Halaman

Ahad, 3 Mei 2015

Hukum Menulis Ayat al Quran, Hadith, Zikir Dalam Tulisan Roman atau Rumi

Adakah kita dibenarkan untuk menulis ayat al-Quran, hadith dan zikir dalam tulisan rumi? Mohon penjelasan .

PENJELASAN:

Firman Allah SWT dalam surah Fussilat ayat 3, yang bermaksud,

"Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya."

Para ulama sepakat mengatakan bahawa tidak dibenarkan menulis ayat al-Quran dalam tulisan selain tulisan Arab mushaf Uthmani. Imam Ibnu Hajar al-Haytami menjelaskan dalam kitab Fatwanya, para ulama sepakat melarang menulis ayat al-Quran dalam tulisan selain tulisan Arab walaupun dengan tujuan untuk mengajar. Dakwaan yang mengatakan jika ditulis ayat al-Quran menggunakan tulisan yang difahami oleh sesuatu masyarakat memudahkan mereka untuk belajar al-Quran, dakwaan itu adalah sesuatu pembohongan dan tidak mengikut amalan umat Islam terdahulu.

al-Zurqani menjelaskan dalam kitabnya 'Manahil al-'irfan', para ulama melarang menulis ayat al-Quran menggunakan tulisan selaian tulisan Arab kerana ia membuka ruang yang luas kepada penyelewengan dan perubahan makna. Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Lujnah Fatwa al-Azhar, berkaitan menulis ayat al-Quran menggunakan tulisan rumi: Dilarang menulis ayat al-Quran menggunakan tulisan rumi, walaupun dikatakan ia boleh menyamai dengan konsep tulisan Arab (iaitu menggunakan transliterasi), kerana apabila menulis ayat al-Quran menggunakan tulisan rumi sudah pasti akan berlaku perubahan cara bacaan dan makna. Wajib menjaga al-Quran daripada sebarang bentuk perubahan atau penyelewengan.

Fatwa di Malaysia turut menjelaskan bahawa haram menulis ayat al-Quran menggunakan tulisan rumi. Muzakatah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-24 bersidang pada 5 dan 6 Jun 1989 bersamaan 2 dan 3 Zulkaedah 1409 telah mengambil keputusan bahawa: 'Adalah haram ditulis atau digunakan mana-mana bahagian daripada al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf Arab atau bukan sistem tulisan al-Quran. Memandangkan keadaan yang ada dalam masyarakat Islam di Malaysia, maka Muzakarah menasihatkan bahawa pelaksanaan fatwa ini hendaklah dijalankan secara berperingkat-peringkat dengan tidak menyusahkan mana-mana pihak.'

Manakala menulis hadis, doa, atau zikir bahasa Arab dalam tulisan rumi, jika bertujuan untuk pembelajaran, maka ia dibenarkan, selagi mana ia tidak mengubah makna hadis, doa, atau zikir tersebut. Ia hanya untuk pembelajaran awal bagi golongan yang masih belum boleh membaca tulisan bahasa Arab. Namun, setelah boleh membaca dalam tulisan Arab, maka hendaklah membacanya dalam tulisan Arab. Ini bagi memastikan hadis, doa, atau zikir itu dibaca dengan betul.

Wallahua'lam


Sumber  :e-fatwa gov

Tiada ulasan:

Catat Ulasan