Halaman

Jumaat, 28 Januari 2011

Hukum Solat Sunat Hajat

Hajat ertinya: Kehendak atau keperluan

Solat Sunat Hajat : Solat sunat yang dilakukan oleh seseorang hamba untuk menyatakan kehendak, keinginan atau keperluannya kepada Allah subahanahu wa ta'ala. Para ulama mentakrifkan bahawa yang dikatakan Solat Sunat Hajat ialah solat sunat yang dikerjakan sebanyak 2 rakaat kerana sesuatu hajat kepada Allah Ta'ala baik urusan dunia mahupun akhirat.

Hukum : Sunat

Dalil : Sabda Rasulullah yang bererti :
Barangsiapa yang ada baginya hajat kepada Allah ta'ala atau kepada anak Adam, hendaklah dia berwudhuk dengan baik, kemudian solat 2 rakaat, kemudian memuji Allah dan berselawat kepada rasulNya, selanjutnya hendaklah dia membaca doa :

لا إله إلا الله الحكيم الكريم, سبحن الله رب العرش العظيم, الحمدلله رب العلمينو أسألك موجبات رحمتك وعزائم مغفرتك والغنيمة من كل بر والسلامة من كل إثم لا تدع لي ذنبا إلا غفرته ولا هما إلا فرجته ولا حاجة هي لك رضا إلا قضيتها يا أرحم الرحمين

ertinya : Tiada Tuhan melainkan Allah, yang Maha Lemah Lembut dan maha Mulia. Maha Suci Allah Penguasa Arasy Yang Maha Agung. Segala puji Allah, Tuhan seru sekalian alam. Ya Allah! Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu untuk memperolehi rahmatMu, mengharapkan keampunanMu, memperolehi keuntungan dari segala kebajikan dan kesejahteraan dari segala dosa. Janganlah engkau tinggalkan bagiku suatu dosapun kecuali Engkau ampuni, dan tidak pula suatu kesempitan kecuali Engkau lapangkan, dan tidak pula suatu hajat yang Engkau redhai kecuali Engkau tunaikan. Wahai Tuhan yang Maha Pengasih daripada segala yang pengasih. Selanjutnya mintalah atau kemukakanlah hajat yang engkau ingini, baik urusan dunia mahupun akhirat.

(Diriwayatkan oleh al Turmudzi dan Ibnu majah dari Abdullah bin Aufa radiyaLlahu 'anhu. Menurut al Turmudzi isnad dan perawi hadith ini menjadi perbincangan di kalangan ahli hadith)

Imam al Ghazali mengatakan bahawa solat Hajat adalah termasuk ke dalam golongan Solat Nafilah. Barangsiapa yang merasa terdesak dalam sesuatu urusan ataupun merasa perlu dalam urusan dunia atau agamanya, atau agar dia dilepaskan daripada kesempitan, hendaklah dia mengerjakan Solat Sunat Hajat ini.

Sehubungan dengan solat sunat Hajat ini, Imam al Syaukani mengatakan bahawa dalam sanadnya terdapat seorang rawi yang bernama Faid bin Abd al Rahman bin Waraqa', orang ini lemah riwayatnya. Manakala Imam al Turmudzi mengatakan, bahawa hadith mengenai solat sunat hajat ini adalah hadith Gharib dan Faid adalah orang yang lemah dalam bidang hadith. Sedangkan Imam Ahmad pula mengatakan bahawa Faid adalah seorang rawi yang matruk (ditinggalkan riwayatnya). Ibnu Arabi pula mengatakan bahawa hadith mengenai Solat Sunat Hajat ini adalah lemah.

BAGAIMANAPUN, dalam amalan-amalan sunat kita dibenarkan mengamalkan hadith lemah, tambahan lagi kalau hadith itu disokong oleh hadith lain, sebagaimana hadith mengenai solat sunat Hajat ini disokong oleh sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al Turmudzi dari Uthman bin Hunaif dan beliau mengatakan bahawa darjat dari Uthman ini ialah Hasan Sahih. Selain itu terdapat pula sebuah sabda Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wasallam yang bererti :

Barangsiapa yang berwudhuk dan menyempurnakan wudhuknya, kemudian melakukan solat dua rakaat dengan sempurna. Maka akan diberi oleh Allah apa-apa yang dimintanya baik segera atau lambat
(Diriwayatkan oleh Ahmad dengan sanad sahih dari Abu al Darda' radiyaLlahu 'anhu)

Sumber : Ibnu Muhammad el Fandhani, Panduan Solat-solat Sunat Berdasarkan Sunnah RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam, Cet 2009, Crescent News KL, Selangor


Ini pula pendapat Muhaddits Nusantara Syaikh Mahfuz Termas RH (via Ustaz Ayman Al Akiti) :



WaLlahua'lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan