Halaman

Sabtu, 16 November 2019

Umur Saidatina Khadijah Ketika Berkahwin Dengan Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam

UMUR SAYYIDATUNA KHADIJAH BINTI KHUWAILID RA KETIKA BERKAHWIN DENGAN NABI SAW


1- Kita bersyukur kerana pada setiap masa terutamanya bulan Maulidur Rasul, masyarakat sentiasa mengambil tahu tentang kehidupan Rasulullah SAW.

2- Di antara maklumat penting berkaitan hidup Baginda Rasulullah SAW adalah tentang para Ummahat al-Mukminin (Ibu-Ibu orang beriman) iaitu para isteri Baginda SAW. Semoga Allah SWT meredhai mereka semua. Gelaran sebagai Ibu-Ibu orang beriman disebutkan di dalam Al-Quran dalam Surah al-Ahzab, ayat 6.

3- Isteri Rasulullah SAW yang pertama ialah Sayyidatuna Khadijah Binti Khuwailid RA. Pelbagai kelebihan dan keutamaan beliau disebutkan di dalam Hadith-Hadith. Kita perlu membaca kisah hidup beliau dan perjuangannya bersama Rasulullah SAW.

4- Sebelum beliau berkahwin dengan Rasulullah SAW, beliau telah berkahwin dua kali dan mempunyai beberapa orang anak.

5- Ada yang membangkitkan persoalan – berapakah umur beliau ketika berkahwin dengan Nabi SAW? Pendapat yang popular dan kita semua sedia maklum adalah beliau berumur 40 tahun ketika berkahwin dengan Nabi SAW.

6- Namun masa ke semasa ada sahaja pihak yang mempertikaikan maklumat ini dengan mengatakan ia tidak benar, tidak sahih, tidak betul dan sebagainya.

7- Apabila kita melihat maklumat tentang perkara ini di sisi para ulama Sirah Nabawiyyah dan juga ilmuan yang mengarang tentang biodata kehidupan Sayyidatuna Khadijah RA sendiri, kita akan dapat bahawa di sana ada beberapa pendapat dalam kalangan ulama iaitu:

8- Ada yang menyebut bahawa umur beliau ketika berkahwin dengan Rasulullah SAW adalah – 40 tahun. Ada juga yang menyebut usia lain seperti: 45 tahun, 44 tahun, 35 tahun, 28 tahun dan 25 tahun. Para ulama menyebutnya sebagai pendapat-pendapat yang wujud padanya perbezaan (khilaf).

9- Begitulah keadaanya pada sebahagian maklumat tentang Sirah Rasulullah SAW. Ada yang disepakati, ada yang diperselisihkan, ada yang masyhur, ada yang tidak diketahui dan ada yang dinafikan ulama.

10- Berkaitan umur Sayyidatuna Khadijah RA ketika berkahwin dengan Rasulullah SAW, kita dapati ulama-ulama sirah menyebutkan beberapa pendapat dalam keadaan terbuka.

11- Sememangnya pendapat ’40 tahun’ juga disebutkan bersama beberapa pendapat lain. Saya cuba membaca kembali sumber-sumber yang popular dan utama tentang sirah dan cuba melihat bagaimanakah ulama menyebut perkara ini. Maka jelas kita dapati:

a) Terdapat ulama yang menyebut pendapat ’40 tahun’ sahaja tanpa menyebut pendapat lain.

b) Ada juga yang menyebut bersama pendapat ’40 tahun’, pendapat-pendapat yg lain juga .

12- Kalau sememangnya ada beberapa pendapat yang disebutkan ulama, maka nyatakanlah dengan harmoni dan tidak saling menyalahkan.

13- Maka janganlah ada pihak yang mengelirukan masyarakat sehingga mengatakan pendapat ’40 tahun’ itu tidak betul atau tidak sahih. Tanya balik diri kita, apakah tujuan dan matlamat seorang ilmuan? Jawapannya untuk menyelesaikan kekeliruan, bukan menambah kekeliruan.

Rujukan:
- كتاب الطبقات الكبير karya Imam Ibn Sa’d RH (wafat 230H )
- دلائل النبوة karya Imam Baihaqi RH (wafat 458H)
- تهذيب الأسماء واللغات karya Imam Nawawi RH (wafat 676H)
- الاستيعاب في معرفة الأصحاب karya Imam Ibn Abd. Barr RH (wafat 458H)
- الإصابة في تمييز الصحابة karya Imam Ibn Hajar al-Asqalani RH (wafat 852H)
- أسد الغابة في معرفة الصحابة karya Imam Ibn al-Athir RH (wafat 630H )
- سير أعلام البنلاء karya Imam Zahabi RH (wafat 748H)
- البداية والنهاية karya Imam Ibnu Kathir RH (wafat 774H)

Adlan Abd Aziz
Tirmidhi Centre

Tiada ulasan:

Catat Ulasan