah, yang mana aku rasa sebab kisah Al-Jariyyah tersebut tidak diriwayatkan (oleh Imam Muslim: demikian menurut Imam Al-Baihaqi) daripada hadith tersebut kerana berlakunya perbezaan dalam kalangan perawi terhadap lafaznya." (Al-Asma' wa As-Sifat m/s 422)

Dua nota utama yang dapat difahami daripada perkataan Imam Al-Baihaqi berkenaan hadith ini:-

Pertama: Menurut Imam Al-Baihaqi, naskhah sahih Muslim yang beliau miliki tidak mengandungi kisah Al-Jariyyah itu sama sekali. Beliau membuat andaian bahawasanya kemungkinan Imam Muslim tidak meriwayatkan kisah tersebut kerana para perawi berselisih mengenai lafaznya.

Kedua: Menurut Imam Al-Baihaqi, hadith Al-Jariyyah ini diriwayatkan dengan lafaz yang berbeza-beza.

Dari sudut hadith ini diriwayatkan dengan banyak lafaz yang berbeza-beza pun, sudah menunjukkan lafaz hadith ini tidak boleh dijadikan suatu pegangan yang kuat apatah lagi melibatkan masalah aqidah. Sekurang-kurangnya, ia kembali kepada kaedah:

ما طرقه الاحتمال سقط به الاستدلال

Maksudnya: "Jika jalan-jalan periwayatan hadith itu mengandungi kemungkinan, maka gugurlah "petunjuk" daripada hadith tersebut dengan sebab "kemungkinan" tersebut.

Setelah penjelasan ini juga, fahamlah kita bahawasanya kedudukan hadith Al-Jariyyah ini diriwayatkan dengan lafaz yang berbeza-beza yang akhirnya membawa kepada hukum idthirob (kegoncangan atau pertembungan).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan