Halaman

Ahad, 15 Februari 2009

Cara Pesakit Menggunakan beg Kolostomi

Tajuk :

Kaedah Melaksanakan Ibadat Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi

Isu :

Mesyuarat dimaklumkan bahawa terdapat pesakit terpaksa menggunakan beg kolostomi apabila saluran najisnya iaitu dubur tidak dapat digunakan untuk membuang najis. Dalam keadaan ini usus besar di dalam ebdomen pesakit ini akan dibuka dan disalurkan ke bahagian dinding ebdomen dan dilekatkan di kulitnya. Seterusnya najis akan keluar melalui jalan tersebut dan terisi masuk kedalam beg kolostomi tanpa boleh dikawal.
Bagi pesakit-pesakit yang terpaksa memakai beg kolostomi, kebanyakkan daripada mereka merasa was-was untuk menunaikan amalan fardu ain terutamanya solat kerana 2 sebab, iaitu ;-

1. Adakah wudu’ mereka akan terbatal dengan sebab keluar najis tanpa boleh dikawal kedalam beg kolostomi?.

2. Adakah mereka perlu mengosongkan beg kolostomi mereka setiap kali mengambil wudu’ atau menunaikan solat?.

Keputusan :



Setelah membincangkan isu ini dengan teliti, Mesyuarat Jamaah Ulama’ bersetuju menfatwakan seperti berikut :

1. Pesakit-pesakit yang terpaksa menggunakan beg kolostomi adalah termasuk di dalam golongan orang yang uzur syar’ie dan mereka tidak terikat dengan salah satu syarat yang membatalkan wudu’ untuk menunaikan solat iaitu keluar sesuatu daripada 2 jalan iaitu qubul dan dubur seperti yang disyaratkan kepada orang yang sihat.

2. Oleh itu, wudu’ mereka tidak terbatal walaupun najis keluar kedalam beg kolostomi mereka. Keadaan mereka dihukumkan sebagaimana hukum seseorang yang mengalami silsu baul (air kencing sentiasa menitik) dan wanita yang mengalami istihadhoh.
Dalam kedua-dua keadaan ini, telah disepakati oleh para fuqaha’ bahawa tidak terbatal wudu’ mereka walaupun najis telah keluar daripada 2 kemaluan mereka selepas mereka berwudu’ untuk menunaikan solat.

3. Penggunaan beg kolostomi juga boleh dianggap sebagai usus mekanikal iaitu pengganti kepada usus yang asal dan ia merupakan sebahagian daripada perut. Oleh itu selagi mana najis belum terkeluar daripada beg kolostomi ini, najis itu dikira masih berada di dalam badan pesakit dan wudu’ tidak akan terbatal dengan sebab keluar najis ke dalam beg tersebut.

4. Ketika hendak mengambil wudu’, pesakit-pesakit yang terpaksa menggunakan beg kolostomi ini tidak perlu mengosongkan beg kolostomi mereka setiap kali mengambil wudu’ kerana keuzuran mereka kecuali perkara itu tidak menyusahkan pesakit berkenaan. Mereka dikehendaki mengambil wudu’ apabila telah masuk waktu solat dan menyegerakan pelaksanaan solat sebaik sahaja berwudu’.

Sumber : Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam Kelantan

WaLLahua'lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan