Halaman

Khamis, 18 Disember 2008

Hukum Tarikat Sufiyyah Bab 2

Adapun tentang syeikh yang menerangkan secara terperinci mengenai pelajaran zikir-zikir kepada para murid; membantu mereka di dalam membersihkan karenah-karenah (perilaku) jiwa dan sifat tercela dan menyembuhkan hati mereka dari penyakit-penyakit , maka dia adalah seorang 'pelayan' atau ustaz yang dapat melihat kaedah mana yang lebih sesuai dengan penyakit hati pada peribadi diri, keadaan tertentu, dengan murid atau penuntut.

Dalil dari Hadith :


Adalah merupakan Sunnah RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam memberikan nasihat kepada setiap manusia tentang apa yang mendekatkan dirinya kepada ALlah subahanahu wa ta'ala sesuai dengan keadaan dan konsep jiwa yang berbeza-beza. Seseorang datang kepada Baginda sallaLLahu 'alaihi wasallam bertanya :

"Wahai rasuluLLah, sampaikanlah kepadaku tentang perkara yang menjauhkan diriku dari kemarahan ALLah subahanahu wa ta'ala." Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam menjawab, "Janganlah marah!" (Hadith riwayat Bukhari, Sohih Bukhari, vol 5, hlmn 2267; dan Tirmidzi, Sunan Tirmidzi, vol 4 hlmn 371)

Seorang lelaki yang lain lagi datang kepada RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam dan berkata :

"Sampaikanlah kepadaku tentang perkara yang aku jadikan pegangan; Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam berkata kepadanya, "Sentiasalah basahkan lidahmu dengan berzikir kepada ALlah subahanahu wa ta'ala."

(Hadith Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, vol 4, hlmn 188; Tirmidzi; Sunan Tirmidzi vol 5m hlmn 485; Ibnu Majah, vol 2, hlmn 1246; Ibnu Hibban. Sohih Ibnu Hibban, vol 3, hlm 96; dan Hakim, al Mustadrak, vol 1, hlmn 672)


Demikian juga, kehidupan para Sahabat radiyaLLahu anhu (semoga ALlah subahanahu wa ta'ala meredhai mereka). Di antara mereka ada yang memperbanyakkan solat malam, ada yang memperbanyakkan membaca al Quran, ada yang memperbanyakkan jihad, ada yang memperbanyakkan zikir dan ada yang memperbanyakkan sedekah.

Ini semua tidak bererti mesti meninggalkan urusan dunia. Ada ibadah tertentu, yang diperbanyakkan oleh orang yang menempuh jalan kepada ALlah subahanahu wa ta'ala. Di atas penjagaan dan dasar itu, kita juga menyaksikan pintu-pintu syurga pun banyak dan bermacam-macam. Akan tetapi, pada akhirnya semua itu hanya tempat masuk yang banyak dan berbeza-beza, sedangkan syruga itu sendiri satu :

Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti:

"Bagi setiap ahli (orang yang menekuni) suatu amal ada pintu dari pintu-pintu syurga yang dinamakan dengan amal tersebut. Dan bagi orang-orang yang berpuasa ada pintunya yang mereka akan dipanggil dari sana. Pintu itu disebut ar Rayyan."

(Hadith Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, vol 2 hlmn 449, Bukhari, Sohih BUkhari, vol 2 hlmn 671; dan Muslim, Sohih Muslim, vol 2 hlm 808. teks hadith daripada riwayat Imam Ahmad RadiyaLLahu anhu)

Demikian juga tarekat-tarekat menjadi banyak dan bermacam-macam pintu-pintu masuk dan kaedah-kaedah sesuai dengan syeikh dan muridnya sendiri. Di antara mereka ada yang lebih mengutamakan dan memperhatikan puasa, dan ada yang mengutamakan al Quran lebih banyak dengan tanpa mengabaikan puasa. Begitulah seterusnya.

Keterangan yang telah dikemukakan di atas menjelaskan tentang tasawuf yang sebenar, tarekat yang sohih, dan syeikh yang teguh dengan syariat dan sunnah. Kita sedia maklum mengenai tarekat itu sendiri ada bermacam-macam jenis tarekat atas beberapa faktor yang mendorong disebabkan oleh bermacam-macam corak pendidikan dan tarbiah serta berbeza-beza kaedah dalam usaha untuk sampai ke arah tujuan. Namun, semuanya adalah dalam satu tujuan, sebab ALLah subahanahu wa ta;ala yang menjadi tujuan semuanya.

Di sini kami tekankan bahawa keterangan tersebut tidak menyesuaikan kebanyakan orang-orang yang menghukum dirinya bertasawuf. Iaitu, mereka yang mengotori wajah tasawuf dari kelompok orang-orang yang tidak ada agama dan tidak memiliki kesolehan; orang-orang yang berjoget-joget (Ada perbahasannya DI SINI))pada acara-acara peringatan dan maulid-maulid dan mereka melakukan perbuatan orang-orang yang jadzab (hilang kesedaran) dan pengamal perkara khurafat. Ini semuanya bukan tasawuf dan sama sekali tidak tergolong daripada tarekat tasawuf.

Sesungguhnya tasawuf yang kami ajak untuk mengikutinya adalah tidak ada hubungannya dengan fenomena-fenomena negatif fan buruk yang dilihat kebanyakan orang. Tidak boleh bagi kita mengenal tasawuf dan menarik kesimpulan tentangnya daripada sebahagian orang-orang yang bodoh (jahil mengenai tasawuf) yang mengaku-ngaku tasawuf. Akan tetapi, semestinya kita bertanya kepada para ulamak yang memberikan pujian terhadap tasawuf sehingga kita mengerti sebab pujian mereka terhadapnya (tasawuf).

Bersambung...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan