Orientalis menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud pakar dalam bahasa, kebudayaan dan lain-lain bangsa Timur. Namun, orientalis secara terminologi biasanya merujuk kepada golongan bukan Islam yang mengkaji mengenai agama dan umat Islam secara khusus, sama ada bagi tujuan ilmu semata-mata atau lazimnya dengan agenda tertentu. Sejak kebangkitan ilmu di Barat, golongan orientalis cukup gigih membuat kajian tentang khazanah ilmu Islam.
Tugas mereka bertambah mudah dengan kerjasama daripada penjajah Barat yang menjajah negara Islam dan membawa pulang sejumlah besar manuskrip ilmuwan Islam ke tanah air mereka.
Menurut Abdullah Muhammad an-Na'imi dalam bukunya al-Istisyraq fi as-Sirah an-Nabawiyyah (1997), jumlah keseluruhan buku dan kajian yang dihasilkan oleh orientalis Barat berkaitan Islam dan kesusasteraan Arab sejak 1811 sehingga 1950 sahaja iaitu sekitar 140 tahun adalah berjumlah kira-kira 60,000 judul.
Jumlah yang amat besar ini meliputi pelbagai bidang ilmu pengajian Islam seperti akidah, tafsir, hadis, fiqah, usul, tasawuf, kalam, sirah nabawiyah, bahasa Arab, sejarah Islam, perbandingan mazhab dan sebagainya.
Hingga muncul dalam kalangan mereka ahli yang dianggap pakar rujuk bagi setiap bidang ilmu berkenaan. Misalnya dalam bidang sirah nabawiyyah terkenal dengan W Montgomery Watt, Carl Brockelmann dan Julius Wellhausen.
Mereka giat mencetak dan menerbitkan manuskrip ulama Islam yang dibawa pulang ke negara mereka. Contohnya, kitab Sahih al-Bukhari pertama kali dicetak di Leiden, Holland antara 1862 hingga 1868 yang diselenggarakan oleh M Ludolf Krehl dan Theodor Juynboll. Kitab Tabaqat Ibn Sa'd yang diselenggarakan oleh Edward Sachau juga dicetak di Leiden antara 1904 hingga 1908 dalam lapan jilid. Kitab Sirah Ibn Hisyam yang diselenggarakan oleh Ferdinand Wüstenfeld pula dicetak di Göttingen, Jerman antara 1858 hingga 1860.
Selain itu, mereka turut giat menterjemahkan pelbagai kitab seperti terjemahan Maghazi al-Waqidi ke bahasa Inggeris oleh Wellhausen yang dicetak di Berlin, Jerman pada 1882 dan terjemahan Sirah Ibn Ishaq ke bahasa Inggeris oleh Alfred Guillaume pada 1955.
Dalam bidang hadis, seorang orientalis terkenal Holland bernama Arent Jan Wensinck (1882-1939). Beliau mengkaji dan meneliti 14 kitab hadis sehingga berjaya menyusun sebuah indeks mengenai tema dan topik yang terdapat dalam hadis Nabi SAW seperti isu hukum, nama individu, nama peristiwa dan nama tempat.
Wensinck mengambil masa sekitar 10 tahun untuk menyiapkannya sehinggalah ia berjaya diterbitkan pada 1927 dengan judul: "a Handbook of Early Muhammadan Tradition." Oleh kerana buku ini amat penting sebagai direktori hadis, ia telah diterjemahkan ke bahasa Arab oleh Muhammad Fuad Abdul Baqi (1882-1968) dengan judul: Miftah Kunuz al-Sunnah serta diterbitkan pada 1934.
Wensinck juga perintis kepada penyusunan kitab al-Mu'jam al-Mufahras li Alfaz al-Hadith al-Nabawi. Kitab ini indeks bagi semua kalimah hadis yang terdapat dalam sembilan kitab hadis iaitu Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan al-Tirmizi, Sunan Abi Dawud, Sunan al-Nasa'i, Sunan Ibn Majah, Sunan al-Darimi, Muwatta' Malik dan Musnad Ahmad.
Idea awal penyusunannya muncul pada 1916, namun gerak kerjanya hanya bermula pada 1922 dan beliau turut mendapat bantuan Muhammad Fuad Abdul Baqi.
Bagaimanapun, Wensinck hanya sempat menerbitkan jilid pertamanya sahaja pada 1936 dan beliau kemudian meninggal dunia pada 1939.
Setelah kematian Wensinck, penyusunan kitab ini diteruskan oleh sekumpulan orientalis lain antaranya Johannes Petrus Mensing, Willem Pieter de Haas, Johannes van Loon, H C Ruyter, C C Berg, Jan Brugman dan G H A Juynboll.
Ia disusun dan diterbitkan oleh mereka sedikit demi sedikit sehinggalah keseluruhan kalimah hadis di dalam sembilan kitab hadis itu berjaya diindekskan mengikut susunan abjad.
Kitab ini diselesaikan pada 1969 dan terdiri daripada tujuh jilid. Untuk menggunakannya pembaca perlu mengenal pasti terlebih dahulu huruf asal atau kata akar bagi sesuatu perkataan kerana kaedah susunannya adalah sama seperti sistem kamus Arab.
Penyusunannya yang memakan masa begitu lama iaitu 47 tahun sudah cukup membuktikan kepada kita betapa tingginya azam dan kesungguhan golongan orientalis dalam mengkaji disiplin ilmu Islam. Jika kita renungi kesanggupan mereka dalam menghabiskan umur dan tenaga demi mempelajari ilmu agama lain, sewajarnya umat Islam adalah lebih berhak untuk berbuat demikian agar mereka tidak jahil dengan ilmu agama sendiri.
Penulis: Dr. Mohd Khafidz Soroni (Ketua Unit Hadis Institut Kajian Hadis Aqidah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor)
Disiarkan pada: 23 Januari 2022, 11:38am
Rujukan: https://www.hmetro.com.my/addin/2022/01/803033/kajian-orientalis-barat-terhadap-disiplin-ilmu-islam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan