Halaman

Ahad, 20 Mei 2012

Bertudung: Fesyen Lawan Syari‘at Bab Akhir




Bertudung: Fesyen lawan Syari‘at

(Bahagian Akhir)

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

iii.Tidak memakai cemara atau sanggul yang tinggi

Terdapat segelintir wanita yang bertudung dengan memakai sanggul palsu. Tujuannya agar kelihatan lebih cantik berbanding tidak memakainya.

Perlu diketahui bahawa memakai sanggul yang terlalu menonjol merupakan antara perkara  yang dilarang melakukannya. Larangan tersebut sangat keras sehingga dinyatkan bahawa seorang wanita yang melakukannnya tidak akan masuk syurga hatta menghidu bau syurga. Padahal bau syurga itu boleh dihidu dari jarak yang sangat jauh. Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam menyatakan perkara tersebut dalam sabda Baginda:

Maksudnya:  “Ada dua golongan ahli  neraka yang belum pernah aku (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) melihatnya, iaitu; kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita–wanita yang berpakaian  tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang (pakaian  tiada menutup aurat  kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama), yang berjalan melagak menggoyangkan bahu, kepala mereka seperti bonggol unta yang condong. Mereka tidak boleh masuk syurga, bahkan tidak boleh menghidu baunya, padahal bau syurga itu sebenarnya dapat dihidu dari jarak sekian, sekian (yang cukup jauh).” (Hadits riwayat Muslim)

Memakai cemara itu termasuk  memakai rambut tambahan, samada daripada rambut lain atau bukan daripada rambut seperti nilon atau lain-lain yang  digunakan untuk membesarkan sanggul.

Selain larangan memakai cemara, menyambung rambut juga termasuk perkara yang dilarang meskipun lengkap memakai tudung. Memakai rambut tambahan atau menyambung rambut dihukumkan haram bagi perempuan dan juga lelaki.

Allah  Subhanahu wa Ta‘ala melaknat orang yang memakai rambut tambahan sekalipun orang itu adalah perempuan yang rambutnya gugur kerana sakit atau perempuan yang hendak menjadi pengantin. Hukum tersebut adalah berdasarkan kepada hadits  shahih, antaranya hadits yang diriwayatkan daripada Asma’ binti Abu Bakar Radhiallahu ‘anha, beliau berkata :

Maksudnya:  “Seorang perempuan telah datang (bertanya) kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, dia berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya anak  saya yang akan melangsungkan perkahwinan telah terkena suatu penyakit sehingga rambutnya gugur, apakah boleh saya menyambung rambutnya?” Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan yang minta disambungkan rambutnya” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Para  ashab  (‘ulama-‘ulama asy-Syafi‘i) dalam menghuraikan hadits di atas mengatakan bahawa tiada perbezaan pendapat ‘ulama mengenai hukum haram menyambung rambut dengan rambut manusia, sama ada rambut lelaki atau perempuan ataupun rambut suami atau mahram. Ini kerana menggunakan atau memanfaatkan rambut manusia adalah haram disebabkan kemuliaannya.

Jika rambut itu bukan berasal daripada manusia dan ianya najis seperti bulu daripada bangkai binatang atau bulu binatang yang tidak boleh dimakan haram juga disambung dengannya.

 iv.Tudung tidak mengandungi gambar atau lukisan objek yang bernyawa atau lambang yang diharamkan Islam melarang menggunakan kain, selimut, langsir yang terdapat padanya lukisan atau  gambar sesuatu yang bernyawa seperti gambar atau lukisan manusia atau haiwan.

Diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha, beliau berkata:

Maksudnya: “Sewaktu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam  (tiba di rumah) daripada suatu pelayaran, pada ketika itu aku telah memasang tabir pada pintuku, tabir bulu yang ada padanya gambar kuda yang mempunyai beberapa sayap, maka Baginda memerintahkanku (agar aku menanggalkannya) lalu aku pun menanggalkannya (daripada pintu itu).” (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadits di atas, menggunakan tudung yang terdapat padanya gambar manusia atau binatang juga adalah dilarang. Orang Islam juga dilarang memakai tudung yang memaparkan gambar-gambar seperti imej atau tulisan jenama tertentu seperti jenama minuman keras atau  memaparkan lambang-lambang agama lain. Sebagai contoh,  haram memakai tudung yang memaparkan lambang salib. Salib termasuk symbol atau lambang yang dipakai khas bagi orang Nashrani.  Larangan tersebut adalah mengelakkan diri kita dari terlibat dalam mempromosi imej dan  jenama-jenama berkenaan dan menghindari diri kita dari menyerupai orang-orang bukan Islam kerana memakai lambang-lambang  tersebut. Larangan ini disebut dengan jelas oleh Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:


Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai/meniru sesuatu kaum maka dia adalah dari golongan mereka” (Hadits riwayat Abu Daud)

Menurut Imam al-Munawi dan al-‘Alqami  Rahimahullahu Ta‘ala sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab ‘Aun al Ma‘bud Syarh Sunan  Abu Daud, maksud tasyabbuh (penyerupaan) dengan sesuatu  kaum itu ialah berkelakuan dengan tingkah laku mereka, termasuk pakaian dan sebahagian perbuatan mereka.
Berdasarkan keterangan di  atas, dapat difahami bahawa larangan tasyabbuh (penyerupaan) terhadap sesuatu kaum itu juga dalam berpakaian. Ini bermakna,  tasyabbuh dalam pemakaian tudung juga merupakan larangan.
 
Sementara memakai tudung yang terdapat padanya lukisan atau gambar sesuatu yang tidak bernyawa seperti gambar atau lukisan pokok, sungai, gunung-ganang dan seumpamanya adalah tidak mengapa dan harus.

v.Tidak melampau atau berlebih-lebihan

Perbuatan berlebih-lebihan boleh sahaja mengubah fungsi  tudung yang pada asalnya digunakan untuk menutup aurat  kepada perhiasan untuk mencantikkan diri dan menjadi tarikan kepada orang yang melihatnya.  Selain itu, berlebih-lebihan dalam sesuatu perkara termasuk bertudung kadang-kadang akan menimbulkan perkara-perkara negatif yang dilarang orang Islam melakukannya antaranya membazir.

Pembaziran boleh berlaku jika seseorang itu berlebih-lebihan dalam pemakaian tudung. Sikap  berlebih-lebihan ini didorong oleh nafsu keinginan untuk kelihatan cantik dan menarik atau keinginan untuk bermegah dan  menunjuk-nunjuk. Seseorang sanggup membeli tudung dan aksesori tudung yang terlalu mahal dan terlalu banyak sehingga melebihi had yang sepatutnya demi memastikan penampilannya kelihatan menarik dan sentiasa mengikut tren terkini.  Umat Islam sangat dilarang dari melakukan perbuatan membazir dan berlebih-lebihan sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.”  (Surah  al-Israa’: 26)

Dari penjelasan ini, sayugia disarankan kepada setiap wanita Islam khususnya untuk mengetahui, memahami dan seterusnya mengikuti konsep bertudung yang dikehendaki oleh syara‘.

Wanita Islam perlu berhati-hati dalam memilih pakaian dan tudung memandangkan terdapat juga fesyen yang pada zahirnya nampak Islamik tetapi sebenarnya tidak menepati kehendak syara‘ dan maksud menutup aurat. Begitu juga jangan memakai tudung tetapi dalam masa yang sama mengenakan pakaian sendat, baju lengan pendek, kain berbelah, seluar yang masih juga menampakkan bahagian aurat atau yang seumpamanya. Cara sedemikian ini masih sahaja tidak menepati hukum menutup aurat.

Sumber : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2012/bil10_bhg2-2012.pdf

1 ulasan:

  1. Subhanallah..nasehat yang sangat bermanfaat bagi kami kaum hawa terutama buat kepada ukhti yang masih belum sempurna menutup auratnya..

    BalasPadam