Halaman

Ahad, 18 Januari 2009

Hukum Hakam Mengenai Lintah Bab 3

Hukum Menternak Lintah

Terdapat 3 kategori haiwan;

1) Harus menternak/memelihara dan mengurungnya dengan syarat memberi makan dan minum. Lintah termasuk di dalam kategori ini.

Sebagaimana yang diketahui proses menternak lintah memerlukan kolam khas yang disediakan oleh penternak dan dihimpunkan kadar bilangan tertentu daripada lintah di dalam kolam tersebut. Pendapat Fuqaha berhubung perkara itu;

-Pendapat Syafieyah dan Hanabilah serta pendapat rajih di sisi Hanafiah dan Malikiah;

Harus mengurung binatang untuk manfaat seumpama menjaga kebun atau rumah[21] atau mendengar suaranya[22] atau sebagai perhiasan[23]. Tuan yang mengurung binatang wajib memberi makan dan minum. Makan minum itu mengambil kedudukan seumpama binatang itu dibebaskan untuk mencari makan minum sendiri.

Dalil dah hujah yang dipegang oleh mereka;


i) Sabda Nabi sebagaimana Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan;


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ - رضى الله عنهما - أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ J قَالَ : عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِى هِرَّةٍ سَجَنَتْهَا حَتَّى مَاتَتْ ، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ ، لاَ هِىَ أَطْعَمَتْهَا وَلاَ سَقَتْهَا إِذْ حَبَسَتْهَا ، وَلاَ هِىَ تَرَكَتْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ

Maksudnya: Diazab seorang wanita kerana seekor kucing yang dia kurung sehingga mati. Wanita itu masuk neraka kerana itu. Dia tidak memberi kucing itu makan dan minum ketika mengurungnya. Dia juga tidak melepaskan kucing itu untuk mencari makan daripada binatang yang berada di muka bumi.

Keterangan:

a) Baginda menceritakan kesalahan mengurung tanpa makan dan minum atau melepaskan untuk mencari makan sendiri. Tidak disebutkan larangan mengurung kucing di dalam sangkar.

b) Berkata Ibn Hajar: “Dari hadis ini menunjukkan harus memelihara kucing dan mengikatnya (mengurung) jika penjaga tidak cuai dan membiarkan makan dan minumnya. Kias kepada perkara itu selain kucing yang seumpama kucing. Kucing tidak menjadi milik sesiapa hanya sanya wajib memberinya makan kepada yang mengurungnya. Seumpama itu juga ucapan Al-Qurthubi”[24].

c) Berkata as-Syaukani: “Dapat diambil dalil daripada hadis ini bahawa haram mengurung kucing dan seumpamanya daripada haiwan tanpa diberi makan dan minum; kerana perbuatan sebegitu menyakiti makhluk Allah. Syarak melarang perbuatan tersebut”[25].

ii) Di dalam Hasyiah Qailubi & Umairah;

“Baginya mengurung haiwan walaupun untuk tujuan mendengar suaranya atau bersuka-suka atau seumpama anjing untuk hajat keperluan, bersama memberinya makan”[26]


2) Haram menternak/memelihara dan mengurungnya tetapi dibenarkan menternak dan mengurungnya jika ada hajat dan manfaat. Seumpama anjing pemburu, anjing penjaga kebun, anjing pelatih yang digunakan oleh polis dan seumpamanya.

*Al-Quran


Firman Allah Taala[27];

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَمَا عَلَّمْتُمْ مِنَ الْجَوَارِحِ مُكَلِّبِينَ تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللَّهُ فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Maksudnya: Mereka bertanya kepada mu (Wahai Muhammad): "Apakah (makanan) yang Dihalalkan bagi mereka?" bagi menjawabnya katakanlah: "Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari memakan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha cepat hitungan hisabNya"

Keterangan:

Berkata Ibn Jauzi: “Setelah turun ayat ini, Baginda Nabi J membenarkan untuk memelihara anjing untuk dimanfaatkan dan melarang memelihara anjing yang tidak memberi manfaat”.[28]

3) Dituntut untuk membunuhnya.

i) Al-Bukhari[29] meriwayatkan;

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ D أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ J قَالَ : خَمْسٌ مِنَ الدَّوَابِّ مَنْ قَتَلَهُنَّ وَهْوَ مُحْرِمٌ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِ الْعَقْرَبُ ، وَالْفَأْرَةُ ، وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ ، وَالْغُرَابُ ، وَالْحِدَأَةُ

Maksudnya: 5 jenis binatang melata sesiapa yang membunuhnya walaupun ketika ihram, tidak mengapa; Kala jengking, tikus, anjing menggigit, gagak dan burung helang.

Sebahagian riwayat menggantikan kala jengking dengan ular. Ada riwayat menambah harimau dan serigala.

Ulama mengatakan semua binatang ini disunatkan untuk dibunuh jika memberi menyakiti manusia. Adapun kepada binatang yang memberi manfaat dan mudarat diharuskan untuk dibunuh. Sedemikian dikiaskan kepada binatang selain disebutkan baginda J.[30]

ii) Baginda juga sentiasa berdoa agar dipelihara daripada gangguan binatang kategori ini.

Sabda Nabi sebagaimana at-Tabrani meriwayatkan di dalam al-Mu’jam al-Ausat;

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi sentiasa membacakan doa untuk Hasan dan Husin dengan ucapan baginda: Aku memohon perlindungan untuk kamu berdua dengan kalimah Allah yang sempurna daripada setiap syaitan dan binatang merayap @ beracun, dari setiap mata yang hasad.

Hukum menternak mengikut piawai tertentu

Melaksanakan apa-apa tugas sebaik-baik mungkin merupakan salah satu di antara ajaran Islam. Sejarah membuktikan umat yang mendukung agama ini adalah yang terbaik di kalangan yang terbaik sehingga mampu menawan dunia dan menyebarkan agama ke seluruh dunia.

Gerak kerja bersistematik, berkualiti, bermutu dan sebagainya merupakan ciri-ciri umat Islam yang diinginkan oleh syarak.


*Al-Quran

i) Firman Allah Taala[31];


لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا الْحُسْنَى وَزِيَادَةٌ وَلا يَرْهَقُ وُجُوهَهُمْ قَتَرٌ وَلا ذِلَّةٌ أُولَئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Maksudnya: Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. mereka itulah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.


ii) Firman Allah Taala[32];

وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: Dan belanjakanlah (Apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.


iii) Firman Allah Taala[33];

هَلْ جَزَاءُ الإحْسَانِ إِلا الإحْسَانُ

Maksudnya: Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik - melainkan balasan yang baik juga?


iv) Firman Allah Taala[34];

اللَّهُ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الأرْضَ قَرَارًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَصَوَّرَكُمْ فَأَحْسَنَ صُوَرَكُمْ وَرَزَقَكُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ فَتَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: Allah yang menjadikan bumi sebagai tempat penetapan untuk kamu, dan langit sebagai bumbung yang kukuh binaannya; dan ia membentuk kamu lalu memperelokkan rupa kamu, serta dikurniakan kepada kamu dari benda-benda yang baik lagi halal. Yang demikian (kekuasaanNya dan kemurahanNya) ialah Allah Tuhan kamu; maka nyatalah kelebihan dan kemurahan Allah, Tuhan sekalian alam.


v) Firman Allah Taala[35];

الَّذِي أَحْسَنَ كُلَّ شَيْءٍ خَلَقَهُ وَبَدَأَ خَلْقَ الإنْسَانِ مِنْ طِينٍ

Maksudnya: Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah;

Keterangan: Kesemua ayat di atas menerangkan tentang keutamaan melakukan semua perkara dengan sebaik-baik mungkin serta ganjaran kepada golongan tersebut.


*Al-Hadis

i) Sebagaimana Al-Baihaqi[36] meriwayatkan melalui Aisyah;

عَنْ عَائِشَةَg ، أَنّ النَّبِيَّ J قَالَ : إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلا أَنْ يُتْقِنَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah kasih, jika seseorang melakukan sesuatu pekerjaan dia melakukan dengan sebaik-baiknya.

Keterangan: Maksud “itqan” adalah melakukan sesuatu pekerjaan sesempurna mungkin demi manfaat makhluk Allah yang lain, bukan disebabkan upah yang diberi atau selainnya. Melengkapkan pekerjaan berdasarkan hak pekerjaan itu wajib disempurnakan. Ini juga membawa pengertian ikhlas yang diinginkan oleh syarak. Tidak melakukan sesuatu kecuali kerana Allah Taala, melakukan segala pekerjaan dengan penuh amanah dan dedikasi kerana itu merupakan perintah Allah. Mereka yang ikhlas dan benar-benar ingin mendekatkan diri kepada Allah nescaya akan menjalankan segala pekerjaan mengikut piawai yang telah ditetapkan. Setiap individu yang melakukan sesuatu pekerjaan dengan lebih baik, maka ganjaran pahala akan bertambah di sisi Allah[37]

Kesimpulan Perbahasan

1) Halal menternak apa sahaja haiwan yang memberi manfaat kepada manusia.

2) Wajib memberi makan dan minum dengan sempurna kepada binatang yang diternak jika tidak dilepaskan ia untuk mencari makanan sendiri.

3) Menternak mengikut piawai tertentu merupakan tuntutan syarak dan ruh syariat Islam itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan