Halaman

Rabu, 11 Februari 2015

DALIL OH DALIL




Dalil Oh Dalil






Oleh : Ustaz Abu Zahrah 

Beletiaq sikit …..

Dia antara kecenderungan orang sekarang adalah apabila diberikan hukum pada sesuatu masalah maka mereka akan bertanya “ada dalilnya?” atau “mana dalilnya”. Pertanyaan sebegini seolah-oleh mereka dari kalangan orang yang ahli di dalam bidang istinbath (mengeluarkan hukum dari al-Qur’an dan hadits). Apakah kita mampu memahami teks al-Qur’an atau hadits seperti para fuqaha memahaminya?

Dibawah ini sekadar satu contoh bagaimana kefaqihan ulama dalam memahami teks hadits yang mungkin pada kita biasa-biasa sahaja.



عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْخُلُ عَلَيْنَا، وَلِي أَخٌ صَغِيرٌ يُكْنَى أَبَا عُمَيْرٍ، وَكَانَ لَهُ نُغَرٌ يَلْعَبُ بِهِ، فَمَاتَ، فَدَخَلَ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ فَرَآهُ حَزِينًا، فَقَالَ: مَا شَأْنُهُ؟ قَالُوا: مَاتَ نُغَرُهُ. فَقَالَ: يَا أَبَا عُمَيْرٍ، مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ؟ رواه البخاري ومسلم وأبو داود والترمذي وابن ماجه واللفظ لأبي داود.
Daripada Sayyidina Anas bin Malik رضي الله عنه katanya: Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم sering menjenguk kami, dan aku mempunyai seorang adik lelaki kecil yang dipanggil Abu ‘Umair. Dia mempunyai seekor burung kecil dan selalu bermain dengannya. Suatu ketika burung itu mati. Maka suatu hari Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم menjenguknya dan melihatnya sedang bersedih. Lalu baginda bertanya: Apa hal dengannya? Orang-orang menjawab: Burung kecilnya telah mati. Lantas baginda bertanya kepadanya: Wahai Abu ‘Umair, apa yang dibuat oleh si-burung kecil? (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan Ibn Majah. Dan lafaz ini adalah bagi Abu Daud)

Mai kita tengok bagaimana ulama berinteraksi dengan hadits ini.

Menurut Syeikh ‘Abdul Fattah Abu Ghuddah, ada ulama yang telah mensyarahkan hadis ini di dalam sebuah karya khusus, dan telah mengeluarkan daripadanya lebih dari 60 faedah dan pengajaran. Beliau ialah Abu al-‘Abbas Ahmad Ibn al-Qas al-Tabari al-Syafi’i (Fath al-Bari, 10/481). Ada pula yang telah mengeluarkan daripadanya lebih dari 300 faedah (al-Taratib al-Idariyyah oleh ’Abd al-Hayy al-Kattani, 2/150). Dikatakan, Ibn al-Sabbagh telah membawakan di dalam sebuah majlis pengajiannya di Miknasah, Maghrib, sebanyak 400 faedah daripada hadis ini! (Nafh al-Tayyib oleh al-Maqqari, 6/215). Allah… Allah…

Agak-agak sejauh manakah kefahaman kita bila membaca hadits ini?

Ini 1 lagi contoh bagaimana ulama memahami teks ‘arab.

Di dalam kitab al-Asybah wa an-Nazooir fil Lughah (sebuah kitab karya Imam as-Sayuthi yang sama namanya pada awalnya dengan sebuah lagi karya beliau iaitu al-Asybah wa an-Nazooir fi Qawaid waFuruu’ fiqh asy-Syafi’iyyah). Imam as-Sayuthi menceritakan pengajian beliau dengan gurunya iaitu al-‘Allamah Mahyuddin al-Kafiyaji (Imam as-Sayuthi berguru selama 14 tahun daripada Syeikh al-Kafiyaji yang sangat ‘alim di dalam ilmu lughah dan mantiq).

“Pada suatu hari gurunya berkata: "Engkau ‘irablah ayat 'Zaidun Qoo iimun'." Aku berkata. "Wahai Syeikh, tuan buat kami seperti dikedudukan kanak-kanak, tuan hanya bertanya berkenaan hal ini sahaja?" Syeikhku menjawab: "Pada ayat "Zaidun Qoo iimun" terdapat 113 perbahasan".

Maka Imam as-Sayuthi merasa takjub dengan jawapan Syeikhnya itu lalu beliau tidak berdiri melainkan terus mencapai kitab-kitab beliau untuk mencatit setiap satu perbahasan tersebut, bermula daripada perbahasan ilmu nahwu sehingga hampir kepada perbahasan falsafah dan mantik.

Maka ukurlah diri kita? Sejauhmana penguasaan bahasa ‘arab kita dan sedalam manakah pemahaman kita di dalam teks hadits. Untuk memahami al-Qur’an dan hadits musti menguasai ilmu nahwu, shorof, balaghah, lughah dsb dengan baik. Tidak memada dengan baca buku-buku terjemahan saja.

Saya setuju dengan kenyataan Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi seperti dibawah ini:.


"Sesungguhnya ramai di kalangan golongan muda pada zaman sekarang yang hanya membaca beberapa kitab terutamanya di dalam ilmu hadits. Lantas merasakan mereka sudah pakar di dalam ilmu padahal mereka belum pun mengecapi permulaannya. Mendakwa mereka mampu berijtihad di dalam urusan agama, di dalam masa yang sama ilmu Bahasa ‘Arab serta komponen-komponennya serta nawhu dan shoraf tunggang langgang. Seandainya anda menyoal mereka supaya ‘irab sebaris ayat, mereka tidak mampu menjawabnya dengan baik. Mereka juga tidak mempelajari usul fiqh. Hanya meneka-neka sebarang dugaan kononnya mengetahui akan sebarang permasalahan. Hal ini menyebabkan mereka tidak mahir dengan ilmu fiqh apatah lagi untuk menyelami lautan perbahasan yang luas yang akan menjadikan mereka lebih mahir dan berkemampuan untuk memahami dengan baik. Sesungguhnya mereka ini sepertimana kata Imam Zahabi: “Teringin untuk terbang tetapi tiada bulu." (Kitab: al-Sahwah al-Islamiyyah Min al-Murahaqah Ila al-Rusyd).

abu zahrah abdullah thohir
taman seri gombak
rabu, 14 rabi’us tsani 1436/4 feb 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan