Halaman

Isnin, 10 Mei 2010

Kesimpulan Penjelasan Tentang “As-Sawad Al-A’zhom” Bab 1

Oleh : Ustaz Mukhlis


Pendahuluan


Allah s.w.t. sentiasa merahmati umat Islam dengan menjaga ketulenan dan keaslian ajaran agama mereka sepanjang zaman. Oleh yang demikian, ketika Allah s.w.t. menyampaikan wahyu Al-Qur’an kepada Rasulullah –shollallahu ‘alahi wasallam-, Allah s.w.t. juga menegaskan bahawasanya Dia juga akan menjaga Al-Qur’an tersebut. Antara cara Allah s.w.t. menjaga Al-Qur’an adalah dengan melahirkan dalam setiap generasi umat Islam, ada para ulama’ dan ahli ilmu yang sentiasa menjaganya dari sudut lafaz mahupun maknanya.

Imam Al-Razi r.a. menyebut dalam tafsirnya terhadap ayat ke-9 daripada Surah Al-Hijr, bahawasanya, antara cara Allah s.w.t. menjaga Al-Qur’an adalah dengan menjadikan para sahabat r.a. menyusun Al-Qur’an dalam satu Mashaf. Begitulah seterusnya, di mana muncul ramai ulama’ muktabar terus menjaga isi kandungan Al-Qur’an dari sudut lafaz mahupun maknanya. Penjagaan terhadap sumber dan kefahaman sahih Islam bukan terbatas kepada sesuatu zaman sahaja, tetapi akan terus terpelihara sehinggalah akhir zaman.

Antara konsep yang wujud dalam institusi keilmuan Islam yang menjaga kefahaman sahih terhadap agama Islam melalui sumbernya adalah konsep As-Sawad Al-A’zhom. Konsep ini adalah suatu konsep yang disebutkan sendiri oleh Rasulullah –shollallahu ‘alaihi wasallam-. Sesetengah pihak cuba memalingkan konsep ini daripada maknanya yang asal kerana mereka sudah menyalahi konsep itu sendiri. Mereka cuba menjadikan keganjilan (syaz) mereka sebagai kebenaran dan majoriti ulama’ Islam yang berbeza dengan mereka sebagai golongan yang sesat.


Penulis yang faqir telah menyusun sebuah risalah yang mengandungi perbahasan terperinci mengenai As-Sawad Al-A’zhom dalam sebuah siri perbahasan berjudul “Ilmu Warisan Nabawi Merentasi Zaman”. Ini kerana, ianya merupakan suatu konsep yang perlu difahami menerusi perkembangan bidang keilmuan Islam di sisi para ulama’ secara menyeluruh. Namun di sini, disebabkan permintaan beberapa teman yang jujur dalam inginkan penjelasan, penulis mengambil sebahagian tulisan tersebut dan meringkaskannya serta menambah beberapa perbahasan bagi menumpukan topik As-Sawad Al-A’zhom ini secara lebih khusus. Para pembaca boleh merujuk kepada tulisan asal “Ilmu Warisan Nabawi Merentasi Zaman (siri kedua)” yang berjudul: “As-Sawad Al-A’zhom dalam Tradisi Keilmuan Islam”.

Begitu juga dengan tulisan-tulisan sebelum itu yang mungkin mengandungi banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Antaranya adalah seperti tulisan berjudul Mafhum Al-Jamaah dalam Neraca As-Sunnah.

As-Sawad Al-A’zhom dalam Institusi Ulama’ Islam


Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- mewariskan sumber agama iaitulah Al-Qur’an dan As-Sunnah dan mewariskan juga manhaj dalam berinteraksi dengan nas-nas Islam tersebut kepada para sahabat r.a. [rujuk hadith tentang Saidina Mu’az bin Jabal r.a. yang diutuskan ke Yaman]. Maka, para sahabat r.a. mewariskannya pula kepada para ulama’ pada generasi setelah mereka sehingggalah ianya diwarisi secara silsilah dalam suatu tradisi pembelajaran Islam yang sempurna sebagaimana telah disebutkan tadi.

Maka, antara ciri-ciri keistimewaan umat Islam adalah, para ulama’ yang mewarisi ilmu nabawi dengan jalan warisan yang muktabar (sistem talaqqi bersanad) tidak akan bersepakat dalam kesesatan. Janji ini telah dijelaskan sendiri oleh Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-. Bahkan, ketika berlakunya perpecahan dalam perkara-perkara usul, maka kebenaran tetap bersama majoriti ulama’ Islam yang mewarisi ilmu nabawi dengan manhaj pengajian ilmu agama yang sahih. Golongan majoriti ulama’ Islam tersebutlah dikenali sebagai As-Sawad Al-A’zhom atau Ahlus-Sunnah wal Jamaah.



Jika kita singkapi kitab-kitab sejarah, Tabaqat, Tarikh dan sebagainya yang menceritakan tentang perkembangan institusi ulama’ dalam masyarakat Islam, maka kita akan dapati majoriti ulama’ berpegang teguh dengan dasar kesepakatan asas (usul) yang sama dan tidak saling bertentangan antara mereka secara meluas. Perselisihan hanya pendapat dan ikhtilaf berlaku dalam perkara-perkara cabang atau bersumberkan sumber yang zhonni (tidak muktamad) samada dalam aqidah mahupun syariat. Pertembungan kuat dalam perkara usul yang berlaku dalam wacana ilmiah adalah melibatkan golongan As-Sawad Al-A’zhom dengan golongan pinggiran (syaz) yang sesat atau terseleweng daripada manhaj ilmiah Islam yang sebenar, di sepanjang zaman.

As-Sawad Al-A’zhom dalam Neraca As-Sunnah
Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:



لا يجمع الله هذه الأمة على الضلالة أبدا…يد الله على الجماعة فاتبعوا السواد الأعظم فإنه من شذ شذ في النار



Maksudnya: “Tidak akan Allah himpunkan umat ini ke dalam kesesatan selama-lamanya. Yadd (bantuan) Allah di atas Al-Jamaah. Maka ikutilah As-Sawad Al-A’zhom kerana sesiapa yang syaz (terasing) bererti terasing dalam neraka.”


[Hadith riwayat At-Tirmizi, Al-Hakim (no:358), At-Tabrani (Al-Mu’jam Al-Kabir: no: 13461), Al-Baihaqi dalam Al-Asma’ wa As-Sifat dan sebagainya]

Sheikhuna (guru kami) Al-Allamah Al-Muhaddith As-Sayyid Muhammad bin Ibrahim Al-Kattani hafizahullah berkata dalam kitab beliau Ibra’ Az-Zimmah (m/s: 41):

Jika seseorang berkata:
“Tidak semestinya maksud As-Sawad Al-A’zhom itu adalah banyak dan dominan. Bahkan, boleh jadi juga maknanya dominasi kebenaran walaupun kurang orang yang mempertahankannya”.

Maka, saya (Sheikh Ibrahim) berkata: “Sesungguhnya hadith-hadith dengan kandungan As-Sibaq (perkataan sebelumnya) dan As-Siyaq (konteks) menunjukkan makna As-Sawad adalah: Al-Ummah (jumlah bilangan yang ramai)”.
- tamat nukilan -



Antara petunjuk dan konteks yang menunjukkan kepada jumlah yang ramai adalah:


Dalam hadith riwayat Al-Hakim, Abu Nu’aim dan sebagainya tadi menyebut di hujung hadith tersebut yang bermaksud:

“…Sesungguhnya sesiapa yang syaz (terasing) bererti terasing dalam neraka”.


Perkataan “…sesiapa yang terasing…” sudah jelas menunjukkan maksud As-Sawad Al-A’zhom adalah lawan bagi keterasingan tersebut iaitulah bilangan yang ramai. Namun, kita akan sebutkan selepas ini bahawa, ukuran “bilangan yang ramai” pada setiap zaman dalam hadith tersebut tidaklah mutlak kepada seluruh manusia termasuk orang-orang kafir dan bukan juga multak kepada orang-orang awam Islam. Hal ini akan dibincangkan kemudian, insya Allah.

Dalam hadith yang lain, Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda yang bermaksud:

“…Aku tidak menyembunyikan sesuatupun (daripada kebenaran). Hendaklah kamu semua bertaqwa dan bersama-sama dengan jamaah. Janganlah kamu berpecah (mengikut golongan yang terkeluar daripada jamaah). Sesungguhnya (dengan keluar dari jamaah) itulah kesesatan. Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak akan menghimpun umat Muhammad dalam kesesatan”
[Hadith riwayat At-Tabrani]

Hadith ini menunjukkan maksud As-Sawad Al-A’zhom adalah Al-Jama’ah. Al-Jama’ah sudah tentu merujuk kepada suatu golongan yang ramai, terutamanya jika kita gandingkan dengan petunjuk pertama tadi di mana lawan bagi As-Sawad Al-A’zhom adalah syaz atau keterasingan.

Hal ini lebih jelas dalam hadith lain, di mana Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:


عَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُرْقَةَ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ وَهُوَ مِنْ ‏ ‏الِاثْنَيْنِ أَبْعَدُ مَنْ أَرَادَ ‏ ‏بُحْبُوحَةَ ‏ ‏الْجَنَّةِ فَلْيَلْزَمْ الْجَمَاعَةَ


Maksudnya:

“…Hendaklah kamu menyertai jamaah dan janganlah kamu berpecah (mengikut golongan yang tersesat). Sesungguhnya syaitan bersama yang satu sedangkan ia dengan yang dua lebih jauh (berbanding dengan yang satu). Sesiapa yang mahu menghuni taman syurga, maka hendaklah dia mengikut jamaah”



[Hadith riwayat Ahmad, At-Tirmizi (no: 2091) dan Al-Hakim]


Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda lagi:

عَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُرْقَةَ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ وَهُوَ مِنْ ‏ ‏الِاثْنَيْنِ أَبْعَدُ

Maksudnya:

“Hendaklah kamu bersama-sama dengan Al-Jamaah. Dan janganlah kamu berpecah-belah. Sesungguhnya, syaitan itu berserta dengan yang satu, sedangkan dia lebih jauh daripada yang dua (berbanding yang satu tersebut)”.

[Hadith ini riwayat At-Tirmizi (4/465) daripada jalan Saidina Umar r.a.. Diriwayatkan juga oleh Al-Hakim (1/197), Al-Baihaqi (7/91) dan Imam Ahmad (1/18 no: 114). Imam Al-Hakim berkata: “hadith ini sahih mengikut syarat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim”]

Dalam hadith-hadith tersebut juga mengandungi isyarat yang jelas tentang bilangan yang ramai. Ia terzahir pada perkataan Al-Jamaah dan perkataan: ((وهو عن الإثنين أبعد الشيطان مع الواحد ))
(maksudnya: Syaitan bersama yang satu sedangkan dia lebih jauh darpada yang dua berbanding yang satu).

Ini suatu perumpamaan dalam bentuk nisbah, iaitu ((2:1)). Di mana, Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- mengingatkan bahawasanya, syaitan itu akan bersama dengan yang satu berbanding yang dua orang. Maknanya, syaitan akan bersama-sama dengan minoriti berbanding yang majoriti. Ini menunjukkan jemaah yang dimaksudkan oleh Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- adalah golongan majoriti dalam kalangan ulama’ dan umat Islam. Oleh yang demikian juga, Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- mengingatkan supaya tidak beserta dengan golongan pinggiran dan ganjil kerana syaitan bersama dengan golongan pinggiran.


Ketika membahaskan tentang kepentingan berpegang dengan Ahlus-Sunnah wal Jamaah, Imam Ibn Al-Jauzi r.a. juga ada meriwayatkan sebuah hadith dengan sanad yang bersambung kepada Rasulullah shollallahu ‘alahi wasallam:

اثنان خير من واحد وثلاثة خير من اثنين وأربعة خير من ثلاثة فعليكم بالجماعة فإن الله عز وجل لم يجمع أمتي إلا على الهدى

Maksudnya:

“Dua itu lebih baik daripada satu. Tiga itu lebih baik daripada dua. Empat itu lebih baik daripada tiga. Hendaklah kamu bersama dengan Al-Jama’ah kerana sesungguhnya Allah s.w.t. tidak akan menghimpunkan umatku melainkan di atas kebenaran.”
[hadith riwayat Imam Ahmad pada no: 20331 dan dikeluarkan juga oleh Imam Ibn Al-Jauzi dalam Talbis Iblis]

Ini menunjukkan kuantiti yang banyak dalam kalangan umat Islam khususnya dari kalangan ahli ilmu (ulama’) sangat berkait rapat dengan maksud Al-Jama’ah dan As-Sawad Al-A’zhom yang dijamin kebenaran mereka oleh Rasulullah shollallahu ‘alahi wasallam sendiri.

Hadith lain juga menyebut tentang kepentingan mengikut majoriti umat Islam dengan perkataan ((العامة )) iaitu yang umum [hadith riwayat Ahmad]. Adapun istilah am atau ammah digunakan dalam bermaksud, kebanyakan umat Islam yang dipimpin oleh majoriti ulama’ Islam.

Dalam hadith riwayat Ahmad tersebut juga menyebut bahawa, syaitan umpama serigala yang mencari mangsa kambingnya. Jadi, syaitan berpeluang menangkap kambing yang terpinggir dari kelompok kumpulannya. Perumpamaan ini adalah jelas menunjukkan, celaan terhadap golongan minoriti yang keluar daripada kelompok majoriti umat Islam khususnya dalam masalah usul termasuklah masalah aqidah Islam. Jadi, syaz dan minoriti dicela oleh Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- dalam galakan supaya kita beserta dengan golongan majoriti umat Islam. Ukuran As-Sawad Al-A’zhom atau majoriti itu dinilai pada bilangan ahli ilmu umat Islam, bukan dari sudut orang awam kerana ijtima’ ummah (kesepakatan ummah) itu merujuk kepada kesepakatan ulama’.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan