Mohon pencerahan mengenai status hadis berikut yang diriwayatkan daripada Ibn Umar, di mana beliau berkata bahawa Rasululullah bersabda :
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ وَأَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ خَرَجَ مِنْ ذُنُوبِهِ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ
Mafhumnya: Barang siapa berpuasa Ramadhan dan mengikutinya dengan puasa 6 hari pada bulan Syawwal, keluarlah dosa-dosanya (sehingga dia menjadi bersih dari dosa) seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya. (Riwayat Imam at-Thabrani)
Ulasan Dr. Mohd Khafidz Soroni (KUIS):
1. Hadis tersebut riwayat at-Thabarani dalam Al-Mujam al-Awsat:
8622 - حدثنا مسعود بن محمد الرملي ثنا عمران بن هارون نا مسلمة بن علي ثنا أبو عبد الله الحمصي عن نافع عن ابن عمر رضي الله عنهما قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "من صام رمضان وأتبعه ستا من شوال خرج من ذنوبه كيوم ولدته أمه". لم يرو هذا الحديث عن نافع إلا أبو عبد الله الحمصي، تفرد به مسلمة بن علي.
2. Terdapat pada sanadnya Maslamah bin ‘Ali. Kata al-Hafiz al-Haithami dalam Majma‘ az-Zawa’id:
“Terdapat pada sanadnya Maslamah bin ‘Ali al-Khusyani, seorang yang daif.”
Namun, kebanyakan ulama jarh wa taadil seperti al-Bukhari, Abu Hatim, Abu Zur’ah, an-Nasa’i, ad-Daraqutni dan lain-lain menilainya sebagai perawi yang amat daif. Justeru, al-Hafiz az-Zahabi dan al-Hafiz Ibn Hajar merumuskan statusnya sebagai matruk (ditinggalkan). Walaupun beliau amat daif, namun tiada ulama jarh wa taadil yang mengecapnya sebagai pendusta atau pemalsu hadis (متهم بالكذب أو بالوضع).
3. Ini hanyalah dari aspek sanad. Manakala dari aspek matan, ia tidak mengandungi perkara yang aneh kerana kelebihan seperti itu juga warid bagi orang yang berpuasa dan berqiyam Ramadan, sebagaimana dalam riwayat Imam Ahmad, an-Nasa'i dan Ibn Majah:
روي عن عبد الرحمن بن عوف رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: "إِنَّ اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى فَرَضَ صِيَامَ رَمَضَانَ عَلَيْكُمْ وَسَنَنْتُ لَكُمْ قِيَامَهُ فَمَنْ صَامَهُ وَقَامَهُ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا خَرَجَ مِنْ ذُنُوبِهِ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ". (رواه أحمد والنسائي وابن ماجه)
Manakala kelebihan hadis di atas adalah bagi orang yang berpuasa Ramadan dan berpuasa 6 hari dalam Syawal. Kelebihan besar seperti itu turut warid bagi amalan yang lebih pendek daripada itu, iaitu bagi orang yang berwuduk dengan sempurna dan bersolat dengan khusyuk, seperti berikut:
عن عقبة بن عامر رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: "ما من مسلم يتوضأ فيسبغ الوضوء، ثم يقوم في صلاته فيعلم ما يقول إلاّ انفتل وهو كيوم ولدته أمه". (رواه الحاكم وقال: صحيح الإسناد)
4. Oleh kerana ia berkaitan fadhail amal sahaja, maka al-Hafiz al-Munziri masih merekodkannya di dalam kitabnya At-Targhib wat Tarhib dengan lafaz tamridh (رُوِي) yang menunjukkan kedaifannya. Penggunaan hadis berkaitan fadhail amal melalui kaedah ‘selagi mana tidak sampai ke tahap palsu’ adalah manhaj ramai ulama hadis seperti Imam al-Baihaqi, al-Hafiz al-Munziri, Imam Ibn as-Solah, Imam an-Nawawi dan lain-lain.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1576936949140272&id=558058371028140
Selain turut menggunakan kaedah ‘memastikan matan hadis tidak mengandungi perkara yang menyalahi usul atau dalil syarak’. Metod ini turut diikuti oleh ramai ulama fiqah dan ulama tasawuf.
5. Manakala yang menolak hadis ini walaupun untuk fadhail amal adalah kerana sanadnya yang amat daif, seiring dengan syarat yang telah ditetapkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dan diikuti oleh ramai ulama hadis selepasnya.
6. Maka, isu di sini adalah isu metod; yang manakah lebih baik? Ya, metod al-Hafiz Ibn Hajar sudah tentu lebih baik dan cermat. Namun, dalam perbahasan ilmiah tiada siapa yang berhak untuk ‘memaksakan’ sesuatu pandangan ke atas orang lain. Sebagaimana kita juga tidak berhak, misalnya untuk memaksa ulama Hanafi dan ulama Maliki menolak kehujahan hadis mursal.
Mengaib atau menyesatkan metod hadis yang tidak kita pilih, bukanlah cara dan adab para alim ulama yang muktabar.
Wallahu a‘lam.
................................
(Penjelasan oleh Dr. Mohd Khafidz Soroni, Ketua Kluster Hadis, Majlis Akademik ISLAMI)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan