Halaman

Isnin, 25 Februari 2019

Aqidah al Imam al Syafiey berdasarkan kitab Fath al Bari

Aqidah al Imam al Syafiey berdasarkan kitab Fath al Bari.

Terdapat segelintir manusia menisbahkan kepada al Imam al Syafie dan kepada pengarang-pengarang kitab yang muktabar sesuatu yang mereka tidak pernah menyebut atau menulisnya.

Antaranya adalah, tulisan segelintir yang mengatakan al Imam al Syafie menyebutkan Allah Taala memiliki dua tangan berdasarkan kitab Fath al Bari. Disini saya bawakan teks asal beserta dengan terjemahannya sekali.

وَأخرج ابن أَبِي حَاتِمٍ فِي مَنَاقِبِ الشَّافِعِيِّ عَنْ يُونُسَ بْنِ عَبْدِ الْأَعْلَى سَمِعْتُ الشَّافِعِيَّ يَقُولُ لِلَّهِ أَسْمَاءٌ وَصِفَاتٌ لَا يَسَعُ أَحَدًا رَدُّهَا وَمَنْ خَالَفَ بَعْدَ ثُبُوتِ الْحُجَّةِ عَلَيْهِ فَقَدْ كَفَرَ وَأَمَّا قَبْلَ قِيَامِ الْحُجَّةِ فَإِنَّهُ يُعْذَرُ بِالْجَهْلِ لِأَنَّ عِلْمَ ذَلِكَ لَا يُدْرَكُ بِالْعَقْلِ وَلَا الرُّؤْيَةِ وَالْفِكْرِ فَنُثْبِتُ هَذِهِ الصِّفَاتِ وَنَنْفِي عَنْهُ التَّشْبِيهَ كَمَا نَفَى عَنْ نَفْسِهِ فَقَالَ لَيْسَ كمثله شَيْء وَأَسْنَدَ الْبَيْهَقِيُّ بِسَنَدٍ صَحِيحٍ عَنْ أَحْمَدَ بْنِ أَبِي الْحَوَارِيِّ عَنْ سُفْيَانَ بْنِ عُيَيْنَةَ قَالَ كُلُّ مَا وَصَفَ اللَّهُ بِهِ نَفْسَهُ فِي كِتَابِهِ فَتَفْسِيرُهُ تِلَاوَتُهُ وَالسُّكُوتُ عَنْهُ وَمِنْ طَرِيقِ أَبِي بَكْرٍ الضُّبَعِيِّ قَالَ مَذْهَبُ أَهْلِ السُّنَّةِ فِي قَوْله الرَّحْمَن على الْعَرْش اسْتَوَى قَالَ بِلَا كَيْفٍ وَالْآثَارُ فِيهِ عَنِ السَّلَفِ كَثِيرَةٌ وَهَذِهِ طَرِيقَةُ الشَّافِعِيِّ وَأَحْمَدَ بْنِ حَنْبَلٍ

Telah mengeluarkan oleh Ibn Abi Hatim dalam Manaqib al Syafie, satu riwayat daripada Yunus Bin Abd al A’la, aku telah mendengar bahawa al Imam al Syafie berkata “ Allah Taala itu memiliki nama-nama dan sifat-sifat yang tidak diberi sebarang kelonggaran untuk seseorang itu menolaknya. Maka barang siapa yang menyalahi (menolak sifat dan nama Allah itu) setelah thabit hujjah ke atasnya (kebenaran nama-nama dan sifat-sifat Allah Taala) sesungguhnya dia telah menjadi kufur.

Dan adapun jika sebelum didirikan hujjah ke atasnya maka dikira satu keuzuran (jika menolak nama-nama dan sifat-sifat Allah Taala) dengan sebab kejahilannya itu, kerana pengetahuan berkenaan dengan perkara tersebut tidak boleh dicapai melalui akal, pemerhatian atupun fikiran seseorang. Kita hendaklah menthabitkan sifat-sifat ini, dan menafikan sebarang bentuk tasybih (penyama-rupaan Allah Taala dengan makhluk) sebagimana Allah Taala menafikan (penyama-rupaan tersebut) daripada diriNya. Maka firman Allah Taala: Dan tidak terdapat sesuatu pun yang seumpamaNya.

Dan al Imam al Baihaqi menyandarkan satu riwayat kepada sanad yang soheh, (iaitu) daripada Ahmad Bin Abi al Hawari, daripada al Imam Sufyan Bin ‘Uyainah berkata “Setiap apa yang Allah Taala sifatkan diriNya di dalam al Quran maka tafsirannya adalah sekadar membacanya sahaja, dan diam daripadanya (tidak mentafsirkannya)”. Dan berdasarkan jalan (periwayatan) Abi Bakar al Dhoba’iy berkata “Mazhab Ahl al Sunnah terhadap firman Allah Taala “ al Rahman ( Allah Taala) di atas ArasyNya beristiwa” ianya bermaksud: Istiwak dengan tanpa sebarang kaifiyat, sedangkan athar daripada salaf padanya (tidak menyebutkan kaifiyat ini) terlalu banyak, maka inilah jalan al Imam al Syafi’ey dan al Imam Ahmad Ibn Hanbal”.

Ibn Hajar, Muhammad Bin Ali. (1995M). Fath al Bari Bi Syarh Sahih al Bukhari. Dar al Fikr, Bairut. Jld 15 hlm 365. Kitab al Tauhid

Ustaz Dr. Muhammad Yusry Bin Mazlan
(Pegawai Bahagian Runding Cara Akidah
Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan