Halaman

Ahad, 17 Mei 2015

JAWAPAN KEPADA ISU-ISU BERKAITAN KIT ANTI HISTERIA MANARA



Oleh : Dr Mahyuddin Ismail 

Tanpa disangka, pelancaran Kit Anti-Histeria telah mencetuskan ‘histeria’ dalam masyarakat. Pelbagai komen, positif dan negatif, diutarakan dalam pelbagai aspek. Setiap orang ada hak untuk memberikan komen, dan setiap orang bertanggungjawab di hadapan Allah atas apa yang diluahkan.

ISU TEKNOLOGI DALAM PENGHASILAN KIT

Idea untuk menghasilkan kit ini bermula dari kes histeria di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur, Kuantan sekitar tahun 2008. Warga Kuantan pasti tahu betapa haru-birunya keadaan masa itu kerana kes tersebut berlarutan. Kejadian yang serupa turut berlaku di beberapa sekolah di seluruh negara sehingga ke hari ini. Pelbagai kaedah, sama ada yang betul mahupun yang salah, telah digunakan. Menyedari masalah ini, satu penyelesaian perlu dicari.

Pada 2012, kertas cadangan kajian yang memperincikan permasalahan yang dihadapi, telah dibentangkan kepada panel penilai projek penyelidikan UMP. Dengan kesedaran bahawa isu ini memerlukan suatu bentuk penyelesaian yang kreatif, maka Universiti Malaysia Pahang (UMP) meluluskan geran penyelidikan dalaman berjumlah RM 15,000.00. Dengan dana itulah, maka saya menjelajah ke beberapa buah negeri di Malaysia untuk mengutip data di sekolah-sekolah yang pernah mengalami histeria. Itu adalah permulaan proses mengutip data secara rasmi dan tersusun. Selama 10 tahun sebelum itu, saya turut terlibat untuk menangani histeria di sekolah-sekolah, tetapi tanpa catatan terperinci dan tanpa dana dari mana-mana pihak.

Dengan kerjasama Pusat Rawatan al-Manarah, saya diberikan kebenaran untuk memodifikasi kaedah dan pendekatan yang diguna pakai selama 20 tahun bagi merawat individu yang terkena gangguan makhluk halus. Melalui modifikasi ini, kaedah rawatan tersebut ditambah baik dengan penggunaan bahan yang selamat dan mudah-kendali.

Kajian tersebut telah berjaya disiapkan mengikut jadual. Kali pertama ia dibawa kepada pengetahuan umum dalam Malaysian Technology Expo (MTE). Kit ini diletakkan dalam kategori peralatan paramedik. Namun perbezaan pandangan juri yang kurang terdedah dengan dunia alam metafizik telah menyebabkan ia ditolak mentah-mentah. Dari situ, saya menyedari bahawa laluan kit ini pasti berliku.

Dengan panduan Al-Quran dan hadis, saya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa terdapat pelbagai rahsia berkaitan alam metafizik yang mampu kita terokai dengan bantuan peralatan teknologi. Jika selama ini teknologi hanya tertumpu kepada bidang kejuruteraan dan mesin, maka sampai masanya teknologi untuk sesuatu yang bersifat tidak ketara (intangible) perlu diteroka. Revolusi industri yang dipelopori pihak Barat telah meninggalkan kita sejauh 150 tahun ke belakang. Namun, dalam aspek spiritual, peluang masih ada untuk kita menjadi pemandu kepada mereka. Di Jepun, agensi yang mengkaji perkara ini telah wujud seperti Hado Institute Tokyo. Oleh yang demikian, tidak mustahil kit ini menjadi perintis kepada kajian-kajian dalam bidang metafizik yang berasaskan teknologi.

ISU JUAL AGAMA

Apabila isu menjual agama dibangkitkan, saya berpendapat bahawa setiap orang ada hak untuk memberikan komen, dan setiap orang bertanggungjawab di hadapan Allah atas apa yang diluahkan.
Apabila dilantik sebagai pengarah di Pusat Islam UMP, perkara yang berkaitan akidah dan syariat menjadi agenda utama kepada saya untuk diperjuangkan. Salah satu aspek yang diberikan tumpuan ialah aspek perubatan tradisional dan pengubatan Islam yang turut diresapi unsur-unsur yang bersalahan dengan akidah dan syariah. Maka pelbagai usaha untuk menyelamatkan akidah umat Islam dilakukan termasuklah melalui penyelidikan, penulisan, penerbitan, ceramah, bengkel dan hebahan.

Banyak isu dan permasalahan telah diketengahkan sama ada kepada pihak berkuasa mahupun secara personal kepada individu-individu yang bertanya. Mungkin perkara ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengamal perubatan yang terlibat dengan amalan khurafat. Produk ini diperkenalkan dengan matlamat utama untuk membantu menyelamatkan akidah masyarakat. Isu menjual agama tidak timbul dalam hal ini, bahkan produk ini sebenarnya menyelamatkan akidah dan syariat seseorang muslim.

Apabila ada syor agar isu kit ini dibawa kepada Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, maka ia adalah cadangan yang baik kerana ada banyak lagi penyelewengan dan bid'ah dalam perubatan Islam yang perlu diputuskan hukumnya yang terdapat dalam fail simpanan saya.

Menyamakan kit ini dengan kaedah yang digunakan dalam sesetengah agama lain merupakan analogi yang tidak tepat. Perbuatan sedemikian lebih mirip kepada perbuatan pihak gereja di zaman gelap Eropah yang menyekat perkembangan ilmu sains teknologi. Paderi menuduh ianya sebagai amalan bid’ah dan ia adalah cabang ilmu sihir. Jika sikap begini diamalkan oleh agamawan kita, sudah pasti akan membawa kepada kemunduran dan rigid dalam agama Islam. Sepatutnya pihak berkaitan meminta pencerahan (tabayun) tentang isu ini, bukannya meletakkan foto dan membiarkan orang awam meneka tanpa ilmu. Sekiranya betul, maka selamatlah. Jika salah, maka dosa fitnah atas perbuatan tersebut perlu ditanggung.

ISU PERBEZAAN SUDUT PANDANG TERHADAP HISTERIA

Semangat "Berani Berbeza" yang diterapkan kepada warga UMP oleh YH Dato NC kami memberi dorongan kepada saya untuk memandu kajian rentas dalam bidang bersangkutan alam fizikal dengan alam metafizik. Cabaran untuk menemukan titik persetujuan antara kedua-dua bidang ini dalam persekitaran UMP yang berteraskan teknologi memerlukan saya untuk berfikir dengan lebih kreatif. Sikap terbuka pentadbiran UMP dalam mendepani masalah ummah melalui pendekatan teknologi memberikan kekuatan kepada saya.

Kajian tentang histeria dan kit ini adalah suatu sampingan sahaja. Bidang tujahan saya ialah tentang perundangan berkaitan sihir. Saya sendiri mengetuai Jawatankuasa Mengkaji Penggubalan Undang-undang Jenayah Sihir Malaysia yang dianggotai oleh lebih kurang 39 orang ahli panel dari pelbagai bidang. Kajian yang dilakukan oleh jawatankuasa ini merupakan satu bentuk kajian rentas bidang (trans-boundaries) yang mencantumkan beberapa bidang ilmu iaitu undang-undang jenayah, undang-undang acara, undang-undang keterangan, sains forensik, perubatan moden, perubatan tradisional dan ilmu berkaitan mistik dan okultisme. Kesemua bidang ini digabungkan untuk menghasilkan satu kaedah yang praktikal bagi tujuan pembuktian kesalahan melibatkan ilmu sihir.

Kit histeria juga dihasilkan atas dasar yang sama. Saya mengambil kira pelbagai aspek bidang berkaitan dalam usaha untuk menangani kejadian histeria termasuk bidang psikatrik. Oleh yang demikian, apabila pakar psikatrik mengatakan bahawa histeria hanya boleh disembuhkan melalui perubatan psikatrik, maka ia adalah satu kenyataan yang perlu dipertimbangkan. Ilmu Allah itu terlalu luas dan jalan untuk sampai kepada kebenaran itu terlalu banyak.

Saya memberikan penghormatan yang tinggi kepada sumbangan dan pencapaian bidang psikiatri. Ada masa, saya berdepan dengan kes kerasukan yang hanya mampu ditangani oleh pakar psikiatri sahaja, dan ada masa saya berdepan dengan kes histeria yang pakar psikiatri sendiri tidak mampu menghadapinya. Pada hemat saya, ilmu dan kepakaran yang kita miliki ini perlu dipadukan untuk tujuan kebaikan kepada masyarakat, bukan untuk mendabik dada bahawa kita adalah champion dalam bidang itu. Garis panduan pengurusan Histeria oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, saya kira sudah cukup baik kerana banyak aspek psikiatri yang diguna pakai. Namun, ketiadaan intervensi spiritual semasa kejadian histeria merupakan kelompangan yang perlu diisi melalui sikap terbuka terhadap bidang yang kita tidak tahu.

ISU EVIDENCE BASED

Ramai orang mengutarakan bahawa kajian sebegini perlu berpaksikan kepada evidence-based medicine. Saya juga ingin menegaskan bahawa kajian ini adalah berdasarkan real-case scenario. Tinjauan rambang yang saya dilakukan ke atas sekolah-sekolah menengah di Pahang pada tahun 2012 menunjukkan hampir 61% sekolah menengah di Pahang pernah mencatatkan kejadian histeria. Jika saintis menggunakan makmal untuk menjalankan ujikaji, maka makmal saya ialah lokasi histeria itu sendiri. Saya telah menjejakkan kaki selama 11 tahun di lokasi-lokasi histeria. Sepanjang tempoh itu, saya menyiasat dan menganalisi punca berlakunya histeria serta menguji keberkesanan kaedah dan bahan yang digunakan. Kit ini telah diuji pakai dengan jayanya di 11 buah institusi pengajian dan jabatan kerajaan yang mengalami gangguan histeria dan kerasukan pada tahun 2014.

Bagi pengkaji seperti saya yang telah berdepan kes histeria lebih dari 11 tahun, saya menyaksikan impak negatif akibat kejadian histeria terutama mass hysteria. Jika di sekolah, proses pembelajaran terganggu sehingga ada institusi yang terpaksa ditutup sementara waktu bagi memulihkan keadaan. Selain menganggu emosi, ada juga kes histeria dan kerasukan yang menyebabkan kecederaan dan kehilangan nyawa.

Pengalaman menyaksikan kaedah perubatan yang bertentangan dengan akidah dan syariah seperti membuang ancak, menangkap dan memindahkan jin, menggunakan tangkal, menjamu makhluk halus menguatkan tekad untuk saya meneruskan kajian ini.

Justeru, dengan adanya Kit Anti-Histeria Manara akan dapat membantu pihak-pihak berkaitan untuk menangani kes-kes histeria yang berlaku dengan mudah, cepat dan selamat. Ia juga secara tidak langsung dapat menyelamatkan umat Islam dari terjebak amalan khurafat. Justeru, mengatakan produk ini adalah agenda tersembunyi yahudi adalah sesuatu yang tidak logik. Dalam hal ini, pendirian saya tetap sama. Setiap orang ada hak untuk memberikan komen, dan setiap orang bertanggungjawab di hadapan Allah atas apa yang diluahkan.

ISU BERKAITAN DALIL TERHADAP BAHAN YANG DIGUNAKAN

Laporan media menyebutkan bahawa Naib Canselor UMP mengatakan terdapat dalil dari al-Quran dan hadis yang menunjukkan bahawa jin dan syaitan takut kepada garam, lada hitam dan limau nipis. Laporan tersebut ada dua kesilapan. Yang pertama, Naib Canselor tidak pernah menyatakan yang sedemikian. Yang kedua, kami tidak pernah menyebut adanya dalil sedemikian. Yang sebetulnya ialah, melalui pengalaman dan pemerhatian, dan telah dibuktikan dalam banyak kes yang dihadapi bahawa makhluk halus yang meresap dalam tubuh mangsa tidak tahan atau alah dengan bahan yang mempunyai salah satu dari 3 sifat berikut iaitu masam (seperti cuka dan limau nipis), pedas (seperti lada dan lada hitam) dan masin (seperti garam). Memang tidak ada nas yang menyebutkan demikian. Namun dapat dilihat bahawa garam pernah digunakan oleh Rasulullah untuk menghilangkan bisa terkena sengatan kala jengking, maka penggunaannya tidak menjadi sesuatu yang menyalahi akidah dan syariah. Banyak lagi rahsia dan manfaat garam yang kita tidak tahu.

Penggunaan bahan bersifat pedas pula merupakan hasil pemerhatian kami kepada gejala yang dialami oleh mangsa histeria. Dalam beberapa kes yang dirawat, mangsa histeria yang dalam kerasukan meminta hidangan ayam yang dimasak tawar, tidak pedas, sebagai syarat untuk keluar. Selain itu, pengalaman melihat petua orang-orang tua dahulu yang menyemburkan mata orang kerasukan dengan lada hitam. Selain itu, mata manusia adalah antara sasaran utama syaitan untuk menimbulkan khayalan dan rasukan sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam kisah Nabi Musa berdepan dengan ahli sihir Firaun. Maka, pada hemat saya, penggunaan bahan tersebut bukanlah sesuatu yang bertentangan dengan akidah dan syariat terutama apabila mangsa histeria bersifat agresif sehingga mahu terjun dari bangunan tinggi.

Begitu juga penggunaan sesuatu yang masam seperti cuka dan limau nipis. Memang telah diketahui bahawa bahan-bahan ini mempunyai khasiat tertentu. Cuma dalam kit Anti-Histeria ini, cuka getah atau asid formik digunakan untuk kawasan yang dikenal pasti ‘keras’. Dalam kebanyakan kes yang dikaji, mangsa histeria mendakwa melihat istana, mahligai, perkampungan dan lembaga-lembaga yang aneh di kawasan sekolah. Besar kemungkinan kawasan itu menjadi kediaman makhluk halus yang merasuk mangsa. Cara paling mudah untuk menghapuskan penempatan ini ialah dengan menyembur asid formik di persekitaran kawasan tersebut.

Kesemua bahan ini bebas unsur metafizik atau mistik. Ianya boleh digunakan oleh sesiapa sahaja dengan syarat telah menjalani kursus penggunaannya.Penggunaan Kit adalah berdasarkan kepada prinsip ABC iaitu ANALISIS-BERTINDAK-CEGAH.

ISU HARGA KIT ANTI HISTERIA

Antara isu yang menjadi bahan kritikan ialah berkaitan harga. Sememangnya bahan yang terdapat dalam kit ini boleh didapati dengan mudah di pasaran. Jika dinilai harga kos bahan, alat kelengkapan dan pembungkusannya, nilainya mungkin tidak mencecah angka RM1,000.00 pun. Bahkan, sesiapa sahaja boleh mendapatkannya di kedai-kedai atau di dapur-dapur rumah. Namun, melalui pengalaman selama 11 tahun berdepan dengan kes histeria, ia bukanlah semudah membeli sebiji panadol untuk sakit demam. Pelbagai kemungkinan akan kita hadapi.

Sebagai penyelidik yang menjalankan kajian field work secara holistik, menangani histeria bukanlah suatu cerita berbentuk teori dan prinsip semata-mata, tetapi mesti ditangani secara realistik. Setelah mengambil kira aspek persediaan sebelum kejadian, kesan impak setelah kejadian dan risiko yang bakal ditanggung oleh mereka yang terlibat, maka satu implikasi kewangan yang merangkumi segala kemungkinan ini disediakan. Oleh yang demikian, aplikasi kit ini sebenarnya bukan terletak hanya pada bahan, tetapi cara pengendalian yang betul adalah lebih penting. Kepentingan perkara ini telah dikaji dengan sedalamnya bagi mengurangkan kos dan risiko, dan memaksimakan keberkesanannya. Anda pasti terkejut apabila saya katakan bahawa, berdasarkan rekod, ada perawat yang mengenakan bayaran antara RM 5,000 hingga RM 30,000.00 kononnya untuk memindahkan jin dari kawasan tersebut. Apabila kes berulang, mereka berlepas tangan. Sudahlah amalan itu bertentangan dengan ajaran Nabi SAW, kes masih tidak selesai dan duit hangus.

Penjualan kit ini adalah terkawal. Ia hanya akan dijual kepada institusi, bukan kepada individu. Dengan pembelian kit ini, 2 orang kakitangan institusi tersebut akan diberikan kursus dan latihan. Ini bagi memastikan ianya digunakan secara betul dan mengikut prosedur. Segala kos termasuk bahan kursus, logistik, bayaran fasilitator dan makan minum sepanjang kursus telah diserap ke dalam pakej kit.

Kes histeria ini mempunyai pelbagai variasi dan beragam. Oleh kerana kit ini adalah kit pertolongan cemas, maka ianya sesuai digunakan bagi kes-kes yang dalam jangkaan. Sekiranya kes yang dihadapi itu bersifat di luar jangka, maka pakar rawatan dari Al-Manarah akan turun sendiri untuk melihat situasi sebenar sehingga masalah benar-benar selesai. Maka kos perjalanan, masa, tenaga dan kepakaran perawat perlu diambil kira.

Begitu juga sekiranya histeria itu melibatkan kes-kes kronik seperti penyakit genetik atau saka keturunan. Rawatan menggunakan kit anti-histeria adalah tidak memadai. Oleh yang demikian, mangsa dan keluarganya perlu diberikan rawatan secara intensif di pusat rawatan al-Manarah.
Harga pakej ini juga merangkumi kos pengurusan risiko. Ini kerana terdapat bahan-bahan yang berbahaya dalam kit ini seperti asid formik. Maka pengurusan risiko seperti rekod penggunaan dan butiran pengguna perlu disimpan dan ia pasti melibatkan kos. Ianya adalah sebagai langkah berhati-hati sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini. Kami turut menyediakan khidmat nasihat atas talian bagi membantu pihak institusi untuk berdepan dengan kes histeria.

Prinsip dan etika sebagai penyelidik ialah mengkaji suatu masalah dan menyediakan suatu penyelesaian holistik dengan mengambil kira segala sudut dan kemungkinan yang akan berlaku. Penyediaan kit ini bukanlah suatu kerja sehari dua atau sebulan dua. Justeru, jika ada pihak yang mempertikaikan harga, maka itu terpulang kepada persepsi masing-masing.Setiap orang ada hak untuk memberikan komen, dan setiap orang bertanggungjawab di hadapan Allah atas apa yang diluahkan. Mereka juga mempunyai hak dan peluang untuk menyediakan sendiri kit ini tanpa bantuan kami. Cuma, sejauh mana keberkesanannya, terpulang kepada kepakaran masing.

PUNCA KONFLIK

Antara punca isu ini digembar gemburkan ialah tajuk yang disensasikanoleh media iaitu ‘penunduk setan’ dan ‘penghalau makhluk halus’. Sebagai penyelidik, kami mengelakkan dari menggunakan perkataan-perkataan yang bersifat demikian. Apa yang ditekankan ialah Kit Anti Histeria. Tetapi media menggunakan istilah yang lebih provokatif. Media tidak bersalah kerana itu adalah antara resepi untuk menarik perhatian pembaca. Apa yang ingin saya tekankan ialah, kit ini bukan kit penunduk setan atau penghalau makhluk halus, tetapi adalah kit bantuan untuk mengatasi masalah histeria.

Pada 15 Mei 2014, saya berkesempatan membentangkan kertas kerja berkaitan masalah rasukan bersama Profesor Dr. Mohamad Hatta Shaharom, pakar psikiatri di Cyberjaya University College of Medical Sciences yang juga Timbalan Presiden, Pertubuhan IKRAM Malaysia. Beliau mengingatkan bahawa saya akan berdepan dengan dua golongan yang mempertikaikan kajian yang saya lakukan. Satu pihak iaitu pengamal perubatan klinikal yang sekular dan tidak menghiraukan aspek religio-spiritual dan menolak amalan-amalan kerohanian seperti doa dan munajat. Satu pihak lagi ialah pengamal perubatan spiritual yang hanya menekankan aspek kerohanian sahaja tanpa mengambil kira aspek biologikal, psikologikal dan sosial.

Pada pendapat saya, boleh jadi ‘histeria terhadap kit anti-histeria’ yang muncul ini ada kemungkinan dicetuskan oleh golongan yang sukar menerima teknologi dalam perubatan spiritual lalu merebak menjadi epidemik dan berjangkit kepada orang awam yang tidak bersalah sehingga ada yang menjerit dan meracau dalam media sosial. Bagi saya, setiap orang ada hak untuk memberikan komen, dan setiap orang bertanggungjawab di hadapan Allah atas apa yang diluahkan.

PERKEMBANGAN POSITIF

Di sebalik kontroversi kit histeria ini, ada juga maklum balas dan respon positif terutama dari mereka yang hadir mendengar pembentangan saya dan Tuan Guru Dr Haji Jahid Sidek semasa sesi pelancarannya. Ada yang menyatakan bahawa usaha ini suatu yang bagus dan boleh membantu mereka untuk berdepan dengan kes histeria. Beberapa agensi kerajaan dan swasta serta NGO berminat untuk mengadakan sesi penerangan kaedah mengatasi histeria dan mengadakan penyelidikan bersama dalam bidang paranormal secara lebih saintifik. Insya Allah, kajian dalam bidang ini akan diteruskan. Sebenarnya, ada banyak lagi produk seumpama ini yang akan dilancarkan dan didedahkan kepada umum.

Ketika melakukan kajian tentang undang-undang sihir, situasi yang sama turut berlaku. Orang yang tidak tahu menahu tentang undang-undang lebih banyak memberi komen berbanding pengamal undang-undang. Tetapi apabila kajian tersebut siap dan dibentangkan kepada jawatankuasa teknikal undang-undang syarak dan sivil JAKIM, maka ia bukanlah suatu yang mustahil. Malah pihak media turut menunjukkan minat terhadap isu ini.

Tentang cadangan agar penyelidik dianugerahkan Nobel Prize, ianya suatu cadangan yang baik walaupun berbentuk sinikal. Setiap orang ada hak untuk memberikan komen, dan setiap orang bertanggungjawab di hadapan Allah atas apa yang diluahkan. Jauh di lubuk hati saya, mendapat kurniaan Allah dalam bentuk ilmu untuk dimanafaatkan bagi kesejahteraan insan itu adalah suatu anugerah yang lebih bernilai dari mana-mana anugerah.

Sekian sahaja. Mohon maaf kerana Kit Anti-Histeria ini, anda terkena ‘histeria’.

Dr Mahyuddin Ismail
4 Mei 2015.

Sumber : https://www.facebook.com/mahyuddin.ismail.3/posts/1127801367245607?fref=nf&pnref=story

Tiada ulasan:

Catat Ulasan