Halaman

Ahad, 22 Mei 2016

IKUTLAH MAJORITI ULAMAK ISLAM UNTUK MENJAUHI KESESATAN

Kebenaran dan Majoriti dalam Islam: Antara Pegangan dan Amalan





Oleh :
 Ustaz Mohd. Khafidz Soroni (Jabatan Hadith KUIS)

1. Ada setengah pihak mendakwa, 'kebenaran tidak selamanya berada bersama majoriti’. Maka timbul persoalan, adakah ungkapan tersebut benar atau sebaliknya? Apakah ia berbentuk umum atau pun khusus? Bagi membahaskannya, perlu kita pastikan dahulu had batas perbincangannya. Jika ia berkaitan khusus dengan umat Islam sahaja, maka tidak perlu kita membawa dalil-dalil umum yang mencakupi golongan kafir musyrik seperti ayat al-Quran:

وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ

Maksudnya: “Jika engkau (Muhammad) taat kepada majoriti yang berada di dunia, maka mereka akan sesatkan engkau dari jalan Allah” [Al-An'am: 116]. Ayat ini berkaitan masyarakat di zaman Nabi SAW yang majoriti adalah kafir musyrik. Bukan sahaja di zaman Nabi SAW, bahkan di zaman sekarang ini pun umat Islam dengan segala macam ragamnya pun masih bukan majoriti (hanya 23% penduduk dunia). Maka, ayat tersebut tiada kaitan dengan perbincangan ini.

2. Apakah maksud majoriti dalam ungkapan berkenaan, majoriti umat Islam atau majoriti ulama Islam? Perlu juga dipastikan, adakah ia merujuk kepada soal usul dan pegangan atau soal furu’ dan amalan? Jika soal furu’ dan amalan, perbahasannya agak panjang kerana skop cakupannya yang amat luas dan boleh jadi ungkapan tersebut ada benarnya. Namun jika soal usul & pegangan, ungkapan tersebut tidak dapat diterima sama sekali kerana ia mengandungi tuduhan dan penghinaan kepada majoriti para ulama Islam. Seolah-olah mereka gagal dan tidak berjaya mempertahankan kebenaran yang dibawa oleh para sahabat RA dan para salafussoleh. Seolah-olah kebijaksanaan akal mereka secara kolektif dalam menjaga & menekuni ajaran Islam tidak tepat, tersasar & boleh dipertikaikan hingga mereka akhirnya tidak dapat dipercayai lagi. Anggapan ini tidak dapat diterima. ‘Membunuh karakter’ para ulama adalah jarum halus tipu daya syaitan dan musuh Islam.

3. Jika berlaku hilangnya kepercayaan umat kepada majoriti ulama ini, pasti ia suatu malapetaka yang mendukacitakan. Ini kerana al-Quran dan hadis kekal terjaga di atas usaha majoriti mereka. Jika hilangnya kepercayaan umat kepada mereka dan lebih mempercayai al-Quran dan hadis dengan segala tafsirannya yang ada pada kelompok minoriti, nescaya ia fenomena yang sangat berbahaya terhadap umat Islam apabila mereka percaya kelompok minoriti lebih menepati kebenaran berbanding majoriti. Golongan Syiah Rafidhah yang minoriti akan mendakwa kebenaran hanya bersama mereka. Golongan Musyabbihah & Mujassimah yang minoriti akan mendakwa kebenaran hanya bersama mereka. Golongan Muktazilah Moden yang minoriti akan mendakwa kebenaran hanya bersama mereka. Golongan Islam Liberal yang minoriti akan mendakwa kebenaran hanya bersama mereka. Golongan Khawarij Moden yang minoriti akan mendakwa kebenaran hanya bersama mereka. Dan golongan-golongan lain yang minoriti akan mendakwa kebenaran hanya bersama mereka. Demikian kerana dakwaan golongan majoriti ulama Islam tidak berjaya mempertahankan kebenaran yang dibawa oleh para sahabat RA dan para salafussoleh. Sifir sebegini merupakan sifir yang amat bahaya dan malang sekali. Maka, ungkapan 'kebenaran tidak selamanya berada bersama majoriti’ dari segi usul sangatlah bertentangan dengan realiti sejarah ulama Islam. Kefahaman begini pastinya boleh mengakibatkan keruntuhan & kekeliruan yang serius terhadap disiplin ilmu Islam yang sebenar.

4. Di dalam Islam, kebenaran ada bersama perkara-perkara yang telah disepakati oleh para ulama, salaf dan khalaf, mutaqaddimin dan mutaakhirin. Perkara-perkara yang telah disepakati ini adalah yang berpaksikan kpd al-Quran dan al-Sunnah. Termasuk juga ijmak ulama kerana jika tiada kesepakatan ulama pastinya tiada berlaku ijmak. Ini yang dimaksudkan sebagai usul dan pegangan. Perkara ini merupakan perkara yang telah dimaklumi oleh semua dan tiada ulama yg boleh memindanya walau siapa pun dia. Jika ada, maka dia telah menyalahi apa yang telah disepakati (ijmak) dan inilah yg amat dikhuatiri oleh Nabi SAW.

عَنِ ابْنِ عُمَرَ - رضي الله عنهما - قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ - صلى الله عليه وسلم -: " يَدُ اللهِ عَلَى الْجَمَاعَةِ , فَاتَّبِعُوا السَّوَادَ الْأَعْظَمَ، فَإِنَّهُ مَنْ شَذَّ شَذَّ فِي النَّارِ". (رواه الحاكم والترمذي بلفظ: إِنَّ اللَّهَ لاَ يَجْمَعُ أُمَّتِى - أَوْ قَالَ أُمَّةَ مُحَمَّدٍ صلى الله عليه وسلم عَلَى ضَلاَلَةٍ وَيَدُ اللَّهِ مَعَ الْجَمَاعَةِ وَمَنْ شَذَّ شَذَّ إِلَى النَّارِ. وقَالَ: حَدِيثٌ غَرِيبٌ. والحديث حسن لغيره)

Daripada Ibn ‘Umar RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Tangan (pertolongan) Allah di atas al-jama‘ah (ulama Islam). Maka, ikutlah golongan yang terbesar (majoriti). Sesungguhnya sesiapa yang mengasing diri, dia mengasing diri ke neraka”. (HR al-Hakim dan at-Tirmizi dgn lafaz:

“Sesungguhnya Allah tidak akan menghimpunkan umatku atau umat Muhammad SAW di atas kesesatan. Tangan (pertolongan) Allah bersama al-jama‘ah (ulama Islam). Dan sesiapa yang mengasing diri, dia mengasing diri ke neraka”. Hadis hasan li-ghairih).

5. Al-Jama‘ah di dlm hadis2 Nabi SAW membawa beberapa maksud menurut konteks hadisnya, antaranya bermaksud jemaah sembahyang, jemaah ulama dan jemaah umat Islam. Namun, al-Jama‘ah dalam hadis tadi ialah jemaah ulama Islam. Kata Imam at-Tirmizi selepas meriwayatkannya:

وَتَفْسِيرُ الْجَمَاعَةِ عِنْدَ أَهْلِ الْعِلْمِ هُمْ أَهْلُ الْفِقْهِ وَالْعِلْمِ وَالْحَدِيثِ.

"Tafsiran al-jama‘ah menurut ahli ilmu, mereka itu ialah ahli fiqh, ahli ilmu dan ahli hadis”.

6. Asas kebenaran di dalam Islam adalah jelas dan bukan sesuatu yang samar. Daripada an-Nu‘man bin Basyir RA berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Perkara yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas. Namun, antara keduanya ada perkara-perkara yang syubhah (samar) yang tidak diketahui oleh ramai manusia. Maka, sesiapa yang menjauhi diri daripada perkara-perkara yang syubhah itu terpeliharalah agama dan kehormatannya. Manakala, sesiapa yang melakukan perkara-perkara yang syubhah, diibaratkan seperti seorang penggembala yang menggembala haiwan ternakan di tepi kawasan larangan dan berkemungkinan ia akan termasuk ke dalamnya. Ketahuilah, sesungguhnya setiap raja memiliki kawasan larangannya yang tersendiri dan ketahuilah bahawa kawasan larangan Allah itu adalah perkara-perkara yang haram”. (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

7. Kesepakatan ulama terhadap perkara2 kebenaran yang jelas adalah sebahagian daripada keistimewaan dan 'kemaksuman’ umat ini, yang mana Nabi SAW akan berbangga dengan ramainya umat baginda di akhirat kelak. Malah, diriwayatkan bahawa umat baginda SAW akan mencakupi separuh (1/2) daripada penghuni syurga. Antara faktornya ialah kepercayaan mereka terhadap majoriti para ulama yang menjaga agama Islam dan patuh mengikuti ajaran mereka. Merekalah golongan yang sentiasa berada di atas kebenaran. Nabi sallallah alaih wasallam brsabda:

لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق لا يضرهم من خذلهم حتى يأتي أمر الله وهم على ذلك.

Maksudnya: “Sentiasa ada satu kumpulan dari kalangan umatku yang sentiasa zahir di atas kebenaran yang mana orang yang menghina mereka tidak dapat memberi mudarat kepada mereka sehingga datangnya arahan Allah (hari kiamat), namun mereka tetap berkeadaan demikian” [Riwayat Muslim].

 Golongan yang berada di atas kebenaran ini bukan akan muncul, tetapi telah pun sedia dan sentiasa ada sejak dari dahulu. Merekalah golongan ulama yang menjaga kesucian ilmu dan ajaran Islam. Bahkan, dalam setiap satu kurun akan ada tokoh-tokoh yang melakukan tajdid terhadap agama Islam dan harus mereka itu adalah tokoh-tokoh dlm bidang-bidang tertentu yang berasingan. Tokoh-tokoh ini biasanya adalah juga panutan bagi majoriti para ulama Islam yang lain. Justeru itulah tajdid mereka mendapat sambutan yang luas dan diterima dgn baik.

8. Begitu juga maksud hadis suruhan berpegang dengan al-Jamaah apabila umat terpecah menjadi 73 golongan dalam sabda Nabi SAW:

افترقت اليهود على إحدى وسبعين فرقة، وافترقت النصارى على اثنتين وسبعين فرقة، وستفترق هذه الأمة على ثلاث وسبعين فرقة كلها في النار إلا واحدة، قيل: من هي يا رسول الله؟ قال: من كان على مثل ما أنا عليه وأصحابي.
Maksudnya: “Yahudi telah berpecah kepada 71 golongan, dan Nasrani berpecah kepada 72 golongan. Dan umat ini akan berpecah menjadi 73 golongan, semuanya di dalam neraka kecuali satu”. Baginda ditanya: “Siapakah mereka wahai Rasulullah?” Jawab baginda: “Siapa yang berada di atas jalanku dan jalan sahabatku” [Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah. Dalam riwayat lain menyebut: al-Jamaah].

 Amat jelas disebutkan bahawa al-Jamaah ialah golongan yang mengikut jalan Nabi SAW dan jalan para sahabatnya. Golongan ini sentiasa ada di sepanjang zaman dan sejarah telah membuktikan kepada kita keberadaan mereka secara konsisten sebagai majoriti ulama Islam yang dikenal sebagai Ahlus Sunnah wal Jamaah.

9. Setelah zaman salafussoleh, jalan mereka terus berkembang secara lebih sistematik dengan kaedah2 & usul-usul yang teratur menggabungkan aspek naqli dan aqli secara seimbang. Ilmu akidah salafussoleh telah disusun atur dengan baik oleh Imam Abu al-Hasan al-Asy‘ari dan Imam al-Maturidi. Ilmu fiqh salafussoleh telah dicerna dgn baik oleh Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam as-Syafii dan Imam Ahmad serta dikembangkan oleh pengikut (ashab) masing-masing. Ilmu tazkiyah salafussoleh telah dikemaskini oleh Imam Junaid al-Baghdadi dan lain-lain tokoh tazkiyah. Maka, orang yg mengikut mereka bererti telah mengikut usul & pegangan yg disepakati oleh majoriti ulama. Justeru, ungkapan 'al-Jamaah mungkin bukan majoriti di zaman berikutnya’ hanyalah andaian yg tidak berpijak pada realiti jika dilihat dari segi usul & pegangan majoriti ulama Islam.

10. Hadis2 & kalam salafussoleh yg menegaskan bahawa tetaplah berada di atas Islam, jemaah atau sunnah walaupun kita terpaksa berada dalam golongan minoriti amat perlu dilihat pada konteksnya. Sebenarnya, ia lebih berkait dgn soal amalan majoriti umat Islam, bukannya usul & pegangan majoriti ulama Islam. Misalnya, hadis Nabi sallallah alaih wasallam:

بدأ الإسلام غريبا وسيعود كما بدأ غريبا فطوبى للغرباء
Maksudnya: “Islam bermula dalam keadaan asing dan akan kembali menjadi asing seperti ia bermula. Maka beruntunglah bagi mereka yang asing itu” [Riwayat Muslim]. 

Ia merujuk kepada amalan umat Islam di akhir zaman yang ramai tenggelam dalam percaturan, godaan dan kesesatan dunia. Malah, ada hadis yang menyebut mereka seperti buih2 air bah, yakni jumlah yang ramai tetapi lemah kerana sifat cinta dunia dan takut mati. Mungkin ramai umat Islam yang tidak mengikut amalan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW dan para salafussoleh, sedangkan amalan tersebut ada diwarisi oleh majoriti ulama Islam. Justeru, hadis ini bukan bermaksud kesesatan pegangan majoriti ulama Islam, tetapi kemunduran amalan umat Islam.

11. Realiti hidup kita pada hari ini juga jelas menunjukkan ramai umat Islam dari segi amalan tidak mengikut nasihat dan tunjuk ajar ulama 100%. Ini bukan bermakna mereka tidak mengikut usul & pegangan mereka. Dalil yang jelas tentang perbezaan antara pegangan dan amalan ini ialah seperti hadis Nabi SAW:

عَنْ عُقْبَةَ بْنِ عَامِرٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنِّي فَرَطٌ لَكُمْ وَأَنَا شَهِيدٌ عَلَيْكُمْ وَإِنِّي وَاللَّهِ لَأَنْظُرُ إِلَى حَوْضِي الْآنَ وَإِنِّي أُعْطِيتُ مَفَاتِيحَ خَزَائِنِ الْأَرْضِ أَوْ مَفَاتِيحَ الْأَرْضِ وَإِنِّي وَاللَّهِ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ أَنْ تُشْرِكُوا بَعْدِي وَلَكِنْ أَخَافُ عَلَيْكُمْ أَنْ تَنَافَسُوا فِيهَا. (رواه البخاري ومسلم)

Daripada 'Uqbah bin 'Amir bahwa Nabi sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Sesungguhnya aku menunggu kamu sekalian dan aku menjadi saksi ke atas kamu sekalian. Sesungguhnya aku, demi Allah, sedang melihat ke telagaku sekarang ini (yang di pintu syurga) dan sesungguhnya aku telah diberikan kunci-kunci khazanah bumi atau kunci-kunci bumi (dunia). Sesungguhnya aku, demi Allah, aku tidak khuatir kepada kamu sekalian akan mensyirikkan (Allah) selepas peninggalanku. Tetapi, yang aku khuatirkan terhadap kamu sekalian ialah kamu akan berlumba-lumba merebutnya (kekayaan dunia itu)" (HR al-Bukhari dan Muslim). 

Nabi SAW tidak khuatir dengan pegangan umat Islam dlm mentauhidkan Allah, ttp baginda amat khuatir terhadap amalan mereka dlm mengharungi cabaran hidup di dunia.

12. Begitu juga nukilan2 yang berikut ini, perlu difahami dlm acuan sebegitu;

i. Ibn Mas'ud RA (w. 32H) ditanya tentang majoriti yang melewatkan waktu solat dan beliau mengatakan, solatlah di rumah. Lalu, seorang bertanya:

وكيف لنا بالجماعة؟ فقال لي: يا عمرو بن ميمون إن جمهور الجماعة هي التي تفارق الجماعة، إنما الجماعة ما وافق طاعة الله، وإن كنت وحدك".

Maksudnya: Bagaimana dengan al-Jamaah? Kata Ibn Mas'ud: Wahai ‘Amru bin Maimun, sesungguhnya majoriti Jamaah itu yang telah menyalahi al-Jamaah. Sesungguhnya al-Jamaah ialah apa yang menepati ketaatan kepada Allah, walaupun engkau seorang diri”.

ii. Drp. Ibn al-Mubarak (w. 181H):

قَالَ عَلِىَّ بْنَ الْحَسَنِ سَأَلْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ الْمُبَارَكِ مَنِ الْجَمَاعَةُ فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ. قِيلَ لَهُ قَدْ مَاتَ أَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ. قَالَ فُلاَنٌ وَفُلاَنٌ. قِيلَ لَهُ قَدْ مَاتَ فُلاَنٌ وَفُلاَنٌ. فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ الْمُبَارَكِ أَبُو حَمْزَةَ السُّكَّرِىُّ جَمَاعَةٌ. قَالَ الترمذي: وَأَبُو حَمْزَةَ هُوَ مُحَمَّدُ بْنُ مَيْمُونٍ وَكَانَ شَيْخًا صَالِحًا وَإِنَّمَا قَالَ هَذَا فِى حَيَاتِهِ عِنْدَنَا.

Kata ‘Ali bin al-Hasan: Aku bertanya ‘Abdullah bin al-Mubarak: "Siapakah al-jamaah?” Maka jawabnya: "Abu Bakr RA dan Umar RA”. Lalu ada yg membalas: "Abu Bakr dan Umar telah meninggal dunia”. Jawab beliau lagi: "Fulan dan Fulan”. Lalu ada yg membalas: "Fulan dan Fulan juga telah meninggal dunia”. Maka jawab beliau lagi: "Abu Hamzah as-Sukkari adalah al-jamaah!” At-Tirmizi mengulas: Abu Hamzah ialah Muhammad bin Maimun (w. 167H), beliau seorg syeikh yg soleh. Ibn al-Mubarak sekadar mengatakan ini di masa hayat hidupnya menurut kami”.
Kita patut maklumi, ia bukan bermakna semasa hayat Ibn Mas'ud RA atau Ibn al-Mubarak, majoriti ulama Islam (para salaf) tidak berada di atas kebenaran. Tanggapan sebegini adalah salah sama sekali kerana mrk hidup di zaman ramainya para salafussoleh. Pandangan Ibn Mas'ud RA barangkali sama ada jawapan kpd kes tertentu yg jarang berlaku atau hanya fatwa umum yg menunjukkan ketegasan bagi situasi yg belum berlaku. Manakala, pandangan Ibn al-Mubarak jelas merujuk kpd suatu pencapaian khusus.

13. Selain istilah al-Jamaah yang khusus di atas, juga terdapat istilah Ahlus Sunnah yang khusus.

i. Kata al-Hasan al-Basri (w. 110H):

السنة، والذي لا إله إلا هو، بين الغالي والجافي، فاصبروا عليها رحمكم الله؛ فإن أهل السنة كانوا أقل الناس فيما مضى، وهم أقل الناس فيما بقي؛ الذين لم يذهبوا مع أهل الإتراف في إترافهم، ولا مع أهل البدع في بدعهم، وصبروا على سنتهم حتى لقوا ربهم، فكذلك إن شاء الله فكونوا".
Maksudnya: “al-Sunnah - demi Tuhan yang tidak ada tuhan melainkan Dia - ialah antara yang melampau dan sambil lewa. Maka sabarlah ketika berada di atasnya moga Allah merahmati kamu. Sesungguhnya ahli sunnah adalah golongan yang paling sedikit pada waktu dulu dan mereka juga golongan yang paling sedikit pada hari-hari berbaki. Mereka golongan yang tidak pergi bersama golongan yang rosak dalam kerosakan mereka dan tidak juga bersama golongan bidaah bersama bidaah mereka. Dan mereka sabar di atas sunnah mereka sehingga mereka bertemu Tuhan mereka. Justeru seperti itulah jika diizinkan Allah, maka jadilah kamu (tetap di atasnya)”.

ii. Kata Fudhail bin 'Iyadh (w. 187H):

اتَّبع طرُق الهدى، ولا يضرك قِلَّة السالِكين، وإياك وطرُق الضلالة، ولا تغتر بكثرة الهالكين

Maksudnya: “Ikutilah jalan hidayah dan tidak memudaratkan kamu sedikitnya orang yang melaluinya. Hati-hati kamu (jangan ikuti) jalan-jalan kesesatan. Jangan terperdaya dengan ramainya orang yang binasa (dengannya)”.

al-Hasan al-Basri hidup di zaman ramainya salafussoleh, maka sudah tentu istilah Ahlus Sunnah itu adalah istilah tertentu yg khusus, bukannya istilah Ahlus Sunnah yg umum hingga kita fahami mereka sudah sedikit di zamannya (sedang beliau di zaman Salaf!). Ini amat bercanggah dengan fakta dan realiti sejarah. Begitu juga kata2 Fudhail bin 'Iyadh perlu difahami begitu. Apatah lagi kedua-duanya merupakan tokoh yg menjadi rujukan dalam ilmu tasawuf dan ikutan para ahli sufi. Sudah tentu istilah Ahlus Sunnah itu yamg khusus menurut jalan minoriti tertentu, sebagaimana Ahli Suffah adalah minoriti khusus dalam kalangan para sahabat RA.

14. Nukilan-nukilan ini membuktikan bahawa dari sudut amalan, majoriti tidak semestinya benar atau lebih benar. Namun, tidak menunjukkan kesesatan ilmu, usul & pegangan majoriti ulama Islam. Bagaimana boleh sesat atau tidak menepati kebenaran? Walhal keseluruhan khazanah & wacana ilmu majoriti ulama Islam dalam kerangka Ahlus Sunnah wal Jamaah telah wujud dalam ribuan, malah puluhan ribu buah kitab sejak berkurun lamanya dibaca, ditelaah, dipraktis dan diwarisi oleh mereka secara bersanad. Semoga Allah SWT memberi hidayah & mengampuni kita dengan kasih sayang & kelembutan-Nya.



Sumber : https://www.facebook.com/sawanih/photos/a.558069754360335.1073741828.558058371028140/592771087556868/?type=3

1 ulasan: