Halaman

Ahad, 18 Januari 2009

Hukum Hakam Mengenai Lintah Bab 4

PERBAHASAN KEDUA

PERNIAGAAN LINTAH



Perbahasan di sini adalah seumpama berikut;

1) Falsafah Perniagaan di dalam Islam

2) Hukum perniagaan Binatang dan Serangga

3) Perniagaan Lintah dan Pendapat Fuqaha

3.1 Dalil mazhab yang membenarkan

3.2 Dalil mazhab yang melarang

4) Kesimpulan Perbahasan


Falsafah Perniagaan di dalam Islam


Firman Allah Taala:

كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَلا تَطْغَوْا فِيهِ فَيَحِلَّ عَلَيْكُمْ غَضَبِي وَمَنْ يَحْلِلْ عَلَيْهِ غَضَبِي فَقَدْ هَوَى

Maksudnya: Serta Kami katakan: makanlah dari benda-benda yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu, dan janganlah kamu melampaui batas padanya, kerana dengan yang demikian kamu akan ditimpa kemurkaanKu; dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah ia.[38]

Sesungguhnya Allah Taala telah menciptakan manusia dan menjadikan kehidupan mereka di bumi. Lalu Allah memberikan kesempatan kepada manusia untuk menikmati segala khazanah yang berada di muka bumi Nya. Demi untuk mengelakkan perselisihan dan perebutan sesama manusia dalam menikmati segala nikmat Nya, maka wujud istilah yang dinamakan “hak milik”. Di sini bermula segala perbincangan jual beli, muamalat, perniagaan dan perekonomian.

Walaupun sedemikian, segala hak milik itu tidak diserahkan secara mutlak kepada manusia untuk menentukannya. Panduan dan etika daripada pencipta manusia itu sendiri amat perlu agar kehidupan duniawi ini mampu berjalan dengan sempurna.

Puncak di atas segala-galanya, rezeki yang diperoleh daripada sumber pencarian yang halal mempunyai keterikatan yang kuat dengan soal keimanan. Sumber pendapatan yang baik membawa kepada hidayah, adapun yang diproses daripada sumber yang diharamkan oleh syarak membawa kepada tercariknya iman lalu pudar dari hati pemiliknya. Bahkan lebih parah daripada itu, hanya daripada sumber rezeki yang tidak halal boleh membawa kepada kebinasaan di akhirat kelak. Sabda Nabi s yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud:[39]

وَلاَ يُعْجِبَنَّكَ امْرَؤٌ كَسَبَ مَالاً مِنْ حَرَامٍ ، فَإِنَّهُ إِنْ أَنْفَقَهُ أَوْ تَصَدَّقَ بِهِ لَمْ يُقْبَلْ مِنْهُ ، وَإِنْ تَرَكَهُ لَمْ يُبَارَكُ لَهُ ، وَإِنْ بَقِيَ مِنْهُ شَيْءٌ كَانَ زَادَهُ إِلَى النَّارِ

Maksudnya: Kamu tidak akan tergiur dengan seseorang yang memperoleh pencarian daripada harta haram. Jika dia menginfakkannya atau menyedekahkannya, tidak akan diterima. Jika harta itu ditinggalkannya, dia tidak mendapat berkat dengannya. Jika harta itu kekal bersamanya, ia akan lebih mendekatkannya ke jurang api neraka.

Moga segala perniagaan yang akan dilakukan terlebih dahulu dipastikan sama ada di dalam kategori halal atau haram

Hukum Perniagaan Binatang dan Serangga di sisi Fuqaha

Sepakat para Fuqaha: Tidak boleh memperniagakan segala bentuk binatang kecil yang melata di bumi[40] (الحشرات) yang tidak ada manfaatnya. Sebagaimana pra syarat para fuqaha di dalam soal jual beli; mestilah barang yang didagangkan memberi manfaat. Kaedah ini diambil berdasarkan istinbat yang diambil oleh fuqaha daripada hadis sahih yang diriwayatkan oleh Malik[41]:

حَدَّثَنِي مَالِك عَنْ عَمْرِو بْنِ يَحْيَى الْمَازِنِيِّ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ الضَّحَّاكَ بْنَ خَلِيفَةَ سَاقَ خَلِيجًا لَهُ مِنْ الْعُرَيْضِ فَأَرَادَ أَنْ يَمُرَّ بِهِ فِي أَرْضِ مُحَمَّدِ بْنِ مَسْلَمَةَ فَأَبَى مُحَمَّدٌ فَقَالَ لَهُ الضَّحَّاكُ لِمَ تَمْنَعُنِي وَهُوَ لَكَ مَنْفَعَةٌ تَشْرَبُ بِهِ أَوَّلًا وَآخِرًا وَلَا يَضُرُّكَ فَأَبَى مُحَمَّدٌ فَكَلَّمَ فِيهِ الضَّحَّاكُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ فَدَعَا عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ مُحَمَّدَ بْنَ مَسْلَمَةَ فَأَمَرَهُ أَنْ يُخَلِّيَ سَبِيلَهُ فَقَالَ مُحَمَّدٌ لَا فَقَالَ عُمَرُ لِمَ تَمْنَعُ أَخَاكَ مَا يَنْفَعُهُ وَهُوَ لَكَ نَافِعٌ تَسْقِي بِهِ أَوَّلًا وَآخِرًا وَهُوَ لَا يَضُرُّكَ فَقَالَ مُحَمَّدٌ لَا وَاللَّهِ فَقَالَ عُمَرُ وَاللَّهِ لَيَمُرَّنَّ بِهِ وَلَوْ عَلَى بَطْنِكَ فَأَمَرَهُ عُمَرُ أَنْ يَمُرَّ بِهِ فَفَعَلَ الضَّحَّاكُ

Maksudnya: Sesungguhnya ad-Dhohak bin Khalifah membuat sungai kecil[42] daripada al-Uraid (lembah yang berada di Madinah, sekarang sudah dibina bangunan). Ad-Dhohak ingin mengalirkan sungai tersebut di laluan tanah Muhammad bin Maslamah. Muhammad tidak berkenan. Maka berkata ad-Dhohak kepadanya: Kenapa engkau menghalang sedangkan engkau memperoleh manfaat. Engkau boleh minum airnya dari hulu hilir dan saluran ini tidak membawa mudarat kepada mu. Muhammad tetap enggan. Ad-Dhohak menceritakan hal ini kepada Umar (Khalifah). Umar memanggil Muhammad bin Maslamah dan memerintahkan supaya membenarkan untuk Ad-Dhohak membuat sungai kecil. Berkata Muhammad: Tidak. Berkata Umar: Kenapa engkau menghalang saudara mu sendiri perkara yang memberi manfaat kepadanya dan engkau juga mendapat manfaat. Engkau boleh minum dari saluran tersebut di hulu dan hilir. Saluran itu sedikit pun tidak memberi mudarat kepada mu. Berkata Muhammad: Tidak sama sekali, demi Allah. Berkata Umar: Demi Allah dia akan membina saluran di atas tanah mu walaupun terpaksa dibuat di atas perut mu. Umar memerintahkan untuk dibuat saluran tersebut maka ad-Dhohak melakukannya.

Daripada hadis ini Ulama mengeluarkan hukum bahawa setiap akad yang terbina mestilah di atas perkara yang memberi manfaat dan tidak membawa mudarat kepada pihak lain.

Berdasarkan kaedah ini, tidak sah memperdagangkan tikus, ular, semut dan seumpamanya kerana tidak memberi manfaat untuk ditukar ganti dengan wang tunai.

Perniagaan Lintah dan Pendapat Fuqaha

Para Fuqaha memberikan pengecualian kepada kategori yang memberi manfaat seumpama ulat sutera untuk dimanfaatkan baju sutera, lebah untuk dimanfaatkan madunya dan lain-lainnya. Persoalan di sini, adakah lintah termasuk di dalam kategori yang memberi manfaat atau tidak memberi manfaat? Pendapat Fuqaha berkenaan itu;

-Boleh memperdagangkan lintah. Ini disebabkan orang ramai memerlukannya untuk perubatan menghisap darah kotor daripada tubuh. Ini merupakan pendapat yang disebut secara nas oleh Hanafiah, Syafieyah dan Hanabilah.

Bahkan Hanafiah menambah: Boleh memperdagangkan cacing qirmiz yang diperah untuk dijadikan pewarna. Syafieyah membenarkan untuk memperdagangkan yarbu’[43] dan dhob[44] dan seumpanya yang boleh dimakan. Hanabilah membenarkan jual beli cacing untuk mengakap ikan.

-Tidak boleh memperdagangkan lintah. Ini pendapat yang di dokong oleh Ibn Rajab al-Hanbali.


Nas bagi setiap ucapan mereka adalah sebagaimana berikut;

Dalil mazhab yang membenarkan;

-Hanafi:

“Abu al-Laith membenarkan menjual lintah. Dengan pendapat ini difatwakan dengan alasan hajat”[45]

Tersebut di dalam Rad al-Muhtar ketika menerangkan berkenaan harus dijual ulat sutera dan telurnya:

“Di dalam al-Bahr daripada az-Zakhirah: Jika membeli lintah yang dipanggil di dalam bahasa Parsi "مَرْعَل" harus hukumnya. Ini juga pendapat yang dipegang as-Sadr as-Syahid disebabkan keperluan orang ramai padanya dan orang ramai menganggapnya harta bernilai. أهـ .

Aku berpendapat: Lintah pada zaman kita diperlukan demi tujuan perubatan kerana ia menghisap darah dan menjadi harta bernilai. Dari itu (bernilai) membuktikan boleh menjual cacing qirmiz[46]. Cacing qirmiz pada hari ini lebih bernilai kerana ia merupakan semahal-mahal harta. Dijual setiap tahun dengan timbangan emas dengan harga yang tinggi. Kemungkinan ia yang ingin dimaksudkan pada ungkapan “lintah” di dalam az-Zakhirah berdasarkan penjelasan (kepada matan zakhirah). Maka cacing qirmiz dikecualikan dari dimasukkan di dalam jual beli bangkai sebagaimana yang telah kami sebutkan.

Menguatkan hujah itu lagi (membolehkan jual cacing qirmiz), Beralasan hajat keperluan menggunakan cacing qirmiz untuk perubatan tidak membawa kepada harus jual belinya sebagaimana masalah susu ibu, seumpama alasan hajat keperluan kepada kalung wanita yang dibuat dari bulu khinzir, sesungguhnya ia tidak membawa kepada dibenarkan untuk dijual beli sebagaimana yang akan disebutkan.

Maka dapat diketahui di sini maksud “ulat sutera” lintah/cacing/ulat khusus (seumpama ulat sutera, cacing, ulat bulu dan lain-lain) yang bernilai di sisi manusia. Alasan itu dapat diperoleh pada cacing qirmiz. Ia lebih patut dihukumkan harus daripada ulat sutera dan telurnya kerana cacing qirmiz dimanfaatkan segera dan adapun ulat sutera dimanfaatkan pada tempoh akan datang. Allahu A’lam”[47]


-Syafie:

i) Berkata Imam Nawawi di dalam Majmuk pada bab apa yang boleh dijual beli dan apa tidak boleh:

“Lintah iaitu cacing hitam atau merah yang keluar dari air. Kebiasaannya diletakkan di atas anggota yang berlebihan darah, maka lintah akan menghisap darahnya. Apakah boleh menjual lintah tersebut Terdapat dua toriq:

(Paling Asoh): Ini yang diputuskan Imam Haramain dan al-Ghazali dan al-Baghawi di dalam syarah al-Mukhtasor dan selain mereka mengatakan harus. Ini kerana terdapat tujuan yang diinginkan iaitu menghisap darah daripada anggota yang sakit.

(Toriq kedua): Terdapat dua wajah; al-Mutawalli yang meriwayatkan pendapat ini. Asah: Harus. Kedua: Tidak, kerana ia haiwan yang menyakiti seumpama ular dan kala jengking.”[48]

ii) Berkata Syeikh Muhammad as-Syarbini al-Khatib di dalam Muqni al-Muhtaj ketika menerangkan maksud Imam Nawawi “Tidak sah jual beli serangga dan setiap binatang buas yang tidak memberi manfaat”;

(Termasuk dalam kategori tidak memberi manfaat) “seumpama singa, serigala, helang dan gagak merupakan binatang yang tidak boleh dimakan. Tidak dilihat pada manfaat kulitnya setelah mati atau dibuat anak panah daripada bulunya atau menjadi simpanan peliharaan raja-raja demi tujuan menunjukkan kekuatan atau politik. Adapun apa yang memberi manfaat dari benda itu seperti harimau buruan untuk memburu, gajah untuk memburu, monyet untuk mengawal, lebah untuk madu, burung bulbul untuk suara, merak untuk warnanya, lintah untuk menghisap darah, maka jual belinya sah...”

iii) Di dalam Tuhfatul Muhtaj:

“Tidak sah jual beli Hasyarat iaitu binatang kecil yang melata di bumi seumpama tikus. Tidak dikira jika manfaatnya di sisi pakar. Dikecualikan seumpama yarbu’, dhob yang dimakan, lebah, ulat sutera dan lintah untuk menghisap darah”[49]

“Jika dikatakan: Semua hasyarat ini bermanfaat di sisi mereka yang pakar. Apakah alasan pengecualiannya berbanding yang lain? Aku berkata: Syeikh kami[50] pernah menjawab: Sesungguhnya apabila semua ini menjadi masyhur dan diketahui oleh kebanyakan manusia, maka ia dikecualikan. Adapun yang baki, tidak dikecualikan kerana ia hanya khusus kepada para-para doktor yang spesialis”[51]

-Hanbali:

i) Di dalam al-Mughni & as-Syarhu al-Kabir:

“Fasal: Pada menjual lintah yang dimanfaatkan seumpama yang bergantung pada wajah yang naik jagat[52] lalu menghisap darah dan menjual cacing yang diletakkan di mata kail untuk memancing ikan. Terdapat dua wajah:

Paling asoh: Boleh menjualnya kerana mendapat manfaat maka ia seperti ikan.

Kedua: Tidak boleh, kerana ia tidak memberi manfaat kecuali jarang-jarang maka ia seumpama tidak membawa manfaat”.[53]

ii) Di dalam al-Furu’:

“Pada menjual lintah untuk menghisap darah, cacing untuk menangkap ikan dan apa yang digunakan untuk memburu seperti burung hantu terdapat dua wajah”.

“(Pertama) mengatakan sah. Ini pendapat as-sahih di sisi Mazhab. Beliau menilai sahih pendapat ini di dalam al-Mughni, as-Syarh, An-Nazm, Al-Hawi al-Kabir dan selain mereka. Beliau meletakkannya di dalam ar-Ria’yah al-Kubra. (Aku katakan): Ia merupakan zahir ucapan para ashab.

(Wajah kedua): Tidak sah”[54].

Dalil mazhab yang melarang;

i) Di dalam Jami’ul Ulum wal Hikam;



“...Adapun baki haiwan lainnya yang tidak boleh dimakan dan tidak ada manfaat padanya seumpama al-Hasyarat dan yang sama kategori dengannya, tidak boleh diperniagakannya. Apa yang disebut daripada manfaat pada sebahagian al-Hasyarat adalah sedikit. Ini tidak menjadikan ia boleh untuk diniagakan sebagaimana Nabi s tidak membenarkan memperdagangkan bangkai selepas disebutkan kepada baginda manfaat yang boleh diperoleh daripada bangkai. Oleh sebab ini, pendapat yang as-Sahih: Tidak dibenarkan memperdagangkan lintah untuk menghisap darah, cacing untuk memancing dan begitulah seterusnya...”[55]

Kesimpulan Perbahasan

1) Boleh memperdagangkan lintah

2) Sah jual beli hatta setelah lintah mati. Ia tidak dikategorikan sebagai jual beli bangkai

Tiada ulasan:

Catat Ulasan