Halaman

Jumaat, 28 Oktober 2016

Kekuatan di Sebalik Peribadi Sultan al-Fatih






Oleh : Ustaz Mohd Khafidz bin Soroni

Matan Hadith:


أخرج أحمد في المسند (18189) والبخاري في التاريخ الكبير (1760) والحاكم في المستدرك (8300) والبزار والطبراني عن عبدالله بن بشر الغنوي عن أبيه أنه سمع النبي صلى الله عليه وسلم يقول: لتفتحن القسطنطينية فلنعم الأمير أميرها ولنعم الجيش ذلك الجيش .

Terjemahan: "Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya".

Syarah Hadith: Ramai ulama yang berpendapat bahawa pemimpin yang dimaksudkan dalam hadith di atas ialah Sultan Muhammad II bin Sultan Murad II al-'Uthmani yang masyhur dengan gelaran "al-Fatih" (m. 886H).

Beliaulah yang berjaya menakluk kota Constantinople dan mengubahnya menjadi pusat pemerintahan Kerajaan 'Uthmaniyyah yang terkenal dengan nama 'Islambul' (yang bermakna Kota Islam), yang sekarang disebut 'Istanbul', di Turki.

Maka mereka menyebut bahawa ini adalah satu penghormatan kepada Sultan Muhammad al-Fatih di mana Nabi SAW telah mengkhabarkan tentang kemunculannya serta memujinya. Sebenarnya sebelum beliau, atas semangat menjadikan diri masing-masing yang dimaksudkan oleh Nabi SAW itu, ramai pemimpin Islam berusaha untuk menawan kota Costantinople berkenaan.

1. Usaha pertama dilancarkan pada tahun 44H iaitu di zaman Muawiyah bin Abi Sufian RA. Akan tetapi, usaha berkenaan gagal dan Abu Ayyub Al-Ansari yang merupakan salah seorang sahabat Nabi yang menyertainya, syahid di pinggir kota Costantinople berkenaan.

2. Di zaman Sulaiman bin Abdul Malik pula, Khilafah Umayah telah menyediakan pasukan terhandal untuk menawan kembali kota berkenaan pada tahun 98H tetapi masih belum diizinkan oleh Allah SWT. (rujuk Al-'Ibar oleh Ibnu Khaldun 3/70 dan Tarikh Khalifah bin Khayyath ms. 315)

3. Di zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyyah, beberapa usaha diteruskan tetapi masih menemui kegagalan termasuk usaha di zaman Khalifah Harun Ar-Rasyid tahun 190H.

4. Selepas kejatuhan Baghdad tahun 656H, usaha menawan Costantinople diteruskan pula oleh kerajaan-kerajaan kecil di Asia Minor (Anatolia) terutamanya Kerajaan Seljuk. Pemimpin masyhurnya, Alp Arslan (455-465H / 1063-1072M) telah berjaya mengalahkan Maharaja Rum, Dimonos, pada tahun 463H / 1070M.

5. Daulah ‘Uthmaniyyah di awal kurun ke-8H/14M, telah mengadakan persepakatan bersama Seljuk Rum yang ketika itu berpusat di bandar Konya. Di zaman Sultan Yildrim Beyazid (m. 1402M) beliau telah berjaya mengepung kota itu pada tahun 796H/1393M. dan memaksa Maharaja Byzantine menyerahkan Costantinople secara aman kepada umat Islam. Tetapi, usahanya itu menemui kegagalan kerana tentera Mongol di bawah pimpinan Timurlank telah menyerang Daulah ‘Uthmaniyyah dan telah memaksa Sultan Beyazid untuk menarik balik tenteranya bagi mempertahankan negara dari serangan Mongol. Namun, beliau telah ditawan.

6. Kemudian Sultan Murad II (824-863H / 1421-1451M) meneruskan usaha menawan Costantinople, namun tidak berjaya sehinggalah ke zaman anak beliau,

Sultan Muhammad Al-Fatih, sultan ke-7 Daulah ‘Uthmaniyyah.

Peribadi Sultan al-Fatih Sultan Muhammad Al-Fatih menaiki takhta pada tahun 855H/1451M, dan kekuatan beliau banyak terletak pada ketinggian peribadinya.

Ini kerana atas keprihatinan ayahnya, semenjak kecil beliau telah ditarbiah secara intensif oleh para ulama terkenal di zamannya.

Antara gurunya ialah Syeikh Ahmad bin Ismail Al-Kurani (m. 893H), orang yang disebut oleh Sultan al-Fatih sebagai "Abu Hanifah di Zamannya".

Beliau juga mempunyai hubungan yang baik dengan para ulama lain antaranya;

1. seorang syeikh Tariqat Naqsyabandiyyah, al-Mulla 'Abdul Rahman al-Jami (m. 898H),

2. seorang pakar ilmu kalam, al-Qadhi Mustafa bin Yusuf yang masyhur dengan gelaran "Khawajah Zadah" (m. 893H), yang telah menyusun kitab al-Tahafut dengan perintah Sultan al-Fatih, iaitu tentang kajian komparatif antara kitab Tahafut al-Falasifah oleh al-Ghazali dan kitab Tahafut al-Hukama' oleh Ibn Rusyd,

3. seorang alim sufi, Syeikh Muhammad bin Hamzah yang masyhur dengan gelaran "Aq Syamsuddin" Ad-Dimasyqi Ar-Rumi (nasabnya sampai kepada Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA). Yang terakhir di atas, mengajar al-Fatih ilmu-ilmu asas iaitu Al-Qur'an, Hadith, Fiqh, Linguistik (Arab, Parsi dan Turki) dan juga ilmu kemahiran yang lain seperti Matematik, Falak, Sejarah, Ilmu Peperangan dan sebagainya.

Syeikh Aq Syamsuddin telah berfirasat bahawa al-Fatih adalah orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadith pembukaan Costantinople berkenaan, lalu beliau memberikannya sokongan dan meyakinkannya. Apabila beliau menaiki takhta, Sultan Muhammad segera menemuinya lalu menyiapkan bala tentera ke arah penawanan Costantinople, demi merealisasikan hadith Rasulullah SAW berkenaan.

Peperangan yang maha hebat itu memakan masa selama 54 hari. Sultan Muhammad Al-Fatih sangat menyayangi beliau dan mempunyai kedudukan yang istimewa pada diri baginda dan ini sangat jelas dinyatakan oleh beliau ketika pembukaan Istanbul, "...Sesungguhnya kamu semua melihat aku gembira sekali. Kegembiraanku ini bukanlah semata-mata kerana kejayaan kita menawan kota ini, akan tetapi ia adalah kerana hadirnya di sisiku syeikhku yang mulia, dialah pendidikku, Syeikh Aq Syamsuddin."

Sebagaimana yang diketahui, kebanyakan ulama dalam Kerajaan 'Uthmaniyyah adalah bermazhab Maturidiyyah dari segi akidah, bermazhab Hanafi dari segi fiqh dan merupakan ahli tasawuf.

Didikan dan bimbingan yang diterima oleh Sultan Muhammad al-Fatih dari para ulama inilah antara rahsia kekuatan dan kejayaan baginda. Sehingga Nabi SAW memberitakan tentang diri beliau serta memujinya ratusan tahun sebelum kemunculannya.

Fakta ini mungkin menyebabkan kumpulan "tajdid" yang membenci aliran tradisi berasa kurang senang. Maka cara menangkisnya ialah dengan mengatakan bahawa hadith ini adalah da'if! Bagaimana mereka dapat menangkis jika ramai ulama yang menyatakan bahawa ianya sabit dari Rasulullah SAW seperti al-Hakim, Ibn 'Abdil Barr dan lain-lain... lalu dipegang kenyataan mereka sehingga hari kiamat, walau hukum 'palsu' sekalipun yang diberi oleh mereka yang jengkel itu...

Rujukan dan pautan lain:

1. Darul Fatwa.
2. Khaira Ummah.
3. منتدى الحوار
4. روض الرياحين - هنا - هنا

http://sawanih.blogspot.my/2009/12/kekuatan-di-sebalik-peribadi-sultan-al.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan