Halaman

Ahad, 1 Julai 2012

Taklid dan Ijtihad Dalam Mengamalkan al-Quran dan Sunnah Menurut Imam al-Sya‘rani

Oleh : Ustaz Mohd Khafidz bin Soroni 


Kata Imam Syeikh ‘Abd al-Wahhab al-Sya‘rani [w. 973H] dalam kitabLawaqih al-Anwar (
لواقح الأنوار القدسية في العهود المحمدية):

“Telah termetri ke atas kita perjanjian am daripada Rasulullah SAW supaya kita tidak mengamal agama dengan melakukan sesuatu bidaah yang dikeji yang tidak disaksikan oleh zahir al-Quran mahupun sunnah. Dan supaya kita menjauhi beramal dengan segala pendapat yang tidak jelas kepada kita keselarasannya dengan al-Quran dan sunnah, kecuali jika ia telah diijmakkan.

Orang yang ingin beramal dengan perjanjian ini perlu kepada keluasan ilmu dalam mengenal hadis-hadis dan juga athar-athar, serta perlu mencakupi kesemua dalil mazhab-mazhab yang telah pupus mahupun yang sedia diamalkan, hinggakan hampir-hampir tidak terluput dari pengetahuannya daripada dalil-dalil tersebut melainkan hanya sedikit sahaja. Mudah-mudahan ia dapat keluar dari bertaklid di dalam kebanyakan hukum-hakam. Adapun orang yang tidak sampai ke peringkat tersebut, maka wajib baginya bertaklid kepada satu mazhab tertentu, jika tidak ia akan terjerumus ke dalam kesesatan.

Sayyidi ‘Ali al-Khawwas (رحمه الله تعالى) merupakan seorang yang tahu melalui jalan kasyaf, akan setiap masalah mempunyai dalilnya daripada kata-kata syarak. Kata beliau: “Seorang lelaki di sisi kami tidak akan mencapai makam sempurna sehinggalah ia mengetahui secara yakin mana yang merupakan kalam syarak, mana yang merupakan kalam sahabat, mana yang daripada qiyas, dan mana yang merupakan pendapat yang terkeluar dari keselarasannya dengan apa yang telah kami sebutkan tadi”.

Kata Sayyidi ‘Ali al-Khawwas lagi: “Orang yang ingin terikat dalam beramal dengan al-Quran dan sunnah serta menjauhi beramal dengan pendapat akal perlu kepada keluasan ilmu dalam bidang ilmu tatabahasa Arab, ilmu ma‘ani dan bayan. Dan ia perlu juga kepada keluasan ilmu dalam bahasa kaum Arab sehingga ia dapat mengetahui kedudukan cara-cara beristinbat, serta mengetahui kata-kata orang Arab, majaz dan isti‘arahnya. Juga ia mengetahui dalil-dalil mana yang boleh menerima takwil dan mana yang tidak boleh menerimanya”.

Kata Imam al-Sya‘rani lagi:

“Allah Taala telah menganugerahkan kepadaku kemampuan menelaah dalil-dalil mazhab imam yang empat dan juga mazhab-mazhab lain. Dan aku tahu sandaran pendapat-pendapat mereka di dalam kesemua bab-bab fiqh. Tiada satu pendapat pun daripada pendapat-pendapat mereka melainkan aku lihat ianya bersandar kepada dalil, sama ada kepada ayat al-Quran, hadis, athar, ataupun qiyas yang sahih di atas asal yang sahih. Mazhab-mazhab imam yang empat itu, dengan segala pujian bagi Allah, sekarang di sisiku menjadi seolah-olah telah ditenun daripada syariat yang suci murni, dari segi panjang dan lebarnya, sebagaimana mengetahui demikian sesiapa yang telah menelaah kitabku: (مختصر السنن الكبرى للإمام البيهقي).

Setiap orang yang tidak menelaah dalil mazhab-mazhab sebagaimana yang telah kami sebutkan tadi, maka ia tidak akan tahu membezakan masalah-masalah pendapat akal daripada nas. Boleh jadi ia akan terjerumus kepada akidah-akidah yang sesat dan beramal dengan mazhab-mazhab yang batil, melainkan jika ia benar-benar terikat dengan satu mazhab yang muktabar. Imam Abu Qasim al-Junaid (رحمه الله) berkata: “Seseorang lelaki tidak akan sempurna di sisi kami pada jalan Allah ‘azza wajalla sehinggalah ia menjadi imam di dalam bidang fiqh, hadis dan tasawuf, serta mentahkikkan ilmu-ilmu ini kepada ahlinya”.

Maka ketahuilah, bahawa tidak sewajarnya sesiapa yang mendakwa berilmu dengan syariat itu hanya sekadar memadai dengan apa yang difahami olehnya daripada syariat tersebut tanpa berguru, sepertimana yang telah terjadi kepada sesetengah ahli zaman kita ini. Di mana beliau hanya dengan semata-mata sudah memahami terus menyibukkan diri dengan menulis dan mengarang serta meninggalkan berguru kepada alim ulama. Akhirnya, jadilah ia berada di satu pihak dan para alim ulama berada di satu pihak yang lain. Dan jauhlah ia dari mengenal pendapat yang rajih di sisi alim ulama di zamannya, di mana pendapat mereka semua menyalahi pendapatnya. Lalu tiada seorang pun yang mengambil manfaat dari ilmunya. Sekiranya ia bersabar dalam berguru kepada syeikh-syeikh sehingga mereka mengizinkannya berfatwa dan mengajar, nescaya mereka semua akan memuji dirinya, dan manusia pula akan bertumpu kepadanya selepas ketiadaan syeikh-syeikhnya nanti. Maka ketahuilah yang demikian itu”.

Kata Imam al-Sya‘rani lagi:

“Aku dengar syeikh kami, Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari (رحمه الله) [w. 926H] berkata: Begitu jarang sekali terhimpun pada diri seseorang dalam sesuatu zaman itu ilmu fiqh, hadis dan tasawuf. Kata beliau lagi: Tidak sampai kepada kami berita bahawa ia ada terhimpun pada diri seseorang selepas al-Tibi, pengarang kitab (حاشية الكشاف) [w. 743H], sehinggalah ke waktu kita ini. Dan barangsiapa yang terhimpun padanya ketiga-tiga ilmu ini, maka dialah yang layak digelar sebagai Syeikh Ahlis Sunnah wal Jamaah di zamannya, dan sesiapa yang tidak menggelarkannya demikian, maka ia telah menzaliminya”.

*Catatan:

Meskipun Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari tidak melihat ulama yang menguasai kombinasi fiqh, hadis dan tasawuf di zamannya, namun ada beberapa orang di zamannya dan yang muncul selepasnya yang menghimpunkan ketiga-tiga ilmu berkenaan, seperti al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti [w. 911H], Syeikh ‘Abd al-Wahhab al-Sya‘rani sendiri, Syeikh Ibn Hajar al-Haytami [w. 974H] dan Syeikh ‘Abd al-Ra’uf al-Munawi [w. 1031H]. Kemudian tidak ramai ulama seumpama mereka yang muncul sesudah itu sehinggalah abad ke-14 H, di mana munculnya keluarga-keluarga yang hebat, seperti keluarga Ibn al-Siddiq al-Ghumari dan keluarga al-Kattani di Morocco, serta keluarga al-Kandahlawi di India.

Sumber : http://sawanih.blogspot.com/2012/06/kata-imam-syeikh-abd-al-wahhab-al.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan