Halaman

Ahad, 4 Jun 2017

Hukum Pakai Inhaler Semasa Puasa

PANDUAN HUKUM: HUKUM PAKAI INHALER SEMASA PUASA

Oleh : Ustaz Alyasak bin Berhan

Di antara soalan yang seringkali diajukan setiap kali masuknya bulan Ramadhan adalah berkaitan hukum menggunakan inhaler semasa puasa, adakah ianya membatalkan puasa atau tidak?

Jawapan kami :

Satu-satu inhaler mengandungi 10 ml cecair yang mengandungi ubat. Kuantiti sebanyak ini secara asasnya akan mengeluarkan 200 semburan. Ini bermakna setiap semburan akan keluar sebahagian dari 1 ml. Ini menunjukkan setiap semburan terbentuk kurang dari satu titisan. Satu titis ini pula akan terbahagi kepada beberapa bahagian yang kebanyakannya akan masuk ke alat pernafasan tubuh, dan sebahagian kecil yang lain akan tertinggal di dinding tekak mulut, dan yang selebihnya akan turun ke perut (Mufattirat al-Siyam al-Mu‘asirah hal. 18).

Sehubungan itu, jika kandungan inhaler yang digunakan itu sampai ke rongga seseorang melalui mulut atau hidung sekalipun sedikit, maka ia akan membatalkan puasa. Sebaliknya, jika tidak sampai sesuatu daripadanya ke rongga, maka ia tidak membatalkan puasa.

Dinyatakan oleh Imam Ibn al-Naqib al-Misri :

وضابط المفطر وصول عين وإن قلت من منفذ مفتوح إلى جوف

"Dan dhabit perkara yang membatalkan puasa adalah sampainya sesuatu ‘ain (benda) sekalipun sedikit daripada lubang tubuh yang terbuka ke dalam jauf (rongga)."(‘Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik).

Disebutkan dalam Fath al-Mu‘in :

و يفطر بدخول عين وإن قلت إلى ما يسمى جوفا

"Dan batal (puasa) dengan masuknya sesuatu ‘ain (benda) sekalipun sedikit ke dalam apa yang dinamakan sebagai jauf (rongga)."

Fatwa Kontemporari

Di antara ulama yang pernah memfatwakan bahawa batal puasa seseorang yang menggunakan inhaler ini adalah;

1) Fatwa Dar al-Ifta' Mesir (http://dar-alifta.org/ViewFatwa.aspx…).

- rujuk juga Kitab al-Siyam terbitan Dar al-Ifta' Mesir hal. 85.

2) Fatwa Dar al-Ifta' Jordan
(http://aliftaa.jo/Article.aspx?ArticleId=164).
(http://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=1389#.WSzjAeCwrqA).

- rujuk juga Mukhtasar Ahkam al-Siyam terbitan Dar al-Ifta' Jordan hal. 11.

3) Fatwa Darul Fatwa Australia (http://www.darulfatwa.org.au/…/%D9%85%D8%A7-%D8%AD%D9%83%D…/).

4) Fatawa Syar‘iyyah yang dikeluarkan oleh Bahagian Fatwa dan Penyelidikan, Dairah al-Syuun al-Islamiyyah, Dubai, United Arab Emirates hal. 114/1.

5) Syeikh Omar al-Khatib Singapura (bermazhab Syafi‘i) di dalam buku Panduan Ilmu Fiqh Syeikh Omar al-Khatib hal. 26 Bab Puasa.

6) Syeikh ‘Atiyyah Saqr, mantan ketua Lajnah Fatwa al-Azhar al-Syarif di dalam himpunan fatwa beliau berjudul Ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam hal. 19/2.

7) Dr. Muhammad Jabr al-Alfi al-Misri (bermazhab Syafi‘i) di dalam kitab Mufattirat al-Soim fi Dhau'i al-Mustajiddah al-Tibbiyyah hal. 102.

8) Dr. Fadhl Hasan ‘Abbas (bermazhab Syafi‘i) di dalam kitab al-Tibyan wa al-Ithaf fi Ahkam al-Siyam wa al-Iktikaf hal. 115.

9) Syeikh Muhammad Mukhtar al-Sulami, mantan mufti Tunisia (bermazhab Maliki) sepertimana yang dicatatkan dalam Mufattirat al-Siyam al-Mu‘asirah hal. 15.

10) Dr. Ali Jumaah, mantan mufti Mesir (bermazhab Syafi‘i) di dalam himpunan fatwa beliau berjudul al-Kalim al-Tayyib hlm 109.

11) Habib Omar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz al-Husaini (bermazhab Syafi'i) (http://www.alhabibomar.com/Fatwa.aspx?SectionID=5&RefID=42).

12) Dr. Wahbah al-Zuhaili (bermazhab Syafi'i) sepertimana yang dicatatkan dalam Mufattirat al-Siyam al-Mu‘asirah hal. 15.

13) Syeikh Muhammad Taqi al-Uthmani (bermazhab Hanafi) sepertimana yang dicatatkan dalam Mufattirat al-Siyam al-Mu‘asirah hal. 15.

14. Dr. Ahmad al-Hajji bin Muhammad al-Mahdi bin Ahmad bin Muhammad ‘Assaf al-Kurdi al-Halabi (bermazhab Hanafi) di dalam fatwa beliau no.108 bertarikh 22-11-2005 (https://www.islamic-fatwa.com/fatwa/108).

15) Dr. Zain bin Muhammad bin Husain al-‘Aidarus (bermazhab Syafi'i) di dalam kitab Ithaf al-Anam bi Ahkam al-Siyam hlm 71.

16) Sayyid Muhammad Amin bin Idrus Ba ‘Alawi al-Husaini yang merupakan murid al-Habib Zein bin Ibrahim bin Sumait (bermazhab Syafi‘i) di dalam buku Marhaban Ya Ramadhan hlm 90.

17) Garis Panduan Berpuasa Bagi Pesakit (JAKIM) hlm 7. 

Kesimpulan

Walaupun terdapat khilaf berkaitan hukum penggunaan inhaler semasa puasa ini, namun kami lebih cenderung kepada pendapat yang mengatakan bahawa ia boleh membatalkan puasa kerana kandungan inhaler akan masuk ke dalam rongga melalui mulut. Ia selaras dengan pendapat tokoh-tokoh ulama yang menjadi rujukan ummah masa kini dan juga merupakan keputusan badan-badan yang berautoriti dalam mengeluarkan hukum. Justeru, pendapat ini merupakan pandangan yang lebih cermat.

Sehubungan itu, apabila pesakit terpaksa menggunakan inhaler semasa berpuasa, maka haruslah baginya berbuka dan hendaklah dia mengqadha' puasanya setelah dia sembuh. Namun, jika sakitnya berpanjangan tanpa ada harapan untuk sembuh, maka pesakit tersebut tidak diwajibkan berpuasa. Walau bagaimanapun, dia hendaklah membayar fidyah dengan memberi makan kepada orang fakir atau miskin sebanyak hari yang dia tidak berpuasa itu. Firman Allah Taala:

فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ

"...maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin..."(Surah al-Baqarah 184).
اليسع
Wallahu a'lam.

http://tolibilmi.blogspot.my/2017/06/hukum-pakai-inhaler-semasa-puasa.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan