Halaman

Khamis, 16 Mac 2017

PERGILAH BELAJAR ADAB DAHULU..

Oleh : Ustaz Abdul Rahman ar Raniri


Ramai di kalangan masyarakat yang menganggap apabila mereka telah belajar hadith, maka mereka rasa mereka boleh cakap apa sahaja, mereka boleh kritik siapa sahaja, mereka boleh MENYALAHKAN sesiapa sahaja yang tak sehaluan dengan mereka, hatta imam-imam 4 mazhab sekalipun. Seolah-olah apabila dah ada ilmu hadith, dah boleh buat apa sahaja. Teguran yang lembut langsung tak diterima apatah lagi yang tegas. Mereka berterusan dalam keadaan meninggi diri, rasa lebih mulia daripada ahli ilmu yang dalam bidang lain dan tanpa rasa bersalah mereka berkali-kali merendah-rendahkan ahli ilmu yang lain. Lebih daripada itu, mereka rasa merekalah yang paling layak menjadi murajjih dalam apa jua isu.

Golongan seperti ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah ditipu oleh syaitan dengan hijab pengetahuan hadith mereka (talbis iblis). Oleh sebab itu, akhirnya pengetahuan hadith mereka sendiri pun tak dapat menyelamatkan diri mereka daripada ditipu oleh nafsu dan syaitan. Akhirnya jadilah mereka orang yang tahu hadith, tapi miskin adab dan akhlak.

Abdullah Ibnul Mubarak (181H) berkata:

كاد الأدب يكون ثلثي العلم.

"ADAB hampir-hampir menjadi DUA PERTIGA daripada ilmu".
(Sifah As-Sofwah)

Abdullah Ibnul Mubarak juga berkata: Makhlad Ibn Husein (191H) pernah berkata kepadaku:

نحن إلى كثير من الأدب أحوج منا إلى كثير من الحديث.

"Kita lebih berhajat kepada (belajar) ADAB berbanding berhajat kepada banyak (belajar) hadith".
(Al-Jami' li Akhlaq Al-Rawi).

Ibrahim Ibn Habib Al-Syahid (203H) pernah berkata: bapaku telah berpesan kepadaku:

يا بُني إيت الفقهاء والعلماء , وتعلم منهم وخذ من أدبهم وأخلاقهم وهديهم , فإن ذاك احب إلي لك من كثير من الحديث

"Wahai anakku, pergilah kepada para fuqaha' dan ulama'. Belajarlah daripada mereka dan ambillah daripada mereka ADAB, AKHLAK dan petunjuk mereka kerana sesungguhnya itu LEBIH AKU SUKAI DARIPADA BANYAK (BELAJAR) HADITH".
(Al-Jami' li Akhlaq Al-Rawi).

'Isa Ibn Hamadah berkata: Imam Laith Ibn Sa'd (175H) telah memerhatikan para Ahli Hadith. Beliau mendapati ada 'sesuatu' pada diri mereka. Lalu Imam Laith berkata:

ما هذا ؟؟ أنتم إلى يسير من الأدب أحوج منكم إلى كثير من العلم.

"Apakah ini?? Kamu semua (sebenarnya) lebih berhajat kepada SEDIKIT ADAB berbanding BANYAK ILMU".
(Syaraf Ashab Al-Hadith).

Kata Sufyan Ibn 'Uyainah (198H): 'Ubaidullah Ibnu 'Umar (147H) telah memerhatikan Ahli Hadith. Lalu kata beliau:

شنتم العلم وذهبتم بنوره، لو أدركنا وإياكم عمر بن الحطاب لأوجعنا ضربا.

"Kamu semua telah mencemarkan ilmu dan telah MENGHILANGKAN CAHAYANYA. Kalaulah Sayyiduna 'Umar Ibn Al-Khattab sempat (hidup) bertemu dengan kami dan kamu, pasti beliau akan memukul kita semua".
(Syaraf Ashab Al-Hadith).

Kalaulah Sayyiduna 'Umar ada zaman sekarang ni, tak tahulah macam mana..

نسأل الله السلامة..

Sumber : https://www.facebook.com/abdulrahman.zaujah/posts/1902422913328120

Tiada ulasan:

Catat Ulasan