Bilangan yang Ramai Merujuk kepada Para Ulama’ dan Pengikut Mereka
Setelah kita jelaskan sebelum ini, ukuran bilangan yang ramai itu adalah merujuk kepada para ulama’ dan ahli ilmu yang menguasai ilmu-ilmu agama dan kefahaman Islam. Maka, apa yang menjadi pegangan dan kefahaman mereka dalam perkara-perkara usul dalam agama perlu diikuti. Merekalah yang menyusun manhaj dan kefahaman agama tanpa kesesatan. Merekalah yang menjaga kefahaman agama yang sahih dalam perkara-perkara usul. Ini berdasarkan nas-nas hadith yang jelas disebutkan sebelum ini. Merekalah As-Sawad Al-A’zhom, yang mana bilangan mereka adalah majoriti dalam kalangan ulama’ dalam sepanjang zaman, sehinggalah tiada lagi ulama’ yang tinggal.
Hal ini jelas berdasarkan perkataan para ulama’ sebelum ini. Imam As-Sindi dan Imam Ibn Athir menegaskan betapa As-Sawad Al-A’zhom adalah pemegang manhaj yang sahih. Itu merujuk kepada para ulama’. Bahkan, di sisi Imam As-Sindi, bilangan mereka yang memegang dengan manhaj yang sahih tersebut adalah ramai. Ini menunjukkan bahawasanya, ukuran As-Sawad Al-A’zhom merujuk kepada ramainya para ulama’ berdasarkan maksud asal perkataan As-Sawad Al-‘Azhom itu sendiri. Isyarat ini juga disebutkan oleh Imam As-Syatibi dalam kitab Al-I’thisham di mana ukuran As-Sawad Al-A’zhom merujuk kepada para ulama’ dan orang-orang awam yang mengikut manhaj majoriti ulama’ tersebut.
Lebih jelas lagi, perkataan Imam Ibn Asakir r.a. yang berkata:
فإن قيل أن الجم الغفير في سائر الأزمان وأكثر العامة في جميع البلدان لا يقتدون بالأشعري ولا يقلدونه ولا يرون مذهبه ولا يعتقدونه وهم السواد الأعظم وسبيلهم السبيل الأقوم قيل لا عبرة بكثرة العوام ولا التفات إلى الجهال الغتام وإنما الإعتبار بأرباب العلم والاقتداء بأصحاب البصيرة والفهم وأولئك في أصحابه أكثر ممن سواهم ولهم الفضل والتقدم على من عداهم على ان الله عزوجل[Tabyiin Kazb Al-Muftari: 134]
Maksudnya:
“Kalau dikatakan bahawa bilangan yang ramai dalam setiap zaman dan ramai orang awam (Al-Ammah) dalam setiap tempat tidak mengikut mazhab Al-Asy’ari (tidak mendalami perbahasan aqidah dengan manhaj Al-Asy’ari), tidak bertaqlid dengan mazhabnya, tidak melihat kepada mazhabnya dan tidak berpegang dengannya sedangkan mereka (Al-Asya’irah) adalah As-Sawad Al-A’zhom dan manhaj mereka (ulama’ Al-Asya’irah) adalah manhaj yang lurus. Maka, dikatakan (sebagai jawapan) tidak diambil kira banyaknya orang awam dan tidak dipandang (sebagai kayu pengukur) pada orang-orang jahil, kerana ukuran (As-Sawad Al-A’zhom) adalah di sisi ahli ilmu dan neraca ikutan adalah kepada Ashaab Al-Bashirah (yang mempunyai pandangan mata hati/neraca ilmu) dan kefahaman sedangkan mereka (para ulama’/ahli ilmu dan sebagainya) dalam pengikut mazhab Al-Asy’ari (Ashaabnya) lebih ramai daripada selainnya (ulama’ yang bukan Al-Asya’irah)…”
Maka, kita dapat simpulkan bahawasanya memang benar As-Sawad Al-A’zhom adalah mengikut jumlah bilangan yang ramai. Namun, jumlah bilangan yang ramai (majoriti) itu bukan mutlak, iaitu merujuk kepada jumlah bilangan seluruh manusia yang mana majoritinya masih bukan Islam. Ia juga bukan merujuk kepada majoriti orang-orang awam Islam. Majoriti yang diukur adalah majoriti ulama’ Islam dalam setiap zaman. Maka, majoriti para ulama’ yang meneruskan manhaj majoriti ulama’ sebelum mereka, gabungan keseluruhan para ulama’ tersebutlah dinilai sebagai As-Sawad Al-A’zhom.
Orang-orang awam yang mengikut manhaj dan aliran majoriti para ulama’ dalam sepanjang zaman ini juga terangkum dalam As-Sawad Al-A’zhom dari sudut mereka mengikuti para ulama’ tersebut dalam kefahaman agama, terutamanya dalam perkara-perkara usul (asas), samada dalam aqidah, fiqh mahupun tasawwuf.
Kedudukan institusi ulama’ dalam Islam sangat penting khususnya sebagai jambatan bagi orang-orang awam untuk memahami agama Islam dengan kefahaman yang sahih daripada sumber agama. Ketika orang-orang awam cuba berlepas diri daripada institusi ulama’ khususnya pegangan As-Sawad Al-A’zhom, maka merekalah yang akan sesat.
Rasulullah –shollallahu ‘alahi wasallam- bersabda:
[Hadith riwayat At-Tirmizi (no: 2576)]
إِنَّ اللَّهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ النَّاسِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يَتْرُكْ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالًا فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا
Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak mencabut ilmu dengan cabutan serta merta daripada manusia. Akan tetapi, Allah s.w.t. mencabut ilmu dengan mengambil para ulama’, sehinggalah tiada lagi orang yang berilmu (ulama’), lalu manusia mengambil pimpinan dari kalangan orang-orang jahil. Mereka (orang-orang jahil) ditanya lalu mereka berfatwa tanpa ilmu lalu mereka sesat lagi menyesatkan”.
Jadi, pegangan As-Sawad Al-A’zhom adalah pegangan majoriti para ulama’ sejak zaman berzaman dalam perkara-perkara usul agama. Inilah yang perlu difahami secara asas, agar tidak salah dalam menggambarkan kedudukan sebenar “majoriti” tersebut.
Di sinilah juga maksud perkataan Imam Ibn Hibban r.a. yang berkata (yang bermaksud):
Sedangkan pengertian al-Jama’ah setelah sepeninggalan para Sahabat adalah orang-orang yang pada diri mereka berkumpul tiang-tiang agama, akal, dan ilmu, serta sentiasa meninggalkan hawa nafsu yang ada pada mereka dan jumlah mereka adalah sedikit. Dan bukanlah al-Jama’ah itu kumpulan manusia sebarangan dan orang-orang kecil yang tidak berilmu walaupun jumlahnya ramai.[Shohih Ibnu Hibban: 26/6]
Jumlah mereka sedikit kerana jumlah para ulama’ memang sedikit berbanding orang-orang awam. Oleh sebab itulah, Imam Ibn Hibban r.a. menekankan para ulama’ dengan berkata: “…Dan bukanlah Al-Jamaah itu bererti kumpulan manusia sebarangan dan orang-orang kecil yang tidak berilmu walaupun jumlahnya ramai.”. Ini secara jelas menunjukkan bilangan ramai yang ditolak oleh Imam Ibn Hibban adalah jumlah ramainya orang-orang yang tidak berilmu. Adapun jumlah ramai para ulama’, itulah ukuran sebenar As-Sawad Al-A’zhom.
Sangat benar perkataaan Imam Ahmad bin Hanbal r.a. yang berkata:
هذه الأمة المرحومة قد ميزها الله تعالى على سائر الأمم بكثرة العلماء[Manaqib Imam Ahmad oleh Imam Ibn Al-Jauzi r.a.. Dinukilkan dalam Bara’ah Al-Asy’ariyyin m/s: 34]
Maksudnya: Sesungguhnya umat Islam ini adalah ummah yang dirahmati. Allah s.w.t. memberi keistimewaan kepadanya berbanding umat-umat terdahulu dengan banyaknya ulama’ (dalam umat Islam).
Sebahagian orang menyenaraikan beberapa ayat Al-Qur’an dalam rangka untuk membatalkan kefahaman ramai para ulama’ tentang As-Sawad Al-A’zhom yang berkaitan dengan majoriti ulama’ Islam yang memimpin majoriti umat Islam dengan nas-nas yang tidak kena pada tempatnya.
Antaranya firman Allah s.w.t.:
(Surah al-An’am, 6: 116)
وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الأرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلا يَخْرُصُونَ
Maksudnya: “Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).”
Penolakan konsep majoriti ulama’ Islam sebagai As-Sawad Al-A’zhom dengan ayat ini adalah suatu Istidlal yang rosak (fasid) kerana konteks ayat ini tidak ada kaitan dengan konsep “majoriti ulama’ Islam” sebagai As-Sawad Al-A’zhom yang telah disebutkan. Ayat ini ditujukan kepada kebanyakan manusia di muka bumi yang sesat dan tidak mengikut kebenaran Islam sama sekali (iaitulah orang-orang kafir).
Imam At-Tabari menafsirkan “ramai manusia di muka bumi” dalam ayat ini sebagai:
))وَإنْ تُطِعْ أكْثَرَ مَنْ فِي الأرْض(( من بني آدم، لأنهم كانوا حينئذٍ كفاراً ضلالاً[Tafsir At-Tabari pada ayat ini]
Maksudnya:
“((…Jika kamu mengikuti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi…)) dari kalangan bani Adam kerana mereka pada ketika itu adalah orang-orang kafir lagi sesat…”
Imam Al-Qurtubi juga secara jelas berkata:
قوله تعالى: { وَإِن تُطِعْ أَكْثَرَ مَن فِي ٱلأَرْضِ } أي الكفار[Al-Jami’e li Ahkam Al-Qur’an]
Maksudnya: “Firman Allah s.w.t. ((Jika kamu mengikuti kebanyakan orang-orang di muka bumi ini…)) iaitulah orang-orang kafir…”
Begitu juga dengan ayat (yang bermaksud):
“Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah”, mereka menjawab: “(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami”. “(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun, dan tidak mendapat petunjuk?.”(Surah al-Baqarah, 2: 170)
Berdasarkan Imam At-Tabari dalam tafsir beliau, melalui beberapa riwayat yang kuat daripada para ulama’ salaf, ayat ini diturunkan kepada suatu kaum daripada golongan Yahudi. Ia adalah tafsiran Saidina Ibn Abbas r.a. dan sebagainya. Bahkan, tafsiran bagi perkataan “mengikut apa yang telah kami dapati dari perbuatan nenek moyang kami…” berdasarkan sebahagian ulama’ salaf adalah, mereka (sebahagian golongan Yahudi tersebut) menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t. dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah s.w.t.. Kesimpulannya, para mufassirin menegaskan bahawasanya, ayat ini diturunkan ke atas orang-orang kafir.
Adakah ini (menghalalkan yang haram dan sebaliknya) merupakan perbuatan nenek moyang orang-orang Islam, atau para ulama’ Nusantara? Na’uzubillah min su’ Az-Zhon bil muslimin. Hanya golongan Tabdi’e (suka menuduh bid’ah) sahaja kelihatan suka mengharamkan atau membid’ahkan (dengan hukum bid’ah yang sesat) apa yang tidak diharamkan oleh Allah s.w.t..
Jadi, bagaimana ayat yang ditujukan kepada orang-orang kafir boleh digunakan untuk menilai konsep majoriti ulama’ Islam sebagai As-Sawad Al-A’zhom? Begitu jugalah dengan ayat-ayat yang lain yang mengkritik ramai manusia, yang mana ianya ditujukan kepada orang-orang kafir. Sikap begini sangat tidak tepat. Rujuklah perkataan Saidina Ibn Umar r.a. sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari secara ta’liq tentang khawarij:-
إنهم انطلقوا إلى آيات نزلت في المشركين فجعلوها على المؤمنين
Maksudnya:
“Mereka mencari ayat-ayat al-Quran yang ditujukan kepada orang kafir tetapi mereka tujukannya kepada orang beriman”.
Oleh sebab itulah juga, Sheikh Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti menegaskan tentang As-Sawad Al-A’zhom sebagai berkata:
لا السواد الأعظم من العالم، وإنما تدعوا إلى السواد الأعظم من المسلمين
Maksudnya:
Tidaklah maksud As-Sawad Al-A’zhom (dalam seruan mengikut As-Sawad Al-A’zhom itu) daripada seluruh alam (merangkumi semua manusia termasuk orang-orang kafir) tetapi As-Sawad Al-A’zhom dari kalangan orang-orang Islam.
[Sumber: http://www.ghrib.net/vb/showthread.php?t=11860 ]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan