Halaman

Selasa, 3 April 2012

Kepentingan Penggunaan Akal dan Tradisi Berfikir Dalam Neraca Islam









Oleh : Ustaz Raja Ahmad Mukhlis


Kepentingan Penggunaan Akal dan Tradisi Berfikir dalam Neraca Islam 

Agama Islam adalah sebuah agama yang sangat menekankan kepentingan berfikir dan menggunakan akal secara murni. Ini kerana, Islam adalah agama yang benar dan mempunyai segenap bukti tentang kebenaran ajaran-ajarannya. Oleh yang demikian, antara jalan utama untuk mencapai dan menilai kebenaran Islam adalah penggunaan akal yang jujur dalam mencari kebenaran.

Antara kepentingan penggunaan akal adalah dalam memahami sebahagian sifat-sifat kesempurnaan Allah s.w.t. itu sendiri. 

Maksudnya, kepentingan akal juga mencakupi bidang ketuhanan (ilahiyyat) terutamanya dalam bab-bab konteks sifat-sifat ketuhanan tersebut, dengan batasan-batasan yang digariskan oleh syarak.

Allah s.w.t. menjadikan beberapa contoh penggunaan akal dan hujah logik dalam Al-Qur’an dalam membuktikan kebenaran ajaran aqidah tauhid murni antaranya:- 

 Pertama:

Allah s.w.t. menceritakan tentang Nabi Ibrahim a.s. dengan kaumnya yang kufur. Allah s.w.t. menjelaskan betapa Nabi Ibrahim a.s. menggunakan suatu pendekatan logik dengan menghancurkan semua berhala kaumnya ketika ketiadaan mereka, lalu meninggalkan satu sahaja berhala yang besar yang tidak dihancurkan. Lalu, sebuah kapak digantungkan kepada berhala tersebut. Ketika kaumnya pulang ke kampung tersebut, mereka menyalahkan Nabi Ibrahim a.s. terhadap kehancuran tuhan-tuhan mereka. Lalu, Nabi Ibrahim a.s. menunjukkan kepada berhala besar tersebut. Kaum baginda a.s. mengingkari Nabi Ibrahim a.s. yang menyalahkan berhala besar kerana akal mereka tahu patung berhala tidak mampu bergerak, apatah lagi untuk menghancurkan berhala-berhala lain. Lalu, dengan demikian, mereka terperangkap dengan persoalan, mengapa mereka menyembah berhala yang tidak dapat memberi manfaat dan menolak kemudaratan sama sekali? Namun, mereka tidak mahu menggunakan akal dan tidak mahu berfikir dengan cara yang logik (mengabaikan logik yang sangat mudah) sehingga mereka mengambil tindakan keras ke atas Nabi Ibrahim a.s.. [rujuk Surah Ibrahim: 59-70]

Kedua: 

Allah s.w.t mengambarkan andainya alam ini mempunyai lebih dari dua tuhan, nescaya ianya akan binasa. Ini juga suatu bentuk pendekatan logik yang digunakan oleh Allah s.w.t. dalam bidang aqidah murni Islam. [Rujuk Surah Al-Anbiya: 22 dan rujuk juga Surah Al-Mu’minun: 91]

Penggunaan akal sangat penting dalam mengkaji dan menyingkap rahsia dan kebesaran Allah s.w.t. di sebalik alam ini. Dengan berfikir, seseorang dapat melihat alam sebagai tanda-tanda bagi kewujudan dan kebesaran Allah s.w.t.. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

 Sesungguhnya pada penciptaan langit-langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut dengan membawa apa yang bermanfaat buat manusia dan apa yang Allah turunkan dari langit yang berbentuk air, lalu dengan air itu, Allah menghidupkan bumi sesudah ianya mati (kering) dan Dia sebarkan di bumi akan segala jenis haiwan dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi, sungguh terdapat tanda-tanda (kewujudan, keesaan dan kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berakal (berfikir). 

[Surah Al-Baqarah: 164]

 Bahkan, dengan akal juga, manusia akan merenungi hikmah dan kebijaksaan Allah s.w.t. melalui penciptaan alam di sekeliling mereka. Ini kerana, Allah s.w.t. yang Maha Bijaksana tidak akan menjadikan sesuatu tanpa tujuan kerana setiap perbuatanNya berteraskan kebijaksanaan dan kesempurnaanNya.

 Oleh yang demikian, Allah s.w.t. menggambarkan mereka yang sering menggunakan akal secara murni dan berfikir dengan cara yang betul akan menghayati hakikat ini. Mereka adalah golongan Ulul-Albab yang menghayati keesaan Allah s.w.t. dalam perbuatan-perbuatanNya melalui penciptaanNya. \

Allah s.w.t. berfirman tentang mereka:

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih berganti malam dan siang itu, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal (Ulil Albab). (190) Iaitu, mereka yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring lalu mereka memikirkan juga tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Wahai Tuhan kami. Tiadalah Engkau jadikan (semua) ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksaan api neraka (191)” 

(Surah Ali Imran: 190-191)

Disebabkan penghayatan terhadap hikmah Allah s.w.t. dalam kejadian alam inilah, justeru akal mereka yang cerdik tertumpu untuk menyingkap ruang kesempurnaan Allah s.w.t. melalui penciptaanNya. Lalu, mereka mengkaji setiap pelusuk alam ini bagi menyingkap hikmah tersebut di samping mengambil manfaat daripada alam sekeliling dalam rangka untuk menyempurnakan kehambaan mereka kepada Allah s.w.t..

Penggunaan akal secara murni dan cara berfikir yang benar sentiasa akan membawa kepada renungan yang bermanfaat dan menunjukkan kepada kebenaran yang utama. Oleh sebab itulah, ketika seseorang melihat hakikat alam ini adalah suatu tanda bagi kewujudan Allah s.w.t., maka semakin kuat renungannya kepada alam ini, semakin kuat rasa dalam jiwanya seolah-olah direnungi oleh Tuhan semesta alam.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

Adakah mereka tidak memerhatikan kepada unta, bagaimana ia diciptakan? (17) Dan kepada langit bagaimana ia ditinggikan? (18) Dan kepada gunung, bagaimana ia ditegakkan? (19) Dan kepada bumi, bagaimana ia dihamparkan? (20) 

(Surah Al-Ghasyiah: 17-20)

 Dengan merenung alam ini justeru membawa kepada penghayatan terhadap kasih sayang dan sifat pemurah Allah s.w.t. kepada para hambaNya. 

Allah s.w.t. berfirman lagi yang bermaksud:

 “Dan Dialah Allah yang menundukkan lautan (untukmu) agar kamu dapat memakan daripadanya daging yang segar (ikan), dan kamu melihat bahtera belayar padanya, dan supaya kamu mencari (keuntungan) dari kurnia-Nya, dan supaya kamu bersyukur” 

(Surah An-Nahl: 14)

 Alam ini bagaikan cermin tentang keagungan Allah s.w.t.. Bahkan, kesempurnaan alam ini menjadi cermin kepada hakikat diri sendiri dan seluruh alam ini yang berasal daripada perbuatan-perbuatanNya yang Maha Esa. Lalu, penghayatan yang lahir daripada cara berfikir yang baik adalah suatu penghayatan yang jelas terhadap kebenaran mutlak Allah s.w.t. dalam alam ini. Ia juga menggambarkan tentang perjalanan hidup seseorang yang akan kembali kepada kebenaran mutlak tersebut iaitulah “kita daripada Allah dan akan kembali kepadaNya”.

 Allah s.w.t. berfirman lagi tentang hubung kait fikiran yang baik dengan natijah pemikiran yang baik: 

 Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) diri mereka? Allah tidak menjadikan langit dan bumi serta apa yang terkandung di antara kedua-duanya melainkan dengan (tujuan) yang benar dan waktu yang telah ditetapkan. Sesungguhnya kebanyakan manusia benar-benar tidak ingat akan pertemuan dengan Tuhan mereka” 

(Surah Ar-Rum: 8)

 Apa yang menyebabkan manusia leka daripada pertemuan dengan Tuhan mereka, melainkan kerana tidak mahu menggunakan akal mereka untuk merenungi hakikat diri mereka sendiri yang memang bukan berasal daripada diri mereka, tetapi sebaliknya berasal daripada Tuhan yang Maha Pencipta. Kalaulah mereka mahu berfikir dengan fikiran yang baik, nescaya mereka dapati hakikat diri mereka tidak pernah berasal daripada diri mereka sendiri, sehingga perlu lalai daripada hakikat bahawasanya diri sendiri berasal daripada suatu pihak yang lain, iaitulah Allah s.w.t..

 Al-Qur’an mengkritik golongan yang tidak mahu menggunakan akal atau tidak mahu berfikir dengan fikiran yang baik dan cara yang betul dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

 Sesungguhnya makhluk (binatang) yang paling buruk di sisi Allah adalah orang-orang yang pekak (tidak mahu mendengar seruan kebenaran) dan orang-orang yang tuli lagi tidak berakal (tidak mahu berfikir dengan baik) 

(Surah Al-Anfaal: 22)

 Bahkan,orang-orang yang kufur setelah disampaikan peringatan terhadap kebenaran ajaran tauhid adalah mereka yang tidak mahu berfikir dan tidak mahu menggunakan akal sebaik-baiknya. Sudah pasti, tradisi tidak mahu menggunakan akal ini suatu tradisi yang merugikan kerana ia membawa kepada seribu satu penyelesalan yang tiada nilainya.

 Allah s.w.t. menceritakan tentang ahli neraka yang menyesali kekufuran mereka: Mereka berkata:

Jika kami mendengar (ajaran rasul) dan berfikir, nescaya kami tidak akan tergolong bersama ahli neraka

 (Surah Al-Mulk: 10)

 Imam Al-Qurtubi meriwayatkan tafsiran Saidina Ibn Abbas r.a. tentang pernyataan orang-orang kafir yang tidak berfikir tersebut dengan berkata: “tidak menggunakan akal untuk membuat penilaian yang mendalam (nazhor)” [Tafsir Al-Qurtubi]

Sumber : http://rajamukhlis.blogspot.com/2012/02/kepentingan-penggunaan-akal-dan-tradisi.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan