Halaman

Sabtu, 17 Disember 2011

Takzim Haiwan Kepada Junjungan Baginda Nabi SAW





















Oleh : Ustaz Mohd Khafidz bin Soroni (Jabatan Hadith KUIS)

Takzim umumnya terbit dari perasaan kerendahan dan kelemahan dalam diri. Takzim kepada Allah s.w.t. terbit dari rasa kehambaan dan kehinaan kepada-Nya. Manakala takzim kepada makhluk terbit kerana rasa kekurangan dan kerendahan diri disebabkan kelebihan dan keistimewaan yang diberikan kepadanya. Namun, takzim begini mempunyai dua maksud. Pertama, takzim yang syirik, iaitu takzim yang dilarang. Manakala kedua, takzim yang syar’i, iaitu takzim yang dituntut, apatah lagi dalam mentakzim apa yang ditakzimkan oleh Allah s.w.t. Ini yang menerbitkan sifat tawaduk dan lembut hati dalam jiwa, serta sentiasa melihat kekurangan dan keaiban diri berbanding melihat kekurangan dan keaiban orang lain. Orang yang bertawaduk kerana Allah akan diangkatkan darjatnya oleh Allah s.w.t.


Orang yang tidak mahu mentakzim apa yang ditakzimkan oleh Allah Taala adalah orang yang keras hatinya dan kasar jiwanya. Dia tidak melihat melainkan kemuliaan dirinya semata-mata hingga menerbitkan sifat keakuan dan keegoan. Dia merasakan tidak perlu bersifat tawaduk dan rendah diri kepada orang lain, padahal ia diam-diam akan mengheretnya kepada sifat sombong dan takbur tanpa disedari. Orang yang tidak mahu mengenal kedudukan tinggi para Nabi, para ulama, para solihin dan wali Allah yang istimewa di sisi Allah Taala adalah orang yang malang dan rugi. Sedangkan tuntutan memuliakan mereka ini sabit di dalam banyak nas.


Oleh kerana enggan melihat ketinggian makam dan keagungan sahsiah Nabi s.a.w. maka ada yang ‘sombong’ untuk mentakzim baginda. Malah ada yang melontar ke atas sesiapa yang mentakzim baginda dengan gubahan mawlid, syair atau selawat sebagai telah melakukan syirik. Sedangkan haiwan, pepohon, batu-batu dan sebagainya lebih tahu tentang keagungan dan kemuliaan baginda berbanding manusia yang sedemikian. Kisah-kisah dalam hadis-hadis berikut bolehjadi dapat menjadi iktibar baginya.


Dari ‘A’isyah r.a. katanya:
Pernah keluarga Rasulullah s.a.w. mempunyai seekor haiwan peliharaan. Apabila Rasulullah s.a.w. keluar, ia akan bermain-main dan bergerak bebas, serta pergi ke sana dan ke mari. Apabila ia menyedari Rasulullah s.a.w. telah masuk, ia akan diam dan tidak bergerak sesuka hati selamamana Rasulullah s.a.w. berada di dalam rumah kerana ia tidak mahu mengganggu/menyakiti baginda.
(HR Ahmad no. 24862, Abu Ya’la no. 4441, al-Bazzar dan al-Tabarani dalam al-Awsat. Kata al-Haythami no. 14,152: Para perawi Ahmad adalah para perawi al-Sahih)


عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ فِي نَفَرٍ مِنْ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ فَجَاءَ بَعِيرٌ فَسَجَدَ لَهُ فَقَالَ أَصْحَابُهُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ تَسْجُدُ لَكَ الْبَهَائِمُ وَالشَّجَرُ فَنَحْنُ أَحَقُّ أَنْ نَسْجُدَ لَكَ, فَقَالَ: اعْبُدُوا رَبَّكُمْ وَأَكْرِمُوا أَخَاكُمْ وَلَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا وَلَوْ أَمَرَهَا أَنْ تَنْقُلَ مِنْ جَبَلٍ أَصْفَرَ إِلَى جَبَلٍ أَسْوَدَ وَمِنْ جَبَلٍ أَسْوَدَ إِلَى جَبَلٍ أَبْيَضَ كَانَ يَنْبَغِي لَهَا أَنْ تَفْعَلَهُ.

[أخرجه أحمد (6/76 ، رقم 24515/ 23331)، وقال الهيثمى فِي مجمع الزَّوَائِد (4/310، 7654): فيه على بن زيد، وحديثه حسن، وقد ضعف. وقال في (14167): رواه أحمد وإسناده جيد. وقال البوصيري في إتحاف الخيرة المهرة (3203): هَذَا إِسْنَادٌ رِجَالُهُ مُحْتَجٌّ بِهِمْ فِي الصَّحِيحِ ، إِلاَّ عَلِيُّ بْنُ زَيْدِ بْنِ جُدْعَانَ ، وَهُوَ مُخْتَلَفٌ فِيهِ. وقال محمد بن يوسف الصالحي الشامي في سبل الهدى والرشاد في سيرة خير العباد: روى الامام أحمد وأبو نعيم والطبراني بسند جيد عن عائشة رضي الله عنها.]


Dari ‘A’isyah r.a.
bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersama sekumpulan sahabat dari kalangan Muhajirin dan Ansar. Lalu datang seekor unta, lalu bersujud kepada Nabi s.a.w. maka para sahabat berkata: Ya Rasulullah, haiwan-haiwan dan pokok-pokok bersujud kepadamu, maka kami lebih berhak untuk bersujud kepadamu. Lalu jawab baginda: “Sembahlah Tuhan kamu, dan muliakanlah saudara kamu (yakni diri baginda). Kalau aku boleh menyuruh seseorang untuk bersujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku akan menyuruh wanita untuk bersujud kepada suaminya. Kalaulah dia menyuruh isterinya untuk memindahkan sesuatu daripada bukit kuning ke bukit hitam dan daripada bukit hitam ke bukit putih, nescaya menjadi kewajipannya untuk melaksanakannya”.


Kata al-Mulla ‘Ali al-Qari dalam Mirqat al-Mafatih dalam menghurai hadis ini: Ayat:
“Lalu jawab baginda: “Sembahlah Tuhan kamu,..” yakni mengkhususkan sujud hanya kepada-Nya kerana ia adalah sejauh-jauh bentuk pengabdian dan sehabis-habis bentuk penyembahan. Dan ayat: “…dan muliakanlah saudara kamu”, yakni besarkanlah dia (yakni diri baginda) dengan bentuk takzim yang layak baginya dengan rasa kecintaan hati dan kemuliaan yang merangkumi ketaatan secara zahir dan batin. Padanya terdapat isyarat kepada firman Allah Taala: “Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya al-Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: "Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku bukan penyembah Allah." Akan tetapi (dia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani (yang sempurna ilmu, amal dan takwanya)”
(Al ‘Imran: 79), dan juga isyarat kepada firman-Nya:
“Aku tidak pernah mengatakan kepada mereka kecuali apa yang Engkau perintahkan kepadaku (mengatakan) dengannya iaitu: "Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu"
(al-Ma’idah: 117).


Lihatlah bagaimana jawapan baginda s.a.w. yang lembut dalam membimbing para sahabatnya. Tidak membentak keras dan terus melarang. Nabi s.a.w. telah menggariskan padanya satu bentuk takzim yang tidak melampau dan tidak pula terkurang. Imam al-Busiri menyebut;


( دَعْ ما ادَّعَتْهُ النَّصارَى في نَبيِّهِمِ ** وَاحكُمْ بما شِئْتَ مَدْحاً فيهِ واحْتَكِمِ )

( وانْسُبْ إلى ذاتِهِ ما شِئْتَ مِنْ شَرَفٍ ** وَانْسُبْ إلى قَدْرِهِ ما شِئْتَ منْ عِظَمِ )

( فإن فضلَ رسولِ اللهِ ليسَ لهُ ** حَدٌّ فيُعْرِبَ عنه ناطِقٌ بفَمِ )

“Tinggalkan cara orang Nasrani (Kristian) dalam menyanjung Nabi mereka (Nabi Isa AS). Selepas itu, terserahlah kepadamu untuk memuji Baginda SAW sebagaimana yang kamu mahu.


Sandarkanlah kemuliaan kepada zat baginda sebagaimana yang kamu mahu, dan sandarkanlah juga keagungan kepada kedudukan baginda sebagaimana yang kamu mahu.


Sesungguhnya keistimewaan Rasulullah SAW itu tiada had baginya, yang mampu diungkapkan tentangnya oleh seseorang pembicara dengan mulutnya”.


Kata beliau lagi:

( فمبلغُ العلمِ فيهِ أنهُ بشرٌ ** وأنهُ خيرُ خلقِ اللهِ كلهمِ )

“Kemuncak ilmu pengetahuan tentang dirinya bahawa baginda itu hanya seorang manusia, sedangkan baginda itu merupakan sebaik-baik makhluk Allah keseluruhannya.”


Kata al-Qadhi ‘Iyadh (m. 544H) dalam kitabnya al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa (j. 2, h. 35-36): Ketahuilah bahawa kehormatan Nabi SAW sesudah wafatnya serta memulia dan mengagungkannya adalah lazim (wajib), sebagaimana hal keadaannya pada masa hidup baginda. Dan yang demikian itu adalah ketika mengingati baginda SAW, menyebut hadith dan sunnahnya, mendengar nama dan sirahnya, bermuamalah dengan ahli dan kaum keluarganya, serta mentakzim Ahlul Baitnya dan para sahabatnya. Kata Abu Ibrahim al-Tujibi: Wajib ke atas setiap mukmin apabila menyebut baginda SAW atau disebut nama baginda SAW di sisinya hendaklah ia merendah diri, khusyuk, hormat dan diam dari bergerak serta merasakan kehebatan dan kemuliaan baginda SAW, sebagaimana dirinya akan berasa begitu sekiranya dia sendiri betul-betul berada di hadapan baginda SAW, serta beradab sebagaimana adab yang telah diajarkan oleh Allah Taala kepada kita. Kata al-Qadhi ‘Iyadh lagi: Beginilah sirah/akhlak para salafussoleh dan imam-imam kita yang terdahulu (رضي الله عنهم).


Kata Imam al-Husain bin al-Hasan al-Halimi (w. 403H) dalam (المنهاج في شعب الإيمان) (124- 125):
“Telah dimaklumi bahawa hak-hak Rasulullah s.a.w. itu amat besar, amat agung, amat mulia, amat lazim bagi kita dan amat wajib ke atas kita berbanding hak-hak para tuan ke atas hamba-hamba mereka, dan para bapa ke atas anak-anak mereka. Kerana Allah Taala telah menyelamatkan kita dengan sebab baginda dari api neraka di akhirat kelak, Dia memelihara dengan sebab baginda akan roh, jasad, maruah, harta, ahli keluarga dan anak-anak kita di dunia ini, lalu Dia menunjukkan kita dengan sebab baginda terhadap perkara yang jika kita taatinya, Dia akan memasukkan kita ke syurga yang penuh nikmat. Justeru, nikmat manakah yang dapat menyamai kenikmatan-kenikmatan ini? Dan kurnia manakah yang dapat menandingi kurniaan-kurniaan ini? Kemudian, Dia (جل ثناؤه) melazimkan kita mentaatinya dan mengancam kita atas menderhakainya dengan api neraka. Dia menjanjikan kita syurga dengan mengikutinya. Justeru, martabat manakah yang dapat menyamai martabat ini? Dan darjat manakah yang dapat menyerupai di akhirat darjat ini? Maka, menjadi hak atas kita untuk mencintai, memulia, mentakzim dan menghormati baginda lebih dari penghormatan semua hamba kepada tuannya dan juga semua anak kepada bapanya. Dengan makna seumpama inilah al-Quran berbicaradan datangnya perintah-perintah Allah (جل ثناؤه)”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan