Tafsir Maudhu’i (Tematik): Al-Qur'an Berbicara Tentang Takwa
Al-Qur’an Al-Karim Mengandungi Pelbagai Tema dan Subjek Perbahasan
Allah s.w.t. menurunkan Al-Qur’an kepada umat Islam melalui kekasihNya Saidina Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam yang merupakan utusan Allah kepada umat manusia di akhir zaman. Risalah Islam dan ajaran yang terkandung dalam Al-Qur’an sesuai sepanjang zaman dan sentiasa dipelihara oleh Allah s.w.t..
Antara keagungan Al-Qur’an juga adalah, maknanya yang sangat luas dan mendalam sehingga mutiara pelajaran dan pengajaran di dalam lautan perbendaharaannya tiada pernah habis dikutip sepanjang zaman terutamanya oleh para ilmuwan dan ulama’ Islam. Oleh kerana itulah kita dapati, ilmu tafsir berkembang pesat dalam setiap zaman dan kurun.
Ada bentuk tafsir bi Al-Ma’thur yang menghimpunkan tafsiran-tafsiran Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam, para sahabat r.a. dan para ulama’ salaf, Tafsir Bi Al-Ra’yi yang menghimpunkan tafsiran-tafsiran ulama’ terkemudian, Tafsir Ilmiy yang menghimpunkan penjelasan terhadap sesetengah ayat Al-Qur’an dengan perbahasan saintifik dan sebagainya. Inilah antara sebab utama kemajuan umat Islam suatu ketika dahulu di mana para ulama’ khususnya, sentiasa mengembangkan bidang ilmu pengetahuan yang mana mereka mendapat semangat mengembangkan bidang ilmu daripada keagungan dan keluasan ilmu yang terkandung di dalam Al-Qur’an itu sendiri.
Al-Qur’an berbicara tentang faktor kebahagiaan di dunia sebagaimana ia membicarakan tentang faktor-faktor kebahagiaan di Akhirat kelak. Ia berbicara tentang bidang keduniaan sebagaimana ia juga berbicara tentang keagamaan. Ianya panduan bagi mereka yang mencarinya dan pedoman bagi mereka yang mengikuti ajarannya. Ianya sumber ilmu bagi para penuntut ilmu, penguat semangat bagi mereka yang ingin beramal dengan ajarannya dan pembersih jiwa bagi mereka yang ingin membentuk ketakwaan dalam diri.
Oleh kerana kekayaan subjek dan tema yang dibahaskan di dalamnya, maka sebahagian ulama’ dan para ilmuwan menyusun beberapa ayat yang mempunyai temanya yang sama dan tersendiri lalu membahaskannya dengan sebuah perbahasan yang lebih tersusun. Tafsiran ini menggabungkan pelbagai ayat daripada Al-Qur’an yang mempunyai tema perbincangan yang sama lalu menyusunkan perbahasannya dalam bentuk yang lebih tersusun agar masyarakat awam dan penuntut ilmu khususnya dapat melihat sesuatu topik tersebut dibahaskan dalam Al-Qur’an secara lebih jelas.
Tafsiran sebegini lebih dikenali sebagai Tafsir Maudhu’i atau tafsir tematik yang mana perbahasan dan penjelasan tentang sesuatu ayat itu disusun bergandingan dengan penjelasan-penjelasan terhadap ayat-ayat yang lain yang mempunyai topik, tema atau subjek yang sama daripada keseluruhan Al-Qur’an.
Pengertian dan Perkembangan Tafsir Maudhu’i Secara Ringkas
Tafsir Maudhu’i mengandungi dua perkataan iaitu perkataan tafsir dan perkataan maudhu’i.
Perkataan Tafsir dari sudut bahasa adalah: menyingkap makna dan penjelasan.
Maksud perkataan Tafsir dari sudut istilah ilmu tafsir adalah: menyingkap makna-makna Al-Qur’an.
Maksud perkataan Maudhu’ pula dari sudut bahasa adalah: dari perkataan wadh’u iaitu meletakkan sesuatu pada sesuatu tempat.
Adapun takrif Tafsir Maudhu’i sebagai suatu nama khusus bagi sejenis ilmu tertentu dalam ilmu tafsir antaranya adalah sepertimana takrifan oleh Dr. Al-Mustafa Muslim:
“Suatu ilmu yang mencakupi beberapa isu perbincangan mengikut tujuan-tujuan Al-Qur’an yang tertentu samada ianya dikaji dari sesuatu surah tertentu atau dari banyak surah dalam Al-Qur’an”.
[Mabahis fi At-Tafsir Al-Maudhu’i]
Perkembangan Ilmu Tafsir Maudhu’i
Sesetengah para ulama’ menjelaskan bahawasanya, antara bentuk terawal tafsir maudhu’i adalah himpunan ayat-ayat hukum yang dikenali sebagai Tafsir Ayat Al-Ahkam. Ia suatu bentuk tafsir yang menghimpunkan hukum-hukum fiqh daripada ayat-ayat Al-Qur’an lalu menyusunnya dengan susunan hukum-hakam tersebut secara sistematik.
Kemudian, muncul pula tafsir Asybah wa Nazho’ir di mana seseorang ahli tafsir menghimpunkan banyak makna bagi sesuatu perkataan dalam Al-Qur’an itu sendiri. Seperti contoh, seseorang ahli tafsir menghimpun makna-makna bagi perkataan Khair dalam Al-Qur’an melalui ayat-ayat Al-Qur’an. Antara mereka yang menghimpunkannya adalah Imam Muqatil.
Kemudian, muncul pula kajian-kajian yang lebih spesifik tentang topik dan perbahasan dalam Al-Qur’an seperti menghimpunkan ayat-ayat sumpah dalam Al-Qur’an, ayat-ayat Mansukh (yang dimansuhkan) dalam Al-Qur’an dan sebagainya, yang merupakan antara jenis Tafsir Maudhu’i.
Kemudian, berkembanglah ilmu Tafsir Maudhu’i ini dengan banyak usaha yang dilakukan oleh para ulama’ alam menghimpun topik-topik perbahasan tertentu dalam Al-Qur’an sehingga ianya hampir mencakupi kebanyakkan topik perbahasan Al-Qur’an itu sendiri.
Jenis-jenis Tafsir Maudhu’i dari Sudut Manhaj Para Pengkaji
1) Tafsir Maudhu’i Mutakamil (Menyeluruh)
Ia terbahagi kepada tiga jenis:
1.1: At-Tafsir Al-Maudhu’i lil Mustalah Al-Qur’ani
Iaitu: seseorang pengkaji itu meneliti dan membahaskan kalimat tertentu dalam Al-Qur’an secara meluas seperti perkataan Ummah dalam Al-Qur’an, perkataan Jihad dalam Al-Qur’an dan sebagainya. Ianya fokus terhadap maksud kalimah tertentu dalam Al-Qur’an. Ia suatu perkembangan dari Tafsir Al-Asybah wa An-Nazhoir.
1.2: At-Tafsir Al-Maudhu’i lil Maudhu’ Al-Qur’ani
Iaitu: Seseorang pengkaji menentukan sesuatu topik perbahasan tertentu lalu mengkajinya dari sudut penilaian Al-Qur’an samada dari sudut uslub perbahasannya, perincian maknanya dan sebagainya.
1.3: At-Tafsir Al-Maudhu’ie lil Suwar Al-Qur’aniyyah
Iaitu: Seseorang pengkaji itu mengkaji topik asas atau perbahasan utama bagi sesuatu surah.
2) Tafsir Maudhu’i Tajzi’iyyah
Seseorang pengkaji itu merujuk perbahasannya kepada suatu tajuk perbahasan kecil daripada ayat Al-Qur’an menerusi ayat-ayat dan surahnya, lalu membahaskannya dari sudut tafsir Bil Ma’thur (secara riwayat) mahupun Tafsir Bil Ra’yi (secara berpendapat) samada tafsir itu berbentuk perincian tentang sesuatu ayat, atau ringkasan, atau ianya berbentuk perbandingan antara tafsiran-tafsiran ulama’ mengenai sesuatu ayat.
Antara Kepentingan Tafsir Maudhu’i
Pertama: Membuktikan sudut keagungan dan ketelitian perbahasan dalam Al-Qur’an menerusi himpunan terhadap topik-topiknya yang tertentu.
Kedua: Menunjukkan kepentingan tafsir Al-Qur’an dengan ayat Al-Qur’an yang lain yang mana ianya menjadi kebiasaan dalam perbahasan Tafsir Maudhu’i ini.
Ketiga: Memperbahrui gaya pemikiran masyarakat Islam dan menghidangkan buat mereka bentuk baru dalam memahami Al-Qur’an.
[rujuk buku Al-Qur’an Berbicara tentang Takwa m/s: 2-5 yang diterbitkan oleh Pelima Media Snd Bhd]
Topik Takwa dalam Al-Qur’an
Di dalam Al-Qur’an banyak menyebut perkataan taqwa. Ini menunjukkan tentang kepentingan sifat taqwa itu sendiri dalam kehidupan seseorang hamba Allah.
Taqwa dari sudut syarak bermaksud: pemeliharaan diri daripada perkara-perkara yang merosakkan Akhirat seseorang. [Ruh Al-Ma'ani karangan Imam Al-Alusi 1/108]
Maksudnya, taqwa bererti, seseorang memelihara dirinya daripada perkara-perkara yang boleh membawa kepada siksaan di akhirat kelak, seperti tidak melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. dan tidak meninggalkan kewajipan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. ke atasnya.
Oleh yang demikian, Allah s.w.t. berfirman berkenaan dengan pemeliharaan diri ini yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka”
[Surah At-Tahrim: 6]
Saidina Ali r.a. berkata yang bermaksud:
“(Taqwa ialah) takut kepada Allah yang Maha Agung, beramal dengan Al-Qur’an yang diturunkan, berasa cukup dengan sedikit yang dimiliki dan bersedia untuk kematian”.
Takwa dengan maksud ini sangat ditekankan dalam Al-Qur’an. Bahkan, kalimah-kalimah yang berkaitan dengan takwa berjumlah lebih kurang 272 perkataan yang disebutkan di dalam Al-Qur’an. Ini menunjukkan kepentingan sifat takwa itu sendiri bagi seseorang muslim. Maka, berdasarkan kepentingan sifat takwa inilah, penulis (dengan bantuan Allah s.w.t.) cuba menyusun sebuah perbahasan tentang takwa melalui ayat-ayat yang membicarakan tentang takwa itu sendiri.
Ini secara tidak langsung ingin mengembangkan ilmu tafsir maudhu’i dan mengetengahkannya dalam masyarakat di Malaysia. Ini kerana, perbahasan takwa ini sangat diperlukan oleh masyarakat dan Al-Qur’an adalah sebaik-baik rujukan dalam merujuk berkenaan dengan sifat ini serta langkah-langkah untuk menyuburkan sifat tersebut dalamjiwa manusia.
Maka, dengan bantuan Allah s.w.t., penulis menyusun sebuah buku ringkas berkenaan perbahasan takwa dalam Al-Qur’an lalu diberi judul sebagai: “Al-Qur’an Berbicara Tentang Takwa” yang diterbitkan oleh Pelima Media Sdn. Bhd.
Isi Kandungan Buku
“Pengenalan: Penjelasan Ringkas Tentang Ilmu Tafsir Maudhu’i
- Takrif Tafsir Maudhu’i
- Perkembangan Ilmu Tafsir Maudhu’i
- Jenis-jenis Tafsir Maudhu’i dari Sudut Manhaj Para Pengkaji
- Antara Kepentingan Tafsir Maudhu’i
- Antara Buku-buku Membahaskan Ilmu Tafsir Maudhu’i
Perbahsan Pertama: Perbahasan Taqwa dan Hakikatnya
Fasal Pertama: Perbahasan Makna Taqwa
- Taqwa dari Sudut Bahasa
- Taqwa dari Sudut Syarak
- Jumlah Perkataan-perkataan Berkaitan Taqwa yang Disebut Dalam Al-Qur’an
- Hakikat Taqwa
- Peringkat-peringkat Taqwa
- Pelbagai Makna Perkataan Taqwa dalam Al-Qur'an
Fasal Kedua: Taqwa Menghimpun Segala Kebaikan
- Taqwa Membawa kepada Ketaatan
Perbahasan Kedua: Kemuliaan Taqwa
Di Antara Kebaikan-kebaikan Taqwa
- Taqwa: Sebaik-baik Bekalan Akhirat
- Pakaian Taqwa: Sebaik-baik Pakaian
- Bertaqwalah Hanya Kepada Allah s.w.t..
Perbahasan Ketiga: Sifat-sifat Orang yang Bertaqwa
Fasal Pertama: Antara Ciri-ciri Orang-orang yang Bertaqwa
- Sifat Pertama: Beriman dengan Perkara Ghaib
- Sifat Kedua: Mendirikan Solat
- Sifat Ketiga: Mengeluarkan Zakat
- Sifat Keempat: Beriman dengan kitab Al-Qur'an dan Kitab-kitab Samawi yang lain
- Sifat Kelima: Keimanan Terhadap Hari Akhirat
Fasal Kedua: Al-Birr (Kebaikan) Adalah pada Ketaqwaan
- Pertama: Kebaikan (Taqwa) dari Sudut Aqidah
- Kedua: Al-Birr fi Al-'Amal iaitu Kebaikan (Taqwa) dari sudut Amalan
- Ketiga: Al-Birr fi Al-Akhlak iaitu Kebaikan (Taqwa) dari sudut Akhlak.
- Himpunan Ketiga-tiga Sifat-sifat Al-Birr Membawa kepada Kejujuran dalam Keimanan
Perbahasan Keempat: Perintah Ke Arah Ketaqwaan
Fasal Pertama: Suruhan ke Arah Ketaqwaan kepada Allah s.w.t.
- Perintah Ke Arah Ketaqwaan dalam Bentuk Individu
- Perintah Ke Arah Ketaqwaan dalam Bentuk Jama’ie (Berkumpulan)
Fasal Kedua: Pendorong kepada Ketaqwaan
- Faktor Pertama: Sifat Khauf (Takut kepada Allah)
- Faktor Kedua: Penghayatan tentang Hari Kebangkitan
- Faktor Ketiga: Muroqobah dan Menghayati Sifat-sifat dan Perbuatan-perbuatan Allah s.w.t..
- Faktor Keempat: Banyak Merenung Tentang Penciptaan Alam Ini
Perbahasan Kelima: Kesan-kesan daripada Sifat Taqwa
- Pertama: Sentiasa dalam Perlindungan Allah s.w.t.
- Kedua: Dikurniakan Ilmu daripada Allah s.w.t..
- Ketiga: Diberi Petunjuk dalam Membezakan antara Kebenaran dan Kebatilan
- Keempat: Penebus (kaffarah) Kesalahan dan Penyuci Dosa-dosa
- Kelima: Keselamatan daripada Azab Neraka
- Keenam: Mendapat Kehidupan yang Baik
- Ketujuh: Urusannya Dipermudahkan Oleh Allah s.w.t.
- Kelapan: Dijanjikan Syurga Oleh Allah s.w.t.
- Kesembilan: Mendapat Kemulian Dunia dan Akhirat.
- Kesepuluh: Mendapat Rahmat daripada Allah s.w.t.
- Kesebelas: Mendapat Khabar Gembira di Dunia dan di Akhirat
- Kedua Belas: Mendapat Kasih Sayang Allah s.w.t.
Kesimpulan dan Penutup ”
- Tamat nukilan -
Boleh didapati di Pesta Buku Antarabangsa 2010
Buku yang serba ringkas ini boleh didapati di Pesta Buku Antarabangsa 2010 khususnya di “Suficube” (nama booth bagi Pelima Media Sdn. Bhd.), G03, Dewan Tun Hussien Onn, bersebelahan Bilik Kedah, PWTC.
Apa yang baik dan bermanfaat itu daripada Allah s.w.t. dan hanya kepadaNyalah kembalinya segala pujian dan dalam kekuasaanNyalah segala kebaikan. Adapun segala kekurangan yang terkandung dalam penulisan tersebut, maka saya selaku penulis memohon ampun dari Allah s.w.t. dan meminta maaf samada ianya secara sedar ataupun tidak. Kesempurnaan hanyalah milik Allah s.w.t. dan moga-moga amalan ini sempurna dalam pandangan redha dan baik dalam penerimaan (qabul)-Nya. Amiin...
Al-Faqir Al-Haqir ila Rabbihi Al-Jalil Al-Lathif
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari
‘Amalahullahu bi lutfiHi Al-Khafiy
Sumber : Http://Mukhlis101.Multiply.Com
Rasulullah s.a.w. adalah jawatan yang dilantik oleh Allah sendiri. Allah sendiri tengok dalam ramai-ramai manusia di muka bumi ini entah berapa ribu juta trillion manusia ni ada seorang di dunia ni namanya Muhammad Bin Abdullah s.a.w.
BalasPadamBeliau telah dilantik menjadi nabi bila umur dia 40 tahun. Waktu dia beranak jadi 40 tahun belum jadi nabi ni dia beranak, bonda dia mak dia Siti Aminah tak tahu anaknya ini akan dilantik menjadi nabi.
Sebagaimana yang disebut minggu lepas, kita menyambut maulid nabi, maulid nabi ni kerja tak sudah. Jangan ingat bila kita sambut maulid nabi ni selesai masalah. Kalau Nabi Muhammad waktu dia beranak tu serupa Muhammad Muhammad lain.
Kat kampung kita ada Muhammad,situ ada Muhammad, ada Mat, orang Melayu Kelantan panggil Mat, Mat anak kita, Mat budak kampung kita dengan Mat Bin Abdullah di Tanah Arab tu waktu dia beranak serupa aja. Yang jadi masalah, yang jadi kita dengan dia peringkat rapat ni setelah 40 tahun kemudian bila beliau jadi nabi dengan turunnya ayat Iqra'
NOTA : sila lawati klip video mengenai perkara di atas di alamat
http://hanifsalleh.blogspot.com/2010/02/tok-guru-oh-tok-guru.html
SILA ZIARAH BLOG FAKEH KHALIFAH