Halaman

Isnin, 6 Januari 2014

Benarkah Qasidah al Burdah Berkait Dengan Syiah ?




ISU:

Sejauh Mana Qasidah Al-Burdah Berkait Dengan Shiah?

PENJELASAN:

Qasidah al-Burdah ditulis oleh Imam al-Busiri, ulama besar yang juga seorang tokoh sufi abad ke-7 hijrah/ke-13 Masihi. Qasidah ini merupakan qasidah yang masyhur. Ia bukan berasal dari Shi’ah kerana ia ditulis oleh ulama Sunni. Tiada dalam biografinya yang mengaitkan beliau dengan Shi’ah. Sementara memuji Rasulullah s.a.w. dalam selawat dan qasidah bukan bermakna seseorang itu pengikut Shi’ah.

Menurut sejarawan Islam al-Maqrizi, Imam al-Busiri berasal dari Afrika Utara dari sebuah kabilah bernama Abnun di Maghribi. Beliau hidup di bawah pemerintahan Mamluk dan menguasai banyak bidang ilmu Islam. Beliau merupakan pengikut tariqat sufi Shaziliyah di bawah bimbingan gurunya Shaykh Abu al-Abbas al-Mursi. Penulis kitab Hikam, Ibn ‘Ataillah al-Sakandari juga merupakan salah seorang anak murid kepada Abu al-Abbas al-Mursi.

Qasidah al-Burdah secara dasarnya merupakan pujian kepada Rasulullah s.a.w. Isinya bersifat syair yang sebahagian besarnya menggunakan kiasan (majaz) dan metafora yang bertujuan menekankan lagi sifat kasih sayang terhadap Rasulullah s.a.w. Beberapa ayat dalam qasidah al-Burdah yang dianggap kontroversi harus difahami dalam konteks tersebut.

Memuji Rasulullah s.a.w. dan menggagungkan Baginda adalah sesuatu yang dituntut selagi mana tidak menyifatkan baginda Rasulullah s.a.w. dengan sifat ketuhanan dan seseorang itu jelas dalam tauhidnya tentang beza antara Allah Ta’ala dan RasulNya.

Wallahu a’lam.

Sumber : FATWA MALAYSIA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan